Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 16 April 2010

Saya layak bertanding! - Faizal (Hiburan)




TIDAK habis-habis kontroversi membabitkan penyanyi terkenal Faizal Tahir. Terbaru, dia dikatakan bengang apabila terbaca sebuah artikel yang mempertikaikan kelayakan pencalonan album terbarunya yang berjudul Adrenalin ke Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM 17).

Disebabkan artikel itu juga, Faizal dikatakan terus meninggalkan pentas pada satu majlis selepas menyanyi sebuah lagu sedangkan dia seharusnya menyanyikan tiga buah lagu pada majlis tersebut.

Menjawab segala persoalan tersebut, Faizal yang ditemui selepas majlis sidang media AIM 17 yang mengumumkan pengacara, penyampai anugerah dan penyanyi yang membuat persembahan baru-baru ini menjelaskan, memang ramai orang yang keliru berikutan album tersebut hanya dilancarkan sekitar Mac lalu sedangkan syarat wajib untuk semua pencalonan AIM adalah album harus dikeluarkan pada tahun lepas.


FAIZAL menolak dakwaan dia mudah melenting dengan pihak media.


"Saya tahu ramai orang keliru saya layak bertanding atau tidak. Hakikatnya memang saya layak bertanding kerana album bentuk digital yang memuatkan tujuh lagu telah dikeluarkan pada bulan Disember tahun lepas, cuma album bentuk fizikal sahaja dikeluarkan pada tahun ini.

"Saya juga telah bertanyakan hal ini kepada Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson," ujarnya.

Tidak menyalahkan pihak yang mempertikaikan kelayakan albumnya itu, Faizal tahu, dia juga bersalah dalam hal ini kerana tidak mempromosikan album dalam bentuk digital itu semuanya gara-gara masalah kesihatannya yang berada di tahap kritikal pada tahun lalu.

"Saya akui, saya dan syarikat rakaman Monkey Bone pun bersalah kerana tidak mempromosikan album digital itu secara meluas menyebabkan ramai yang tidak tahu album saya telah dikeluarkan dalam bentuk digital terlebih dahulu.

"Sebenarnya album digital itu dikeluarkan terlebih dahulu kerana tidak mahu peminat menunggu begitu lama.

"Saya lagi mahu album berbentuk fizikal dikeluarkan secepat mungkin tetapi kerana masalah kesihatan, saya tidak dapat rakam keseluruhan lagu.

"Saya rasakan tujuh buah lagu tidak memadai untuk peminat, sebab itu bila kesihatan saya okey, saya terus rakam dua buah lagu lagi," katanya yang kini sudah semakin sihat.

Mudah melenting?

Seiring dengan namanya yang semakin ranum dalam industri muzik tempatan, Faizal kini dikatakan semakin mudah melenting dan tidak lagi boleh ditegur oleh pihak media.


FIGURA popular ini memberikan kebebasan kepada masyarakat untuk membuat penilaian tentang dirinya.


Menafikan perkara tersebut, Faizal sedar setiap tindak- tanduknya tidak boleh memuaskan hati semua pihak.

"Saya tidak boleh menjawab soalan itu. Kalau saya jawab takut bunyinya seolah-olah ingin menjaga hati orang lain dan imej diri.

"Terpulang kepada masyarakat untuk menilai saya ini penyanyi yang bagaimana," tuturnya yang pernah memenangi trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik menerusi album, Aku.Muzik.Kamu pada AIM 15.

Tambah Faizal lagi, sebagai manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan, dia juga melalui episod suram dalam hidupnya. Bukan setiap hari dia akan menjadi Faizal Tahir yang ceria.

"Saya juga melalui hari-hari yang membuatkan mood saya kurang baik, ada hari mood saya okey.

"Secara jujur sepanjang empat tahun saya rasa saya tidak mudah melenting atau sentap kerana saya sedar sebagai artis saya harus mengharunginya," ungkapnya.

Anak emas

Bertanyakan mengenai kelayakan album Faizal kepada Jennifer, dia menegaskan bahawa Adrenalin sememangnya layak untuk dicalonkan dalam AIM.

Kata Jennifer, dia pelik kenapa ramai yang mempertikaikan Adrenalin dan ingin menjelaskan hal sebenar supaya tiada pertikaian dan sebarang kekeliruan.

"Sebenarnya ketika Faizal sedang sakit, pihak Monkey Bone telah menghubungi saya dan memberitahu mereka tidak dapat memberi album Adrenalin sebelum tarikh tutup penyertaan tetapi sudah menyiapkan lima buah lagu.

"Jadi, saya pun cakap tak perlu risau. Memandangkan syarat penyertaan adalah lima buah lagu minimum, saya minta mereka mengeluarkan lagu-lagu yang telah siap secara digital dahulu," ujarnya.


BERTERUSAN. Majlis Anugerah Industri Muzik kali ke-17 menjanjikan kelangsungan usaha bagi memarbatkan penggiat dan muzik tempatan.


Tambahnya lagi, Faizal bukan anak emas seperti yang ramai katakan bahkan dia juga harus mengikuti proses yang sama seperti calon yang lain.

"Pihak Monkey Bone perlu menunjukkan bukti daripada syarikat-syarikat telekomunikasi bahawa mereka telah pun mengeluarkan lima lagu tersebut dalam bentuk digital berserta dengan salinan asal lagu-lagu tersebut.

"Ini sekali gus melayakkan Faizal untuk tercalon dalam kategori album kerana dia telah mengeluarkan lebih daripada lima buah lagu. Saya harap, kenyataan saya ini jelas dan tiada lagi kekeliruan pada masa akan datang," tegasnya.

Kosmo!

Menyamar ejen UiTM tipu pelajar


KAMPUS UiTM di Seksyen 17, Shah Alam.


SHAH ALAM – Satu sindiket penipuan terancang yang menawarkan tempat pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbongkar.

Sindiket berkenaan yang menyamar sebagai ejen pengambilan pelajar baru UiTM itu dikatakan membuat tawaran melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirim kepada remaja lepasan SPM secara rambang.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar semalam mendedahkan kewujudan ejen palsu itu yang dikesan telah menipu sekurang-kurangnya 10 individu di sekitar Seremban dan Melaka.

Katanya, setakat ini hanya seorang daripada 10 mangsa telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM500 kepada ejen berkenaan.

“Selepas disiasat, mangsa berkata, ejen ini mengenakan bayaran pendaftaran di antara RM2,160 hingga RM2,700.

“Ini sudah satu penipuan kerana UiTM hanya caj wang sumbangan di antara RM200 hingga RM400 semester bagi seorang pelajar,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Kosmo!


Peluit

Sekarang dah melalui talian terus di internet kenapa mesti mahu percaya SMS, ejen yang mencari jalan pintas ini. Hati-hati!.

Jumaat, 9 April 2010

Alamak, tikus pun nak masuk politik?


Ashadi Zain Mac 18, 10 4:25pm


Ini kisah si ahli politik,
Siang malam tergedik-gedik,
Demi jawatan sanggup berpekik,
Biarlah dirinya yang akhirnya dilantik.

Kawan-kawan memanggilnya Tikus,
Nafsunya mak oii… amatlah rakus,
Apabila sedikit cabaran tercetus,
Mulalah dia tunduk menikus.

Musuh Tikus baik orangnya,
Politik bersih menjadi amalannya,
Gelarannya “Pelopor”, hebat ideanya,
Ingin memajukan nusa dan bangsa.

Bagi Tikus, rasuahlah kawannya,
Makan duit rakyat, dialah juaranya,
Sambil berdiri memakai celana,
Tikus menari tak ingat dunia.

Pelopor cuba membanteras rasuah,
Orang benci dia tak kisah,
Dia memang politikus bermaruah,
Dia tak mahu jiwanya terjajah.

Ashadi Zain

Alamak, tikus pun nak masuk politik? - Bhg II
Ashadi Zain Mac 23, 10 10:02am
Projek sana, projek sini,
Suku-sakat Tikus gembira sekali,
Mendapat projek tanpa henti,
Tikus tersengih, kuningnya gigi.

Pelopor menilai dengan teliti,
Projek yang baik tetap di hati,
Dia ingin terus berbakti,
Rakyat mendapat manfaat yang pasti.

Rasuah bukan hanya duit,
Perempuan yang menggatal taklah sedikit,
Di kiri kanan Tikus perempuan tersepit,
Anak di rumah makan nasi hangit.

Pelopor tak tergoda oleh nafsu,
Rasuah ditawar dia tak keliru,
Khidmat pada rakyat setakat yang mampu,
Biar negara terus jitu.

Tikus anjur majlis di kawasan,
Dia tersenyum, penduduk tak hairan,
“Wah, ramainya datang memberi sokongan”,
Walhal yang datang hanya nak makan.

Ashadi Zain

Alamak, tikus pun nak masuk politik? - Bhg III
Ashadi Zain Apr 3, 10 12:40pm

Apabila Pelopor mengadakan majlis,
Penduduk menderma kacang buncis,
Biarpun hanya dihidangkan ikan bilis,
Orang sanggup datang dari Perlis,

Tikus berucap sangatlah panjang,
Sekali imbas, mukanya macam beruang,
Wajahnya penduduk tak ingin nak pandang,
Malah terasa seperti nak lempang.

Pelopor berucap dengan sederhana,
Ucapannya ikhlas, tiada pura-pura,
Ucapan disampaikan dengan bersahaja,
Penduduk mendengar turut gembira.

Tikus menjanjikan gunung yang tinggi,
Tatkala dituntut, Tikus pun lari,
Apabila tiba hari mengundi,
Pandai pula Tikus mempromosikan diri.

Pelopor tidak suka berjanji,
Melainkan ia dapat ditepati,
Biarlah runtuh langit dan bumi,
Menepati janji, itu yang pasti.

Ashadi Zain

Alamak, tikus pun nak masuk politik? - Bhg IV
Ashadi Zain Apr 9, 10 11:00am

Tatkala tikus dipanggil menteri,
Tikus menyapu bedak, biar wajahnya berseri,
Wajahnya ditenyeh dengan daun kari,
Kononnya biar lembutlah hati menteri.

Menteri juga memanggil pelopor,
Pelopor pun bergerak dari Johor,
Dalam perjalanan memakan pasembor,
Sebelum berjumpa menteri tersohor.

Tikus tiba di pejabat menteri,
Dia terpandang pegawai yang ranggi,
Mata terjegil memandang tuan puteri,
Menteri menyapa, dia suruh ke tepi,

Pelopor diam menunggu giliran,
Berjumpa menteri dengan tujuan,
Dia teringat nasihat dan pesan,
Supaya menjadi politikus beriman.

Akhirnya tikus malu tak sudah,
Menteri tengok mukanya makin menyampah,
Bibir menteri terasa nak menyumpah,
Tiba-tiba, tikus tunduk menyembah!

Ashadi Zain


Keadaan kesihatan Orang Asli menyedihkan


SM Mohamed Idris Mac 18, 10 5:47pm

Orang Asli merupakan komuniti paling terpinggir di negara ini terus mengalami kehilangan tanah mereka melalui penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim peladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana.

Hak Orang Asli ke atas tanah warisan tidak diiktiraf oleh negeri; oleh itu mereka semakin kehilangan tanah dan mengalami kemusnahan asas kewujudan mereka. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan.

Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka. Hari ini kira-kira 80 peratus daripada Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan rasmi.

Lihatlah petunjuk kesihatan berikut:

* Pada 1980-an jangka hayat ketika lahir dalam kalangan Orang Asli Semai ialah 35 tahun. (Untuk Malaysia Barat 68-72 tahun).

* Orang Asli mempunyai insiden tuberculosis dua kali daripada purata kebangsaan antara 1951 hingga 1971. Menjelang 1995 kadar bagi kanak-kanak Orang Asli ialah tiga kali purata di negeri Perak.

* Pada 1991 dan 1992, Orang Asli merupakan purata 48% daripada semua jangkitan malaria yang direkodkan di Malaysia Barat (kurang 1% daripada penduduk). Dalam beberapa tahun yang lalu mereka mempunyai purata lebih 70% daripada kes itu.

* Kematian bagi Orang Asli ialah 1% setahun bagi tempoh 1984-87, dua kali lebih tinggi daripada purata Malaysia Barat (0.5%)

* Kadar kematian bayi ialah 5.2%, lebih daripada tiga kali ganda purata Malaysia Barat (1.6%).

* Dalam kalangan wanita Malaysia yang bersalin di rumah pada 1994, 42 meninggal; 60% daripadanya (25) merupakan Orang Asli.

* Kajian 1995 menunjukkan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat di Malaysia Barat, dengan 35% daripada mereka mengalami kekurangan protein dan tenaga.

* Anemia meluas dalam kalangan wanita Orang Asli. Dalam satu kajian, wanita Orang Asli Temuan mempunyai purata paras haemoglobin 9.9 g/dl (gm/100ml) jauh lebih rendah daripada paras yang diterima iaitu 12-15 g/dl.

* Kajian lepas mendapati 23% hingga 68% daripada kanak-kanak Orang Asli mengalami kekurangan berat badan, manakala 41% hingga 80% terencat dalam pertumbuhan mereka.

* Ujian serological juga mendedahkan bahawa 82% daripada Orang Asli menunjukkan pendedahan terhadap penyakit yang berkait dengan virus dan denggi.

* Pada 1994, penyakit kusta adalah 23 kali ganda menjadi wabak dalam kalangan Orang Asli berbanding penduduk umum.

* Pada 1990, hanya 67 daripada 774 kampung Orang Asli (9%) mempunyai klinik perubatan.

Di sebalik penemuan yang mengejutkan ini, komuniti Orang Asli gagal untuk menerima perhatian yang mereka perlukan.

Hari ini, Orang Asli menjadi komuniti yang paling tidak sihat di Malaysia, satu gambaran status peminggiran mereka dalam masyarakat. Kekurangan zat makanan merupakan masalah serius dalam kalangan orang Asli, dan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat makanan di Malaysia Barat.

Ini adalah diakibatkan oleh kehilangan tanah pertanian dan tempat mencari makan, meningkatnya pencemaran sungai, diet yang tidak mencukupi; paras dan kekerapan mengalami jangkitan penyakit, jangkitan usus dan diskriminasi.

Wanita Orang Asli mempunyai paras kekurangan folate dan zat besi yang tinggi, dibebani dengan masalah cacing dan malaria. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan khasiat pemakanan dalam kalangan kumpulan yang paling terjejas iaitu wanita yang mempunyai anak kecil dan kanak-kanak.

Orang Asli selalu mencari makan dengan pelbagai sumber makanan malah apabila mereka menjadi 'petani' dan mereka menikmati kualiti makanan yang tinggi dengan pelbagai jenis yang menarik jika jarang-jarang dalam kuantiti yang banyak.

Memandangkan sumber makanan ini semakin merosot mereka dipaksa untuk membeli makanan moden seperti gula, tepung, susu pekat manis, makanan dalam tin, dan minyak masak yang semuanya mengakibatkan pemakanan yang tidak sihat, tidak seimbang dan sukar untuk diperolehi. Kajian mendedahkan anemia merupakan penyebab ketara penyakit dalam kalangan wanita Orang Asli; dan ibu-ibu mengandung serta goiter (keadaan bengkak pada kelenjar tiroid) dalam kalangan kanak-kanak tidak melihat sebarang perubahan antara 1951 dan 1995.

Kesihatan ibu-ibu mengandung merupakan perkara utama dalam kelangsungan hidup ibu-ibu mengandung dan bayi dan kesihatan yang amat penting kepada komuniti Orang Asli. Status pemakanan kanak-kanak Orang Asli dijelaskan sebagai buruk oleh pelbagai kajian. Pada 1987, didapati 54 peratus mengalami kekurangan berat badan dan 66 peratus terencat. Kajian lain mengesahkan bahawa kekurangan zat makanan yang meluas wujud dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli; dan kekerapan terencat adalah daripada 44 peratus dalam kalangan bayi hingga 80 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun.

Penyelidik telah merumuskan bahawa “status pemakanan kanak-kanak Orang Asli amat sangat berbahaya”. Disebabkan oleh kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang amat serius ditambah dengan cacing usus dan masalah lain, kanak-kanak Orang Asli berdepan kecacatan yang teruk terhadap perkembangan fizikal, intelektual dan sosial mereka.

Perangkaan kesihatan yang menyedihkan ini mendedahkan bahawa keadaan kesihatan yang menyedihkan serta kekurangan zat makanan bagi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak Orang Asli dalam kalangan komuniti Orang Asli perlu ditangani dengan segera.

Malah Hospital Orang Asli di Gombak hanya melihat sedikit perubahan. Struktur bangunan kayu 'sementara' di Hospital Gombak yang dibina pada 1959 oleh pekerja Orang Asli masih menempatkan pesakit.

Kakitangan hospital masih kekurangan kepakaran dalam pelbagai disiplin perubatan. Pendidikan kesihatan yang sempurna tidak ditangani oleh birokrasi perubatan pada masa ini untuk Orang Asli. Menurut Ketua Hospital Gombak, kesihatan Orang Asli tidak mendapat layanan yang baik oleh 'sikap kakitangan' di kemudahan perubatan itu.

Di bawah undang-undang, semua aspek kehidupan mereka 'diuruskan' oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pendek kata mereka dinafikan hak dengan mempunyai sedikit ruang untuk menyuarakan hal ehwal dan kehidupan mereka sendiri.

Komuniti Orang Asli mestilah terlibat dalam memutuskan keutamaan dan keperluan mereka memandangkan hanya mereka yang mengetahui masalah mereka dengan baik. Berhubung perkara ini, mobilisasi sokongan yang aktif dan penglibatan komuniti adalah menjadi asas kepada penambahbaikan kesihatan mereka.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

MalaysiaKini

Kecewa dengan doktor di Hospital Besar Melaka


Ridzuan Malik Mac 30, 10 7:21pm

Saya teramat kecewa dengan tindakan segelintir golongan doktor yang memberi rawatan secara tidak berhemah.

Pada Rabu, 17 Mac 2010 isteri saya telah buat temujanji untuk mendapatkan rawatan kulit.

Sebelum ini saya bekerja di luar negeri Melaka. Apabila saya pindah dan bekerja di Melaka, isteri saya membuat temujanji di Hospital Besar Melaka.

Pada tarikh tersebut saya tidak dapat menemani isteri untuk menerima rawatan tersebut kerana berkerja.

Isteri saya dan anak saya yang berusia satu tahun lebih telah pergi untuk menerima rawatan mengikut temujanji yang ditetapkan. Isteri saya pergi pada awal pagi, dan dimaklumkan menerima rawatan pada sebelah petang.

Apa yang mengecewakan saya, apabila menerima panggilan telefon yang mengatakan doktor yang pertama yang memberi rawatan kepada isteri saya sangat kurang ajar dan tidak melambangkan imej seorang doktor.

Adakah patut doktor tersebut bertanyakan jenis ubat yang biasa isteri saya dapat sebelum ini dari hospital sebelumnya?

Isteri saya memberitahu, dia tidak tahu jenis ubat tersebut oleh kerana ubat tersebut selalu bertukar dan dia bukanlah seorang yang memahami nama ubat tersebut dalam istilah perubatan. Katanya, jika Panadol itu tahulah dia.

Disebabkan dia tidak tahu nama ubat yang sering dimakan, dia dimarahi oleh doktor tersebut.

Isteri saya terasa tersangat malu apabila dimarahi dengan kata-kata yang kurang menyenangkan untuk didengar.

Saya amat kecewa dan cuba menjejaki doktor tersebut. Akhirnya dengan bantuan seorang rakan di kementerian kesihatan di Putrajaya, saya mendapat nama doktor itu.

Oleh kerana terlalu marah dan rasa kecewa saya kemudiannya mengarahkan isteri saya untuk pulang dan pergi ke hospital swasta untuk menerima rawatan susulan.

Apabila isteri saya baru mula beredar, seorang doktor perempuan yang mungkin juga bertugas di situ memanggil isteri saya untuk bertemu dengan beliau.

Kalau tak silap dengar namanya ialah Dr. Sonaly. Isteri saya bertemu dengan doktor itu yang disifatkannya sangat mesra, dan lemah lembut.

Menurut isteri saya, doktor itu bukan sahaja cantik malah berbudi bahasa. Itulah yang melemahkan hatinya yang sedang marah.

Malah beliau memberitahu isteri saya jika ingin membuat rawatan susulan bolehlah berjumpa dengannya.

Saya dengan kesempatan ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr.Sonaly dan juga rakan saya yang membantu.

Saya berharap tindakan yang tegas diambil ke atas doktor yang bersikap kurang ajar dan tidak mesra pesakit. Saya juga berharap pihak hospital juga tidak menempatkan doktor seperti itu di klinik-klinik yang akan bertemu pesakit secara langsung.

Ridzuan Malik
Melaka

Hulu S'gor: Rasuah ditaburi sebelum pilihan raya


Shamsul Iskandar Mohd Akin Apr 3, 10 6:01pm

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam tindakan desperado Umno-BN memenangi undi rakyat Hulu Selangor dengan menaburkan rasuah politik yang keterlaluan.

Ini dapat dilihat melalui kunjungan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor semalam, di mana kempen politik Umno-BN terus-menerus dilaksanakan di kalangan guru yang dipaksa berhimpun di sekolah tersebut.

Di dalam lawatan yang sama, Muhyiddin telah dilihat melaksanakan tiga janji pembangunan yang sama sekali bersifat politik iaitu:
  • mengumumkan penubuhan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di kawasan Hulu Selangor;
  • peruntukan RM2 juta untuk penyelesaian masalah banjir di Kampung Sentosa, Batang Kali; dan
  • peruntukan RM100,000 untuk pembaikpulihan dan pembelian van jenazah Masjid Al-Sajdin, Kampung Sentosa.

Pertamanya, ini jelas bercanggah dengan Perkara 10 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Pindaan 2006) yang menyebut seseorang didapati bersalah atas kesalahan melakukan sogokan apabila:

"tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk manamana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya."

Kedua, AMK melihat tindakan ini adalah satu tindakan terdesak yang sangat drastik, dalam keadaan penamaan calon baru sahaja diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini, dan itupun tarikhnya melangkau dua minggu dari tarikh semasa.

Tindakan menawarkan pembangunan 'mi segera' seumpama ini bukanlah sesuatu yang menghairankan dalam strategi Umno-BN untuk memancing undi, apatah lagi saban waktu pilihanraya kecil, rakyat setempat akan sentiasa ditawarkan ganjaran pembangunan yang mendadak meskipun pembangunan tersebut tidak dapat rakyat kecapi selepas 50 tahun pemerintahan Umno-BN.

DUN Batang Kali misalnya, merupakan kawasan DUN yang menjadi kubu kuat Umno-BN turun temurun, malah pernah melahirkan seorang Menteri Besar iaitu Tan Sri Muhammad Muhd Taib, tetapi jika dilihat keadaan semasa, ia jauh lebih mendukacitakan jika hendak dibanding dengan kawasan-kawasan di Pantai Timur seperti Kelantan yang diperintah oleh Pas-Pakatan Rakyat.

Apakah Umno-BN merasakan bahawa 'fasa pembodohan rakyat' yang mereka jalankan tahun demi tahun melalui taburan pembangunan mi segera seumpama ini mampu menawan hati rakyat di sebalik pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor selama dua tahun?

Rentetan daripada ini, AMK akan mengemukakan bantahan kepada SPR mengenai taburan pembangunan mi segera ini yang jelas merupakan satu bentuk rasuah politik yang sewajarnya dibendung oleh SPR dan SPRM.

Ini merupakan satu cabaran terbuka buat ketua pesuruhjaya SPRM yang baru, Datuk Abu Kassim Mohamed yang mahu mengembalikan keyakinan masyarakat ke atas integriti badan pencegahan rasuah itu.

AMK mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat secara 'gentleman' tanpa menggunakan sebarang instrumen kerajaan seperti kementerian kewangan dan unit penyelarasan pelaksanaan (ICU) untuk membanjirkan Hulu Selangor dengan projek pembangunan 'mi segera'.

Penulis adalah Ketua, Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Hargai 1Malaysia


Goh Hoe Hoe Apr 7, 10 10:40am

Saya bepegang kuat kepada 1Malaysia dan tidak percaya apa yang dikatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar bahawa gagasan itu terbitnya daripada konsep One Israel.

Pada saya ulasan Anwar adalah sesuatu yang merendahkan rakyat yang menafikan bakat dan kebolehan rakyat Malaysia.

Gagasan 1Malaysia dengan cogankata "Rakyat didahulukan , pencapaian diutamakan " diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah berlainan daripada fahaman
Zionist, Great German,Facistsm dan Dai Nippon (Great Japanese imperialism) yang berasakan fahaman perkauman yang sempit.

Sebaliknya Gagasan 1Malaysia adalah berasaskan perpaduan dalam pelbagaian dan lapan nilai murni yang universe merangkumi:
  • Kebudayaan
  • Ketabahan
  • Penerimaan
  • Pendidikan
  • Integriti
  • Meritokasi
  • Rendah hati
  • Kesetiaan


Gagasan 1Malaysia sejajar dengan perlembagaan dan rukunnegara. Ia juga satu panduan hidup yang sangat baik untuk rakyat.

Sejak dahulu rakyat menghargai kedamaian dan perpaduan dan telah membuktikan kepada dunia bahawa kemakmuran dan perpaduan dapat wujud dalam suasana yang penuh dengan kepelbagaian budaya.

Di tanah air yang kita scintai, kita boleh saksikan beratusan bunga berkembang, beratusan burung berkicau. Ini sumbangan terbesar Malaysia kepada dunia.

Malaysia adalah sebuah negara yang sangat bertuah, kita mencapai kemederkaan bukan melalui pertempuran militari tetapi secara damai.

Selepas kemerdekaan Malaysia terus maju dan makmur dalam keadaaan yang damai dan stabil.

Dasar apartheid tidak dilaksanakan 1Malaysia . Rakyat yang rajin dan berusaha sanggup memperkembangkan potensi dan mencapai kejayaan di Malaysia.

Sekolah berlainan aliran yang wujud bersama sama adalah bukti yang kukuh.

Kepalgaian kebudayaan, sistem eco, sumber ekonomi dalam suasana social dan politik yang
stabil menjadikan Malaysia tempat yang menarik pelabur dan pelancong

Oleh itu saya ingin menyeru kepada semua rakyat berpegang kuat kepada gagasan 1Malaysia kerana ia adalah jalan yang memastikan kita dapat terus maju dan makmur dalam abad ini yang penuh dengan cabaran.

Masa yang diambil untuk membina Melaka adalah beratusan tahun tahun, tetapi kota Melaka dirobohkan dalam kurang tiga hari.

Bersatu teguh, berpecah roboh. Marilah kita bersatu hati memperkukuhkan perpaduan untuk memperkasakan negara kita di persada dunia,

Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang tidak patut membuat ulasan secara tidak bertanggung jawab dan juga tak seharus membangkang semata mata untuk membangkang.

Ulasan yang dibuat secara tidak bertanggung jawab adalah sesuatu yang mengelirukan rakyat dan menghalang negara daripada maju.

MalaysiaKini

Kisah Benar: Mengapa saya tinggalkan Malaysia?


Aidila Razak
Apr 9, 10
3:56pm

Situasi modal insan di Malaysia tidak bertambah baik kerana negara kehilangan tenaga kerja mahir yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan di masa depan.

Banyak tenaga kerja mahir Malaysia meninggalkan negara untuk mencari peluang lebih baik di negara lain dan menurut anggaran Kementerian Sumber Manusia pada 2008 - kira-kira 350,000 dewasa Malaysia bekerja di luar negara.

Lebih separuh daripada mereka lulusan institusi pengajian tinggi.

Sebagai reaksi terhadap Model Ekonomi Baru yang memfokus untuk membawa balik bakat-bakat negara itu kembali ke negara, Malaysiakini meninjau pandangan golongan itu untuk mengenal-pasti punca mereka meninggalkan negara.

Berikut luahan mereka.

Kami juga ingin mendengar cerita anda. Emailkannya kepada editor@malaysiakini.com atau bahasa-editor@malaysiakini.com

Farid Tan, 53, presiden dan CEO, Metro City Bank, Atlanta, Georgia. Meninggalkan Malaysia dengan keluarganya pada 1993.

Ketika itu saya berkerja dengan Bank Bumiputera dan ditukarkan ke pejabat di New York untuk selama enam tahun.

Selepas itu, saya menimbangkan untuk pulang pada 1999 tetapi ketika itu berlakunya krisis Ekonomi Asia dan keadaan menjadi tidak menentu.

Tetapi jika diimbas kembali, jika tiada krisis sekalipun, saya tidak fikir saya akan kembali ke Malaysia kerana demi pendidikan anak-anak. Selain itu, saya juga mempunyai pekerjaan di sana.

Lebih banyak peluang di Amerika. Saya tidakpun memiliki ijazah tetapi boleh bersama sekumpulan pelabur, memohon lesen untuk membuka sebuah bank.

Saya tidak akan dapat peluang sedemikian di Malaysia. Di Amerika, jika segala peraturan dipatuhi, tiada sesiapa yang boleh berkata 'Tidak' kepada anda.

Tiada karenah birokasi ataupun keperluan pertalian politik.

Edlina Razak, 34, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Shanghai, China. Berhijrah sebagai pelajar sejak 1993 dan pernah tinggal di Perancis dan Hong Kong.

Saya tidak akan kembali, setidak-tidaknya dalam tempoh terdekat ini. Keputusan saya ke luar negara kerana saya tidak yakin dengan universiti tempatan dan pada masa yang sama ketika berusia 17 tahun saya mahu kebebasan daripada keluarga dan masyarakat.

Saya masih ingat pada satu malam semasa keluar dengan rakan-rakan, di negara ini, kami ditahan polis. Mereka mengancam untuk melaporkan kepada ibu bapa kami yang kami keluar sehingga larut malam yang secara tidak langsung polis sebenarnya cuba mendapatkan sogokan.

Saya tidak akan kembali walaupun ditawarkan gaji yang lebih tinggi di Malaysia kerana berpendapat hidup lebih bagus di luar negara sekalipun jika gajinya kecil.

Isabel Lee (nama ditukar atas permintaannya), 26, Peguam, Singapura. Menuntut dan bekerja di luar negara sejak 2004.

Saya memilih untuk tinggal di Singapura kerana ia adalah hab perniagaan dan kewangan.

Jumlah kerja serta kualiti projek berskala besar yang kami dapat memberi saya pengalaman yang tidak ternilai yang tidak boleh didapati di Malaysia.

Saya tidak fikir rakyat Malaysia begitu progresif dan mereka tidak begitu agresif kerana sebegitu selesa.

Saya mahu persekitaran yang saya boleh memperbaiki diri saya dan juga cabaran.

Jacqueline George, Akauntan, 26, Brisbane, Australia. Berpindah pada 2006 untuk melanjutkan pelajaran dan kembali seketika di Malaysia selama setahun sebelum mengambil keputusan untuk terus menetap di Australia.

Saya percaya bahawa setiap generasi mesti berupaya menjadi lebih baik daripada generasi sebelum mereka.

Keturunan saya berasal dari India dan mereka bekerja keras untuk mengubah hidup kami.

Saya berpendapat jika saya terus tinggal di Malaysia, paling tinggi saya cuma boleh berjaya seperti apa yang dicapai oleh ibu bapa saya.

Tetapi jika semua aspek diambil kira, punca meninggalkan negara adalah kerana tidak gembira dengan gaji yang ditawarkan, cara hidup, keselamatan dan sebagainya.

Khoo Gaik Cheng, 41, Pensyarah di Universiti Kebangsaan Australia, Canberra, Australia. Menuntut dan bekerja di Amerika Syarikat, Kanada, Singapura dan Australia sejak 1990.

Tidak seperti di Malaysia, kaum minoriti di Australia dihargai.

Saya tidak akan kembali selagi tidak berlaku perubahaan kepada sistem di negara ini.

Bercakap secara khusus mengenai akademik, saya mahu melihat pemikir yang progresif, mereka yang cekap, tidak mengamalkan rasuah, berwawasan, mengetuai pelbagai jabatan di universiti sebagai dekan dan naib canselor.

Saya tidak mahu melihat orang yang dilantik oleh Umno atau BN mengisi jawatan penting di universiti yang hanya menjaga kepentingan parti dan bukannya universiti ataupun rakyat Malaysia.

MalaysiaKini

Khamis, 8 April 2010

Membela pendidikan pedalaman Sabah (Ceritera)


ROMBONGAN Mohd. Puad ke lima buah sekolah pedalaman di Pensiangan, Sabah terpaksa melalui tiga batang sungai yang cetek hingga terpaksa mengangkat dan menolak perahu.


"TAK kenal maka tak cinta." Itulah ungkapan yang sering bermain dalam fikiran Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang selama ini hanya mendengar keluhan rakyat Sabah dari jauh terutama yang berkaitan masalah sekolah di kawasan luar bandar di negeri itu.

Berbekalkan keazaman untuk membela nasib warga pendidik dan pelajar sekolah di luar bandar, rombongan Kementerian Pelajaran baru-baru ini melakukan satu perjalanan yang jarang sekali dilakukan oleh orang Kuala Lumpur.

Mohd. Puad dan rombongannya sanggup berjalan kaki menyusuri sungai, bukit-bukau dan meredah hutan belantara sejauh 12 kilometer (km) dari Kampung Kuala Sinapar, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, Pensiangan yang terletak berhampiran dengan sempadan wilayah Kalimatan Timur, Indonesia.

Sebaik tiba di SK Saliliran, rombongan Mohd. Puad menyelami cara hidup dan pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk terutama berkaitan pendidikan dan keciciran pelajar.

"Selama ini saya hanya dengar keluhan rakyat di sini melalui wakil rakyat mereka dan hari ini saya lihat rungutan mereka ternyata berasas.

"Saya amat bertuah berada di sini. Walaupun baru sampai saya dapat merasakan apa yang orang kampung harapkan selama ini, kita perlu tolong mereka," katanya kepada pemberita yang mengikuti beliau ke kawasan terpencil itu.

Program turun padang memberi harapan baru kepada penduduk luar bandar khususnya di daerah Nabawan. Daerah kecil Pegalungan dan perkampungan sekitar Pensiangan terletak di bawah jagaan Pejabat Daerah Nabawan.

Selama ini hanya mereka yang tahan dan bersemangat mampu meneruskan pendidikan sehingga ke sekolah menengah di Nabawan atau di Keningau iaitu dua bahagian pedalaman di Sabah.

Sempena lawatan kerja selama tiga hari itu, Mohd. Puad mengumumkan pembinaan lebih banyak asrama di kawasan luar bandar dan sebuah sekolah menengah rendah di pekan Pensiangan, sebuah kawasan strategik yang pernah menjadi pusat pentadbiran bagi daerah Pensiangan Nabawan satu ketika dahulu.

"Pembinaan asrama ini amat penting bagi mengatasi masalah murid yang terpaksa berjalan kaki meredah hutan ke sekolah. Terutamanya pelajar atau murid SK Saliliran yang terdiri daripada penduduk Kampung Saliliran, Kampung Lilimpi, Kampung Siubol, Kampung Holobon, Kampung Tampuluk dan Kampung Malalia.

"SK Saliliran adalah sekolah pilihan mereka kerana di sekitar kawasan itu tidak ada sekolah rendah dan kedudukan geografinya yang berbukit-bukau dan berjauhan antara satu dengan yang lain," kata beliau. Berdasarkan tinjauan, antara kekangan utama mengapa berlakunya keciciran ialah faktor kemiskinan serta jarak sekolah yang jauh dari kampung asal pelajar.

Sebenarnya, isu seumpama inilah yang cuba diatasi segera oleh Kementerian Pelajaran yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat termasuk di luar bandar, yang jelas menuntut pengorbanan besar termasuk mengadakan program turun padang seperti yang dilakukan di Nabawan.


MOHD. PUAD beramah mesra dengan murid-murid berketurunan Murut di Sekolah Kebangsaan Tinanduk dalam siri lawatannya ke enam buah sekolah di pedalaman Pensiangan, Sabah baru-baru ini.


Mohd. Puad berkata, sebagai contoh murid dari Kampung Kabu iaitu kampung yang bersempadan dengan Lumbis, Indonesia di Nabawan mengambil inisiatif menjadikan sebuah rumah guru sebagai asrama. Penduduk kampung secara bergilir-gilir setahun sekali akan menjaga penghuni asrama itu.

"Hanya apabila cuti sekolah, mereka akan pulang ke kampung dengan meredah hutan selama lapan jam dan berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika dalam perjalanan termasuk ancaman binatang buas," katanya.

Kos pengangkutan

Mohd. Puad berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab dalam soal pendidikan beliau akan memastikan masalah yang dihadapi murid dan warga pendidik di sekolah-sekolah terpencil diatasi.

Sementara itu, Antabu Enih yang merupakan Ketua Kampung Kabu menyambut baik cadangan kerajaan untuk membina sebuah sekolah menengah di kawasan itu.

"Dengan adanya sebuah sekolah menengah di kawasan ini sudah pasti lebih ramai pelajar dari mukim ini dapat meneruskan pelajaran di peringkat sekolah menengah.

"Untuk bersekolah di Nabawan, ia memerlukan perbelanjaan yang cukup besar termasuk kos pengangkutan yang tinggi. Sebab itulah ramai pelajar yang tercicir dan apabila ada sekolah menengah di Pensiangan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami," kata Antabu.

Antabu mempunyai dua orang anak bersekolah di Nabawan. Tidak lama lagi seorang lagi anaknya akan masuk ke alam persekolahan. Anak sulungnya kini bersekolah di Indonesia yang terletak di kawasan sempadan Pensiangan-Kalimatan Timur dan menumpang dengan saudara-mara.

Bagi Pengerusi JKKK Kampung Saliliran, Agim Sula, perhatian yang diberi oleh kerajaan untuk membangunkan rakyat melalui pendidikan dapat dilihat daripada kesungguhan yang ditunjukkan oleh Mohd. Puad yang sanggup berjalan kaki untuk melihat sendiri keperluan penduduk di kawasan itu.

Selain SK Saliliran, Mohd. Puad turut melawat SK Kuala Salong, SK Pensiangan, SK Loggongon, SK Tinanduk dan SK Sibanggali dalam lingkungan kawasan daerah kecil Pagalungan.

Turut menyertai rombongan itu ialah Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin, Ketua UMNO Pensiangan, Datuk Abdul Ghani Datuk Yassin dan Pegawai Pelajaran Daerah Nabawan, Osman Aganduk. - Bernama

Kaji sambung LRT ke Kajang, Sungai Buloh (Ceritera)


PENDUDUK Kajang dan Sungai Buloh mungkin akan turut menikmati perkhidmatan LRT. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengkaji cadangan supaya laluan Transit Aliran Ringan (LRT) yang baru iaitu dari Cheras dan Kota Damansara disambung sehingga ke Kajang dan Sungai Buloh sejauh 16 kilometer.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, sambungan dari Kota Damansara ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sungai Buloh sejauh tiga kilometer bertujuan menyediakan integrasi lebih baik dengan perkhidmatan komuter di sebelah utara.

Bagi sambungan dari Cheras hingga Kajang sejauh sembilan kilometer pula bertujuan untuk mengintegrasikannya dengan perkhidmatan komuter KTMB di sebelah selatan.

"Laluan LRT baru ini juga akan mempunyai jajaran tambahan dari Uptown Damansara Utama ke Kelana Jaya sejauh empat kilometer bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Damansara-Puchong," katanya.

Kosmo!

Kes Bentley didengar 9 Jun (Ceritera)


INILAH kereta Bentley yang menjadi pertikaian antara Tengku Muhammad Faris dan Tengku Muhammad Fakhry.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Jun bagi mendengar permohonan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Sultan Ismail Petra untuk mengenepikan saman adinda baginda, Tengku Muhammad Fakhry berhubung pemilik benefisial sebuah kereta Bentley Brooklands berharga RM1.6 juta (S$706,880).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Zabariah Yusof akan mendengar permohonan itu.

Penolong kanan pendaftar, Suzarika Sahak menetapkan tarikh itu dalam kamar semalam di hadapan peguam P. Vadivu yang menyebut bagi pihak peguam Tengku Muhammad Fakhry, Datuk Mohd. Haaziq Pillay dan Idza Hajar Ahmad Idham yang mewakili Tengku Muhammad Faris.

Vadivu berkata, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak supaya mengesahkan afidavit mereka sebelum 13 April ini.

Kosmo!