Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 2 Ogos 2012

SPRM serbu tapak bazar Ramadan



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Sehari selepas akhbar Utusan Malaysia mendedahkan kegiatan sindiket penjualan tapak bazar Ramadan yang dijual pada harga yang tidak masuk akal, pihak berkuasa bertindak menyerbu lokasi perniagaan yang dikaitkan di Jalan Masjid India dan Lorong Fatimah, di sini hari ini.

Hasilnya, dua individu yang dipercayai orang tengah menguruskan penjualan tapak-tapak bazar tersebut berjaya ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Salah seorang daripada mereka berusia 50 tahun dan berniaga jam tangan di kaki lima Jalan Masjid India, namun mempunyai kemudahan untuk keluar masuk pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.
Kedua-dua orang tengah tersebut ditahan petang ini mengikut Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009 dipercayai menerima suapan wang untuk menguruskan pembelian tapak orang kenamaan (VIP) bazar Ramadan.

Penahanan tersebut dibuat secara berasingan bagi membantu siasatan. Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk soal siasat.

Operasi yang diketuai Penguasa SPRM Mohd. Fauzi Maslan bermula pukul 1 hingga 5 petang ini memfokuskan pemeriksaan tapak-tapak bazar yang dipercayai dibeli daripada sindiket berkenaan.

Menurut jurucakap SPRM, sebanyak 15 peniaga dipercayai membeli tapak bazar VIP tanpa melalui proses undian yang dibuat pihak berkuasa tempatan pada harga antara RM6,000 hingga RM50,000.

Katanya, kesemua peniaga tersebut gagal mempamerkan dokumen perniagaan masing-masing sebaliknya menggunakan kad perniagaan yang dimiliki individu lain atau nama persatuan perniagaan.
"Ada di antara peniaga mendakwa mereka membeli tapak VIP bazar berkenaan dengan harga RM50,000 bagi dua petak.
"Sebenarnya ada banyak lagi tapak bazar yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan namun mereka tidak beroperasi ketika operasi dijalankan hari ini.

"Sebanyak 102 tapak bazar beroperasi di Jalan Masjid India dan Lorong Fatimah. Sehubungan itu, dipercayai sindiket mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil penjualan tidak munasabah tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi operasi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan satu sindiket menawarkan petak-petak bazar Ramadan yang mengaut keuntungan sehingga mencecah jutaan ringgit dikesan berlaku di Jalan Masjid India, Lorong Fatimah, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Wakaf Orang Tua Buta di sini.

Sindiket yang dipercayai didalangi 'orang dalam' PBT itu turut melibatkan peniaga, individu tertentu di dalam persatuan-persatuan penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kegiatannya pula dikatakan dikesan telah bermula sebulan sebelum Ramadan dan melibatkan ratusan petak perniagaan, termasuk yang digelar tapak VIP kerana lokasinya yang strategik.

Selain itu, dalam operasi tersebut, seorang peniaga mendakwa membeli tiga tapak bazar dengan harga RM6,000 setiap satu di lokasi yang dipercayai bukan tapak perniagaan yang dibenarkan oleh PBT.

Jurucakap itu memberitahu, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana pembabitan ahli-ahli persatuan berkenaan dan orang dalam pihak berkuasa tempatan terlibat dalam sindiket penjualan tapak bazar tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan dua individu berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Utusan

Rozita Sudah Lali Hadapi Gosip Cinta Lelaki Muda




Rozita Che Wan sibuk sepanjang Ramadan ini dengan penggambaran lima telefilem. - Foto oleh ROHAIZAT MD DARUS
 
KUALA LUMPUR: Satu demi satu lelaki muda yang silih berganti dikaitkan dengan aktres sensasi Rozita Che Wan membuatkan dia lali dan enggan melatah dengan gosip-gosip sedemikian.

Terbaru, dramatis berusia 39 tahun ini sekali lagi dikatakan intim semula dengan bintang bola sepak kebangsaan Mohd Asrarudin Putra Omar, 24, yang pernah dikaitkan dengannya tiga tahun lalu.
Rozita berkata, gosip yang mendakwa dia gemar menjalin hubungan dengan lelaki-lelaki muda membuatkan dia sudah berasa lali dan tidak kisah untuk menghadapinya.


“Tak habis-habis, daripada satu lelaki kepada satu lelaki sampaikan saya sudah lali untuk melayan gosip-gosip yang timbul. Sebelum ini, Shahir (AF8), Zain (Saidin), lepas itu Beego dan sekarang saya dikatakan intim dengan Asrarudin pula.

“Sebenarnya gosip percintaan saya dan Asrarudin pernah diperkatakan beberapa tahun lalu dan tak sangka cerita ini timbul kembali. Walhal, saya hanya berkawan biasa dengan mana-mana lelaki muda,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Shahir didakwa pernah rapat dengan Rozita.
 
Ibu tunggal kepada dua anak lelaki ini berkata, gosip yang terus mengaitkan dirinya dengan golongan berkenaan berpunca daripada keterbukaannya berkawan dengan mereka.

“Ini (gosip) semua timbul kerana saya banyak berkawan dengan lelaki-lelaki muda dan bujang sedangkan tiada apa-apa yang serius pun.

“Kalau berkawan dengan lelaki seusia saya akan timbul masalah juga kerana kebanyakannya mereka sudah berumah tangga,” jelasnya yang mengimpikan lelaki yang tidak banyak kerenah.

Zain Saidin antara lelaki muda yang paling dikaitkan dengan Rozita.
 
Beralih kepada sambutan Ramadan pada tahun ini, Rozita berkata dia bersyukur kerana menerima lima tawaran telefilem sepanjang bulan ini.

“Kalau pada Ramadan lalu saya sibuk dengan tawaran drama bersiri, pada tahun ini saya menerima lima telefilem.

“Memang agak sibuk juga bagi dua minggu puasa ini tetapi saya masih sempat berbuka dan menunaikan solat Tarawih dengan anak-anak,” kongsinya.

Terbaru, Rozita yang baru menamatkan penggambaran telefilem Lepas Raya Harap Balas untuk tayangan Aidilfitri di TV3 akan memasuki set telefilem PA Ku Diva arahan Rashid Sibir pula pada minggu depan.
Drama bersiri lakonannya, Miss Octopus kini disiarkan pada setiap Ahad pukul 9 malam di TV9.

Apek tak rasa tergugat

 
Khairul Fahmi Che Mat
Kuala Lumpur: Nama Farizal Marlias yang kian meniti di bibir peminat bola sepak tanah air kerana kecekapannya menjaga gawang Harimau Malaya sejak kebelakangan ini, dikatakan menggugat kedudukan Khairul Fahmi Che Mat sebagai penjaga gol utama negara.

Bagaimanapun, bagi Khairul Fahmi atau lebih senang disapa Apek, gelaran penjaga gol nombor satu bukan perkara utama tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan prestasi kerja sepasukan sentiasa berada di tahap terbaik.
Malah, anak muda berusia 23 tahun itu menganggapnya sebagai satu persaingan sihat antara rakan sepasukan seterusnya mewujudkan persekitaran yang penuh daya saing bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

"Apabila ada persaingan sebegitu, ia bermakna pasukan akan menjadi lebih baik dan bagus". - Khairul Fahmi Che Mat, Penjaga gol

 “Bagi saya tidak ada istilah nombor satu atau nombor dua dalam pasukan. Tetapi sebenarnya ia mampu mewujudkan persaingan sengit antara kami di skuad kebangsaan. "

“Apabila ada persaingan sebegitu, ia bermakna pasukan akan menjadi lebih baik dan bagus,” katanya dalam sidang media selepas meluangkan masa bersama 20 anak yatim dari Asrama Anak-anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi membeli belah sempena Aidilfitri di Mydin USJ, semalam.

“Sebenarnya persaingan sihat ini bukan antara penjaga gol saja tetapi pada rakan sepasukan lain untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya yang juga duta jenama Mister Potato itu.

Farisal dilihat kerap diturunkan ketika ini oleh jurulatih Datuk K Rajagobal dengan yang terbaru ketika menentang Arsenal dan Manchester City berbanding Apek yang hanya masuk padang selepas babak kedua perlawanan terutama dengan juara Liga Perdana Inggeris itu, Isnin lalu.

ISU SAMAN: HAFIZ SERAH PADA PEGUAM


Meskipun kami tahu jawapan yang bakal diberikan oleh Bintang Akademi Fantasia (AF7), Hafiz, mengenai kes saman RM200,000 yang dikemukakan oleh bekas pengurus pentas Nur Haniza Mohad Azhar atas dakwaan mencederakannya, namun kami tetap mengajukan persoalan itu.

"Maaf no komen," ujar Hafiz seolah bimbang kata-katanya bakal diguna pakai di mahkamah nanti.

"Semuanya kini saya serahkan segalanya kepada peguam untuk tindakan. Dalam hal ini, saya tak boleh ulas lebih lanjut sebab rasa tak adil kepada pihak yang menguruskan kes ini," tambahnya yang hanya dimaklumkan oleh pengurusannya perihal saman itu selepas pulang dari Indonesia, semalam.





Ditanya apakah ini pengalaman pertamanya akan turun naik mahkamah dan bagaimanakah perasaannya apabila menerima surat saman, jawab Hafiz ia bukanlah pengalaman pertama. Namun begitu, secara berseloroh dia berkata tiada apa yang nak diceritakan kerana semuanya telah diuruskan oleh peguam.

"Nak kata yang pertama pun tak jugak... ha ha," ujar Hafiz sambil ketawa ketika ditemubual di majlis berbuka puasa anjuran Astro di hotel Royal Bintang Damansara, Selangor, semalam.



Untuk info, Nur Haniza mendakwa penyanyi yang popular dengan lagu Awan Nano itu, mencederakannya ketika menjalankan tugas sebagai pengurus pentas untuk rancangan “Salih Yaacob Show” di Studio Filem Negara pada 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.

Bekas Pengurus Pentas Saman Hafiz (AF7) RM200,000


Hafiz
 
KUALA LUMPUR: Penyanyi Hafiz (AF) yang popular dengan lagu Awan Nano hari ini di saman bekas pengurus pentas sebuah rancangan hiburan di Astro atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepadanya.
Nur Haniza Mohd Azhar, 25, selaku plaintif menamakan Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip, 22, yang juga juara Akademi Fantasia ke-7, sebagai defendan bagi menuntut ganti rugi lebih RM200,000.
Beliau memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Sesyen di sini,menerusi Tetuan Boestamam Ahmad & Co.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nur Haniza mendakwa beliau didatangi Mohd Hafiz yang menepuk bahunya dari belakang dan menyatakan hasrat untuk berjumpa dengannya secara paksa ketika beliau menjalankan tugas sebagai pengurus pentas untuk rancangan “Salih Yaacob Show” di Studio Filem Negara pada 3.15 petang, 17 Mei tahun lepas.

Nur Haniza mendakwa beliau menolak pelawaan itu dengan baik kerana sedang sibuk melakukan tugasannya tetapi beliau tetap didesak Mohd Hafiz untuk berbincang mengenai suatu perkara.

Nur Haniza . Foto-Bernama
 
Nur Haniza, yang kini bekerja sebagai penasihat jualan di syarikat permotoran, mendakwa ketika beliau menuruni tangga studio untuk meneruskan tugasnya, Mohd Hafiz bertindak agresif dengan menolaknya sehingga terjatuh ke bawah dan tersungkur di hadapan rakan sekerjanya.

Beliau mendakwa tindakan Mohd Hafiz itu menyebabkannya mengalami kecederaanpada bahagian kaki dan beliau juga mendakwa penyanyi itu tidak membantunya.

Nur Haniza mendakwa beliau telah menyerahkan notis tuntutan bertarikh 25 Jun lepas supaya Mohd Hafiz memohon maaf dan membayar ganti rugi tetapi Mohd Hafiz menafikan ada mencederakannya.

Nur Haniza mendakwa akibat kejadian itu, beliau kini masih merasa sakit pada bahagian kaki kanannya akibat kecederaan yang dialami dan hilang mata pencarian kerana disenaraihitamkan daripada bekerja untuk rancangan terbitan Astro serta terpaksa menanggung malu selepas kejadian itu yang turut disiarkan media.

Oleh itu, Nur Haniza menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi kehilangan aminiti, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

 - BERNAMA

Kes kematian Syaleza: Polis rekod keterangan 10 individu



4:57PM Ogos 2 2012


Polis telah mengambil keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Syaleza Jaffar yang ditemui mati di rumahnya di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata dua daripada 10 individu itu ialah rakan sekerja allahyarham manakala lapan lagi merupakan jiran terdekatnya.

"Polis akan mengumpul kesemua bukti berdasarkan keterangan yang telah diambil, dan kita berharap kes ini dapat diselesaikan dengan kadar segera dengan adanya keterangan-keterangan ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata berkemungkinan ada beberapa saksi lagi yang akan dipanggil untuk dirakamkan percakapan mereka berkaitan kes itu.

Syaleza, 31, ditemui mati oleh suaminya dalam bilik tidur rumah mereka, dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan jerutan di leher wanita itu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga terdekat Syaleza di Segamat, Johor pada 10.15 malam pada Ahad lepas bagi membantu siasatan kes itu.

Thaiveegan berkata setakat ini tiada tangkapan baru dibuat dan lelaki yang bekerja di bahagian teknologi maklumat di sebuah firma itu direman sehingga 6 Ogos.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-Bernama



Berikut adalah krologi penuh kematian Ekesekutif Pentadbiran Berita stesen televisyen TV9, Syaleza Jaffar bermula dari penerimaan status Blackberry Messenger terakhir Syaleza sehingga penahanan suami mangsa iaitu Norazman Bashah.

• Status Blackberry Messenger terakhir Syaleza yang sempat ditulis berbunyi ‘sabar duhai hati’ kira-kira pukul 4 petang Sabtu lalu.

• Beberapa jam kemudian, Syaleza didakwa bertengkar dengan suaminya, Norazman Bashah, di rumah mereka di Apartmen Saujana, Damansara Damai, Sungai Buloh.

• Syaleza dipercayai mula mengurung diri dalam bilik selepas bertengkar.

Norazman mendakwa dia bertindak memecah masuk pintu bilik selepas terdengar bunyi dentuman dari dalam bilik ketika hendak memanggil isterinya berbuka puasa.

• Norazman kemudian mendakwa melihat isterinya tergantung pada siling dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira pukul 7 malam.

• Abang sulung Syaleza didakwa menerima berita kematian arwah pada pukul 9.30 malam selepas dimaklumkan oleh Norazman.

• Pasukan bantuan perubatan tiba pada pukul 10.30 malam.

• Norazman kemudian ditahan sebaik upacara pengebumian Syaleza di Segamat, Johor selesai pada pukul 10.15 malam kelmarin.

P/S semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang beriman. al-Fatihah

Kematian Syaleza : Dibunuh atau Mati Mengejut?

al-Fatihah
1. Polis Tahan Anggota Keluarga Syaleza

KUALA LUMPUR – Polis sudah menahan seorang anggota keluarga terdekat Syaleza Jaffar, 31, eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 yang ditemui mati di rumahnya di Apartment Saujana, Damansara Damai, Petaling Jaya, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata anggota keluarga tersebut ditahan bagi siasatan lanjut lewat malam tadi di Segamat, Johor, kampung halaman mangsa.

“Polis sudah merakamkan percakapan anggota keluarga itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal Unit Forensik dan Patologi Polis Selangor, terdapat kesan jerut di bahagian leher dan beberapa kesan lebam pada tubuh mangsa.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” kata Arjunaidi.

Mayat Syaleza dilaporkan ditemui di dalam bilik tidurnya pada 7 malam, selepas pintu bilik dipecahkan kerana dia tidak membuka pintu apabila dipanggil untuk berbuka puasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

2. Ketua Polis Selangor Sahkan Syaleza Mati Dijerut

Kamar Syaleza dikatakan tempat mayat mangsa ditemui
Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah mengesahkan punca kematian eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9, yang mayatnya ditemui di kediamannya di Apartment Saujana, Damansara Damai pada Sabtu, adalah akibat lehernya dijerut.

Beliau berkata laporan bedah siasat ke atas mayat Syaleza Jaffar, 31, di Hospital Sungai Buloh menunjukkan mangsa mati akibat tidak boleh bernafas dan terdapat kesan jerutan di sekeliling leher mangsa.

“Laporan siasatan menunjukkan mangsa mati akibat dijerut dan bukannya menggantung diri, namun kita masih menjalankan siasatan terhadap perkara itu,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata susulan itu, polis menahan anggota keluarga terdekat mangsa di Segamat, Johor pada kira-kira 10.15 malam tadi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Suspek akan direman petang ini.

Tun Hisan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

Mayat Syaleza ditemui di dalam sebuah daripada bilik tidur rumah itu oleh suaminya, Norazman Bashah pada kira-kira 7 malam.

Suaminya mendakwa terdengar dentuman dalam bilik tidur rumah itu dan ternampak mangsa tergantung tidak bernyawa di kipas bilik itu sebelum membawa turun mayat isterinya.

Polis kemudian ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan berhubung kejadian itu oleh suami mangsa dan Syaleza disahkan meninggal dunia ketika ditemui polis.

Syazleza adalah anak kedua daripada enam beradik dan mempunyai seorang cahaya mata berusia dua tahun. – BERNAMA

Lisa tak tahu penerbit kempen misteri p'raya



  • Ahmad Fadli KC
  • 9:50AM Ogos 2 2012
Pelakon Lisa Surihani mendakwa beliau tidak tahu siapa penerbit kempen misteri 'Saya Pilih Malaysia' yang mula kelihatan dalam akhbar arus perdana dan saluran TV nasional bulan lepas.

Menurut Lisa, iklan kempen itu ditawarkan kepadanya menerusi agensi dan beliau menerimanya kerana mesej berkenaan hak mengundi daripada sudut demokrasi yang disampaikan iklan tersebut.

NONE"Secara jujurnya, saya tidak tahu (siapa penerbitnya). Itu diuruskan pihak agensi.

"Bagi saya, saya OK kalau kita kongsi dengan rakyat yang kita punyai hak demokratik dan mengamalkannya.

"Itu sebab saya lakukan (terima iklan itu)," kata Lisa sewaktu ditanya tentang penglibatannya dalam iklan itu.

Pertengahan Julai lalu, iklan setengah muka dan iklan penuh warna 'Saya Pilih Malaysia' menghiasi akhbar arus perdana dan ditayangkan pada waktu perdana di semua saluran TV utama.

Bagaimanapun, iklan itu tidak jelas menyatakan kecenderungan kepada mana-mana parti politik.

'Nafi ahli Umno'
Mengulas penggunaan perkataan 'keamanan', 'kemajuan', 'kestabilan' dan 'perpaduan' dalam iklan itu yang dilihat senada dengan kempen BN, Lisa menegaskan peranannya hanya menggalakkan penonton keluar mengundi dan bukan siapa yang perlu diundi.

"Bahagian saya, sayNONEa beritahu mereka (penonton) yang mereka ada kuasa untuk bersuara. Anda ada hak itu, dan gunakannya.

"Tetapi, saya tak akan beritahu secara langsung siapa yang anda perlu undi.

"Kerana saya sendiri pun tak beritahu siapa yang saya undi," katanya sewaktu ditemui selepas majlis Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bersama menteri di Kuala Lumpur malam tadi.

Lisa yang sebelum ini menerima Anugerah Pencapaian Khas Puteri Umno pada hujung tahun lalu juga menafikan tanggapan orang ramai yang beliau merupakan ahli Umno.

Malah, beliau juga tidak bercadang untuk berkempen bagi Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

"Maaf, saya tidak mampu menggabungkan kedua-duanya (politik dan hiburan). Sesetengah orang boleh terlibat dalam dua sektor (politik dan hiburan) tapi bukan saya," kata Lisa.

Menurutnya lagi, beliau juga tidak melihat dirinya akan menceburi politik dalam masa terdekat.

"Secara jujurnya tidak (akan menceburi politik). Saya berani cakap saya kurang pengetahuan (mengenainya).

"Apa-apa yang ada kecenderungan politik, tidak buat masa ini," katanya.