Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Ahad, 16 Mei 2010

Zakar tidak terangsang


Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
tanyadrxy@bharian.com.my

Soalan:


SAYA sangat risau sekarang. Ini kerana sejak lebih dua minggu lalu, zakar saya sukar menegang. Malah, boleh dikatakan ia tidak menegang langsung.
Selalunya, pada awal pagi zakar saya menegang tetapi sekarang tidak. Puas saya cuba merangsangkannya seperti berkhayal tetapi masih lembik. Apakah ini sesuatu yang normal dan biasa dihadapi lelaki?

Jawapan:

ADA dua kategori utama penyebab masalah disfungsi erektil (erectile dysfunction). Jika saudara tergolong dalam kategori umur muda dan tidak mempunyai masalah kesihatan lain, punca utama adalah psikogenik. Ini disokong dengan fakta kegagalan mendapat ereksi secara tiba-tiba malah ereksi tidak boleh dirangsang langsung.

Faktor yang menyumbang kepada masalah psikogenik ini boleh terjadi secara disedari atau tidak. Ini termasuk stress, masalah kewangan atau perhubungan. Masalah ereksi yang saudara baru hadapi ini juga boleh menimbulkan tekanan yang mampu memburukkan keadaan.
Kategori kedua adalah organik iaitu masalah ketegangan zakar berpunca isu kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kekurangan hormon testosterone. Masalah ini sering terjadi pada golongan pertengahan umur termasuk mereka yang mengalami masalah kesihatan yang dinyatakan. Bagaimanapun, masalah ereksi pada golongan ini berlaku secara perlahan-lahan dan tidaklah mendadak dalam tempoh tiga minggu seperti yang dialami saudara.

Nasihat saya, cuba kenal pasti faktor yang boleh menimbulkan tekanan. Lakukanlah aktiviti yang boleh mengurangkan stress seperti bersenam. Jika saudara merokok, hentikannya kerana merokok akan menjejaskan fungsi ereksi. Ketika ini, elak cuba memaksa zakar menegang sama ada dengan cara stimulasi manual atau sebagainya.

Jika belum pernah mendapatkan pemeriksaan kesihatan, saya nasihatkan saudara mendapatkan saringan kesihatan untuk penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi kerana ia boleh menyerang golongan muda. Masalah ketegangan zakar psikogenik lazimnya bersifat sementara dan tidak memerlukan ubat. Namun, ada pakar urologi memberikan ubat PDE 5 inhibitor untuk mendapatkan apa yang dikenali sebagai placebo effect iaitu kesan secara tidak langsung. Apabila ketegangan pulih, pengambilan ubat dihentikan.

Saudara juga dinasihat tidak membeli ubat yang tidak diiktiraf di pasaran terbuka atau melakukan urut seperti urut batin yang akan menimbulkan banyak komplikasi. Jika masalah ini berlarutan, saudara perlu berjumpa pakar urologi.

Jumaat, 23 April 2010

Ilham Centre: Melayu berpendapat BN menang


Apr 23, 10 5:31pm

Kaji selidik terbaru yang dijalankan oleh Ilham Centre mendapati pengundi Melayu berpendapat Barisan Nasional akan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Ahad ini.

Hampir 40 peratus dari keseluruhan responden yang ditinjau meramalkan kemenangan berpihak kepada BN manakala hanya 16 peratus yang yakin PKR mampu membuat kejutan.

Namun tinjauan itu juga mendapati kebanyakkan pengundi masih belum dapat menyatakan pendirian dan menjangkakan pertembungan sengit.

BN dikatakan masih mendahului PKR di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman terutama di kawasan atau kampung majoriti Melayu , termasuk di Felda.

Namun begitu, pola sokongan dan trend pengundian seakan berpihak kepada Pakatan Rakyat-PKR terutama di lokaliti bandar dan di kalangan pengundi muda.

Prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat dilihat juga memberi kesan kepada keputusan pengundi pada Ahad ini.

Bancian itu juga mendapati lebih 34 peratus pengundi Melayu menganggap dasar kebajikan baru yang diperkenalkan dan diberikan oleh kerajaan Selangor amat penting bagi mereka serta sangat wajar diteruskan.

Antrara program itu termasuk projek Usia Emas, Tawas, pemberian air percuma.

Calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, bagaimanapun dikatakan masih mempunyai peluang untuk menang tetapi berdepan dengan laluan yang sukar kerana diserang secara peribadi.

Namun begitu, lebih 50 peratus daripada responden tidak bersetuju dengan kempen yang berbentuk serangan peribadi dan bersifat provokatif pada pilihan raya kali ini.

Mereka menganggap kempen BN kali ini dianggap terdesak.

Sebanyak 36 peratus pengundi Melayu itu juga tidak bersetuju dan berpandangan bahawa penggunaan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri dalam pilihan raya adalah tidak wajar manakala 29.5 peratus yang bersetuju.

Selain itu, menurut bancian itu, kemenangan Zaid sangat bergantung kepada keupayaan dan keberkesanan jentera parti PKR sendiri.

Sokongan kepada BN dilihat ketara di kawasan luar bandar terutama Felda dan kampung Melayu adalah disebabkan oleh keupayaan jentera BN beroperasi serta bergerak kerja.

Selasa, 20 April 2010

Kesalahan Meminum Arak adalah Kesalahan Had

Kesalahan meminum arak adalah termasuk dalam bab hudud. Kalimah had atau hudud ini bermakna hukuman kepada pelaku maksiat yang melanggar hak Allah. Dalam hudud, tidak ada pemaafan, baik dari hakim mahupun si pendakwa. Malah tidak ada sesiapapun boleh mengampunkannya walau pemerintah sekalipun. Ini kerana hudud merupakan hak Allah secara mutlak. Oleh itu, siapa pun tidak boleh menguggurkannya dalam apa jua bentuk dan keadaannya [Nizhamul Uqubat, Abdul Rahman Al-Maliki, hal 12]. Arak diharamkan berasaskan dalil yang qathi’e di dalam Al-Quran, As-Sunnah dan juga Ijmak Sahabat. Firman Allah,


“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan...” [TMQ Al-Maidah (5):90].


Adapun uqubat (hukuman) untuk peminum arak juga telah dinyatakan dengan jelas oleh hadis Nabi SAW dan juga Ijmak Sahabat iaitu peminum arak wajib disebat sama ada 40 atau 80 kali sebatan. Imam Tarmizi mengeluarkan dari Abi Said,


“Bahawa Rasulullah SAW memukul (para peminum khamar) sebanyak 40 kali dengan pelepah kurma”.


Dalam hadis lain dari Abi Said,


“Pada masa Rasulullah SAW (peminum) khamar disebat 40 kali dengan pelepah kurma, ketika masa Umar, pelepah kurma diganti dengan cambuk”.


Dari al-Husain bin al-Mundzir bahawa Ali ra pernah mencambuk Walid bin Uqbah 40 kali kerana telah minum khamar. Kemudian ia berkata,


“Nabi SAW pernah memukul (peminum khamar) 40 kali, Abu Bakar 40 kali, Umar 80 kali, dan kesemuanya itu adalah Sunnah, namun ini (40 kali) yang paling aku sukai.” [Sahih Muslim].


Manakala bagi seorang peminum arak tegar dan telah dikenakan had (disebat) pada setiap kali minum, kemudian masih mengulanginya lagi, sekiranya pihak penguasa memandang perlu bahawa ia dibunuh, maka hal itu boleh dilaksanakannya. Dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda,


“Jika ada seseorang mabuk (kerana minum arak), maka deralah ia, jika ia mengulangi, maka deralah (lagi) ia, jika mengulangi (lagi), maka deralah (lagi) ia’. Kemudian pada kali keempat, baginda bersabda, ‘Jika ia (masih) mengulangi (lagi), maka hendaklah kalian tebas batang lehernya” [Hasan Sahih: Ibnu Majah & Nasa’i].


Sesungguhnya masih banyak hadis-hadis senada lainnya yang menjelaskan jumlah sebatan sebanyak 40 atau pun 80 kali. Perlu diingat bahawa tidak boleh melakukan sebatan dengan jumlah di antara keduanya (41-79), kerana tidak ada nas yang menjelaskan atau membolehkannya.


Justeru, hukuman terhadap peminum arak adalah terlalu jelas iaitu sama ada 40 kali atau 80 kali sebatan. Tidak boleh 6 kali dan tidak ada hukuman denda. Malangnya pemimpin, ulama dan sebahagian besar dari umat Islam kini terperangkap dengan isu 6 kali sebatan dan isu penangguhan. Walhal sesungguhnya hukuman 6 kali sebatan dan denda RM5,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah adalah langsung tidak syari’e. Inilah isu sebenar yang patut dibincangkan oleh umat Islam (yakni) sama ada hukuman tersebut benar-benar bertepatan dengan hudud atau tidak. Dalam kes ini, jelas bahawa Mahkamah Syariah telah menjatuhkan hukuman buatan manusia (bukannya hukuman Islam) ke atas Kartika. Sebatan 6 kali adalah undang-undang ciptaan manusia, bukannya undang-undang ciptaan Allah. Jika hukuman sebatan adalah sebanyak 39 kali sekalipun, ini tetap undang-undang kufur dan ia amat jauh sekali dari Islam, kerana tidak ada nas yang menetapkannya sebanyak 39 kali. Kita tidak boleh berhujah bahawa ia menghampiri hudud kerana ia langsung bukan hududullah. Sama dengan kes zina di mana jika penzina dijatuhkan hukuman sebat 99 kali, maka ini sesungguhnya bukan hukuman Allah dan langsung jauh dari hukuman Allah, malah adalah satu bid’ah jika ia dikatakan dari Islam. Begitu juga dengan denda RM5,000. Ini adalah undang-undang ciptaan akal manusia, bukannya undang-undang yang datang dari wahyu! Sayang sekali tidak ada seorang pun yang mempertikaikan hukuman denda ini walhal ia sama sahaja statusnya dengan hukuman 6 kali sebatan, kedua-duanya adalah batil kerana bertentangan dengan nas-nas yang qath’ie.


Adapun dari aspek kaifiyat (cara) bagaimana hukuman dijalankan, hudud itu tidak dijatuhkan kecuali bagi orang yang sudah baligh dan berakal, baik lelaki atau wanita, baik muslim mahupun zimmi. Orang yang dikenakan hudud tidak ditelentang atau ditelanjangkan ketika hukuman dijatuhkan. Hal ini berdasarkan perkataan Ibnu Mas’ud,


“Dalam agama kami tidak ada penelentangan, pengikatan, juga tidak ada penelanjangan”.


Tidak diperkeras pukulannya, yakni tidak memperkeras sebatan, sebab yang dimaksud di sini adalah mencegah untuk mencederakannya. Pemukul juga tidak boleh mengangkat tangannya hingga terlihat ketiaknya. Hendaknya berusaha untuk memukul badan. Wajib menjaga kepala, wajah, kemaluan serta anggota badan yang boleh mematikan (bila dipukul) seperti jantung dan testis. Pemukulan terhadap organ tersebut kadang-kadang boleh mengakibatkan kematian atau melenyapkan fungsi organ tersebut. Kaum wanita diperlakukan sebagaimana lelaki akan tetapi dipukul dengan posisi duduk. Ali ra berkata,


“Perempuan dipukul dengan (posisi) duduk, (sedangkan) lelaki dengan berdiri” [Nizhamul Uqubat, Abdul Rahman Al-Maliki].


Demikianlah serba sedikit kaifiyat hukuman yang dapat diterangkan di dalam ruang yang serba terbatas ini.


Khatimah


Wahai kaum Muslimin! Tidak menjalankan hududullah merupakan satu kemaksiatan besar kepada Allah, apatah lagi jika menolak penerapannya. Celakalah bagi orang yang mempertikaikan atau menolak hudud Allah dan mereka pasti tidak akan selamat di padang Mahsyar nanti. Kes Kartika ini menjadi salah satu dari ribuan bukti bagaimana hukum Allah dicampakkan sewenang-wenangnya oleh pemimpin sekular dan menjadi bukti betapa tidak syariahnya Mahkamah Syariah. Apakah kita masih mahu membiarkan pemimpin yang rosak dan sistem yang rosak ini terus menaungi kita? Apakah kita masih tetap mahu berpeluk tubuh melihat agama Allah diperkotak-katikkan oleh golongan sekular? Bangun dan berjuanglah wahai mereka yang masih ada keimanan dan sayangkan Islam. Ayuhlah kita sama-sama berusaha mengembalikan sistem pemerintahan Islam (yakni) Sistem Khilafah, yang akan menerapkan hukum dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya secara kaffah.

PAS: Semua mantan PM kecuali Pak Lah minum arak


Jimadie Shah Othman
Apr 20, 10
3:12pm

BN digesa menghentikan serangan peribadi terhadap calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim - dengan terus mengaitkannya dengan isu minum arak - kerana perkara tersebut "melampau batas" dan menjadi budaya dalam Umno, parti terasnya sendiri.

Menyifatkan kempen sebegitu sebagai "tiada kelas", Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali mendakwa, semua perdana menteri Malaysia - kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi - terlibat dengan pengambilan minuman beralkohol.

"Tak ada seorang pun daripada mereka itu yang tak pernah minum arak, kecuali (Abdullah) Badawi. Pak Lah saya akui, yang saya tahu, tak minum arak.

"Tetapi empat yang lain ini semua terlibat. Ada yang saya tengok dengan mata saya sendiri terlibat," katanya yang juga bekas pengarah pilihan raya pusat PAS.

Bercakap dalam sidang media di pejabat agung parti itu di ibu negara tengah hari ini, Mustafa turut mendakwa, selain meminum arak, tiada pemimpin utama Umno yang bebas daripada tiga lagi "dosa", iaitu "rasuah, judi dan perempuan."

"Kadangkala empat (dosa) sekali gus ada pada seorang," katanya yang mengaku mengetahuinya kerana pernah berada dalam kerajaan ketika parti itu bergabung dalam BN sekitar tahun 70-an.

Bagaimanapun, Mustafa memberi jaminan, PAS tidak akan mengikut rentak parti lawan dengan mengambil pendekatan yang sama kerana strategi tersebut "orang PAS tidak pernah buat".

"Tidak, tidak, tidak. Maknanya nak beri tahu, kalau PAS nak main isu ini, dah lama dulu PAS boleh main. Tetapi PAS tak buat, kita jaga etika.

"Tetapi saya nak bagi tahu, kamu (Umno) main isu Zaid ini, kalau kita (PAS) hendak main, kita boleh sebut.

"Ini apa yang kamu buat dulu, sekarang pun kamu masih terus (terlibat)," katanya ketika disoal sama ada PAS akan mengikut rentak yang sama dengan Umno selepas ini.

Ditanya sama ada PAS mahu menjadikan isu tersebut sebagai "peluru terakhir" dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor kali ini, Mustafa sambil ketawa berkata:

"Tengoklah kalau (mereka) agas (sombong) sangat."

Katanya, isu melibatkan peribadi silam Zaid sengaja dimainkan Umno kerana parti itu tidak mempunyai sebarang lagi itu untuk "memukul" Zaid.

Mustafa juga berkata, selain Zaid, dua lagi pemimpin Pakatan yang sering menjadi mangsa serangan peribadi dalam kali ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim sendiri.

"The Ibrahim brothers (adik-beradik Ibrahim)," guraunya lagi.

Isnin, 19 April 2010

Zaid: Minum arak cerita lama


Aidila Razak
Apr 18, 10
7:58pm

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Zaid Ibrahim hari ini membidas Barisan Nasional yang menyerangnya secara peribadi.

Katanya, dakwaan beliau meminum arak adalah cerita lama.

"Itu cerita lama. Kalau mereka nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf dengan Allah s.w.t.

"Apapun kelemahan saya, apapun ketidaksempurnaan, saya adalah seorang manusia dan mampu jadi wakil rakyat. Saya tidak hipokrit, apa yang silap, silaplah," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui semasa berkempen dari rumah ke rumah di sebuah perkampungan estet India di Kerling di Hulu Selangor.

Zaid berkata apa yang membezakan antara beliau dengan pemimpin lain ialah beliau tidak bersikap hipokrit.

“Saya bukan seperti pemimpin Umno. Mereka hiprokit.

"Kalau orang tanya kes-kes tertentu, mereka kata terlalu kecil. Tetapi bagi saya, saya jawab. Saya percaya rakyat Hulu Selangor boleh menilai manusia Zaid Ibrahim ini sama ada dia layak jadi wakil rakyat. Kalau layak saya menanglah, kalau tak layak, tak layaklah," katanya.

Bekas menteri itu berkata demikian ketika mengulas dakwaan beliau adalah seorang kaki botol tegar seperti dilaporkan oleh beberapa blog.

Malah, semalam Zaid mengakui kepada pemberita bahawa pernah minum alkohol seperti yang didakwa oleh BN dalam kempen mereka.

Tetapi katanya, perkara itu dilakukannya ketika masih muda dan beliau kini sudah insaf.

Pilihan raya kecil 25 April ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Zaid, calon Barisan Nasional (BN) P Kamalanathan dan dua calon bebas iaitu VS Chandran dan Johan Md Diah.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Minum arak: Hisham minta jangan kaitkan Umno


Apr 18, 10 4:30pm

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan pembabitan Umno dalam mengaitkan Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan tabiat suka meminum arak.

Beliau yang juga menteri keselamatan dalam negeri berkata, PKR seharusnya tidak cepat melatah dengan menuduh Umno dalang disebalik tuduhan yang berlegar di dalam blog kerana apa yang tertulis adalah tuduhan peribadi penulis, bukannya Umno.

"Dulu mereka gunakan maklumat-maklumat di dalam blog untuk mengiakan tuduhan dan hujah mereka terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN). Pada masa tu kita tidak pula suruh mereka membuktikannya.

"Nak suruh kita buktikan memang tak masuk akal kerana bukan kita yang tuduh macam tu. Kenapa dia nak takut dan gelabah sangat kalau ia tak benar," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai cabaran pemimpin PKR agar Umno membuktikan tuduhan di dalam blog tersebut.

Beliau sebelum itu menghadiri Program Bersama Rakyat di Taman Sri Cahaya, Batang Kali di Hulu Selangor yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Alwi Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Mohd Isa Abu Kassim.

Semalam, Naib Presiden PKR Azmin Ali dilaporkan mencabar Umno supaya membuktikan dakwaan bahawa Zaid mempunyai tabiat buruk termasuk suka meminum arak.

Hishammuddin berkata, cabaran pembangkang itu jelas menunjukkan mereka semakin terdesak untuk meraih sokongan kepada Zaid untuk pilihan raya 25 April ini selain kegusaran mereka terhadap pendekatan BN yang semakin diterima majoriti penduduk di Hulu Selangor.

"Dunia ini bulat...apa yang dia (pembangkang) sebelum ini guna untuk tuduh kita, sekarang ini dah terbalik terkena pada muka mereka sendiri," katanya.

Hishammuddin berkata, pembangkang juga kelihatan ketandusan idea kerana berterusan menggunakan isu Apco bagi menyerang kerajaan, bukannya menerangkan pendekatan yang akan diambil bagi memajukan kawasan dan membela rakyat.

B
eliau berkata, isu tersebut sebenarnya sudah selesai dan rakyat telah diberitahu bahawa siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tidak ada warga Israel terbabit dalam pembangunan projek Sistem Laporan Polis (PRS) di Bukit Aman seperti didakwa pembangkang.

Bagi membuktikan ketelusan, Kementerian Dalam Negeri, katanya, telah mengambil empat langkah, termasuk membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa terdapat perisik Israel di Bukit Aman.

Katanya, beliau juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuka kertas siasatan serta membawa perkara itu ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain mengesyorkannya untuk diteliti Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen.

Hishammuddin juag menganggap isu tersebut hanyalah mainan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat di atas kegagalan mereka membawa perubahan kepada negeri Selangor secara umum dan Hulu Selangor khasnya.

"Itu biasa, apabila mereka ketandusan perjuangan dan isu pokok yang boleh menyentuh jiwa dan sanubari rakyat seperti apa yang kita lakukan, maka mereka tak ada pilihan lain selain membuat tuduhan kepada kerajaan pusat dan menyerang peribadi pemimpin-pemimpin BN," katanya

Terdahulu, Hishammuddin menyerahkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan, sijil warganegara dan daftar lewat kelahiran kepada 15 orang penduduk.

- Bernama

Siapa dia Zaid?


Hishamuddin Rais
Apr 19, 10
1:10pm

Ini cerita lama. Tapi baik juga untuk dibuka kembali agar kita semua dapat tahu apa yang berlaku puluhan tahun dahulu. Cerita-cerita ini kalau baik kita jadikan tauladan. Kalau tidak molek dapat kita jadikan sempadan. Kalau tidak pun kita baca untuk ketawa.

Ceritanya bagini:

Saya ingat lagi pada tahun 1972 - ketika itu saya anak mahasiswa yang mengulang tahun satu di Universiti Malaya. Saya telah aktif dalam perjuangan gerakan mahasiswa sejak dari awal tahun pertama lagi. Pada tahun itu, ketika Kongres Tahunan Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPM ), saya telah dilantik untuk menjadi setiausaha agung. Badan yang bernama PKPM ini telah diharamkan pada tahun 1974 - sesudah demo pelajar menyokong warga Baling.

Ketika saya dilantik sebagai setiausaha agung PKPM – perang Vietnam sedang rancak. Kuasa imperial Amerika sedang melancarkan perang kolonial ke atas Vietnam, Laos dan Kamboja – sama seperti yang sedang berlaku di Iraq dan Afghanistan hari ini.

Justeru dalam Kongres PKPM tahun 1972 itu ada terdapat resolusi yang mengutuk imperialis Amerika Syarikat dan menyokong perjuangan menuntut keadilan oleh rakyat Indo China. Ketetapan yang dibuat dalam kongres akan menjadi dasar persatuan sehingga ke kongres tahun hadapan.

Pada zaman itu gerakan mahasiswa cukup rancak. Saya adalah seorang ahli kelab sosialis yang aktif. Justeru pandangan politik saya adalah kiri. Buku dan akhbar yang saya baca adalah kiri. Negara dan pemimpin negara yang saya hormati adalah dari jalur kiri.

Berdasarkan resolusi PKPM yang anti-Amerika, saya telah memasang poster-poster anti-perang Vietnam yang kami terima dari International Union of Students yang berpangkalan di Prague.

Rupa-rupanya ada juga kumpulan mahasiswa, terutama dari PMUKM yang yang tidak bersetuju dengan pemasangan poster ini. Lalu saya dikritik sebagai setiausaha agung PKPM yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya isu poster anti-perang Vietnam ini hanya alasan. Kritikan ini datang dari pelajar reaksionari bermazhab kanan.

Akhirnya satu persidangan tergempar telah diadakan. Persidangan ini diadakan di Dewan Majlis Persatuan Universiti Malaya. Saya ingat lagi petang itu – delegasi dari PMUKM, dari Serdang College, dari Institut Teknologi Kebangsaan, KSITM dan tuan rumah PMUM turut hadir.

Saya dapat merasakan seolah-olah telah ada persetujuan untuk menyingkirkan saya dari PKPM. Idris Jusi, dari PMUKM mula bercakap membuka kes tentang saya yang dikatakan tidak mengikut dasar PKPM dan dilihat pro-komunis. Dari KSITM, presidennya Zahari tidak pula bercakap. Yang banyak bercakap ialah Ibrahim Ali.

Pandangan-pandangan kanan dan reaskioner bertaburan pada petang itu.

Sebelum keputusan dibuat untuk menyingkirkan saya dari PKPM, tiba-tiba seorang wakil delegasi dari KSITM mengangkat tangan untuk berucap. Saya masih ingat lagi anak muda itu. Dia kurus lansing dan kacak. Berkulit sawo matang. Anak muda ini memakai seluar hitam dan berbaju biru. Mustahil saya akan melupakan susuk ini. Sampai akhir hayat saya ingat apa yang berlaku pada petang itu. Tidak mungkin saya akan lupa kerana pada petang itu saya sedang disalib.

Masih terngiang di telinga saya hingga ke hari ini apa yang dikatakan oleh anak muda itu:

“Sebelum dia dibuang, dia berhak untuk diberi peluang bersuara. Ini adalah cita-cita demokrasi pelajar… dan ini adalah hak dia.”

Saya terperanjat kerana tidak ada sesiapa dari persatuan lain yang menyokong saya kecuali PMUM. Saya terperanjat kerana anak muda ini berani 'pecah regu' untuk menyokong saya. Saya kagum atas keberaniannya.

Saya tidak kenal anak muda ini. Tapi saya tahu anak muda ini datang dari KSITM – satu persatuan pelajar yang saya anggap reaksionari. Bila saya selidiki baru saya sedari anak muda ini ialah Zaid Ibrahim – pelajar jurusan undang-undang Institut Teknologi Mara. Saya juga difahamkan si Zaid ini datang dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) seteru kuat sekolah saya, MCKK.

Semenjak petang itu saya tidak bertemu dengan Zaid Ibrahim. Kami meneruskan keyakinan diri. Saya difahamkan Zaid telah menjadi seorang peguam yang berjaya. Saya terus menjadi diri saya.

Lima tahun dahulu seorang kawan dari MCKK mengajak saya untuk menjadi ahli Civil Society of Malaysia. Ini badan hak asasi manusia yang cuba diwujudkan oleh Zaid Ibrahim. Cuma ada 'catch' - sesiapa yang ingin menjadi ahli wajib membayar RM250. Jumlah ini agak berat untuk saya - lalu saya menolak jemputan ini.

Seminggu sebelum NGO ini berkumpul dan bersidang, saya telah mendapat panggilan telefon mengatakan bahawa RM250 telah dibayar oleh Zaid Ibrahim. Saya hairan kerana seumur hidup saya – saya belum pernah bercakap sepatah pun dengan susuk ini. Dari panggilan telefon - saya telah diberi kebenaran untuk datang ke persidangan pertama Civil Society ini di Hotel Renaisance.

Inilah kali kedua saya melihat Zaid Ibrahim. Kali kedua ini agak berbeza. Anak muda kurus yang berbaju biru dan berseluar hitam dahulu telah agak bersisi.

Rambutnya telah dicantikan oleh anyaman uban. Baju dan pantalon yang dipakainya kelihatan dari jenis yang baik dan bermutu. Nah! Pastilah dia telah berjaya hinggakan sanggup membayar yuran untuk orang yang tidak dikenalinya.

Dua hari sebelum nama Zaid Ibrahim dimahsyurkan sebagai calon di Hulu Selangor, saya telah pergi menemuinya. Rumah kediaman si Zaid ini bukanlah sama seperti bilik sewa tempat saya menginap. Ini kawasan lumayan yang hanya 30 minit dari Serendah Hulu Selangor.

Mata saya memerhati dengan rapi untuk mengetahui lebih dalam lagi manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini. Rumahnya tidak mengancam tapi pastilah lebih luas dari bilik sewa saya. Dalaman tidak lucah dan bukan bermotifkan budaya 'arriviste – horray henry' yang sering kita temui di wilayah-wilayah mewah.

Tujuan saya datang kerana ingin bertanya apakah dia masih ingat lagi apa yang terjadi di Dewan Majlis PMUM 38 tahun dahulu. Zaid termenung sebentar sebelum mengakui yang dia pernah datang ke PMUM untuk bermesyurat. Tetapi tidak ingat apa tujuan dia hadir. Malah dia juga tidak ingat bahawa pada petang itu yang disalib ialah saya.

Saya tidak merasa kecewa kerana si Zaid tidak mengingati episod itu. Inilah perjalanan hidup kita sebagai manusia . Terpencar pencar - ada yang kita ingati dan ada yang kita lupakan. Untuk kita – perkara yang ini mungkin penting dan untuk orang lain perkara yang sama adalah 'non event – tidak ada apa apa yang penting'.

Kenapa saya menulis kisah ini? Saya menulis kerana susuk yang bernama Zaid Ibrahim ini sedang berkempen untuk memenangi kerusi di Parlimen. Saya menulis ini kerana saya yakin bahawa manusia yang bernama Zaid Ibrahim ini adalah manusia demokrat. Tiga puluh lapan tahun dahulu – ketika kami masih lagi anak pelajar - si Zaid ini telah memperlihatkan sifat jujur dan demokratnya.

Pada petang itu – 38 tahun dahulu - si Zaid telah tidak terpengaruh dengan tohmah anti-komunis, anti-kiri dan anti-sosialis. Sifat demokratiknya telah tertanam dalam sebelum dia meletakan jawatan sebagai menteri kabinet kerana menentang ISA. Susuk yang bernama Zaid Ibrahim dapat melihat salah dan benar.

Jika saya warga Hulu Selangor saya merasa senang hati untuk menobatkan Zaid Ibrahim sebagai wakil suara saya di Parlimen.

Telan ludah ustaz, Asri beri keterangan pada JAIS


Jimadie Shah Othman
Apr 19, 10
4:34pm

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini tampil memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kolum dalam Malaysiakini bertajuk 'upacara telan air ludah ustaz'.

Beliau hadir kira-kira jam 3 petang dengan ditemani oleh dua orang peguam - Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Mohd Irwan Mohd Mubarak.

Dr Mohd Asri disoal siasat selama kira-kira sejam oleh tiga pegawai daripada bahagian penyelidikan dan pembangunan JAIS.

Bagaimanapun, dalam sesi tersebut, peguamnya tidak dibenarkan masuk menemaninya.

Dalam sidang media selepas siasatan tersebut, Dr Mohd Asri memberitahu yang beliau telah memberi maklumat berhubung tulisan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak memberi maklumat secara terperinci kerana menurutnya "itulah adalah tugas JAIS untuk mencarinya".

Katanya, beliau yakin kesahihan maklumatnya itu kerana dimaklumkan oleh pelbagai sumber yang enggan didedahkannya.

"Polis sendiri tak boleh paksa untuk orang beritahu siapa pemberi maklumat.

"Setiap kalau kali ada pemberi maklumat datang pada saya, saya dedah, esok tak ada orang beri maklumat pada saya," kata tokoh agama yang terkenal dengan kelantangannya itu.

Walaupun mungkin terdapat perbezaan versi, tetapi menurutnya Dr Mohd Asri, upacara telan air ludah itu berlaku.

"Sama ada air liur itu diludah, atau dititik ke dalam mulut, tetapi unsur pemindahan air liur itu berlaku. Siapa, perinciannya, saya kata pihak JAIS kena cari," katanya.

Menurutnya, beliau juga memaklumkan bahawa upacara tersebut berlaku di sebuah masjid di Ampang.

Ditanya kenapa proses memberikan keterangan itu mengambil masa agak lama, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, pegawai JAIS yang mengambil keterangannya itu turut mengambil kesempatan bertanya hal yang tidak berkaitan.

"Mereka tanya (tentang) artikel lain sama, yang tak wajar, tetapi saya layan. (Tanya) cerita luar, (misalnya) kenapa tulisan saya sinis kepada pengarah JAIS. Biasalah," katanya sambil ketawa.

"Sebahagiannya (ditanya) dengan ikhlas, untuk mereka sendiri tahu."

Beliau juga tidak pasti sama ada akan dipanggil sekali lagi untuk proses tersebut dan tidak jelas disiasat di bawah seksyen apa.

Sementara itu Jahaberdeen pula memakluman, anak guamnya telah datang memberikan kerjasama dan menjadi tanggungjawab JAIS untuk menyiasatnya.

"Satu lagi kena jelas, yang disiasat bukan ustaz (Dr Mohd Asri), yang disiasat adalah kes (upacara telan ludah) terbabit. Ustaz cuma pembantu dalam kes tersebut," katanya.

Dr Halili keluar PKR masuk Umno


Jimadie Shah Othman
Apr 19, 10
11:19am

Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Umno.

Dr Halili Rahmat (foto:kiri) merupakan seorang pakar bedah saraf dan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pernah menjadi doktor peribadi ketua umum PKR itu.

Sebelum ini, beliau disebut-sebut antara yang disenaraikan untuk bertanding mewakili PKR dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Bagaimanapun, Anwar kemudiannya mengumumkan pemilihan penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.

Anak kelahiran Ulu Yam, Dr Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.

Bercakap dalam sidang akhbar dengan ditemani bekas setiausaha agung PKR, Salehuddin Hashim, beliau berkata:

"Saya menyedari akan ada yang menuduh bahawa tindakan saya ini kerana kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil parimen Hulu selangor kali ini.

"Saya tidak pernah meminta atau menawar diri untuk dipilih menjadi calon PKR dalam pilihan raya ekcil Hulu Selangor ini, dan saya juga tidak pernah mengatakan saya menerima pelawaan untuk menjadi calon, walaupun ada pemimpin PKR yang telah mencadangkan demikian."

Dr Halili berkata, walaupun beliau pernah bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi "bagi pilihan raya kecil kali ini, saya merasa berat kerana realiti di peringkat masyarakat bawahan kini sudah berubah."

"Saya juga membuat kenyataan ini pada hari ini semasa kehangatan kempen pilihan raya Hulu Selangor dengan tujuan tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya terhadap PKR masih sama seperit di zaman Deklarasi Permatang Pauh," tambahnya.

Sebagai anak jati Hulu Selangor yang masih berkampung di Ulu Yam, Dr Halili berkata amat sukar baginya untuk mempertahankan kredibiliti PKR.

Beliau mendakwa, ia memandang tidak ada apa pun yang telah dibuat oleh PKR untuk kesejahteraan pengundi Hulu Selangor dalam masa dua tahun parlimen ini dikuasai oleh PKR dan Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

"Saya mengetahui dan faham bahawa allahyarham wakil rakyat sebelum ini, uzur tetapi menghairan saya kenapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat beliau untuk memberi khidmat kepada pengundi di Hulu Selangor," tambahnya.

Sehubungan itu, Dr Halili berkata, terbukti yang PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya sahaja tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti yang dijanjikan masa kempen pilhan raya.

"Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan saya diberitahu oleh orang kampung saya bahawa mereka akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi," tambahnya.

Sebab masuk Umno

Dr Halili juga mendakwa bahawa PKR hari ini dikuasai oleh kumpulan kecil pemimpinnya yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi-ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.

Sehubungan itu, beliau mendakwa bahawa sudah nyata lagi jelas, PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan "tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri."

Sebaliknya, kata beliau, pada masa yang sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik untuk Umno dan BN.

Ini, katanya, mendorong beliau terus membuat keputusan untuk menyertai Umno.

'Mungkin diberi bedah hidung pula'

Dr Halili juga berkata keputusannya keluar parti dan menyertai Umno sudah lama dibuat.

Ditanya kenapa beliau hadir pada hari pengumuman calon PKR pada 13 April lalu, beliau hanya menjawab:

"Mungkin nama saya dicalonkan, dinaikkan saya kena datanglah. Ingin tahu, kerana kamu juga yang tulis dalam suratkhabar media, anak tempatan, perkara macam itu," katanya,.

Beliau juga memberitahu, itu kali terakhir beliau bertemu Anwar.

Sejak disebut-sebut disenarai pendek menjadi calon PKR, ini merupakan kali pertama Dr Halili bersemuka dengan media membuat kenyataan mengejutnya itu.

Bagaimanapun, pengumumannya yang dibuat sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkkan membayangkan perkara itu, menimbulkan tandatanya sama ada beliau ditawarkan 'imbuhan' untuk itu.

Dr Halili bagaimanapun menafikannya dengan separuh berjenaka: "Saya sekarang ini (pakar) bedah otak, mungkin dia beri saya bedah hidung. Tak tahulah," kata Dr Halili.

Bagaimanapun, tambahnya, jika terdapat pihak yang akan menuduhnya dibeli, itu terpulanglah kepada mereka.

"Memang adatlah. Tetapi kita masyarakat sivil, sangat tamadun, ada demokrasi. Jadi macam-macam pandangan ada. Jadi kita kena hormatilah pandangan yang berbeza," katanya

Beliau juga enggan mengulas mengenai pencalonan Zaid dan calon BN P Kamalanathan atau akan turut serta berkempen di Hulu Selangor.

Sebaliknya, jelas Dr Halili, beliau akan berlepas ke Melbourne, Australia selepas ini bagi menghadiri konvokesyennya di Universiti Monash - satu keputusannya yang didakwa sudah lama dibuat dan "bukan untuk lari".

Dalam sidang media kira-kira 25 minit itu, Dr Halili bagaimanapun kelihatan sedikit 'gugup' dengan mengabaikan beberapa soalan media, kerap meneguk air dan kerap kali mengambil masa dan berbisik kepada Salehuddin sebelum menjawab soalan.

Malah di pertengahan sidang media beliau sempat berkata: "tak pernah dapat banyak kamera sebelum ini."

Bagaimanapun, di penghujung sesi itu beliau kelihatan lebih yakin apabila meminta soalan tambahan walaupun Salehudin sudah mahu menamatkan sidang media itu.

"Seronok juga, boleh tanya dua lagi, bukan selalu boleh macam ni," katanya disambut gelak ketawa kira-kira 70 petugas media.

Kempen Serangan Peribadi, PKR Buat Laporan Polis

HULU SELANGOR 19 APR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini membuat laporan polis berikutan tindakan terhadap Barisan Nasional yang mengeluarkan pelbagai risalah serta billboard berbaur lucah serta hasutan.


Antara bahan bukti yang dibawa ke IPD Kuala Kubu Bharu ialah, gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilabel pengkhianat negara, gambar peribadi Elizabeth Wong dan gambar palsu Datuk Zaid Ibrahim meminum arak.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan tindakan melampau Umno-BN itu sebagai terdesak untuk merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor.

"Barisan Nasional kata tak serang peribadi tapi pakej menipu, hasutan, lucah, provokasi, yang jelas melanggar kot etika kempen pilihan raya yang dikeluarkan oleh SPR, dan akta kesalahan pilihanraya undang-undang yang dibuat di parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kubu Bahru hari ini.

Pelakuan Umno BN, kata Badrul jelas menunjukkan BN tidak mempunyai isu pada proses kempen kali ini, sebaliknya cuba menutup kelemahan pentadbiran selama 50 tahun memerintah Selangor.

"Kita selaku anak muda berasa amat malu dengan prkara tersebut. Kita tidak teragak-agak selepas 48 jam, kita akan bertindak kerana laporan polis dibuat dan mereka sudah berjanji untuk bertindak, malah kami sedia mengiringi mereka.

Dalam pada itu, Srikandi PKR turut mengecam tindakan ini sebagai tindakan tidak profesional dan bersifat provokatif melalui serangan peribadi keterlaluan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.

Mereka mendesak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya membuat tindakan dalam tempoh 48 jam dan enggan, Srikandi tiada pilihan selain menanggalkan poster dan billboard tersebut.

Siti Aishah Shaikh Ismail, Ketua Srikandi Malaysia menegaskan, pilihanraya kecil ini harus berlangsung dalam keadaan aman, adil dan bersih.

"Kita memetik ucapan Najib Tun Razak yang mengatakan BN tidak akan menyerang peribadi calon. Namun, apakah dengan menyerang peribadi pemimpin pembangkang, ia sesuatu yang dihalalkan dalam berkempen?" katanya.

Zaid Bidas Taktik Murahan

Calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, membidas sikap hipokrit Umno-BN yang menggunakan isu lapuk beliau minum arak dalam taktik kotor untuk menang pilihanraya kecil parlimen Hulu Selangor.

Bekas Menteri Undang-Undang ini, tidak berdolak dalih apabila ditanya wartawan mengenai isu yang cuba dimainkan oleh Umno itu di kalangan pengundi Melayu.

Zaid mengakui pernah tersasar pada suatu masa dahulu.

Namun beliau telah lama insaf, kembali kepada ajaran Islam dan berjaya memulihkan akidahnya serta memohon maaf kepada Allah atas ketelanjuran itu.

Hakikat ini memang diketahui oleh pemimpin dan akar umbi Umno.

"Itu zaman jahiliah, zaman Umno. Kenapa diungkitkan dan nampak sangat mereka takde modal. Tapi sekarang saya sudah berubah dan menyertai Pakatan Rakyat. saya harap mereka faham dan terima penjelasan saya ini," katanya.

Zaid yakin pengundi tidak akan termakan dengan taktik usang Umno untuk menyerang keperibadian beliau dengan fitnah dan dakyah,

Zaid berkata sifat talam dua muka Umno jelas terselah apabila kepimpinan parti itu mengangkat beliau sebagai calon ahli parlimen kota bahru pada tahun 2004 tetapi kini menggunakan isu lapuk untuk menyerangnya,

"Serangan peribadi mengenai minum ini, saya sudah menjelaskan perkara ini. Perkara yang berlaku dalam hidup yang lepas saya akuilah, tetapi ia tidak lagi berlaku sekarang. Umno juga tahu, tetapi mengapa dia lantik saya dahulu? begitulah hipokritnya mereka," tambahnya.