Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 22 Mac 2010

60 peratus gemuk (Ceritera)

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan dan kegemukan, sekali gus menunjukkan satu trend amat membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, berdasarkan Indeks Berat Badan (BMI), kira-kira 30 peratus rakyat negara ini berusia 18 tahun ke atas berada di tahap 23 hingga 27.5, manakala 30 peratus lagi 27.5 ke atas, iaitu masing-masing dikategorikan lebih berat dan obesiti. Katanya, di kalangan kanak-kanak pula dianggarkan 20 hingga 30 peratus mengalami masalah lebih berat badan. “Kita perlu mengadakan pelbagai kempen pencegahan untuk memastikan trend ini dapat kita kawal dan dapat pastikan rakyat mempunyai berat badan sederhana, baik dan sihat, bawah paras 23,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Pengambilan Gula di Jusco Metro Prima, Kepong, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dan Pengarah Eksekutif AEON Co (M) Bhd, Yasuo Masuda.

Liow berkata, kajian dijalankan Kementerian Kesihatan menunjukkan kelaziman dewasa berlebihan berat badan meningkat hampir dua kali ganda manakala kelaziman dewasa yang obes meningkat tiga kali ganda.

“Obesiti meningkatkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan strok. Kajian yang sama menunjukkan kelaziman pesakit diabetes di kalangan penduduk berusia 30 tahun ke atas meningkat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia secara purata mengambil tujuh sudu teh gula setiap hari dalam minuman, tidak termasuk jumlah kandungan gula dalam makanan dan kuih-muih.

“Jika dicampur dengan gula di dalam makanan dan kuih-muih, boleh menjadi purata 10 sudu gula satu hari. Kita kena kurangkan dari tujuh sudu,” katanya.

Justeru, katanya, kempen kurangkan pengambilan gula adalah usaha berterusan kerajaan bagi mendidik rakyat mengamalkan cara hidup sihat.

MyMetro

Khamis, 18 Mac 2010

101 aduan kandungan laman web bagi tempoh dua bulan 2010


2010/03/18

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 101 aduan berhubung kandungan laman web atau blog mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tempoh Januari hingga 23 Februari lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata terdapat 58 aduan bagi kandungan lucah dan 43 aduan bagi kandungan mengancam serta jelik, termasuk laman web atau blog yang menghina sultan.


Daripada jumlah itu, 15 kes aduan sedang disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) manakala 63 kes disiasat kerana kesalahan melanggar pelbagai akta.


"Terdapat enam kes pendakwaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung pelbagai kesalahan berkaitan dengan kandungan laman web atau blog," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran), yang bertanya mengeni tindakan diambil kerajaan terhadap penulis blog yang sering menyebarkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.


Kepada soalan tambahan Ismail berhubung halangan yang dihadapi oleh SKMM dan cadangan untuk melaksanakan tindakan lebih berkesan terhadap penulis blog yang menyiarkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan, Rais berkata, perkara itu adalah persoalan induk kepada kementerian dan semua agensi penguatkuasa yang menjalankkan tugasan mengikut Akta Multimedia dan Komunikasi.


"Sesungguhnya SKMM mempunyai kuasa-kuasa yang boleh dikatakan genap di bawah seksyen-seksyen 211 dan 233, dan kekuasaan-kekuasaan yang ada di bawah undang-undang yang lain yang menjurus kepada Akta Hasutan 1948, akta yang menjurus kepada jenayah iaitu Kanun Keseksaan dan juga undang-undang yang lain," katanya.

Rais berkata, bahawa tiga bulan lepas, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta bahagian undang-undang sudah menjalinkan kerjasama. "Jadi, insya-Allah dengan kerapian tindakan ini, kita akan dapat menjalankan tugas di bawah undang-undang negara kita," katanya.

Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) pula berkata, selain penulis blog, kementerian juga perlu memantau dan mengambil tindakan terhadap media yang menyiarkan berita kurang tepat.

-Bernama

Rabu, 17 Mac 2010

Isu tanah: Orang Asli terus 'ditipu'



Salhan K Ahmad
Mac 7, 10
9:13pm

Penerangan dari pihak kerajaan berkaitan pindaan ke atas Akta Orang Asli setakat ini masih belum memadai, malah tidak menjelaskan isu sebenar, kata seorang pembentang kertas kerja dalam satu konvensyen semalam.

Wakil masyarakat ini juga melihat penerangan dari pihak kerajaan dalam cadangan pindaan akta berkenaan tidak lebih daripada cubaan untuk membendung sentimen di kalangan Orang Asli yang nampaknya tidak sabar lagi untuk menduduki tanah milik mereka sendiri.

Aturcara program sehari itu memperuntukkan satu sesi pembentangan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk menerangkan cadangan pindaan Akta 134 yang dirancang untuk dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya pada Jun ini.

Disogok data lama

Namun, JHEOA tidak menggunakan peluang tersebut untuk menerangkan dasar berkenaan tetapi masih mengemukakan data-data lama, kata Suki Mee ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar pemberimilikan tanah Orang Asli -- Satu tinjauan'.

"Kalau mereka bersungguh-sungguh hendak beri penerangan, mereka akan bentangkan cadangan pindaan akta itu kepada kita di sini, barulah boleh mendapat maklum balas yang jelas daripada Orang Asli," kata anggota Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) itu.

Katanya lagi, pengumuman peruntukan sebanyak RM150 juta yang dibuat oleh menteri berkaitan hal ehwal Orang Asli, Datuk Seri Shafie Apdal semalam juga bukanlah satu cara yang konkrit untuk merungkai permasalahan sedia ada.

"Kami datang ke konvensyen ini untuk bercakap soal tanah, bagaimana RM150 juta ini dapat menyelesaikan masalah tanah ini?," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini pada sidang berkenaan.

Dalam sesi pembentangan kertas kerjanya sebelum itu, Suki berkata situasi yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli kini semakin meruncing kerana lebih 60% daripada tanah mereka masih belum mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

"Agensi-agensi seperti Risda tidak akan dapat memberi bantuan sekiranya tanah yang diusahakan (Orang Asli) belum diwartakan dan diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Tanah dirampas

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof Madya Dr Bahari Belaton berkata keadaan inilah yang memangsakan masyarakat Orang Asli kerana kerajaan negeri berkuasa merampas tanah Orang Asli sewenang-wenangnya kerana tiada bukti pemilikan tanah berkenaan.

"Kalau betul mereka sedang berusaha untuk memberi milik tanah kepada Orang Asli, kenapa tidak ada kerja-kerja mengukur tanah-tanah ini diadakan?" katanya dalam sesi pembentangan.

Dalam kertas kerjanya itu, Bahari mengupas 19 seksyen utama dalam akta berkenaan yang perlu ditambahbaik dari segi perlindungan dan kesejahteraan warga berkenaan.

"Kupasan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa maklumat awal berkenaan kerangka pindaan ini, sama ada secara bertulis atau menerusi penglibatan beberapa ahli PSOA dalam bengkel dan program berkaitan akta 134," kata Bahari dalam kertas kerja tersebut.

Tambahnya, pindaan yang dicadangkan itu perlu mengambil tujuan untuk mengutamakan kepentingan Orang Asli dan memperkukuh hak keistimewaan masyarakat itu.

Jelasnya, ini perlu dilakukan dengan memperhalusi klausa-klausa sedia ada dengan istilah perundangan yang memberi lebih perlindungan kepada kepentingan golongan itu bagi mengelakkan mereka ditindas.

Usir orang tak diingini

Beliau memberi contoh peruntukan dalam Seksyen 14 dan 15 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah JHEOA dan polis untuk mengusir dan menghalang orang-orang yang tidak diingini dan berniat jahat daripada memasuki kawasan Orang Asli.

"Perkataan 'tidak bermoral' atau 'berniat jahat' perlukan penjelasan yang sewajarnya supaya perkara ini tidak boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

"Perkataan 'tidak diingini' juga perlu diperjelaskan supaya isu ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan," katanya dalam pembentangan tersebut.

Jelasnya, peruntukan sedia ada menyebut, pihak berkuasa berkenaan 'boleh' berbuat demikian, tetapi ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih proaktif seperti 'perlu' atau 'wajib.'

"Maksud
nya, apabila ia dikuatkuasakan, orang politik yang hendak masuk untuk berkempen contohnya tidak boleh dibenarkan masuk ke kawasan Orang Asli. Orang yang tidak digemari ini boleh diusir setelah mendapat persetujuan dua pertiga daripada masyarakat Orang Asli," katanya.

Satu lagi cadangan yang dikemukakan adalah untuk merombak pentadbiran JHEOA supaya dapat mengambil peranan lebih pro-aktif, manakala satu badan lain perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan dalam jabatan berkenaan.

Bahari berkata, penubuhan itu perlu memandangkan JHEOA dikatakan akan distruktur semula menjadi sebuah agensi perbadanan.

"Setakat ini, menteri (pembangunan luar bandar dan wilayah) mempunyai kuasa mutlak ke atas JHEOA," katanya lagi yang juga mahu JHEOA diterajui oleh masyarakat Orang Asli sendiri secara majoriti, khususnya bagi jawatan tertinggi dalam jabatan tersebut," katanya.

Konvesyen disanjung

Datuk Seri Shafie Apdal pada ucapannya semasa merasmikan penganjuran konvensyen itu semalam bagaimanapun menyanjung tinggi usaha menjayakan sidang berkenaan.

Katanya, usaha untuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai dasar tanah dan perundangan itu adalah satu usaha yang lebih baik berbanding daripada membuat "rusuhan ataupun demonstrasi."

Katanya, usaha melalui perhimpunan seperti itu tidak memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli.

Ucapan ini jelas ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab menganjurkan satu demonstrasi di hadapan pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Gombak bulan lalu.

Bercakap kepada kira-kira 500 orang wakil masyarakat Orang Asli dari seluruh negara, beliau juga berkata resolusi yang dicapai melalui konvensyen berkenaan akan disusuli dengan tindakan mengikut kehendak Orang Asli

Katanya lagi, resolusi berkenaan juga akan diteliti oleh satu kumpulan tumpuan yang turut dianggotai wakil masyarakat Orang Asli.

Salah seorang yang akan menganggotai kumpulan berkenaan ialah Rashid Ka', presiden Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) yang juga penganjur kepada sidang berkenaan.

MalaysiaKini

Orang Asli bukan bumiputera?


Mac 18, 10 1:14pm

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim kesal kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz gagal memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Orang Asli sebagai kaum bumiputera.

Katanya, menurut Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan, Orang Asli tidak diberi hak keistimewaan sebagai Bumiputera.

Zaid (kanan) berkata Orang Asli tidak dikategorikan sebagai bumiputera, kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sahaja yang dianggap sebagai bumiputera.

“Hanya 'Malays and the Natives of Sabah and Sarawak' dianggap sebagai Bumiputera. Inilah nasib Orang Asal di negara ini,” katanya.

“Sepatutnya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal dan anak putera bumi bertuah ini tetapi juga kerana mereka paling miskin.

“Menteri sendiri tidak mengetahui status mereka, masakan mereka akan mendapat pertolongan dan pembelaan yang patut dan sewajarnya,” katanya dalam tulisan di blognya.

Kedangkalan pemimpin Umno itu hanya disedari ketika MP Hulu Rajang, Billy Abit Joo pada sidang parlimen semalam bertanyakan sama ada pengiktirafan status bumiputera perlu diperjelaskan dan kriteria Bumiputera diseragamkan.

Nazri dilaporkan terus menjawab “tidak perlu”.

Beliau sebaliknya mendakwa status bumiputera telahpun diseleraskan dan digolongkan dalam tiga kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaaan Persekutuan, iaitu Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Orang Asli naik minyak di Putrajaya

Zaid mengulas tindakan lebih 2,000 Orang Asli yang berarak ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Memorandun itu mengandungi hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan projek BN.

Zaid juga melahirkan rasa bangga dengan kebangkitan dan keberanian Orang Asli untuk menentang kezaliman Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli yang menindas kaum mereka.

“Walaupun polis menggunakan kuasa mereka untuk menahan perarakan itu ke pejabat Najib Razak, sekurang-kurangnya Orang Asal tanahair kita sudah berani bangkit. Mereka sudah mula “naik minyak” kerana masalah mereka selama ini dipandang ringan oleh kerajaan BN,” katanya..

Bagi Zaid, masa depan Orang Asli di bawah BN tidaklah cerah kerana jawapan Nazri semalam hanya membuktikan kerajaan BN tidak tahu sangat atau tidak mengambil berat perihal nasib Orang Asli.

MalaysiaKini.

Pelui@t:

Perlembagaan Persekutuan itu boleh dipinda & dibetulkan, asalnya ianya tepat pun tidak menganiaya mana-mana kaum. Ianya bukan undang-undang atau hukum Tuhan, perlembagaan ini sekadar buatan manusia. Orang Asli perlu mendapat hak mereka.

Tanah 'ditipu', orang Asli protes di Putrajaya


Salhan K Ahmad
Mac 17, 10
2:16pm

Lebih 2,000 Orang Asli ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri berhubung dasar pemberimilikan tanah.

Bagaimanapun kehadiran sesetengah mereka sejak jam 12.45 tengah hari tadi, dengan beberapa bas telah dilencongkan oleh pihak polis ke sebuah auditorium di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kira-kira seribu daripada mereka disuruh berdialog dengan menteri berkenaan, Datuk Seri Shafie Apdal di auditorium itu.

Kira-kira seribu lagi petang tadi berkumpul di persiaran di hadapan pejabat perdana menteri bersedia untuk berarak bagi menyampaikan memorandum berkenaan.

Mereka bagaimanapun dihalang berbuat demikian oleh anggota polis yang bertugas sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun setelah perbincangan kira-kira 15 minit, pihak polis memberi jaminan untuk membenarkan lima orang wakil Orang Asli untuk menghantar memorandum berkenaan.

Keputusan itu disambut dengan pekikan "boo" oleh Orang Asli.

Polis juga meminta Orang Asli supaya tidak berarak dan mempamerkan kain rentang serta sepanduk mereka.

Pakai pakaian tradisional

Kumpulan itu bagaimanapun akur untuk tidak menghalang laluan ke JPM dan berkumpul di bahu jalan.

D
alam perhimpunan ini, orang Asli membawa sepanduk dan kain rentang,antaranya berbunyi 'Hak Kami Selaku Orang Asal Perlu dihormati', 'Jangan Hapuskan Akta Kami' dan 'Iktirafkan Wilayah Adat Kami'.

Ada juga Orang Asli yang memakai pakaian tradisional mereka.

Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak.

Perhimpunan hari ini adalah yang kedua seumpamanya, selepas satu demonstrasi di hadapan pejabat JHEOA di Gombak pada 24 Februari lalu.

Kira-kira 2.30 petang, kumpulan tersebut berjaya menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri melalui pegawai tugas-tugasnya, Datuk Ghazali Ibrahim.

Memorandum tersebut diserah oleh presiden POASM, Majid Suud. Kedengaran tepukan gemuruh selepas dimaklumkan bahawa memorandum tersebut telah berjaya diserahkan.

Lima minit kemudian satu lagi memorandum diserahkan kepada Shafie oleh penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak, Tijah Yok Chopil.

'Kami tidak berpecah dua'

Memorandum pertama yang diserahkan oleh Majid berkaitan perlantikan senator Orang Asli yang telahpun diserahkan kepada perdana menteri pada 9 Disember tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita, Majid berkata kumpulan itu tidak pernah berpecah dua seperti yang didakwa.

Sebaliknya, tambahnya, kumpulan tersebut tiba lewat dan tidak berjaya mengikuti program bersama Shafie di kementerian tersebut.

"Sebenarnya ada kawan saya yang terlewat kerana datang dari jauh. Kalau ikut jadual kita hendak serah memorandum (pada) jam 2.30, (tetapi) dia tak sampai lagi. Ini yang jadi masalahnya. Ini kumpulan yang sama, tak ada berbeza kumpulan," katanya.

Memorandum kedua yang diserahkan Tijah pula berkaitan bantahan ke atas dasar pemberimilikan tanah Orang Asli.

Sembilan perkara yang digariskan dalam memorandum itu antaranya menyebut, dasar berkenaan diluluskan tanpa melibatkan rundingan dengan masyarakat Orang Asli dan bercanggah dengan peruntukan dalam perlembagaan.

Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Menteri: 'Bukan protes, tapi jalan-jalan di Putrajaya'

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Tijah (bawah) yang juga pengasas Jaringan Kampung Orang Asal Semalaysia berkata, kumpulan Orang Asli yang diketuainya itu tidak sempat hadir di program yang diadakan di kementerian Shafie.

"Masa penyerahan memo tadi saya tidak dengar Datuk Seri Shafie sebut apa-apa jaminan. Saya hanya mampu menekan beliau dan wakil perdana menteri supaya menyampaikan kepada perdana menteri.

"(Saya juga menekan supaya) meneliti memorandum ini dan lupuskan terus dasar pemberimilikan tanah dan teliti tuntutan kami," katanya.

Manakala Shafie pula, ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan hari ini, sambil tersenyum berkata: "Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan."

"Yang majoriti ini kumpulan yang jumpa dengan saya tadi. Sebenarnya mereka nak datang, di samping nak menyaksikan penyerahan memorandum ini.

"Mereka juga datang untuk cuti sekolah hendak ambil gambar di Putrajaya sebab mereka cuma tengok Putrajaya dalam televisyen.

Tambahnya, beliau sedia mendengar apa-apa masalah yang dikemukakan oleh masyarakat, khususnya daripada Orang Asli.

"Jika ada sesiapa kata kami mengabaikan atau menidakkan hak mereka, itu tidak benar kerana kita telah menbelanjakan lebih daripada RM400 juta setahun untuk memastikan pendidikan dan prasarana mereka (terjamin).

MalaysiaKini.

- Banyak Tanah Rizab Melayu telah berpindah milik, sekarang masalah Tanah Rizab Orang Asli pula dicerobohi.

Isnin, 15 Mac 2010

Gajet seks dijual secara online



KEDAI menjual gajet seks turut beroperasi di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya.


SUBANG JAYA - Premis cenderamata di pasar raya di sini turut menjual gajet seks yang melampau secara online selain menjual gajet yang biasa secara terbuka.

Tinjauan Kosmo! mendapati, ada sesetengah pengusaha premis terbabit membangunkan laman sesawang sendiri bagi tujuan menerima tempahan pelanggan melaluinya.

Tempahan juga boleh diterima melalui khidmat pesanan ringkas dan e-mel selain melalui interaksi menerusi laman rangkaian sosial khas diwujudkan.

Kosmo!


Tarik balik pengecualian lesen premis jual cenderamata


KUALA LUMPUR - Pengecualian lesen terhadap premis cenderamata yang didakwa turut menjual gajet seks di pasar raya di ibu kota perlu ditarik balik.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPGM), Zainul Rijal Abu Bakar (gambar) berpendapat, ia menjadi punca pengusaha berselindung di sebalik premis mereka bagi menjual peralatan tidak bermoral.

Jumaat, 12 Mac 2010

Sanggup tidur di surau

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

2010/03/12

CYBERJAYA: Pengorbanan seorang bapa yang sanggup ‘berkampung’ kira-kira sebulan di surau sekolah hanya bagi menemani anaknya yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbaloi apabila pelajar itu diumumkan antara tiga pelajar terbaik di Sekolah Seri Puteri di sini, semalam.

Pendekatan dilakukan bapa Noor Khairin Nazifa Khalid, 18, dari Marang, Terengganu memberi sokongan moral kepadanya untuk melakukan yang terbaik bagi membalas jasa dan pengorbanan bapa yang sanggup meredah perjalanan sejauh kira-kira 400 kilometer semata-mata untuk menemaninya.

Noor Khairin berkata, bapanya Khalid Abdullah, 59, yang juga seorang kontraktor sanggup tinggal dalam keadaan tidak selesa di surau sekolah bagi memastikan dia sentiasa berada di samping anak bongsu lima beradik itu.

“Kehadiran ayah memberi sokongan kepada saya dan rakan lain untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Malah, rakan saya amat menyenangi kehadiran bapa yang dianggap sebagai pengganti ibu bapa masing-masing.

“Alhamdulillah, kejayaan memperoleh 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil hadiah paling istimewa untuk bapa dan ibu, Che Mek Kamariah Che Yem,” katanya.

Noor Khairin yang bercita-cita menjadi doktor gigi berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua atau kaedah tertentu selain memperbanyakkan belajar secara berkumpulan dan mematuhi jadual belajar yang dibuat bagi mendisiplinkan diri.

Selain Noor Khairin, dua lagi rakan sekelasnya Nur Syazwani Aiman Abu Bakar dari Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Nor Ashikin Mohd Tahir dari Seremban, Negeri Sembilan turut mengharumkan nama sekolah terbabit apabila memperoleh keputusan 9A+ dalam semua mata pelajaran.

Nur Syazwani berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh hasil usahanya yang bijak menyeimbangkan waktu belajar dan bersosial bagi mengelakkan diri tertekan terutama sebelum menghadapi peperiksaan.

Harian Metro

Gigitan cinta ustazah khalwat


2010/03/12

JOHOR BAHRU: Aksi dramatis ditonjolkan seorang guru agama wanita ketika cuba memperdayakan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) yang melakukan pemeriksaan di rumahnya gagal menyembunyikan aib sendiri apabila kesan gigitan cinta di lehernya menimbulkan curiga.

Biarpun beria-ia mendakwa tinggal bersendirian di rumah berkenaan sejak lima bulan lalu, temberang wanita berusia 27 tidak mampu bertahan lama.

Malah, penemuan dua kondom yang dipercayai baru digunakan dalam rumah berkenaan mengukuhkan lagi rasa curiga pihak berkuasa bahawa terdapatnya orang kedua dalam premis berkenaan.


Wanita yang mulanya berlagak bersahaja itu mula berubah riak wajahnya, menjadi semakin pucat apabila diasak dengan pelbagai soalan berhubung kesan merah di lehernya.


Dia mula mereka pelbagai cerita dengan mengatakan kesan berkenaan akibat digaru kerana gatal manakala kondom yang ditemui adalah milik rakannya yang dikutip sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Menurut sumber, selepas 20 minit berdolak-dalik, rahsia guru itu terbongkar dengan penemuan teman lelakinya bersembunyi di loteng.

“Berdasarkan maklumat orang ramai yang mendakwa perlakuan tidak senonoh guru agama itu dengan pasangannya, satu serbuan dijalankan di rumah teres, Taman Rinting, Masai jam 1 pagi.

“Hasilnya, kami menahan pasangan terbabit yang dipercayai berkhalwat dan tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau muhrim,” katanya.

Menurutnya, berlaku kekecohan apabila teman lelaki guru terbabit mendakwa kononnya sukar untuk turun dari loteng berikutan siling yang tinggi.

Harian Metro

Kes cerai talak tiga bukan difailkan Sultan Kelantan


Mac 11, 10 4:19pm

Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, hari ini mengesahkan bahawa kes perceraian talak tiga Sultan Kelantan terhadap isteri keduanya, Che Puan Elia Suhana Ahmad, bukan difailkan sendiri oleh baginda.

Ketua Pendaftarnya, Abu Bakar Abdullah Kutty berkata kes itu difailkan oleh seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, yang bertindak sebagai plaintif.

Katanya dari segi prosedur, pendaftaran itu sah dan pihak pendaftar mahkamah boleh menerima permohonan memfailkan kes perceraian itu tanpa mengira siapakah individu berkenaan.

"Soal keputusan sama ada perceraian itu sah atau tidak mengikut undang-undang Islam, bergantung kepada keputusan Mahkamah yang akan mendengar kes berkenaan.

"Saya hanya boleh mengesahkan menerima permohonan untuk mendaftar kes penceraian antara Sultan Kelantan dengan isteri keduanya, Che Puan Elia... berdasarkan dokumen dan fail yang ada pada saya... itu saja," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, hari ini, lapor Bernama.

Abu Bakar bagaimanapun enggan menjelaskan siapakah Nik Rorhana serta pertalian hubungan dengan Sultan Kelantan bagi membolehkan beliau bertindak memfailkan permohonan cerai itu.

Beliau diminta mengulas mengenai status kes tuntutan perceraian talak tiga yang didakwa difailkan oleh Sultan Kelantan di Mahkamah Tinggi Syariah, Selasa lalu.

Dua hari lalu, peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pihaknya telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap isteri kedua Sultan Kelantan, Elia Suhana di Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan.

Dalam kenyataan itu Zainul Rijal berkata mereka telah dititahkan oleh Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai berkenaan antara Tuanku dan Elia Suhana.

Zainul Rijal dalam kenyataan itu berkata baginda tuanku telah melafazkan sendiri cerai talak tiga tersebut terhadap Elia Suhana pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa saksi dan mahkamah menetapkan 21 Mac ini bagi mendengar permohonan berkenaan.

Abu Bakar berkata Nik Rorhana, dari Taman Petranis, Jalan Sultanah Zainab II, Kota Baharu, bertindak selaku plaintif manakala Elia Suhana dinamakan defendan.

"Tuanku bukan sebagai pihak yang mendakwa, tidak sebagaimana yang laporkan dalam media sebelum ini.

"Dari prosedur, kita boleh terima pendaftaran ini, sekiranya ada dalam peruntukan dan tidak dihalang oleh Perlembagaan," katanya. Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Elia Suhana, 31, musykil dengan kesahihan lafaz cerai yang difailkan oleh peguam suaminya semalam kerana beliau mendakwa pada ketika itu Tuanku Ismail Petra sedang gering.

Utusan memetik peguam Elia Suhana - Fakhrul Azman Abu Hasan - sebagai berkata, perkara tersebut disampaikan oleh anak guamnya itu selepas permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan dilaporkan secara meluas oleh media semalam.

Katanya, beliau telah memberitahu anak guamnya mengenai permohonan itu selepas membaca laporan akhbar.

Tarik rang undang-undang GST


Datuk Mahfuz Omar Mac 11, 10 10:42am
Kenyataan yang dibuat Persekutuan Pekilang Pekilang Malaysia (FMM) meminta kerajaan menangguhkan GST adalah bertepatan dengan keputusan yang dibuat oleh sidang meja bulat berkenaan isu GST yang dianjurkan oleh Lujnah Pengguna PAS Pusat.

Sidang itu disertai oleh pelbagai pihak yang turut membuat keputusan meminta kerajaan menangguh bacaan kedua rang undang undang GST di Parlimen pada sessi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula 15 Mac ini.

Penangguhan bacaan kedua ini bermakna kerajaan perlu menarik balik rang undang undang tersebut.

Tuntutan FMM itu juga boleh disifatkan sebagai undi tidak percaya masyarakat perniagaan terhadap kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Jika masyarakat perniagaan menolak GST sudah tentu masyarakat pengguna juga menolak GST. Ini bermakna kerajaan BN sedang menghadapi krisis kepercayaan rakyat terhadapnya.

Pandangan PAS dan FMM adalah jelas iaitu kerajaan perlu mengutamakan pengurusan kewangan negara yang amanah dan cekap serta menghentikan ketirisan kewangan negara sama ada melalui rasuah mahupun pemberian subsidi kepada IPP, syarikat konsesi lebuhraya dan lain lain.

Kerajaan juga perlu mengurangkan perbelanjaan projek pembanggunan melalui sistem tender terbuka serta menggandakan pendapatan kerajaan melalui tawaran tender terbuka AP motokar.

Kerajaan hendaklah terlebih dahulu memastikan pencapaian pendapatan yang lebih tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

Kerajaan tidak boleh hanya menjadikan alasan dangkal kononnya, negara di dunia sudah pun beralih kepada GST maka Malaysia perlu mengikutinya. Sedangkan perlaksanaan GST di negara lain setelah pendapatan rakyat negara mereka berada pada paras yang melayakkan mereka membayar cukai pendapatan.

Berlainan di Malaysia dari 12 juta pekerja hanya 15 peratus sahaja yang mencapai kadar pendapatan yang melayakkan mereka untuk dikenakan cukai pendapatan ataupun daripada 28 juta penduduk Malaysia hanya 6.4 peratus sahaja yang perlu membayar cukai .

93.6 peratus lagi rakyat Malaysia, pendapatan mereka tidak sampai pada kadar yang memerlukan mereka menjelaskan cukai pendapatan.

Ini bemakna jika GST dilaksanakan 93.6 peratus rakyat yang tidak perlu membayar cukai akan terpaksa berbuat demikian menerusi GST.

Oleh itu saya menuntut kerajaan pada 16 Mac ini membentangkan usul pada sidang Parlimen untuk menarik balik rang undang undang GST.

MalaysiaKini

Perhimpunan bantah GST di Parlimen Isnin ini


Abdul Rahim Sabri
Mac 12, 10
12:41pm
Satu perhimpunan aman bagi membantah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diadakan seperti yang dirancang Isnin ini, kata penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli.

Perhimpunan
aman itu akan diadakan selama sejam, mulai 9 pagi di sekitar kawasan jejambat Lebuh Raya Mahameru, berdekatan bangunan Parlimen, sebelum sidang baru Dewan Rakyat bermula, Isnin ini.

Dr Hatta menjangka kira-kira 2,000 orang akan menyertai perhimpunan itu termasuk ahli parlimen Pakatan Rakyat dan anggota pertubuhan hak asasi manusia dan parti-parti pembangkang yang membantah pelaksanaan GST.

"Pukul 10 kita akan bersurai kerana semua ahli parlimen akan membahaskan perkara ini di dalam dewan selepas itu.

"Semuanya sudah bersedia, tunggu untuk berhimpun sahaja," kata Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai.

Sebelum ini, Dr Hatta (kanan) dilaporkan berkata perhimpunan itu diharap berjaya menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang akan merasmikan perbahasan Dewan Rakyat.

Rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Dr Hatta Ramli juga dilaporkan berkata kumpulan berkenaan membantah pelaksanaan GST kerana ia membebankan golongan miskin. Ia berslogankan 'Cukai yang memiskinkan rakyat, Gagalkan sebelum terlambat'.

Sebelum ini juga, terdapat juga forum-forum dianjurkan oleh NGO dan parti politik, membantah pelaksanaan cukai tersebut.

Ketika dihubungi Ma
laysiakini pagi ini, Dr Hatta berkata tidak ada sebarang perarakan Isnin ini.

Menurutnya, segala persediaan untuk menjayakan perhimpunan itu termasuk persiapan dari sudut keselamatan turut dititikberatkan.

Mengulas lanjut, Dr Hatta yang akan mengetuai perhimpunan tersebut menjelaskan pihaknya tidak memohon permit kerana menyifatkan ia merupakan perhimpunan aman.

Ditanya sama ada pihaknya memaklumkan perkara itu kepada polis, Dr Hatta berkata: "Kita rasa mereka sudah tahu, perkara ini bukan rahsia lagi".

MalaysiaKini