Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Selasa, 30 September 2014

Chong Wei mahu berehat selepas Terbuka Denmark


  • Wajah Datuk Lee Chong Wei ketika ditemubual wartawan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini. - Foto Bernama  
  • Wajah Datuk Lee Chong Wei ketika ditemubual wartawan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini. - Foto Bernama
PEMAIN badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, menyuarakan hasratnya untuk berehat selepas Kejohanan Terbuka Denmark pertengahan bulan ini, sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Malaysia tahun hadapan.
  
Beliau akan membincangkan perkara itu dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas pulang daripada kejohanan itu nanti.
  
"Saya perlu berehat agak panjang untuk bersedia (menghadapi Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Malaysia). Saya akan bincang dengan BAM selepas Terbuka Denmark," katanya kepada media sejurus tiba dari  Incheon, Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.
  
Chong Wei dijadualkan menyertai Terbuka Denmark, satu daripada kejohanan Siri Super Premier Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dari 18 hingga 23 Okt ini.
  
Menurutnya keputusan untuk berehat itu wajar berikutan tiadanya kejohanan yang perlu disertainya pada Januari dan Februari depan.
 
"Awal tahun depan tidak ada kejohanan besar, ia agak baik untuk  saya berehat sebelum memulakan latihan dan tingkatkan  prestasi bagi menghadapi All England dan Terbuka Malaysia," katanya.   

Chong Wei juga mengakui prestasinya agak menurun selepas Kejohanan Dunia Denmark bulan lepas, namun menganggap pencapaiannya sehingga ke peringkat separuh akhir pada Sukan Asia Incheon adalah cukup bagus.
  
Mengenai kerjayanya dalam badminton, beliau  berharap dapat  terus bertahan untuk dua tahun lagi.
  
Ditanya mengenai kemungkinan BAM mengambil jurulatih baharu dari China untuk membantunya dan skuad badminton negara, Chong Wei berkata beliau menerima apa sahaja keputusan  BAM.
  
BAM dilaporkan bakal melantik beberapa jurulatih baharu  termasuk He Guo Quan, iaitu bekas jurulatih pemain perseorang lelaki Lin Dan dan pemain perseorangan wanita Li Xueriu.
     
Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki Tey Seu Bock berkata langkah BAM membawa jurulatih mungkin memberi kebaikan  kepada Chong Wei.
  
"Ia akan wujudkan satu perubahan ke arah kebaikan kepada Chong Wei...saya fikir, kita perlu buat perubahan atau sesuatu yang lain untuk  Chong Wei (khususnya dalam menghadapi Sukan Olimpik)," katanya.
  
Menurutnya  beliau tidak menghalang jika BAM mahu Chong Wei dikendalikan seorang jurulatih baharu.
  
"Jika perubahan itu penting dan untuk kebaikan Chong Wei, saya  tidak kisah. Kita perlu cari formula untuk bantu kecemerlangan  beliau. Saya nampak beliau begitu kecewa bila tewas kepada Lin Dan di  Sukan Asia," katanya. - Bernama

Ahad, 28 September 2014

Lin Dan sekat Chong Wei ke final


  • Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kecewa selepas kalah pada perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang pemain China Chen Long dengan 19-21 dan 19-21 pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 di Stadium Ballerup Super Arena dekat Copenhagen, pada Ahad. - Foto Bernama  
  • Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kecewa selepas kalah pada perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang pemain China Chen Long dengan 19-21 dan 19-21 pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 di Stadium Ballerup Super Arena dekat Copenhagen, pada Ahad. - Foto Bernama
JAGUH perseorangan badminton lelaki negara Datuk Lee Chong Wei disekat jaguh China dan musuh tradisinya Lin Dan pada peringkat separuh akhir Suka Asia ke-17 hari ini.
 
Chong Wei kalah 20-22, 21-12 dan 9-21 dalam masa satu jam 12 minit.
 
"Dalam set pertama pada kedudukan 16-14, saya merasa rileks mungkin sebab saya ingin permainan habis. Pada set ketiga pula, saya dapati Lin Dan sangat yakin. Pada kedudukan 7-2, saya susah untuk ikut rentak dia.
 
"Namun saya sudah buat yang terbaik dan saya terima kekalahan ini," katanya.
 
Pada set pertama, Chong Wei mendahului 16-14 sebelum hilang rentak dan menyebabkan Lin Dan menang 20-22.
 
Chong Wei kemudiannya berjaya mengawal permainan dan menang set kedua 21-12 menyebabkan rubber-game.
 
Namun beliau ketinggalan 2-7 dan gagal mengejar Lin Dan sehingga akhir perlawanan.
 
Lin Dan akan bertemu rakan sepasukan Chen Long di peringkt akhir setelah mengalahkan pemain Hong Kong, Wei Nan 21-6 dan 21-10 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir. - Bernama

Isnin, 1 September 2014

KJ: 'Saya tahu dia kecewa...'


  • Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kecewa selepas kalah pada perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang pemain China Chen Long dengan 19-21 dan 19-21 pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 di Stadium Ballerup Super Arena dekat Copenhagen, pada Ahad. - Foto Bernama  
  • Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kecewa selepas kalah pada perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang pemain China Chen Long dengan 19-21 dan 19-21 pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 di Stadium Ballerup Super Arena dekat Copenhagen, pada Ahad. - Foto Bernama
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tetap menjadi kebanggaan Malaysia walau tewas dalam saingan Kejohanan Dunia (BWF) 2014 yang berlangsung semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi laman mikro Twitter berkata, seluruh negara tetap bangga dengan pencapaian Chong Wei dan tahu pemain nombor satu dunia itu
sentiasa melakukan yang terbaik demi nama Malaysia dan sukan berprestij itu.

"Selalu berbangga dengan Lee Chong Wei. Saya tahu dia kecewa tapi kita semua tahu dia sudah cuba yang terbaik. Dia selalu begitu," ujar Khairy.

Semalam, Chong Wei sekali lagi terpaksa melalui detik kekalahan apabila tewas dalam percubaan ketiga pada kejohanan yang berlangsung di Copenhagen itu.

Kesilapan hantaran yang kerap keluar daripada Chong Wei membuka peluang kepada lawannya merampas gelaran juara dunia dengan keputusan 21-19, 21-19.

Chong Wei dalam satu kenyataan berkata, beliau sudah berusaha mempamerkan aksi sebaik mungkin namun saingannya, Chen Long dikatakan lebih bijak mengatur strategi.

"Saya lihat Chen Long bermain agak agresif kali ini dan saya cuba mengelak untuk melakukan kesilapan namun ia tetap terjadi," katanya.

Walau kekalahan kali ini masih pahit terasa, beliau menegaskan akan terus beraksi pada Kejohahan Dunia 2015 di Indonesia dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Rabu, 27 Februari 2013

United tak endah ugutan Nani

Manchester: Tonggak Manchester United, Nani diberi kata dua sama ada menerima atau bersedia untuk meninggalkan kelab dalam kontrak baru yang bakal ditandatanganinya kelak.

Pemain sayap itu dipanggil dalam satu mesyuarat minggu lalu dan diberitahu kelab tidak akan berganjak dengan tawaran gaji asal 90,000 pound (RM430,000) seminggu untuk tempoh empat tahun.

Tuntutannya mendapatkan bayaran gaji 130,000 pound (RM610,000) seminggu ditolak oleh kelab dan pemain Portugal itu sedang menilai dan mempertimbangkan pilihan tepat yang akan diambil.

“Kami mahu dia terus kekal bersama pasukan, tetapi dia mahukan jaminan dalam kesebelasan utama pasukan. Kami tidak mempunyai masalah seandainya dia berjaya memperagakan aksi seperti yang dilakukan ketika menentang Reading,” kata pengurus United, Alex Ferguson.

Nani, 26, menyertai Red Devil dari Sporting Lisbon dengan nilai perpindahan 14 juta pound (RM66 juta) pada Julai 2007 dan United pastinya tidak mahu menanggung risiko kehilangan pemain itu dengan kontrak semasa hanya berbaki hingga musim depan.
Agensi

Pahang kenduri gol di Kuantan


Kuantan:

Pahang tidak menghadapi masalah layak ke suku akhir apabila membelasah Tentera Darat 7-1 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Bermain di atas padang becak jelas menyaksikan kedua-dua pasukan terutama skuad kendalian Dollah Salleh lebih berhati-hati bagi tempoh 10 minit pertama perlawanan.
Namun, gol pertama tuan rumah akhirnya hadir menerusi jaringan pemain tengah, R Gopinathan untuk menggegar gawang lawan yang beraksi dalam saingan Liga FAM itu.

Selepas itu, Azamuddin Mohd Akil yang juga pemain kebangsaan menambah derita Tentera Darat apabila menjaringkan gol kedua dan ketiga tuan rumah pada minit ke-23 dan 25.

Pada minit ke-37, penjaga gol Tentera Darat, Khairul Anuar Mohamad tewas buat kali keempat selepas Mohd Faizul Hussain yang tidak dikawal mudah melakukan sepakan terus ke gawang lawan.

Tiga minit bersambung babak kedua, tuan rumah menambah gol kelima menerusi Azamuddin yang mudah menyempurnakan tendangan penalti selepas Amirulhadi Zainal dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tentera Darat yang dilatih Ahmad Fuad Karim berusaha untuk mengurangkan defisit gol dan ia berhasil apabila mereka dihadiahkan penalti apabila Razman Roslan menjatuhkan Nazri Akui pada minit ke-66.
Faizal Hamzah yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaiuzul Azuar Ali.

Namun, minit ke-68, Azamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Alex membuktikan sentuhan berbisanya apabila menjaringkan gol keempat peribadi dan keenam buat pasukannya.

Minit ke-86, pemain gantian, Mohamed Borji menjaringkan gol ketujuh buat Pahang yang turut diperoleh menerusi tendangan penalti selepas Nikolche Klechkaroski dijatuhkan.

Khamis, 2 Ogos 2012

Apek tak rasa tergugat

 
Khairul Fahmi Che Mat
Kuala Lumpur: Nama Farizal Marlias yang kian meniti di bibir peminat bola sepak tanah air kerana kecekapannya menjaga gawang Harimau Malaya sejak kebelakangan ini, dikatakan menggugat kedudukan Khairul Fahmi Che Mat sebagai penjaga gol utama negara.

Bagaimanapun, bagi Khairul Fahmi atau lebih senang disapa Apek, gelaran penjaga gol nombor satu bukan perkara utama tetapi apa yang lebih penting ialah memastikan prestasi kerja sepasukan sentiasa berada di tahap terbaik.
Malah, anak muda berusia 23 tahun itu menganggapnya sebagai satu persaingan sihat antara rakan sepasukan seterusnya mewujudkan persekitaran yang penuh daya saing bagi merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

"Apabila ada persaingan sebegitu, ia bermakna pasukan akan menjadi lebih baik dan bagus". - Khairul Fahmi Che Mat, Penjaga gol

 “Bagi saya tidak ada istilah nombor satu atau nombor dua dalam pasukan. Tetapi sebenarnya ia mampu mewujudkan persaingan sengit antara kami di skuad kebangsaan. "

“Apabila ada persaingan sebegitu, ia bermakna pasukan akan menjadi lebih baik dan bagus,” katanya dalam sidang media selepas meluangkan masa bersama 20 anak yatim dari Asrama Anak-anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi membeli belah sempena Aidilfitri di Mydin USJ, semalam.

“Sebenarnya persaingan sihat ini bukan antara penjaga gol saja tetapi pada rakan sepasukan lain untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya yang juga duta jenama Mister Potato itu.

Farisal dilihat kerap diturunkan ketika ini oleh jurulatih Datuk K Rajagobal dengan yang terbaru ketika menentang Arsenal dan Manchester City berbanding Apek yang hanya masuk padang selepas babak kedua perlawanan terutama dengan juara Liga Perdana Inggeris itu, Isnin lalu.

Jumaat, 12 Ogos 2011

Chong Wei terlalu hebat


LEE Chong Wei membalas hantaran pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan pada perlawanan pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Wembley Arena, London semalam. - AP


KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei langsung tidak menunjukkan belas kasihan kepada Park Sung Hwan ketika membenam jaguh Korea Selatan itu 21-10, 21-5 hanya dalam masa 29 minit untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia di Arena Wembley.

Sung Hwan, bukan calang-calang pemain, malah turun sebagai pilihan kesembilan, namun semalam Chong Wei membuatkan pemain berusia 26 tahun itu seperti 'budak sekolah' apabila berjaya membalas setiap serangannya dan memaksa Sung Hwan melakukan kesilapan mudah serta kaku di atas gelanggang.

"Saya rasa Park sangat kaku dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan selepas saya berjaya membalas setiap serangannya, ia yang menjadikan kemenangan ini sangat mudah,'' akui Chong Wei.

Malangnya, kemaraan Chong Wei gagal dituruti pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tunduk 19-21, 14-21 kepada Chayut Triyachart-Yao Lei dari Singapura dalam acara beregu campuran.

Begitupun kejayaan Chong Wei meneruskan buruan untuk mencari kejuaraan Dunia pertama dalam enam percubaan tetap menjadi tumpuan utama di London. Malah jangkaan peuntuk melihat juara All England 2010 dan 2011 itu bertemu musuh tradisi, Lin Dan di final masih pada landasan selepas jaguh China itu turut melangkah mudah ke suku akhir.

Lin Dan, juara dunia tiga kali mara selepas mengalahkan seorang lagi pemain Korea, Lee Hyun Il 21-16, 21-13.

Bagi Chong Wei, yang menang straight set dalam semua tiga perlawanannya setakat ini, pemain tumpuan dari Guatemala, Kevin Cordon atau pemain Sepanyol, Pablo Albian bakal menjadi lawan yang menanti pada suku akhir.

Ditanya mengenai kedua-dua pemain, Chong Wei menegaskan, bertemu Cordon mahupun Albian tidak banyak beza. "Kedua-duanya tidak boleh diambil mudah dan harus ditangani sebagai lawan yang serius.

"Mereka tidak rugi apa-apa kalau kalah, mereka cuma mahu turun gelanggang dan memberi permainan terbaik. Kunci permainan saya esok, jangan ambil mudah perlawanan tersebut.

"Tidak diragui kedua-duanya mempunyai bakat yang besar, sama ada Kevin atau Pablo yang berjaya melangkah diri ke suku akhir, ia akan dianggap sebagai sebagai satu kemajuan besar," kata Chong Wei lagi.

Semalam, Chong Wei langsung tidak memberi muka kepada Sung Hwan apabila mendominasi permainan sejak set pertama dengan mendahului 4-1 sebelum melebarkan kedudukan kepada 9-4, 14-6, 18-19 dan akhirnya menang 21-10. Set kedua lebih mudah buat jaguh No. 1 dunia itu yang mendahului hingga 17-4 dan menang 21-5.

Begitupun khabar gembira yang diharapkan daripada beregu campuran tidak kesampaian. Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur mereka masih mentah di pentas antarabangsa apabila gagal melepasi halangan pasangan Singapura, biarpun mempunyai keupayaan untuk memenangi perlawanan.

"Lawan berjaya membaca permainan kami dengan amat baik, walaupun pada awalnya saya menjangkakan kami punya kelebihan di set pertama, namun kami tidak dapat menemui sentuhan penamat pada mata yang sepatutnya.

"Kami telah mensia-siakan satu peluang keemasan, kami sepatutnya memanfaatkan kesempatan ini dan ia sangat mengecewakan,'' akui Peng Soon.

Isnin, 14 Mac 2011

Chong Wei juara lagi

Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my

2011/03/14


Jinak Lin Dan dalam final Seluruh England


BADI 'kerap tumbang kepada Lin Dan di pentas besar' berjaya ditamatkan jaguh perseorangan negara, Lee Chong Wei apabila gah mempertahankan mahkota kejuaraan berprestij Seluruh England, awal pagi tadi.

Dalam saingan yang diibaratkan ‘pertembungan final impian’ di Arena Tertutup Birmingham, Chong Wei yang turun selaku pilihan pertama membuktikan kehandalan dengan menundukkan musuh tradisinya itu 21-17, 21-17 dalam tempoh 51 minit.

Kejayaan itu jelas rangsangan dan tonik terbaik kepada Chong Wei selepas sebelum ini tumpas 15 daripada 22 pertemuan kepada pemain tembok besar China itu termasuk terbaru di final kejohanan paling bernilai Terbuka Korea, Januari lalu.

Ia juga menambah koleksi kejuaraan di kabinet pemain kelahiran Pulau Pinang itu musim ini sesudah muncul juara dalam kejohanan Siri Super Final di Taiwan dan Terbuka Malaysia, Januari lalu.

Lin Dan yang masih segar dengan kemenangan di Terbuka Jerman minggu lalu harus kecewa kerana impiannya untuk melakar sejarah menjadi pemain era baru pertama untuk memenangi kejohanan tertua itu lima kali berkecai.

Begitupun, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong membuatkan peminat marah dan kecewa apabila mensia-siakan peluang keemasan memenangi acara beregu lelaki apabila tumpas kepada pilihan pertama, Mathias Boe-Carsten Mogensen 15-21, 21-18, 21-18.

Beregu emas menang 21-15 set pertama tapi gagal mengekalkan fokus sama dan tunduk dalam set kedua 18-21 untuk diheret ke set penentuan.