Himpunan
Kebangkitan Rakyat 112 berjaya. Percubaan untuk mengagalkan telah
gagal. Seramai 500,000 anak semua bangsa telah turun ke Kuala Lumpur
untuk berhimpuan di Stadium Merdeka. Saperti biasa media milik United
Malays National Organisation akan membuat pelbagai kesah, lawak dan
dongeng.
Dari awal lagi telah dijangkakan Mat Remeh bin Temeh
akan mempertikaikan jumlah yang hadir. Sama ada 700 ribu atau 500 ribu
tidak penting. Ini bukan peraduan congak. Yang saheh dan penting ialah
500,000 warga – tua dan muda – anak semua bangsa telah turun ke Kuala
Lumpur pada 12 Januari 2013 untuk memperlihatkan keberanian mereka
bangun melawan United Malays National Organisation.
Manakala,
Siti Temeh binti Lebai Remeh telah memecah urat kentot berfikir
untuk menganjing HKR112. Sayangnya, urat kentot si Minah ini hanya
berkeupayaan untuk menamakan HKR112 ini dengan nama Himpunan Shamsidar.
Lawak bodoh Himpunan Shamsidar ini diberitakan telah menetas dari
mulut Ketua Penerangan United Malays National Orgaisation.
Jika
keupayaan fikrah Ketua Penerangan parti yang memerintah hanya ke tahap
‘himpunan shamsidar’ maka jelas negara Malaysia kita ini sedang berada
dalam bahaya. Percubaan bangang saperti ini adalah cermin muka untuk
kita semua menyedari bahawa negara kita sedang dikemudikan oleh
Mamat-Mamat Remeh bin Temeh yang memiliki lubang kosong di antara dua
telinganya. Paling menyedihkan ada di antara Mat Remeh ini telah berjaya
menyamar sebagai Ketua Penerangan dan menjadi Menteri.
Justeru, mari kita lupakan jumlah 500,000 yang datang. Apa yang wajib kita fahami ialah apa makna dan tanda dari kehadiran ini.
Saya
telah merayau dari pekan ke kampong untuk mengelodak, mengecar dan
menghasut orang ramai untuk turun ke Kuala Lumpur. Hakikatnya hasutan
saya itu berjaya. Tim menghasut - dari parti politik, NGO dan aktivis -
telah berjaya menghasut orang ramai untuk turun ke Kuala Lumpur. Saya
tepuk dada tanda puas hati. Tangan kanan saya bersalaman dengan tangan
kiri saya.
Sebenarnya, saya tersenyum puas apabila melihat: yang
capek mamakai tongkat, yang pekak tertanya-tanya, yang buta diheret
teman, yang tua berkerusi roda, yang sesat melihat GPS, yang cun
dihurung balak, yang cool membawa sepanduk - semua berjalan untuk
memasuki Stadium Negara.
Biasanya sesiapa yang menyusun program
akan merasa cuak dan berdebar-debar kalau-kalau tidak ramai yang datang.
Saya juga merasa cuak dan bedebar-debar, bukan takut orang tak datang
tetapi saya gerun jika terlalu ramai orang yang datang. Saya akui di
sini jumlah 500,000 yang turun ke Kuaal Lumpur pada 12 Januari 2013 itu
lebih dari mencukupi. Apa yang menakutkan ialah kita berhimpun dalam
kawasan bertembok dan berpagar.
Seperti yang telah saya tuliskan
dahulu, bahawa ampohan orang ramai ini akan mengubah lanskap politik
negara. Buktinya - kita terbaca bagaimana Muhyiddin dikatakan, pada hari
Sabtu yang sama akan mengadakan Himpunan Di Raub. Tetapi berita ini
hilang begitu sahaja. Tak tahu hujung pangkal. Tidak dipastikan jadi
atau tak jadi.
Manakala si Najib pula telah mangadakan Himpunan
Di Semenyih di hadapan Dataran Tesco. Gambar rasmi yang dikeluarkan,
dari sudut semiotik – perhimpunan ini adalah satu penghinaan kepada
Orang India. Utusan Malaysia dengan bangga tetapi bodoh telah
memaparkan gambar Orang India sedang berebut-rebut untuk mengaut beras
hadiah dari Barisan Nasional.
Bayangkan betapa hinanya Orang
India di Malaysia ini terpaksa berebut-rebut menghulur tangan untuk
mendapat satu kampit beras hancur. Ini sama saperti imej ‘ kebuluran’
dalam negara dunia ketiga yang selalu kita lihat digambarkan oleh media
kaum imperialis.
Inilah perubahan lanskap politik yang saya
maksudkan. Rakyat memukul gendang - United Malays National Organisation
terpaksa menari. Najib dan Muhyiddin Sabtu lalu telah menari mengikut
rentak irama HKR112.
Pasti ramai yang akan bertanya kenapa kali
ini tidak ada tembakan gas pemediah mata dan tidak ada semburan cecair
kimia? Malah ada anak-anak muda merasa HKR112 ini ‘kureeeng cool’ tanpa
tembakan gas pemediah mata. Untuk anak-anak muda ini biar saya bersurah
untuk membawa hikayat pejuangan jalan raya.
Jalan raya sebagai
wadah perjuangan bukan satu yang baru. Turun berdemo ke jalan raya ini
bukan ombak politik baru di tanahair kita ini. Di zaman British lagi
Hisbul Musliman, Parti Komunis Malaya, Parti Rakyat, API, KMM, PKMM,
kesatuan buruh, anak pelajar, agamawan telah mengunakan jalan raya
sebagi kancah politik melawan penjajah. Malah United Malays National
Organisation sendiri telah keluar berdemo di jalan raya untuk menentang
penubuhan Malayan Union pada tahun 1946.
Wajib juga saya surahkan
di sini – ketika abang adik – khusyuk mendengar ucapan dari pemimpin
NGO dan parti politik - sedarilah bahawa keselesaan berhimpun dalam
Stadium Merdeka Sabtu lalu adalah hasil dari perjuangan menuntut hak
yang maha panjang. Ramai telah pecah kepala, buta mata, patah tangan,
patah kaki, dan dipenjara. Sabtu lalu adalah penyambungan perjuangan
hak berdemo dan hak berhimpuan di jalan raya. Hak ini ditulis jelas
dalam perlembagaan. Tetapi selama 54 tahun ini United Malays National
Organisation telah menafikan Fasal 10 Hak Berhimpun yang tertera dalam
Perlembaaagn Malaysia.
Orang ramai telah ditakut-takutkan dari
berani keluar ke jalan raya. Belantan, chota, gas, kimia, penjara dan
mahkamah telah digunakan untuk menakutkan orang ramai. Bertahun-tahun
orang ramai telah berjaya ditakut-takutkan. Malah orang ramai juga telah
ditakut-takutkan dengan konsep ‘menggulingkan’ kerajaan. Orang ramai
ditakut-takutkan dengan konsep ‘menjatuhkan’ kerajaan. Orang ramai
dihantui dengan pelbagai undang-undang dan peraturan yang bertujuan
untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus
berkuasa.
Tersenyumlah - kerana semua ini hanya tinggal dalam
buku sejarah. Hari ini tidak ada sesiapa lagi yang takut untuk
menggulingkan kerajaan. Tidak ada siapa lagi yang takut untuk berdemo di
jalan raya. Telah saheh turun ke jalan raya untuk berdemo telah menjadi
budaya politik kita.
Jumlah 500,000 adalah 500,000 yang
mewakili anak semua bangsa. Mereka telah bertekad dan bersetia dengan
membaca Deklarasi 12 Januari. Mereka telah berjanji untuk menghumbankan
United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya jika Barisan
Nasional menang dengan jalan menipu dalam PRU13 ini.
Amaran ini
amat jelas terpampang besar untuk dibaca oleh warga dalam stadium. Untuk
yang tidak berada dalam stadium, untuk yang di rumah atau di luar
negara ‘Kain Rentang Amaran’ ini boleh dilihat dalam puluhan rakaman
gambar dan klip video yang sedang mengampoh di alam maya.
Amaran:
Tipu Pru Rakyat Bangkit Humban Kamu - ayat inilah yang tersirat dan
tersurat. Amaran ini tidak berselindung dengan kata-kata molok. Tidak
berselindung dengan kata-kata diplomasi. Amaran ini dinyatakan dengan
jelas dan terang. Amaran ini ditujukan kepada United Malays National
Organisation. Inilah amaran HKR112.
Secara sedar. Secara
bersopan. Secara hormat orang ramai yang turun ke jalan raya telah
memberi amaran agar mereka tidak lagi akan ditipu seperti dalam pilihan
raya yang lalu.
Amaran ini bukan pula akan menafikan hak dan
tuntutan pelbagai NGO. HKR112 secara sedar disusun untuk menjadi kemudi
dalam penggumpulan kesemua kemarahan, kesemua ketidakpuashati dan
keresahan warga yang selama ini merasakan diri mereka telah ditipu dan
ditindas oleh United Malays National Organisation.
Malah,
tuntutan dari NGO-NGO ini juga diajukan kepada Pakatan Rakyat. Ini
kerana para aktivis NGO sedar kemungkinan kilang Lynas tidak akan
ditutup, masih ada walaupun kerajaan Pakatan yang berkuasa. Begitu juga,
para aktivis sedar bahawa kemungkinan tanah orang kampung di Pengerang
akan terus dirampas walaupun telah ada kerajaan baru. Kemungkinan ini
wujud. HKR112 juga bertujuan untuk mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa
rakyat melihat dan memerhati.
PRU13 ini dijadikan sasaran induk
kerana telah jelas dengan bukti-bukti yang sahih bahawa Suruhanjaya
Pilihan Raya sedang merancang untuk menipu. Benteng akhir pertahanan
United Malays Naztional Organisation ialah SPR. Menipu untuk mendapatkan
undi hanyalah cara untuk Barisan Nasional menang.
Justeru, kita
tidak perlu berselindung dengan konsep ‘non partisan’ atau tidak
menyebelahi mana mana pihak. Untuk rakyat tertindas, untuk warga miskin,
untuk rakyat yang tanah kampung halaman dirampas – untuk kesemua ini
jelas dan terang mereka memihak – memihak bersama-sama sesiapa sahaja
yang ingin menggulingkan kerajaan United Malays National Organisation.
Memang
betul dan tepat di Malaysia tidak ada Arab Spring. Kita bukan Arab. Apa
yang ada ialah Malaysian Durian. Hari Sabtu 12 Januari yang lalu ialah
tanda 500,000 pokok durian sedang berbunga. Jika dalam PRU13 ini rakyat
ditipu sekali lagi oleh SPR maka yakinlah bunga bunga durian ini akan
meledak. Bunga durian ini bukan hanya 500,000 jumlahnya - malah berjuta
akan turun ke jalan raya.
Jangan tipu dalam PRU13. Ini amaran.
Untuk pegawai SPR sebelum menjalankan projek tipu kerana mendapat arahan
dari United Malays National Organisation – sila lihat dahulu
gambar-gambar dalam klip YouTube tentang HKR112. Bertenang dan fikirkan
- yang saya tulis ini bukan acaman. Tetapi satu janji.