Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 3 September 2009

Tiada tol raya di LPT, Lebuh Raya KL-Karak

KUALA LUMPUR - Pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak akan menikmati laluan tol percuma iaitu antara tengah malam dan pukul 5 pagi pada 18 dan 24 September ini.

Apa yang menarik, laluan percuma itu terbuka kepada semua kelas kenderaan dan seterusnya menjimatkan sehingga RM8 bagi pengguna Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur manakala di LPT sebanyak RM29 satu perjalanan.

Inilah kali pertama sebuah syarikat konsesi lebuh raya memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya. Baru-baru ini PLUS memberikan diskaun hingga 20 peratus kepada pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan semasa musim perayaan kali ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MTD, Datuk Azmil Khalid berkata, pengecualian pembayaran tol adalah sebagai hadiah dan terima kasih MTD selaku pemegang konsesi kepada pengguna lebuh raya itu sempena hari raya.

"Keputusan ini diambil dengan rasa penuh tanggungjawab untuk membantu mengurangkan beban semua rakyat Malaysia terutama pengguna Lebuh Raya Pantai Timur yang pulang berhari raya ke kampung halaman mereka.

Kosmo!

Rabu, 2 September 2009

Selepas Kartika, warga Indonesia disebat minum arak


KUANTAN - Jika Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, bakal dijatuhi hukuman enam sebatan tanpa penjara selepas hari raya ini kerana minum arak, seorang warga Indonesia yang melakukan kesalahan sama terpaksa menjalani hukuman itu di Penjara Penor di sini, bermula semalam.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pelaksanaan hukuman itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nazaruddin Kamaruddin (gambar), 46, kelmarin.

Menurutnya, hukuman sebat tersebut akan dilaksanakan sepanjang Nazaruddin menjalani hukuman penjara.

"Lelaki terbabit dihantar ke Penjara Penor hari ini (semalam). Hukuman sebatan ke atasnya akan dilakukan oleh pihak penjara di sini dan tarikhnya tidak diketahui lagi," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Nazaruddin yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas tuduhan minum arak di Jalan Pasar di sini pada pukul 10 pagi, 27 Ogos lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus.

Kosmo!

Selasa, 1 September 2009

Aksi miang ‘atuk gatal’

Oleh Mohd Jamilul Anbia md Denin.

KUALA LUMPUR: Segelintir warga emas yang dikategorikan sebagai miang menjadikan wanita asing yang berkeliaran di Jalan Pudu di sini, sebagai kekasih sampingan bagi memuaskan nafsu.

Walaupun menderita dari segi fizikal yang kian dimamah usia, keinginan membuak untuk dibelai dan ditemani ‘buah hati’ langsung tidak menjadi halangan golongan ‘atuk gatal’ ini daripada meneruskan niat mereka.

Malah, ada antara golongan warga emas ini turut bergantung dengan pil perangsang seks bagi membangkitkan nafsu.

Seorang peniaga restoran di Jalan Pudu berkata, kebanjiran gadis dan wanita warga asing terutama dari China sejak beberapa bulan lalu menyebabkan kawasan terbabit menjadi sarang hubungan cinta gelap antara lelaki tempatan dan golongan wanita ini.Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Don, 35, berkata perempuan simpanan warga asing ini yang disifatkannya sebagai wanita murahan sanggup menjalin cinta dengan dua hingga empat lelaki dalam satu-satu masa asalkan mendapat wang.

Menurutnya, kebanyakan ‘perempuan simpanan’ ini dikesan menghuni pangsapuri berhampiran yang disewa beramai-ramai dengan anggaran sewa sekitar RM2,000 sebulan.

“Mereka (gadis) ini bukan menawarkan cinta sejati sebaliknya hanya sebagai teman di kalangan warga emas yang rata-ratanya berusia lebih 60 tahun.

“Golongan gadis pisau cukur ini yang merantau jauh dari China atau Thailand biasanya akan menawarkan diri untuk menjadi perempuan simpanan asalkan mereka diberikan nafkah wang setiap kali temu janji diatur,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan mereka umpama kupu-kupu pagi apabila dilihat berkeliaran seawal jam 7 pagi untuk bertemu teman lelaki warga emas yang datang untuk bersarapan di gerai atau medan selera berhampiran.

“Biasanya lelaki warga emas ini yang datang dengan berjalan kaki atau berkereta akan duduk di dalam kedai sebelum menghubungi buah hati menggunakan telefon bimbit bagi memaklumkan kehadiran mereka.

“Selang beberapa minit kemudian, gadis simpanan berkenaan yang siap berdandan dan berpakaian seksi muncul sebelum duduk di samping teman lelaki berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, gadis warga asing ini cukup bijak melayan warga emas ini apabila tanpa segan silu bersandar di bahu atau sengaja mengurut tangan atau bahu kekasih hati masing-masing sambil berbual kosong.

“Mereka kemudian akan mengikuti gadis terbabit ke rumah sewa mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro mendapati beberapa kafe dan medan selera di kawasan berkenaan menjadi tumpuan golongan warga emas berpeleseran dengan tanpa segan silu berpelukan atau makan semeja dengan gadis yang 40 tahun lebih muda dari mereka.

Jumaat, 7 Ogos 2009

Sajak...DARI SEGUMPAL HATI YANG JAUH dll

DARI SEGUMPAL HATI YANG JAUH

Di sini kita bertemu
makna keakraban
dan kita sebenarnya
membina kerinduan
tatkala meninggalkan
garisan pertemuan.

Inilah segumpal hati yang jauh
di dasarnya ada karang-karang
nostalgia semalam
dan kita sebenarnya
semakin mendekati arisan kenangan.
Bila diri semakin jauh
kita semakin mengerti
harga kasih sayang
tatkala kerinduan
bersimpuh di kamar
perpisahan.

IHSAN NOORZALI
Dewan Sri Tanjung, UPSI

METASTASIS

Sekian teraniayai
kepul binasa, akhirnya
sel-sel lemas legam bangkit
memberontaki kejam tubuh:

"Nikmatkah lagi udara
setelah kami kunyahi
kantung nafasmu?"

"Tegakah masih nafsu
setelah kami kecamuki
relung hatimu?"

"Sesarkah sudah dungu
setelah kami terobosi
bumbung akalmu?"
: amok mereka bukan
dendam, sekadar memanjangi
murka Tuhan paling malignan!

AMRUL HAFEEZ BAKRI
Gurun, Kedah


MENGHADAP KASIH OGOS

Engkau kerap datang, Ogos
Sedari alam rohku masih basah
meminta aku melutut
di hadapan unggun sejarah
untuk kita lontarkan semangat cinta
supaya terus bernyala
katamu "Agar kita tak lupa menghargai bahagia."

Aku menghadap kasihmu, Ogos
saban musim bertukar panas dingin
masih sudi engkau mesrakan senyum
katamu "Inilah kenikmatan selagi kita fahami erti bahagia."

Pagi ini di wajahmu, Ogos
kukucupkan kasih
yang tak sempat kulekapkan
saat engkau merandai luka-luka perjuangan
kerana aku makin mengerti kata-katamu
dan kataku kini "Terima kasih, kerana membahagiakan aku."

SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak


CITRA SEBUAH KOTA

Benak kota adalah pentas muda
berjubin rahsia dibenderangi kilau derita
marga timur memengap santun
merelas budi pada tabir sejarah
yang dibakar obor kehidupan
menjadi abu kebejatan.
Sepanjang lorong takdir,
neon peradaban mulai malap
ditelan gerhana keimanan
zulmat yang mencengkam
anak kerdil terdampar
di ribaan noda
memungut maruah
yang dipongah.
Kota,
hanyalah mainan hasrat
menguntum setangkai duka
dari harum kemodenannya.

Shahkang
Kangar, Perlis


MULUT

Ikan
jikalah mulutmu dapat ditutup
kau tentu akan terus hidup
tak tertipu dek umpan
tak tersangkut di joran.

Ayam
jikalah mulutmu dapat ditutup
tiada siapa yang tahu
kau bertelur di situ
juga sang biawak itu
tak akan dapat mencuri telurmu.

Katak
jikalah mulut dapat ditutup
teriakmu tidak akan terdengar
lalu sang ular tidak akan tahu
akan kehadiranmu.

Rakan
jikalah mulutmu dapat ditutup
khabar angin tidak tersiar
umpat fitnah tidak tersebar
kebencian tidak menular
permusuhan tidak menjalar
keharmonian tidak tercalar.

Namun mulut
jangan pula sesekali ditutup
berkokoklah melaungkan kebenaran
mencegah kemungkaran
berteriaklah menyatakan keadilan
menentang kebatilan.

EHSAN JAMILY
Taman Desa Baru, Melaka


DAPAT

Tampilah padi di semilir angin
bukan beras tetapi hampas
yang padat.

Sesekali menjerat
tak semua dapat.

Ludinata Misnun
UPM Serdang


Di Bawah Gemilang Hari Merdeka.
(mengenang ayahanda: Tuan Haji Mahmood Sarjono)


Bak pergi meninggalkan kami
Tanggal 28 haribulan Ogos 2008, empat petang
Setelah dua jam dia meninggalkan tubuh kosongnya
Kami meratap dengan kesedihan kerana dialah lelaki
Paling akrab dan lama kami kenali
Menadah tangan dan mengiringi pemergiannya dengan doa
Hening malam itu, pilu di dada peneroka tua
Para tetangga, teman sekerja dan sebak saudara mara
Sahabat dan handai taulan, demikianlah
Memuji rencah sejarah hidupnya
Sarat visi dan cita-cita perkasa.

Seusai pengkebumian,
Aku membelek-belek buku harian Bak
Di situ tertulis: 31 haribulan Ogos 2008
"Menghadiri perhimpunan malam kemerdekaan
Di Dataran Felda Ulu Tebrau"
Aku menarik nafas panjang
Kerana dia sudah merancang hari yang gemilang
Detik duabelas malam
Sambutan kemerdekaan bersama rakan-rakannya
Peneroka tua, orang-orang kampung dan para pemuda
Menaikkan jalur gemilang, diiringi lagu kebangsaan
Dan menyaksikan pertunjukkan motor berhias
Riuh rendah gamat cabutan hadiah bertuah
Di sela percikan bunga api dia melaungkan kemerdekaan
Tujuh kali dan berpidato kisah-kisah perjuangannya.

Demikianlah Bak, kepadanya
Perjuangan menegakkan pembangunan adalah benar
Kemerdekaan telah memberi ruang anak bangsa bernafas
Dia percaya dan yakin
Usaha yang keras akan membawa kejayaan
Hasrat Tun Razak memberi tanah
Membuahkan kejayaan yang besar
Bak tak suka mendengar hasutan
Bak tak suka mengulas fitnah
Bak setianya kepada kerajaan
Bak menyahut setiap seruan pembangunan.

Bak pergi 28 haribulan Ogos 2008
Sebelum sempat dia melaungkan seruan kemerdekaan
Dan kini pidato-pidatonya tiada lagi
Tapi malam itu
Sambutan kemerdekaan terus meriah gemilang
Walaupun Bak sudah jauh
Meninggalkan sisa-sisa kehidupan ini.

Bak, pidato-pidatomu
Tetap harum di hati kami
Setiap masa dan ketika.

GUNAWAN MAHMOOD
Felda Ulu Tebrau

Ahad, 2 Ogos 2009

Kenang cerita kanak-kanak




WAJAH empat figura ini tidak dinafikan sudah semakin sebati dalam kehidupan kita yang menghargai suntikan hiburan. Jelas, mereka ada cara tersendiri dalam menyusun perjalanan kerjaya masing-masing.

Kalau tiga watak kanak-kanak ini baru mula merasai tempias kemasyhuran, seorang lagi sudah menginjak ke usia matang seiring dengan pencapaian beliau melakar sejarah unggul seni suara.

Lucu apabila melihatkan reaksi pertemuan mereka berempat. Si mata bundar, Nur Fathiah Diaz, 10, iaitu pelantun suara untuk kedua-dua watak Upin dan Ipin, sebenarnya langsung tidak tahu bahawa penggambaran sempena edisi hari raya ini akan menggandingkan dirinya bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Khabarnya, kehadiran Siti untuk sesi bergambar itu sengaja dirahsiakan oleh pihak Les Copaque yang bertanggungjawab membawa Fathiah ke lokasi. Malah ibunya, Azlinda Mohd. Alias, dan si penyarung kostum kembar Upin dan Ipin juga berpakat dalam memberi kejutan ini kepada Fathiah.

Tergamam jumpa idola

Paling ketara apabila Siti keluar dari bilik persalinan, Fathiah yang pada mulanya banyak bercakap tiba-tiba terdiam dan tergamam. Hinggakan apabila Siti menghampiri untuk membelai rambutnya, Fathiah hanya mampu membeliakkan mata. Tangannya kaku di sisi.

Upin dan Ipin juga bereaksi tanpa melantunkan suara. Kembar comel itu sekadar mengusik dan berkomunikasi melalui bahasa tubuh mereka.

Wajah ceria mereka sudah cukup mencetus keceriaan di Royal Suite itu, iaitu lokasi tajaan Hotel Nikko Kuala Lumpur. Sesi fotografi ini berlangsung dengan penuh rasa keriangan kanak-kanak.

"Saya dari dulu ingin berjumpa Kak Siti. Selalu tak dapat. Dulu pernah sekali lihat Kak Siti di sebuah konsert.

"Tapi saya jauh di belakang orang ramai, sampai tak dapat langsung mendekatinya," ujar anak kecil yang dalam temu bual berasingan cuba menyanyikan lagu Biarlah Rahsia tanpa didengari Siti.

Dia yang membahasakan diri sebagai Tiah mengambil masa yang agak lama untuk berasa selesa dengan Siti. Siapa sangka penyanyi yang dipujanya itu kini duduk, berbual, bercanda dan mendakapnya manja. Pengalaman itu umpama hadiah Aidilfitri yang hadir awal seminggu buat Fathiah.

"Selalu tengok Kak Siti di televisyen. Dulu muka dia lain sikit, sekarang bertambah cantik. Tiah suka dia (penampilan) yang sekarang," bisiknya kepada penulis.

Pelakon suara cilik ini sebenarnya tidak sepenuhnya menyedari betapa bakatnya itu telah mencipta gelombang populariti buatnya. Bagi Fathiah, dia sekadar kanak-kanak biasa.

Walaupun di sekolah dia lebih kerap dipanggil dengan nama Upin berbanding namanya sendiri, dia melihat dirinya perlu komited dalam pelajaran seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.

Bercerita tentang raya, Fathiah tidak sabar untuk bertemu dengan opah di kampungnya di Kampung Kuala Klang, Selangor.

Poket baju kurung Siti

Selain bergembira dengan dua adiknya, Mohd. Fathi dan Nurfarhana, dia juga ternanti-nanti juadah lazat tradisi keluarganya iaitu ketupat dengan daging masak Palembang selain lemang dan sayur lodeh.

"Tiah main juga bunga api. Tapi mesti ibu dan bapa Tiah menemani. Tiah harap kanak-kanak lain sentiasa dijaga ibu bapa masing-masing supaya mereka tidak cedera," pesannya.

Keistimewaan watak Upin dan Ipin juga membuatkan Siti Nurhaliza teruja. Sebelum fotografi bermula, Siti sendiri mahu bergambar dengan mereka berdua dengan kamera sendiri.


EH! Ini Upin ke Ipin? Bukanlah! Inilah Siti yang 'menjelma' menjadi Ipin.


Lalu sekalian yang hadir pun membuat rumusan sendiri - di sebalik keanggunan Siti membawa gelaran dan status sosial yang tinggi, masih ada sisi keanak-anakan dalam dirinya.

"Dulu kalau bab kutip duit raya memang seronok. Siti dibesarkan di berek polis. Bayangkan ada tiga blok dan setiap blok ada empat tingkat. Bermula dari tingkat empat dan kemudian turun ke tingkat bawah satu persatu.

"Apabila sudah sampai di tingkat yang bawah sekali, poket baju kurung Siti yang memang dijahit dengan dua poket khas untuk duit raya sudah memboyot. Duit raya dulu kan duit syiling, jadi bayangkan keadaan poket Siti," kata penyanyi tersohor ini seraya tertawa manis.

"Lepas habis beraya di rumah jiran terdekat, esoknya Siti akan ikut Kak Ida (Saida) untuk beraya di rumah yang jauh-jauh pula. Siti memang akan menempel dengan Kak Ida. Kalau ikutkan seminggulah Siti beraya dan kutip duit raya," ujarnya lagi yang menyimpan koleksi duit raya itu di bank selain membelanjakan sedikit untuk membeli bunga api.

Dalam keseronokannya berkongsi pengalamannya beraya, terselit juga kisah sedih yang dikongsinya. Siti tahun ini kali pertama beraya tanpa tunjang familinya, Tarudin Ismail yang pergi bertemu Ilahi 15 Februari lalu.

"Siti akan mengerjakan umrah bermula 14 haribulan ini hinggalah pada pagi Syawal, Siti akan sampai di Kuala Lumpur. Sampai sahaja Siti akan terus pulang ke Kuala Lipis untuk beraya.

"Cuma sehari kemudian Siti akan pulang ke Kuala Lumpur dan raya ketiga akan ke Kedah untuk sambut Aidilfitri dengan keluarga sebelah suami," ujarnya.

Perkembangan Upin dan Ipin

Dalam kesibukan jadualnya sebagai penghibur nombor satu negara, Siti rupa-rupanya tidak lupa mengikuti perkembangan Upin, Ipin dan Nur Fathiah. Dia mula mengenali adik-beradik kembar itu di ruang iklan.

Upin si abang yang mempunyai rambut sejemput di kepala sering dilihat mengusik adiknya, Ipin.


HADIAH Aidilfitri. Fathiah tidak menyangka impiannya untuk berjumpa Siti akhirnya tercapai.


Ramai yang menaruh hati kepada kecomelan Upin yang lebih matang. Ipin pula lebih banyak teruja dengan ayam gorengnya dan menyahut pendapat dengan kata-katanya: "Betul, betul, betul!"

"Siti akan tengok sampai habis iklan. Kemudian keluar pula episod Ramadan mereka. Ada waktu Siti akan tengok. Bangga melihatkan teknologi animasi kita yang semakin maju."

Walau belum sempat menonton Geng Penggembaraan Bermula lakonan filem debut Upin dan Ipin, Siti megikuti bakat mereka melalui program Di Sebalik Tabir yang ditayangkan di kaca televisyen.

Jejak Upin dan Ipin juga sudah bertapak di negara jiran, Indonesia. Wakil Les Copaque memberitahu, siri Upin & Ipin yang disiarkan melalui TPI mendapat rating 10.5 juta penonton dan disiarkan dua kali sehari.

"Eh, nak cuba pakai jugalah! Nak tahu apa rasanya," kata Siti yang dilihat seronok dan tidak segan menyarungkan kepala maskot Ipin seusai sesi temu bual.

Kosmo!

Rabu, 22 Julai 2009

DAPATKAH AKU

Dapatkah aku mencapai tali kasihmu
yang makin berpintal
& putus-putus

Dapatkah aku menggamit diri rindumu
yang makin berpaling
& samar-samar.

Dapatkah aku mencarimu
dalam persembunyian batinmu
imanmu nan makin keliru
mengejar bayang-bayang dunia
amat panjang & tidak akan pulang.

Dapatkah aku mendekati-Mu
dalam sembilu pilu & sendu
batinku makin sebak seribu
hilang inayah & nur-Mu

Ahad, 1 Januari 2006

Hantu Durian (Delima Merkah)

Hantu durian

Ini kisah memang kisah benar, benar sebenar benar tiada yang benar selain kebenaran belaka.

Al-kisah bermula masa itu kampung aku tengah musim durian, rumah aku pun ada jugaklah pokok durian yang tengah lebat buahnya. Kerja aku ikut emak cari durian jika ada durian jatuh. "Debuk" wah satu, "debuk" dua dan seterusnya aku dan mak aku pun menyuluh tempat tu, ada bau? ada... suluh, tu dia tergolek durian, ambik jangan tak ambik.

Nak dijadikan cerita, suatu malam durian beriya-iya berjatuhan walaupun tak ada angin, aku & mak aku apa lagilah, turun dan terus menuju ke destinasi, suluh punya suluh, tak ada durian, bau ada, suluh lagi tak ada jugak, ikut bau tu, bau ada durian tak ada jugak. Ah sudah! mana pulak durian ni. Dok tengah tercanguk-canguk mencari durian adik-adik kat atas riuh, kami pun naiklah, durian tak dapat adik kat atas pulak kecoh, apa kes!!.

Adik aku cerita masa dia dok lari, lari, lari ulang alik dari dapur ke beranda tetiba kat tengah umah dia nampak sesuatu bende putih tinggi, dia cuba dekat ya Allah, menjerit dia terus lari rupanya yang dia nampak tu POCONG atas umah tengah menengok adik yang lain nonton tv. Apalagi bila mak aku dengar macam tu langsung hilang selera dia nak ambil durian yang banyak tadi kat bawah, lantallah nanti esok bapak kau balik biar dia amik durian tu, katanya. Patutlah kami tak jumpa durian, bau ada tapi durian tak ada rupanya ada sebab.

Tak lama kemudian mak aku bukak cerita dulu masa kami kecik pokok durian yang kami dok usaha tadi tu ada pontianaknya. Begini waktu tu musim durian juga tapi masa tu tugas aku makcik aku yang pegang, jadi malam tu cam biasalah bila durian jatuh mak dan makcik aku pun turun. Mak aku bawa lampu suluh makcik aku lak pegang pelita, tapi yang peliknya makcik aku duduk kat tangga saja cuma mak aku sorang saja berjalan ke arah pokok durian tu, mak panggil dia, dia tak nak dekat. Antara pokok dan tangga umah aku tak jauh dalam beberapa meter saja, sebab bila mak aku membebel sebab tak jumpa durian makcik aku dengar dia sahut kata-kata mak aku, dia suruh mak aku balik. Mak aku tak nak tetiba tup... lampu suluh mak aku mati, mak aku teriak kat makcik aku suruh bawak pelita, makcik aku tak mau, mak aku mengalah dia ambil pelita sambil membebel tak lama kendian dapatlah durian dalam 3 biji mereka terus naik umah.

Sampai dekat atas mak aku tanya pasal apa tinggalkan mak seorang, makcik aku diam, lelama tu dia cerita, macam mana nak ikut masa mak aku ada kat pokok durian tu tepi mak aku org cantik tu sambil mengilai he he he he he, tapi mak aku selamber derk jer, bila lampu suluh tu mati lagi kecutlah makcik aku, boleh mak aku amik pelita plak, makcik dah rasa seram sejuk saja, tapi yang peliknya makin mak aku dekat makin jauh lak org cantik tu, sebab tu lah past saja org cantik tu pergi mak akupun dapatlah durian dia.

Wasalam.

Sabtu, 1 Januari 2005

Pelik tetapi benar


Kisah ni sebenarnya berlaku pada bulan July tahun ni, tak taulah ini kisah malangkah, pelikkah atau kebetulan. Macam ni, petang tu sekitar jam 5:30 petang aku menunggang motosikal aku untuk mengambil budak sekolah. Kawasan sekolah bebudak ni di kawasan kampung, maklumlah kampungkan banyak jalan, jalan lurus ada jalan bengkang bengkok pun ada, jalan yang tetiba bukan jalan jadi jalan pun ada.

Sampai di satu jalan tu ada simpang tiga. Masa tu di depan aku sebuah kereta iswara dan di depan kereta tu ada sebuah lori muatan 1 tan. Aku perlahankan kenderaan kerana lori tu slow dan bagi signal nak ketepi sebelah kiri, jadi kereta tu pun ke sebelah kanan, aku pun ikut sebelah kananlah, aku ingat kereta tu nak memotong lori tu rupa-rupanya kereta tu belok ke kanan. Aku kat sebelah kanan apa lagi kena sondollah.

Ya Allah!!!! aku menjerit, terus aku jatuh bedebup motosikal hempap motor aku. aku ingat sampai kat situ saja rupa-rupanya lepas aku jatuh saja kereta tu langgar aku balik maka terperosoklah aku kat bawah tu.

Bayangkanlah aku ada kat bawah ketera, heeee seram aku, aku cuba mendongak tapi kepala aku terasa panas kerana kau sekarang berada di bawah enjin kereta yang masih berbunyi, apalagi terkejut aku terus bertakbir sekuat hati, kaki aku makin sakit dan pedih kerana hempapan motor aku tu.

Tak lama kemudian aku terdengar suara-suara manusia sibuk menyuruh sipemandu mengundurkan kereta, ah sudah! leper aku kang, tapi ada satu suara tu menegah, mereka angkat depan kereta undurkan kebelakang. Bila kereta telah dialihkan, motor aku pun di angkat, semua tertumpu kat aku yang sedang menggiring macam udang kena goreng, mereka bangunkan aku, semua bertanya, kepala luka tak? badan luka tak? Alhamdulillah langsung tidak luka cuma lebam, terkejut besarlah mereka, sebab biasanya, adatnya lah kalau dah terperosok bawah kereta mesti cedera parah punya.

Syukur aku kepada Allah kerana aku masih lagi boleh berdiri dan tidak cedera. Setelah mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka aku mengambil semula motor aku, start motor aku pun berlalu meninggalkan mereka yang masih melopong. Itulah pengalaman pelik yang tak dapat aku lupakan hingga sekarang, syukurlah badan aku banyak isi, kalau badan aku melidi dah patah riuk kot.

Khamis, 1 April 2004

Wanita tanpa muka (Delima Merkah)

Oleh Hazirah Che Sab





Suami isteri tergamam lihat 'hantu' perempuan di tepi jalan

KEDINGINAN awal pagi membuatkan Nur amat berat meninggalkan bantal dan tilam empuk tetapi menyedari ada tugas menanti untuk menghantar suami tersayang, Ali Shah, yang bertugas sebagai juruperunding ke lapangan terbang untuk ke Singapura memaksanya bangun.

Kelancaran perjalanan ke Terminal Dua Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang tanpa gangguan kesesakan lalu lintas memang melapangkan hati. Namun apa yang tidak disedari Nur dan suami ialah halangan yang mereka tempuh datang dalam bentuk imej seorang wanita tanpa wajah.


“Pengalaman menyeramkan itu terjadi pada 1998. Ketika itu Terminal Dua Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, masih beroperasi sebagai tumpuan penerbangan ke Singapura.


“Suami saya perlu menaiki penerbangan jam 7 pagi. Dia perlu berada di lapangan terbang dua jam lebih awal, menyebabkan kami keluar rumah seawal jam 4.30 pagi,” katanya yang menetap di Kota Damansara, sebelumnya dikenali sebagai Pusat Bandar Sungai Buloh.

Nur bercerita, hujan renyai-renyai ketika itu. Suaminya memandu kereta dan mereka leka bersembang kerana jalan raya lancar. Kira-kira 10 minit perjalanan, suaminya membelok kiri dari jalan lama Sungai Buloh - Shah Alam ke arah Lapangan Terbang Subang,

“Persekitaran serba gelap, menyebabkan suami memasang lampu tinggi. Tiba-tiba dari jauh lagi kami nampak kelibat seorang wanita di tepi jalan raya. Dia berdiri di bawah sebarang pokok besar. Di sebelah sebelah kiri pula ladang getah,” kata Nur kepada penulis, ketika mengimbas pengalaman menyeramkan kira-kira 11 tahun lalu.

“Terdetik dalam hati, apa hal pula seorang wanita berada di kawasan gelap itu pada awal pagi. Seorang diri pula. Mata saya liar mencari motosikal atau kereta yang mungkin tersadai rosak di tepi jalan. Malangnya, tiada.

“Kelibat wanita itu nampak jelas sebab suami memasang lampu tinggi. Saya nampak susuk tubuhnya yang kurus, berbaju kurung dan mengenakan skaf. Tangannya melambai-lambai meminta kereta kami berhenti,” katanya.

Bagaimanapun, anehnya, baik Nur mahu pun suami seakan-akan tergamam dan tidak berkata apa-apa. Mulut mereka seakan terkunci. Dia cuba membuka mulut untuk bersuara tapi tidak boleh. Begitu juga Ali yang membisu dan terus memandu.

Mereka tergamam dan Nur terus mencapai tangan suami yang sedari tadi memegang tombol gear untuk meredakan debaran dan mencari kekuatan.

“Sebaik melintasinya, saya memberanikan diri cuba mengamati jelmaan wanita itu. Alangkah terkejut kerana di celah hayunan bilah pengelap cermin, saya nampak tangannya yang berwarna putih pucat, tetapi tidak ada muka! Mukanya cuma berwarna kelabu gelap tanpa mata, hidung atau mulut.

“Ketika itu Tuhan saja tahu perasaan ini. Meremang bulu roma dibuatnya kerana saya syak itu sememangnya hantu. Dalam hati terus membaca ayat Kursi dan biarpun cuba membuka mulut, tetapi masih tidak boleh,” katanya.

Nur memandang suaminya, tetapi Ali memandu seperti biasa, juga tidak bersuara. Kira-kira lima minit selepas itu, apabila tiba di restoran makanan laut bertentangan landasan kapal terbang, barulah mereka boleh bersuara.

“Abang nampak tak apa saya nampak tadi?” soal Nur kepada suaminya.

“Nampak. Jangan kata apa-apa. Lupakan saja.” Akur dengan permintaan suaminya, Nur tidak berkata apa-apa sehinggalah tiba di Terminal Dua.

“Sudah, awak jangan fikirkan sangat apa kita nampak tadi,” kata Ali sambil meletakkan kereta di tepi jalan.

“Tapi itu hantukan? Nampak tak perempuan itu tak ada muka. Tangannya pucat lesi...” kata Nur yang tidak berpuas hati dengan reaksi suaminya.

“Tahu, tahu. Saya pun perasan benda itu. Sudah jangan cakap apa-apa. Awak balik ikut Lebuh Raya Persekutuan. Jangan ikut jalan tadi, bahaya!” kata Ali sambil keluar dan mengambil begnya di tempat duduk penumpang di belakang.

Selepas kelibat suaminya hilang ke dalam terminal, Nur memandu keretanya menghala ke arah Lebuh Raya Persekutuan. Hatinya masih tidak tenteram apabila mengingati peristiwa menyeramkan itu.

Nama pun misteri dan naluri ingin tahu dan melihat persekitaran kawasan berkenaan, menyebabkan Nur memutuskan untuk kembali ke kawasan itu. Dia menunggu sehingga jam 11 pagi dan meminta kakak saudaranya menemani.

Nur kembali menelusuri jalan raya itu dan keadaan cerah itu membolehkan dia melihat dengan jelas tiga ‘petunjuk’ utamanya - ladang getah di sebelah kiri, sebatang pokok dan selekoh agak tajam di situ.

Pokok itu adalah pokok pulai yang agak besar betul-betul terletak di tepi jalan raya.

“Melihatkan pokok itu dan selekoh tajam itu, terlintas di hati mungkinkah wanita itu mangsa kemalangan yang berlaku di situ. Mungkin kerana itulah dia melambai supaya kami memberhentikan kereta,” kata Nur membuat tafsiran sendiri.

Kini, jalan raya itu sudah dilebarkan bagi memudahkan perjalanan terus ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah berkenaan. Tiada lagi selekoh tajam mahu pun pokok pulai yang pernah menjadi sebahagian daripada identiti jalan raya berkenaan. Namun tidak pula dipastikan jika kelibat wanita tanpa muka itu juga sudah lenyap bersama selekoh dan pokok pulai berkenaan.

Sumber: B.Harian

Jumaat, 21 Februari 2003

Jin-berhubungan-seks-dengan-manusia.


Dewasa ini. sering kita dengar seseorang melakukan pernikahan hingga hubungan seks dengan bangsa jin. Tapi hampir sebagian besar masyarakat Indonesia meyakini bahwa hal tersebut tidak mungkin terjadi, sebab bila kita berpikir secara rasional bagaimana bisa dua makhluk yang berbeda dapat berhubungan. Manusia merupakan makhluk yang berasal dari bumi atau tanah, sedangkan jin merupakan makhluk yang tercipta dari api.

Sebetulnya jin terbagi atas dua jenis yakni jin kafir dan jin islam. Jin islam adalah jin yang hidup di alam jin, dan menjalankan tugas dan kewajiban dari Tuhan, dan menurun beberapa orang sama seperti manusia. Sedangkan jin kafir merupakan jin pembangkang dan kadang kala sering menampakkan diri di alam manusia. Jin kafir ini selalu mendatangi manusia dengan cara menyerupai ruh orang-orang yang telah mati. Jin jenis ini kadang memiliki ilmu yang cukup tinggi dan akhirnya dapat berinteraksi dengan manusia, hingga melakukan hubungan seks dengan manusia.

Hasil hubungan seks antara manusia dan jin ini adalah sebuah keturunan yang akan menjadi golongan makhluk jin atau sering disebut anak jin. Hal ini dapat dipahami secara logika, sebab bagaimana mungkin dapat menghasilkan anak manusia, sebab dalam proses reproduksi dalam manusia dibutuhkan pembuahan yakni sperma yang dapat membuahi sel telur pada rahim seseorang.

Menurut beberapa orang, seseorang yang menikah dengan jin dapat memiliki puluhan anak jin. Anak jin ini akan tubuh besar layaknya manusia dalam lingkungan alam jin. Sehingga manusia pada umumnya tidak dapat melihat wujud dari anak tersebut, tetapi mereka akan mengetahui ciri-ciri kehamilan pada wanita yang menikah dengan pria jin, seperti perut buncit.

Kebanyakan masyarakat menganggap melakukan hubungan seks dengan jin merupakan tindakan menyimpang. Meskipun hubungan dapat dilakukan oleh manusia dengan jin kafir yang menjelma seperti manusia biasa dan cenderung memiliki ilmu yang cukup tinggi. Sehingga manusia tersebut dengan mudah dapat diperdaya oleh segala kekuatan dan sihir yang dimiliki oleh jin. Meskipun berhubungan badan antara manusia dan jin dapat terjadi, tetapi hal tersebut tidak dapat dibenarkan, sebab hal ini dapat digunakan untuk menutupi tindakan tidak benar seseorang. Misalnya seseorang yang hamil di luar nikah dapat berbohong dengan mengaku telah menikah dengan jin, dan tentu hal ini tidak dapat dibenarkan.

Rabu, 1 Januari 2003

Kaum Ibrani percaya wujud 72 jenis puaka (Delima Merkah)

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)

Setiap bangsa miliki kepercayaan terhadap hantu mengikut versi, budaya masing-masing

JIKA masyarakat Melayu terkenal dengan jin yang menyerupai hantu seperti pontianak, hantu raya, pocong atau toyol; masyarakat Barat terutama kaum Ibrani kuno mengenali 72 jenis puaka atau jin yang wujud dalam kepercayaan mereka.

Pengkaji paranormal dari pasukan Penyiasatan Lokasi Paranormal (PSI), Jamie Surina Hisham, berkata mengikut kepercayaan masyarakat itu, 72 jin terbabit adalah ketua utama yang memerintah pasukan tentera syaitan untuk berkeliaran melakukan angkara di muka bumi.

Beliau berkata, setiap puaka itu mempunyai kepakaran dan ‘kesaktian’ tertentu antaranya memukau, menyihir, menjelma membentuk sesiapa atau apa saja selain menggunakan pelbagai kekuatan magis untuk mempengaruhi pemikiran manusia seterusnya menyesatkan mereka daripada kebenaran.

“Mengikut mitos kaum terbabit, semua jin atau puaka ini pada asalnya dikurung Raja Solomon dalam tujuh bekas berasingan di sebuah kuil purba di Jerusalem pada ribuan tahun lalu.

“Akan tetapi apabila tentera Romania datang ke kuil itu, mereka menemui bekas terbabit lalu membukanya menyebabkan semua jin yang terperangkap itu akhirnya bebas sehingga kini,” katanya.

Jamie berkata, berikutan jin terbabit memiliki kekuatan sihir dan magis, ada antara puaka terbabit yang dipuja pihak tertentu dalam ritual songsang selain diseru ahli sihir kononnya bagi mendapatkan bantuan makhluk ghaib terbabit.

“Antaranya Aaron C Donahue, seorang ahli sihir yang mengaku memiliki kebolehan untuk melihat ke ‘alam lain’ malah dia juga mendakwa pernah menyeru kebanyakan puaka terbabit untuk muncul di hadapannya,” katanya.

Beliau berkata, pihak PSI kini mengadakan kajian mengenai pengaruh budaya dalam sesuatu masyarakat sehingga wujudnya pelbagai tanggapan berlainan mengenai jenis hantu antara suatu kaum dengan kaum yang lain.

“Kajian kami mendapati terdapat 99 mitos hantu dalam masyarakat Melayu manakala bagi kaum Ibrani ini pula, terdapat 72 mitos hantu atau puaka yang dipercayai mereka; setiap bangsa memiliki hantu mengikut versi budaya masing-masing yang jelas berbeza dengan hantu bangsa lain,” katanya.

Kedua-dua kajian mengenai hantu itu iaitu ‘Mitos 72 Jin Solomon’ yang berdasarkan kepercayaan kaum Ibrani selain ‘Kajian 99 Makhluk Halus’ yang wujud di alam Melayu, bakal diterbitkan PSI tidak lama lagi.

Jamie berkata, antara puaka yang dipercayai kaum Ibrani termasuk masyarakat Barat ialah:

Bael - Bael adalah puaka yang tidak gemar bekerja di bawah sesiapa. Ahli sihir silam yang mendakwa kononnya Bael pernah muncul di hadapan mereka menggambarkan puaka itu memiliki tiga kepala iaitu manusia, kucing dan katak, berkaki labah-labah dan bersuara garau.

Ia memiliki kuasa mengghaibkan dirinya dan pengikutnya. Bael adalah raja di timur dan menguasai 66 pasukan tentera syaitan.

Agares - Puaka ini dikatakan berkuasa menyebabkan gempa bumi, membekukan sesuatu yang sedang bergerak dan memukau seseorang sehingga menganggap manusia yang menjadi pengikutnya dipandang mulia dan memahami pelbagai bahasa.

Ia menguasai 31 pasukan tentera syaitan dan digambarkan menjelma di hadapan ahli sihir sebagai seorang lelaki tua kurus yang memegang burung dan menunggang buaya.

Vassago - Digelar ‘Raja Ramal’ kerana kononnya berkuasa meramal masa hadapan, membantu pengikutnya mengesan harta karun dan mencungkil rahsia lampau. Vassago digambarkan memiliki perwatakan nakal, suka menukar rupa, bentuk dan menyakat sesiapa yang menyerunya.

Marbas - Berkebolehan mengubah rupa bentuk sesiapa yang berada di sekelilingnya seperti menukarkan manusia kepada serigala atau beruang, mengetahui rahsia terpendam, menyebabkan penyakit menular serta mampu mengubatinya. Apabila diseru, ia menjelma sebagai seekor kucing besar atau singa selain rupa seorang lelaki.

Valefor - Dikenali sebagai puaka yang amat jahat, memiliki sikap yang kurang disenangi dan penuh dengan muslihat. Menjelma sebagai singa berkepala keldai. Pakar dalam ilmu mencuri dan menjadi pendorong dan penghasut supaya seseorang mencuri.

Amon - Orang Mesir purba dikatakan menyembah Amon dan ia digambarkan sebagai lelaki berkepala burung selain serigala berekor ular. Bersifat licik dan gemar memanipulasi sehingga menyebabkan manusia menganggap ia sebagai ‘tuhan’.

Paimon - dikatakan puaka yang amat berbahaya dan berkuasa di kalangan jin. Menguasai 200 pasukan tentera. Ahli sihir silam mengatakan Paimon adalah jin yang amat sukar untuk diseru. Ia menjelma sebagai manusia yang memakai mahkota dan diiringi tenteranya selain muzik tertentu akan berkumandang. Berkuasa menjadikan seseorang itu berpengaruh dan bermartabat.

Gusion - Menjelma sebagai lelaki bertubuh sasa dan memakai jubah kuning, bercakap dengan lembut dan tenang serta kelihatan baik. Berkebolehan menjawab segala persoalan lampau dan masa hadapan. Menguasai lebih 45 pasukan tentera.

Sitri - Berkuasa membangkitkan nafsu seks dan menghasut supaya manusia bertelanjang dan melakukan hubungan kelamin. Digambarkan menjelma sebagai makhluk berkepala harimau dan bersayap.

Beleth - Menguasai 85 pasukan tentera. Menjelma sebagai seorang kesatria yang menunggang kuda pucat dan diiringi muzik tertentu, mulutnya mengeluarkan api. Antara jin yang sukar diseru.

Lerie - Suka menghasut sehingga berlakunya perang dan menyebabkan kecederaan yang dialami sesiapa saja ketika perang tidak akan sembuh selagi Lerie tidak beredar. Cara terbaik adalah memotong bahagian yang cedera atau mati. Menguasai 30 pasukan tentera. Menjelma sebagai seorang pemanah kacak.

Bathin - Berkuasa memindahkan seseorang ke tempat atau ke negara lain. Menjelma sebagai lelaki gagah berekor ular yang menunggang kuda pucat. Menguasai 30 pasukan tentera.

Ipos - Digelar ‘Putera Helah’ dan menjelma sebagai jin yang memiliki kepala singa dan berkaki angsa. Seseorang yang dikuasai Ipos akan lebih gemar bergaduh daripada bercakap. Menguasai 36 pasukan tentera dan berkuasa menjadikan seseorang itu cerdas dan berani.

FAKTA: Makhluk ghaib

Puaka, syaitan dan hantu sebenarnya adalah jin yang jahat manakala ketuanya adalah Iblis.

Selain puaka yang diterangkan, jin lain yang dipercayai kaum Ibrani adalah Samigina, Barbatos, Eligos, Zepar, Botis, Sallos, Purson, Morax, Aim, Naberius, Glasya-Labolas, Bune, Ronove, Berith, Astaroth, Forneus, Foras, Asmodeus, Gaap, Furfur, Marchosias, Stolas, Phenex, Halphas, Malphas, Raum, Focalor, Vepar, Sabnock, Shax, Vine, Bifrons, Uvall, Haagenti, Crocell, Furcas, Balam, Alloces, Caim, Murmur, Orobas, Gremory, Ose, Amy, Orias, Vapula, Zagan, Buer, Volac, Andras, Haures, Andrealphus, Cimejes, Amdusias, Belial, Decarabia, Seere, Dantalion, Andromalius.

Sumber: Berita Minggu