ULASAN Pilihan
raya umum ke-13 akan menjadi pilihan raya yang amat dinanti-nantikan,
paling menarik dan mendebarkan dalam sejarah negara.
Spekulasi
berhubung tarikh pilihan raya menjadi teka-teki selama hampir setahun.
Pilihan bagi tarikh mengadakan pilihan raya semakin pendek. Dijangkakan
PRU-13 akan diadakan pada
14 atau 21 April 2013. Terdapat tiga kemungkinan keputusan pada pilihan raya akan datang:
Senario 1 : Status quo semasa kekal
Senario 2 : Majoriti yang berkurangan bagi BN
Senario 3 : BN memperoleh semula majoriti dua pertiga.
Terdapat
222 kerusi parlimen di negara ini dan daripada jumlah itu, kira-kira
150 adalah kerusi Melayu/Bumiputera, 30 kerusi campuran dan 42 kerusi
majoriti Cina.
Dalam pilihan raya 2004, BN memenangi 140 kerusi dan Pembangkang
pula menang 82 kerusi. Huraian selanjutnya menunjukkan Umno memenangi
79 kerusi, MCA 15 kerusi, MIC 3 dan Gerakan 2, PKR 31, DAP 28 dan PAS 23
kerusi.
Daripada analisis kami, semakin jelas bahawa
sebahagian besar penduduk luar bandar telahpun beralih semula kepada BN,
khususnya kaum Melayu luar bandar yang sebahagian besarnya kembali
semula ke pangkuan Umno.
Dalam hubungan ini, Umno dijangka
memenangi lebih banyak kerusi berbanding pada 2008. Umno berkemungkinan
menang 85 hingga 90 kerusi parlimen, iaitu satu peningkatan berbanding
79 kerusi sedia ada. Turut menjadi trend yang jelas ialah pengundi India
di kawasan luar bandar dan separa bandar beralih semula kepada BN.
Bagaimanapun, sebahagian besar pengundi bandar masih bersama
Pembangkang.
Sungguhpun pengundi Melayu di bandar mungkin menyokong Pakatan dan malah jika lebih ramai kaum Melayu di bandar menyokong
Pakatan bagi kerusi bandar, ini tidak akan meningkatkan jumlah kerusi
bagi Pakatan memandangkan kerusi bandar terbabit telahpun dimenangi DAP.
Bagaimanapun pengundi bandar masih tetap menyokong Pembangkang. Masyarakat Cina bandar menyokong kuat DAP.
Kira-kira
85 peratus masyarakat Cina bandar mungkin mengundi DAP. Ini akan
meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP kepada 35-40 kerusi,
meningkat daripada 28 kerusi yang dimenangi DAP pada 2008, menjadikan
DAP parti pembangkang terbesar dalam Pakatan.
Harapan perdana
menteri ialah pelbagai program mendekati rakyat yang beliau laksanakan
terhadap kaum Cina akan mendapat tempat dalam kalangan pengundi Cina
atas pagar namun ia masih merupakan cabaran yang besar. Sebahagian besar
masyarakat Cina nampaknya telahpun membuat keputusan mereka.
Sesetengah kaum Cina yang telahpun berusia dan kalangan ahli perniagaan Cina mungkin mahu memberi peluang kepada Datuk Seri
Najib Tun Razak. Mereka menghargai keamanan, kestabilan serta
kemakmuran dan menyukai cara Datuk Seri Najib mendampingi rakyat,
misalnya kehadiran beliau pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Dong
Zong.
Dalam rundingan meja bulat dan kajian yang dijalankan
baru-baru ini berhubung perkara yang menjadi kebimbangan kaum Cina
anjuran Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan
Kepimpinan Asia (Asli), isu utama yang dikenal pasti sebagai
membimbangkan kaum Cina adalah jenayah dan rasuah, pendidikan, kos sara
hidup, keadilan dan kesaksamaan, isu kebudayaan dan agama, kekurangan
penyertaan dalam perkhidmatan awam dan kurang meritokrasi.
Ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan pengundi Cina.
Bagaimanapun
jika sokongan semula pengundi Melayu dan India kepada Umno/BN adalah
kuat, ini akan membantu MCA dan Gerakan dalam mengalih undi Melayu dan
India kepada calon MCA dan Gerakan bagi kerusi campuran di mana pengundi
Melayu terdiri daripada lebih 40 peratus dan pengundi India adalah
antara 10-15 peratus di kawasan pilihan raya, misalnya Padang Serai dan
Gopeng.
Ramai pengundi atas pagar mengharapkan untuk melihat
siapakah calon yang diketengahkan oleh parti dan cara kempen dijalankan.
Sebarang kesilapan akan membawa padah semasa tempoh berkempen.
Kempen
boleh menjadi kotor apabila banyak serangan peribadi dan tuduhan yang
dilontar kedua-dua pihak. Kejutan juga boleh berlaku semasa berkempen.
Datuk
Seri Najib akan berkempen dari landasan yang kukuh. Populariti,
personaliti dan kerja kuat serta ketabahannya akan memberi beliau banyak
sokongan. Apa yang nyata, beliau lebih popular daripada partinya.
Rekod
pencapaian Najib yang dibuktikan menerusi program transformasi dan
pencapaian ekonomi dengan mencatat pertumbuhan 6.4 peratus Keluaran
Dalam Negara Kasar pada suku keempat 2012 meletakkan beliau dan kerajaan
BN dalam kedudukan yang baik.
Sebaliknya, terdapat perasaan tidak puas hati dalam kalangan pengundi bandar berhubung penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan rasuah.
Di
Sarawak, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan memberi
kemenangan 100 peratus kerusi PBB yang dipimpinnya kepada BN dan
seterusnya menjamin kemenangan majoriti di Sarawak. Bagaimanapun PRS dan
SPDP mungkin kehilangan beberapa kerusi Dayak kepada PKR.
SUPP
akan berdepan cabaran getir daripada DAP dan mungkin kehilangan semua
kerusi majoriti Cina kepada DAP tetapi memenangi semula Sibu dengan
calon baharu yang lebih kuat serta mengekalkan kerusi majoriti Dayak
yang disandang Timbalan Presidennya Datuk Richard Riot, sekali gus
memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen.
Di Sabah, Umno
Sabah mampu melakar pencapaian yang baik dan memimpin BN untuk menguasai
semula pentadbiran kerajaan negeri. DAP akan menang beberapa lagi
kerusi majoriti Cina.
Di
Semenanjung Malaysia, kerusi MCA yang akan menjadi rebutan hebat ialah
Gelang Patah, Kulai dan Tajung Piai di Johor dan Lumut di Perak.
Kawasan-kawasan ini boleh ditembusi.
Sebaliknya, MCA
mempunyai peluang cerah memenangi kembali Padang Serai, Gopeng dan
Selayang jika sokongan kuat Melayu dan India kembali ke BN.
Di
pertandingan peringkat negeri, Pakatan seharusnya kekal menguasai
Kelantan dan Pulau Pinang tetapi menghadapi cabaran kuat daripada BN.
Di
Pulau Pinang, jika undi Melayu kukuh, Umno mungkin memenangi 17 kerusi
Melayu dan jika MCA dan Gerakan boleh memenangi empat kerusi saja lagi,
BN akan menang tipis dan menguasai semula Pulau Pinang.
Persaingan
di Selangor paling sengit dan 50:50 bagi salah satu pihak untuk menang.
BN seharusnya memenangi Kedah dan Perak dengan sokongan Melayu berbalik
kepada Umno.
Ini dapat membantu Umno menguasai kembali
kerusi negeri daripada tangan PKR dan PAS di Perak walaupun DAP
berkemungkinan terus mengekalkan semua kerusi majoriti Cina di negeri
itu.
Dalam perhitungan terakhir, BN akan memenangi Pilihan Raya Umum
ke-13. Apa yang tidak pasti hanyalah jumlah majoriti.
Daripada analisis kami, BN dijangka memenangi antara 123 dan 135 kerusi. Ini keputusan yang paling mungkin.
Namun,
jika sokongan semula Melayu dan India kepada BN begitu kukuh dan Najib
dapat menarik kembali lebih banyak pengundi Cina atas pagar, BN boleh
memenangi hingga 150 kerusi, yang akan mengembalikan majoriti dua
pertiga BN.
Keputusan ini merupakan cabaran berat.
Senario ketiga ialah BN mengekalkan jumlah kerusi yang kira-kira sama sekitar 140, yang dimenanginya pada 2008.
Apapun, yang agak pasti ialah dua pemenang besar dalam pilihan raya umum kali ini ialah Umno dan DAP.
Satu lagi yang penting untuk diambil kira ialah bentuk kerajaan pasca PRU-13.
Apakah
akan wujud penjajaran politik baharu? Apakah Umno akan berusaha
mengadakan gabungan baru dengan PAS demi perpaduan Melayu dan Islam dan
bagaimana ini akan memberi impak kepada bukan Melayu dan bukan Islam?.
Apakah dua pemenang besar pilihan raya ini, Umno dan DAP akan mengusahakan penjajaran politik baharu?.
Tidak ada yang tidak mungkin selepas Pilihan Raya Umum.
Memang, tidak ada teman atau musuh yang kekal dalam politik.
Inilah bentuk senario pasca pilihan raya yang perlu turut diambil kira.
TAN SRI MICHAEL YEOH ONN KHENG
adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia
(Asli) & Timbalan Pengerusi Pusat bagi Kajian Dasar Awam (CPPS).
- Bernama