Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jenayah. Papar semua catatan

Selasa, 24 Mac 2015

Mufti: Jangan ikut hudud Taliban, Boko Haram

 
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, undang-undang hudud Kelantan perlu disemak lebih lanjut oleh pakar perundangan antarabangsa untuk memastikan ia mematuhi maqasid syariah dan sunnah.

Katanya, beliau bimbang semakan ke atas Kanun Jenayah Syariah II 1993 Kelantan (Pindaan 2015) itu perlu dilakukan untuk mengelakkan pelaksanannya menemui kegagalan.

Katanya, pelaksanaan hudud di negara seperti Libya, Sudan, Nigeria dan Pakistan memberikan mesej bahawa syariat Islam itu tidak sesuai.

“Saya memohon agar diberikan ruang supaya enakmen itu disemak lagi oleh pakar perundangan Islam dan maqasid as-Syariah di pelbagai peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Semakan itu perlu agar kegagalan perlaksanaan hudud yang pernah berlaku di Libya, Sudan, Nigeria, Pakistan tidak berulang di Malaysia.

“(Pelaksaan di negara tersebut) memberikan mesej salah bahawa syariat Islam itu tidak sesuai. Padahal yang tidak sesuai ialah pemilihan pandangan-pandangan ijtihad yang telah dibuat oleh mereka,” katanya.

Bahas secara ilmiah

Menurutnya secara peribadi beliau menyokong hasrat Kelantan, namun tetap berharap agar perkara itu dibincangkan di kalangan sarjana.

“Kita juga hendaklah mengelakkan gambaran hudud yang tidak kondusif dan seakan-akan menggambarkan kekejaman undang-undang yang telah berlaku bawah pentadbiran Taliban, cara hudud ISIS, Boko Haram dan lain-lain.

“Versi hudud mereka tidak memenuhi maqasid syariah yang terdapat dalam al-Quran dan as-Sunnah,” katanya.

Tegasnya lagi, seorang Muslim sememangnya tidak boleh menentang hudud kerana asasnya ada dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Namun, masyarakat Islam juga perlu faham bahawa kebanyakan daripada butiran undang-undang tersebut tidak disebut di dalam al-Quran mahupun dalam Hadis.

“Walaupun kita tidak boleh membantah asas hudud dalam Islam, namun kita boleh berbeza pendapat, tidak bersetuju ataupun menolak pemilihan pandangan-pandangan sarjana dalam penetapan hukuman bagi sesuatu enakmen.

“Kita mungkin boleh mencadangkan pandangan yang lain dari ijtihad yang lain. Namun, proses itu semua hendaklah dalam suasana ilmiah dan menghormati hukum asas,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dalam satu wawancara bersama Malaysiakini mengakui bahawa enakmen tersebut mengandungi kesilapan dan akan dibincangkan lebih lanjut dalam sidang DUN akan datang.
 

Jumaat, 20 Februari 2015

Najib usahlah gelisah, kata Mahfuz

Datuk Seri Najib Tun Razak usahlah gelisah kerana hanya yang makan cili sahaja yang terasa pedasnya, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai mengulas kenyataan Najib semalam yang menganggap sebagai ‘mengarut’ kenyataan Sirul Azhar Omar yang mendakwa dia bertindak atas arahan.


Mahfuz (kiri) berkata, Sirul tidak menamakan mana-mana individu yang memberinya arahan berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Oleh itu, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Sena berkata, kenyataan Najib itu sungguh menghairankan.

“Kenapa mengarut? Siapa yang mengarut? Sirul yang mengarut atau PM yang mengarut.

“Sungguh menghairankan kerana Sirul tidaklah menyebut mahupun mengaitkan PM dengan dakwaan dia “hanya menjalankan arahan” dalam kes pembunuhan Altantuya, jadi mengapa pula PM memberi respon sedemikian rupa,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tak perlu bawa Sirul pulang

Menurut Mahfuz lagi, siasatan berhubung kes itu tidak perlu membawa Sirul pulang ke Malaysia kerana sebelum ini bekas tahanan ISA, Yazid Sufaat disoal siasat oleh badan perisikan FBI kerana didakwa menganggotai Al-Qaeda.

“Siasatan boleh dibuat di Australia sepertimana Malaysia pernah beri peluang kepada FBI untuk buat siasatan di Malaysia, Yazid Sufaat sewaktu ditahan ISA," katanya.

MP Pokok Sena itu berkata tidak adil jika Sirul dibawa pulang ke Malaysia untuk siasatan sedangkan beliau telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan sekiranya dibawa pulang kes ini akan ditutup.

Sebaliknya, kata Mahfuz, sewajarnya pihak polis dihantar ke Australia untuk membuat siasatan.

Sementara itu, Mahfuz berkata dokumen dan pasport ibu dan adik perempuan Sirul telah disiapkan cuma masih menunggu kelulusan visa daripada kedutaan Australia.

Beliau berkata pihaknya akan pergi ke negara itu seramai lima orang selama seminggu dan tarikh perjalanan akan dimaklumkan kelak.

Sirul: Saya tak pernah mengaku bunuh Altantuya

Bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar berkata beliau tidak pernah mengaku membunuh  Altantuya Shaariibuu, walaupun Mahkamah Persekutuan mensabitkannya bersalah.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, dia mengulangi kenyataan bahawa dia bertindak atas arahan dan menjadi kambing hitam dalam kes itu.

“Sampai hari ini tiada saksi terhadap kematian itu.

“Semua ini hanya berdasarkan keterangan mengikut keadaan yang dikaitkan dengan saya (terhadap pembunuhan itu)

“Saya faham bahawa keterangan mengikut keadaan tidak sekuat keterangan langsung,” kata Sirul (kanan), 43, bapa kepada dua orang anak itu.

Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan mensabit dan menjatuhi hukuman mati pada Sirul dan seorang lagi bekas komando polis Azilah Hadri ekoran kes pembunuhan pada 2006 itu.

Mereka berdua dikatakan menembak mati dan meletupkan seorang warganegara Mongolia di dalam hutan.

Bagaimanapun, mahkamah dan pihak pendakwaan tidak menentukan motif di sebalik tindakan itu.

Ia mencetuskan spekulasi apabila Razak Baginda, penganalisis politik dan rakan rapat perdana menteri, dikaitkan dengan perkara itu.

Razak dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Datuk Seri Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri, menafikan mempunyai sebarang kaitan dalam kes itu dan bersumpah dengan nama Allah.

Polis juga membersihkan namanya.

Najib (atas) pagi ini diminta oleh pemberita mengulas dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan dan pihak yang mempunyai motif masih bebas.

Najib hanya menjawab perkara itu “mengarut”.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Sirul tidak berpuas hati dengan prosiding undang-undang, termasuk kegagalan memanggil pegawai atasannya DSP Musa Safri.

Musa bekas pembantu Najib.

Kenapa polis dedah muka?

Sementara itu, bekas komando polis itu juga kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan gambarnya.

 ”Kenapa dedah gambar saya tanpa kebenaran? Sejak awal pendengaran hingga rayuan di Mahkamah Persekutuan, saya berjaya tutup muka.

 ”Apa tujuannya (dedah gambar saya),” soalnya.

Sirul tidak hadir ketika keputusan diumumkan kerana berada di Australia.

Dia kini ditahan oleh imigresen negara kanggaru itu di Sydney.

Undang-undang Australia tidak membenarkan pihak berdepan hukuman mati dieksradisi ke negara hukuman dijatuhkan.

Sirul sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan segala-galanya berhubung kes itu.

Najib: Dakwaan Sirul 'mengarut'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar bahawa dia bertindak atas arahan sebagai “mengarut”.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bersama isterinya Rosmah Mansor.

Najib pada mulanya memberikan ucapan Tahun Baru Cina dengan berkata beliau yakin rakyat Malaysia mampu menjadikan 2015 sebagai tahun yang baik walaupun berdepan cabaran ekonomi.

Sejurus selepas itu, pemberita mengajukan soalan tentang dakwaan Sirul, termasuk yang menyebut bahwa “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Menunjukkan tidak setuju dengan dakwaan itu, Najib menggelengkan kepalanya berkali-kali dan mula beredar.

Diasak pemberita, Najib kemudiannya menjawab “mengarut” sambil tersenyum dan kemudian berlalu pergi.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, Sirul mendakwa dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya Shaariibuu masih bebas.

Sirul: Selepas Altantuya, inikah balasannya?

 
EKSKLUSIF Bekas anggota pasukan elit polis Sirul Azhar Umar kini sugul kerana dijatuhkan hukuman mati, hanya kerana mengikut arahan.

"Jika saya mati hari ini, saya tidak akan aman kerana saya cuma buat apa yang diarah dan ini balasannya yang saya dapat," katanya kepada Malaysiakini dalam satu perbualan telefon dari Australia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bahawa kenyatana itu adalah pengakuan bersalah.

Sirul, yang disabitkan bersalah bersama seorang lagi komando polis Azilah Hadri, juga tidak berpuas hati dengan perjalanan kesannya.

Dia merasakan DSP Musa Safri, orang atasannya dan bekas pembantu (ADC) Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika menjadi timbalan perdana menteri, patut dipanggil menjadi saksi pihak pendakwaan.

'Hujah peguam saya kuat'

Mahkamah Rayuan pada 2013 membebaskan Azilah dan Sirul akibat salah arah serius Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Zaki Yasin, termasuk tidak memanggil Musa.

Bagaimanapun, kata Sirul, Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan rayuan pendakwaan, mengabaikan perkara itu.

"Mahkamah juga mengabaikan bukti DNA daripada kesan darah pada kasut yang diletakkan di dalam kereta saya dan sampel DNA saya sendiri.

"Mahkamah abaikan perkara ini walaupun terdapat penghujahan kuat oleh peguam saya," katanya.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Peguam Cara Negara I Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah bahawa Musa bukan saksi penting dalam perbicaraan itu dan tiada keperluan memanggilnya.

Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, pula berhujah bahawa tindakan itu telah bertukar perbicaraan silap.

Gerak hati kalah kes

Berhubung DNA, ahli kimia memberi keterangan bahawa terdapat kemungkinan DNA daripada kesan darah itu milik Altantuya, walaupun terdapat keraguan padanya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Sirul sekali lagi menegaskan bahawa beliau menjadi “kambing hitam” dalam kes itu.

Beliau juga mengaku tertekan dengan dakwaan penganalisis politik Abdul Razak Baginda (kiri) bahawa “polis jahat” bertanggungjawab membunuh Altantuya pada 2006.

Razak Baginda, rakan rapat Najib, didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Sementara itu, menceritakan keadaannya dalam tahanan pihak imigresen Australia di Sydney, Sirul berkata semuanya baik dan dia ditempatkan seorang diri dalam bilik yang mempunyai empat katil.

Ditanya kenapa beliau berlepas ke Australia sebelum keputusan mahkamah, dia berkata berdasarkan gerak hatinya, kes itu tidak akan menyebelahinya.




Khamis, 9 Oktober 2014

Joki kereta maut, 12 cedera letupan depan kelab malam

 

Seorang pekerja joki kereta maut dan 12 lagi cedera termasuk pelancong asing, dalam serangan bom 'molotov cocktail' dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang, hari ini.
  
Ia dipercayai kejadian serangan bom pertama di pusat hiburan di negara ini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng ketika dihubungi Bernama mengesahkan kematian lelaki itu dan identitinya ialah Tiong Kwong Yie, 36.
  
Unit Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam kenyataannya hari ini berkata pekerja joki berkenaan meninggal dunia ketika menjalani pembedahan akibat kecederaan parah yang dialami mangsa.

"Daripada 13 mangsa letupan bom itu, 11 orang menerima rawatan di HKL, manakala dua lagi dirawat di hospital Gleneagles, di sini," katanya.
  
Kenyataan itu juga berkata daripada 13 mangsa itu, tujuh merupakan rakyat tempatan, empat warga China, Singapura (satu) dan Thailand (satu).
  
Menurut HKL lagi 11 mangsa telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL dengan dua mangsa sedang mendapatkan rawatan resusitasi manakala lapan lagi
dirawat di Intermediate Care Ward kerana cedera ringan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata kepada pemberita dalam kejadian kira-kira 4.20 pagi itu, terdapat
individu tidak dikenali telah melemparkan dua bom berkenaan dari aras dua tempat letak kereta bangunan Sun kompleks itu.
  
"Suspek dipercayai membalingkan bom dari tingkat atas bangunan. Satu daripada bom itu meletup di hadapan kelab malam. Satu lagi tidak meletup dan berada di bawah kereta Toyota Camry, yang terletak berhadapan kelab malam tersebut," katanya.
  
Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kawasan letupan itu telah ditutup kepada umum untuk siasatan membabitkan unit pakar bom daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Unit Tunda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengalihkan kereta di tempat kejadian dan sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah.

Terdapat empat kenderaan diletakkan di hadapan kelab malam tersebut iaitu masing-masing sebuah Toyota Vellfire, Mazda, BMW dan Toyota Camry.
  
Vellfire berkenaan tertanggal bumper hadapannya akibat letupan itu dan kelihatan tompok-tompok hitam di atas jalan berhampiran kenderaan tersebut termasuk serpihan kaca.
  
Bom kedua diletupkan oleh unit pemusnah bom pada 12.35 tengah hari tadi.
  
Premis berdekatan di tempat kejadian antaranya Public Bank, Pusat Beli-Belah Hai-O turut ditutup sementara, ketika operasi meletupkan bom kedua dijalankan.
  
Pengurus Hotel Federal, Shaun Sylvester, 29, berkata beliau terkejut mendengar letupan kuat berlaku di luar hotel berkenaan pada awal pagi tadi.

"Saya menyuruh pengawal keselamatan hotel menyiasat apa yang berlaku dan mereka memaklumkan berlaku kejadian letupan.
  
"Saya lihat orang ramai berkumpul di lokasi kejadian, ada yang terbaring berlumuran darah dan ada yang panik dengan suasana itu," katanya kepada Bernama.
   
Katanya, beberapa pemandu teksi dan orang ramai bertindak menghantar mangsa yang cedera ke hospital.
   
Bagi Kamarul Baharin, 41, pemandu pelancong menyatakan rasa bersyukur kerana terselamat ketika baru mengambil pelanggannya di kawasan berkenaan.
  
"Saya mahu ambil orang di Hotel Capitol...van saya baru sahaja melepasi selekoh di lokasi kejadian ketika letupan itu berlaku...mujur selamat, jika tidak pecah cermin van ini," katanya.
  
Beliau berkata sepanjang berkhidmat sebagai pemandu pelancong di kawasan itu sejak setahun lalu, ini merupakan kejadian pertama seumpama itu berlaku.
  
- Bernama

Selasa, 30 September 2014

Aliff Aziz curi 2 telefon bimbit, bakal dipenjara

  • Aliff Aziz Aliff Aziz
PENYANYI kelahiran Singapura Aliff Aziz berdepan hukuman penjara 20 hari sekiranya gagal melunaskan denda berjumlah $2,000 berikutan kesalahan mencuri dua buah telefon bimbit.

Kesalahan itu dilakukan pada Mei lalu apabila dia mencuri telefon berjenama HTC One dan Samsung Note 1 milik dua individu berbeza.

Akhbar terbitan Singapura itu turut melaporkan Aliff telah didakwa pada 16 ogos lalu atas kesalahan yang dilakukan.

Isnin, 22 September 2014

Pengarah fail gantung perintah bayar ganti rugi

  • Johan Johan
KUALA LUMPUR - Seorang pengarah drama dan filem serta syarikatnya memfailkan permohonan untuk menggantung perintah membayar ganti rugi RM170,100 kepada Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz atau dikenali sebagai Johan Raja Lawak dan isterinya.
 
Pembayaran itu berhubung kes saman yang difailkan pelawak itu terhadap kecederaan yang dialaminya empat tahun lepas.

Pengarah, Mohd Javed Mohd Nizar dan syarikat penerbitan drama dan filem, Juara Filem Production Sdn Bhd memfailkan permohonan itu pada 17 September lalu sementara menunggu untuk mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam pada 7 Julai.

Peguam Suhaimi Saad yang mewakili Johan ketika ditemui pemberita memaklumkan bahawa permohonan Mohd Javed dan syarikatnya itu akan didengar di Mahkamah Rayuan, Khamis ini.

Suhaimi berkata Penolong Kanan Pendaftar Ti Pei Si menetapkan 26 September ini untuk pengurusan kes ketika kes itu disebut di dalam kamarnya yang turut dihadiri peguam Baljit Singh yang mewakili Mohd Javed dan syarikatnya itu.

Pada 7 Julai lalu, Hakim Su memerintahkan Mohd Javed serta syarikat penerbitannya membayar ganti rugi RM100,000 dan kos perubatan RM100 kepada Johan serta faedah lima peratus kepada pelawak itu bermula daripada tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Javed dan syarikatnya selaku defendan membayar ganti rugi RM20,000 akibat trauma kepada isteri pelakon dan pelawak itu, Rozlinawaty Ismail, serta faedah lima peratus bermula daripada tarikh saman itu difailkan sehingga tempoh penyelesaian.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos guaman RM50,000 kepada pasangan suami isteri itu.

Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada 11 Mei 2010.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Johan mendakwa Mohd Javed juga bertindak menterbalikkan meja di hadapannya dan isteri dan Johan turut mengalami kecederaan pada bahagian bawah mata kanan didakwa akibat ditumbuk seorang kru penggambaran yang dikenali sebagai 'Halim'.

Johan, yang juga seorang pengacara, mendakwa Mohd Javed dan Halim kemudian terus memukul dan menyepaknya dan perbuatan mereka dihalang Ozlynn yang menyebabkan isterinya itu turut dipukul. - Bernama

Rabu, 27 Februari 2013

Juruteknik dituduh menipu tiga wanita


 
Seorang juruteknik komputer hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tiga pertuduhan menipu tiga wanita, tahun lepas.
K K Prabaharan, 45, didakwa memperdayakan warga emas T Suppamal, 68, untuk menyerahkan enam utas rantai leher, enam pasang subang, dua pasang gelang, lima bentuk cincin dan seutas rantai tangan bernilai RM60,000 untuk tujuan dicuci.

Dia melakukan kesalahan itu di rumah nombor T-3-32, Taman Hamna Lorong Helang 1, Sungai Dua, Gelugor pada 10 pagi, 7 Nov lepas.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdayakan A Vanija, 31, untuk menawarkan tender kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Green Lane dan meminta mangsa menyerahkan RM2,000 untuk tujuan itu.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan Hospital Lam Wah Ee, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim di Georgetown, pada 3 petang, 8 Okt lepas.

Prabaharan turut didakwa memperdaya B. Vikneswary, 29, untuk menyerahkan wang RM16,000 sebagai bayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Bank Rakyat, Jalan Magazine pada 3 petang, 6 Dis lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Majistret Norhayati Ibrahim membenarkan Prabaharan diikat jamin RM20,000 dengan tiga penjamin dan menetapkan 16 April untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairul Fairuz Rahman  manakala tertuduh diwakili peguam Md Yusuf Idris.

Prabaharan ditahan 4 Jan lepas di rumah sewanya di Bukit Gambir di sini setelah polis menerima aduan mengenai kegiatan seorang kasanova yang memperdaya lebih 20 wanita menerusi laman web sosial dan dipercayai mengaut lebih RM500,000 sejak 2001.

- Bernama