Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 16 Disember 2010

Nazri: MP Pakatan 'bodoh dan gila'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz melabelkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan gila' kerana mengugut untuk mengheret speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah.

Mengulas kenyataan ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh - Nazri, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen berkata mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat.

“Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada supremasinya,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Menurut Nazri telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen.

“Ini adalah kedaulatan Parlimen dan supremasi Parlimen. Ada tahi lembu di kepala mereka.

NONE“Saya beri jaminan jika, ini dibawa ke mahkamah, ia akan ditolak. Undang-undang apa yang Karpal (Singh) belajar? Beliau adalah peguam kelas ketiga,” kata Nazri sambil ketawa.

Karpal sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas Pandikar kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan.

Nazri juga menafikan dakwaan pembangkang, kononnya beliau mengarahkan Pandikar supaya menggunakan Peraturan dewan 44 untuk menghentikan perbahasan dan membuat undi tanapa perdebatan.

“Saya tidak beri arahan. Speaker telah peruntukkan dua jam dan saya kata saya mahu bacakan usul saya dahulu, itu sahaja.

“Apa yang mereka perkatakan tidak ada kena mengena dengan Aturan Urusan Mesyuarat hari ini. Jadi saya mempunyai hak kerana ia usul saya dan saya mahu ia dibentangkanj.

“Saya cuma beritahu speaker saya mahu baca usul kerana ia dalam Aturan Urusan Mesyuarat. Mereka sepatut membantah tetapi tidak berbuat demikian,” katanya.

Demokrasi Hitam 2.0: Dua ditahan polis

Kira-kira 15 orang yang menggelarkan diri mereka sebagai Demokrasi Hitam 2.0 berhimpun di hadapan bangunan parlimen sejak pagi tadi sebagai tanda bantahan terhadap penggantungan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Mereka yang sepatutnya berarak bagi menghantar memorandum aduan kepada Suhakam dari bangunan Parlimen ke pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut sejurus tengahari ini, bagaimanapun dihalang oleh polis.

Akibatnya, berlaku kejadian tolak-menolak antara mereka dengan kira-kira 50 anggota polis yang sejak pagi tadi mengawal kawasan sekitar parlimen itu.

Akibatnya dua orang penyokong Demokrasi Hitam 2.0 ditahan polis dan Yusmadi Yussof (PKR-Balik Pulau) pula kelihatan sedang berbincang dengan polis.

Mereka yang ditangkap polis itu dikenali sebagai Lee Khai Loon (atas, berbaju merah), anggota exco AMK dan G Pravin (bawah, berbaju hitam), ketua penerangan PKR, Padang Serai, yang juga anak kepada ahli parlimen Padang Serai, G Gobalakrishnan.

Kedua-dua pemimpin AMK itu kemudiannya dibawa ke ibupejabat polis Dang Wangi kira-kira jam 2 petang tadi. Mereka dibebaskan pada jam 6 petang tadi, dan diarah melaporkan diri semula di ibupejabat polis Dang Wangi 30 Disember depan.

NONEPerhimpunan hari ini adalah bagi membantah tindakan Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.

Usul itu diluluskan tanpa bahas selepas berlaku kekecohan, pagi tadi.

Sejak awal pagi tadi, kira-kira 40 anggota polis mula berkawal di sekitar perkarangan bangunan Parlimen. Jumlah itu kemudian meningkat kepada kira-kira 50 orang apabila keputusan menggantung Anwar dibuat.

Reformasi dan Takbir

Anwar selepas digantung kelihatan keluar dan bersalaman dengan penyokongnya itu. Laungan 'Reformasi' dan 'Takbir' bergema sekitar kawasan parlimen seketika.

Turut bersama Anwar adalah N Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) dan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

Selepas perbincangan, polis membenarkan hanya tiga orang, termasuk Shamsul dan Yusmadi untuk meneruskan hasrat mereka menyerahkan memorandum kepada Suhakam.


Kira-kira jam 1.55 petang keadaan menjadi tenang setelah penyokong beredar perlahan-lahan dan polis pun bersurai.

Di Suhakam, Yusmadi yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat tiga aduan lisan kepada pesuruhjaya Suhakam James Nayagam.

Antaranya, beliau mendakwa "pelanggaran hak kebebasan bersuara" ke atas Anwar sehingga menyebabkan ketua umum PKR itu digantung enam bulan.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim ada hak untuk mempertahankan dirinya dari segi hak asasi dan undang-undang. Tetapi beliau dinafikan hak (iaitu) tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dalam jawatankuasa (Hak dan Kebebasan) itu.

NONE'Kenapa beliau tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan... Ini adalah kesalahan serius dalam sistem demokrasi di Malaysia," katanya dalam aduan lisan.

Turut bersama mengiringi beliau ke pejabat Suhakam ialah Shamsul Iskandar, timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ahli MPP Fariz Musa dan beberapa orang exco AMK Pusat.

Ditolak dan diserang

Dalam aduan itu juga, Yusmadi turut meminta Suhakam menyiasat dakwaan beliau "ditolak dan diserang" oleh polis sewaktu "berjalan secara aman" ke pejabat Suhakam.

"Kami nak berjalan secara aman ke Suhakam , sudah kena tahan, kena serang... Itu hak kami. Saya memohon Suhakam untuk meyiasat perkara ini.

NONE"Kita akan menyambut tahun baru, kami tidak mahu bermula tahun baru dengan black democracy," katanya sambil menambah agar Suhakam menyiasat berhubung penahanan dua rakannya itu.

James sewaktu memberi reaksi selepas mendengar aduan tersebut memberi jaminan untuk menyiasat berhubung ketiga-tiga aduan yang dibangkitkan oleh Yusmadi.

"Kami menerima komplen dan akan menyiasat dan membuat pendengaran yang adil," kata James kepada pemberita.

Shamsul pula dalam pertemuan setengah jam itu, berkata tindakan polis melanggar hak asasi manusia dengan mengenakan tindakan kekasaran fizikal kepada orang awam.

"Tahan itu tidak mengapa. Tapi mereka digari, dipijak dan dipukul. Itu pada saya satu pendekatan yang tidak boleh diterima akal. Ada saksi mereka dipukul dan dipijak oleh pihak polis di hadapan parlimen," katanya.

Rosyam Nor naik hantu! (Hiburan)

GIGIH dan kagum Marilyn melihat usaha Rosyam Nor dalam menjayakan program Pilih Kasih, siri televisyen yang diterbitkannya. Sungguh komited melihat dia sendiri turun padang melakukan promosi untuk program yang bertujuan mencungkil bakat-bakat muda tanah air. Tabik untuk Rosyam

Tapi baru-baru ini, Marilyn dengar Rosyam sudah mengamuk di Auditorium Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang. Malah suara jantannya sudah menggegarkan pembukaan pentas Pilih Kasih musim kedua Sabtu lalu.

Marilyn tidak sempat lagi ke sana kerana masih sibuk dengan banyak hal peribadi. Dengarnya, suasana auditorium lebih tegang apabila suara lantang hero kegemaran ramai itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada kesemua 16 peserta Pilih Kasih 2. Pelik juga Marilyn sebab pemilihan dilakukan oleh juri-juri profesional.

"Bagi saya anda semua tak mencapai apa yang saya harapkan. Saya amat kecewa dengan persembahan anda semua pada malam pertama program ini,"luahnya pada malam Sabtu lalu merangkap malam permulaan program realiti yang sudah masuk musim kedua tersebut.

Realitinya, semua peserta Pilih Kasih 2 menjalani latihan setiap minggu untuk monolog, drama dan teater bersama tiga orang pengarah terkenal yang berbeza iaitu Hamzah Tahir, Aziz M. Osman dan Erma Fatima sebelum mereka dipertontonkan di khalayak ramai pada setiap hari Sabtu untuk Pentas Pilih Kasih.

Ketiga-tiga tenaga pengajar inilah yang bertanggungjawab untuk membentuk dan mencungkil bakat-bakat yang ada pada setiap artis-artis Pilih Kasih ini. Kalau bagus persembahan yang ditunjukkan, maka baguslah pengajarannya dan jika sebaliknya, ini menunjukkan kecacatan yang ada pada cara pengarah-pengarah yang dilantik dalam mendidik peserta-peserta ini.

Komen Rosyam pedas namun jujur: "Saya amat tidak berpuas hati dengan persembahan mereka semua tadi dan pengarah-pengarah ini patut memainkan peranan untuk mendidik mereka dengan lebih baik."

"Dalam melahirkan bakat-bakat baru yang berkualiti, tenaga pengajar perlu memainkan peranan masing-masing dengan sebaiknya dan bukan hanya mengajar sambil lewa. Peserta-peserta Pilih Kasih ini ibarat kain putih yang perlu dicorak dengan acuan yang betul dan pengarah-pengarah inilah yang perlu melakukan yang terbaik untuk mendidik mereka sampai mereka menguasai segala-galanya dengan baik,"sambungnya lagi.

Kosmo

Anwar digantung, pembangkang keluar Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan tiga lagi Ahli Parlimen pembangkang daripada persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd.

Usul untuk menggantung Anwar diluluskan tanpa sebarang perbahasan apabila semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan menyebabkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, mengemukakan usul kedua, untuk menggantung tiga yang lain, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.
Terdahulu, persidangan menjadi kecoh sebaik usul menggantung Anwar dikemukakan oleh Mohamed Nazri.
Perang mulut berlaku apabila wakil rakyat pembangkang mendakwa usul yang dikemukakan itu tidak adil kerana Anwar serta tiga lagi yang menghadapi tindakan sama tidak diberi peluang membela diri.

Wakil pembangkang juga mempamerkan kad manila yang mengandungi pelbagai perkataan antaranya "BN sokong Apco", "Selamatkan Dewan", "Hidup Ketua Pembangkang" dan "Kangaroo".

Pakatan pembangkang juga menjadikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang membicarakan kes Anwar-Apco "mangsa serangan" kerana didakwa tidak memainkan peranan dengan adil.

Pandikar Amin yang tenang di kerusi Speaker, membiarkan kekocohan berterusan tetapi sesekali mencelah dengan mengatakan: "Keputusan saya muktamad."
Cubaan barisan pembangkang untuk mengetepikan usul berkenaan bagaimanapun gagal apabila kekecohan yang ditimbulkan itu menyebabkan Pandikar Amin memberi kata dua, iaitu sama ada untuk membahaskan usul penggantungan Anwar atau terus mengundi untuk meluluskannya.

Cadangan itu mencetuskan kemarahan wakil pembangkang yang melaungkan perkataan "undur'' dan "zalim" ke arah Speaker itu, manakala Karpal mengugut untuk membawa kes itu ke mahkamah sebelum semua barisan pembangkang bertindak keluar dewan.

Usul untuk menggantung Karpal, Sivarasa dan Azmin kemudiannya dibahaskan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan wakil Bebas tanpa sebarang gangguan.

Antara yang mengambil bahagian ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju), selain pencelahan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu), Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) dan Zulkifli Nordin (Bebas-Kulim Bandar Baru).

Abdul Rahman, ketika membahaskan usul itu, menafikan Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, sebaliknya Ketua Pembangkang itu tidak menggunakan peluang yang diberi.

Mencelah perbahasan Abdul Rahman, Shamsul Anuar berkata apa yang dilakukan ialah budaya jalanan yang dibawa oleh pembangkang ke Dewan itu sebagai taktik untuk melengah-lengahkan keputusan mengenai kes Anwar itu.

Ibrahim pula mahu media memainkan peranan untuk memperjelaskan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini sebaik mungkin bagi membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap Anwar dan pakatan pembangkang.

"Saya tidak memihak kepada mana-mana tetapi rakyat harus pertimbangkan dengan cara yang betul. Ketua Pembangkang ini tidak ada pilihan untuk survival politik beliau, jadi dia gunakan cara ini.

"Jadi rakyat harus diberitahu adakah tuduhan 1Malaysia sama dengan Apco itu benar, adakah betul Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, dan apakah usul ini dikemukakan untuk menganiayai Anwar," katanya.

Zulkifli pula membangkitkan pendedahan mengenai Anwar termasuk oleh Karpal sendiri yang mengakui tahu mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang itu dan pernah meminta Anwar bertaubat dan berundur selaku Ketua Pembangkang.

"Selepas tak jadi 16 September, Bukit Gelugor (Karpal) minta Anwar bertaubat. Jadi dengan semua ini boleh tak kita kata DAP atau Karpal dengan pengetahuan (perlakuan liwat) telah mengugut Anwar untuk agenda sempit mereka," katanya ketika mencelah perbahasan Ibrahim.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Ibrahim berkata pembangkang sememangnya sedia maklum mengenai perlakuan Anwar tetapi berlagak seolah-olah tidak mengetahui perkara itu.

Bung Moktar pula berkata, isu penggantungan ahli Dewan adalah perkara biasa malah turut berlaku di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah.

Mohamed Nazri yang sepatutnya menggulung perbahasan usul itu, melangkaui proses berkenaan dan meminta usul menggantung tiga Ahli Parlimen pembangkang itu diluluskan.

"Tidak perlulah hendak gulung, orang yang nak digulung pun tak ada, nak lipat pun tak boleh. Jadi saya ucapkan terima kasih dan kita teruskan lulus usul ini," katanya yang membacakan usul itu untuk kali ketiga sebelum diluluskan dengan suara majoriti. - BERNAMA

Peluit:

Kerugian nan besar bagi bagi rakyat pun PR, lantaran wakil rakyat telah dilantik tetapi tak dapat bersidang. Gaji tetap diterima tetapi apakah peranan mereka dalam isu ini?.

Selasa, 16 November 2010

Siapa pengkhianat bangsa?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pihak yang mendakwa Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa kerana sanggup menghina institusi itu yang telah banyak berjasa kepada rakyat.

Ketika berucap pada majlis perasmian penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda(Iktiraf) 2010 di Putrajaya semalam; beliau mendakwa saham milik Felda yang tersenarai di Bursa Malaysia berjumlah RM4.3 bilion dan ianya selamat dalam simpanan.

Tiada siapa pun menafikan penubuhan Felda pada 1 Julai 1956 oleh Tun Abd Razak adalah langkah bijak menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan khususnya untuk orang Melayu. Agensi Pembangunan Tanah yang mempunyai keluasan 905,448 hektar dengan penyertaan 112,635 orang peneroka telah meletakkan Felda peneraju tanah terbesar dunia.

Persoalan yang timbul, adakah matlamat penubuhan Felda telah tercapai dalam ertikata yang sebenarnya terhadap 2 juta warganya?

Adakah para peneroka selaku pemilik atas 10 ekar tanah mereka mendapat pulangan setimpal dengan keringat yang telah dicurahkan selama ini?

Adakah 1.2 juta generasi kedua dan ketiga Felda mendapat tempat terpenting sebagai pewaris yang menentukan halatuju Felda ketika ini dan masa hadapan?

Di bawah ini saya lontarkan beberapa persoalan yang mesti di jawab Najib dan pemimpin Umno sebelum membuat tuduhan melulu golongan yang tidak sealiran dianggap pengkhianat bangsa.

1.1 Kenapa kebebasan tidak diberi kepada para peneroka untuk mengusahakan sendiri kebun mereka selepas hutang piutang diselesaikan?

Apa maknanya Hakmilik yang diperolehi; tapi Felda yang tentukan segala-galanya?

Peneroka diugut, diancam penyingkiran dan dikenakan pelbagai tekanan semata-mata menyahut seruan Tun Razak untuk menjadi masyarakat peneroka yang berdikari.

1.2 Kenapa Wang Tanam Semula berjumlah RM17,000 atau RM1,700 seekar yang dicarum peneroka 20 tahun lamanya tidak diserahkan kepada peneroka hanya kerana mereka tidak mahu mengikut telunjuk Felda dan menanam semula sawit secara persendirian?

Adakah wajar 10 orang peneroka Sg Koyan di Pahang turun naik mahkamah menuntut wang tanam semula milik mereka sendiri dan menunggu hampir 10 tahun keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan?

Bahkan untuk pengetahuan, dari tarikh keputusan Mahkamah pada 29 Oktober 2010; hingga hari ini wang tersebut belum pun diserahkan pada peneroka terbabit!

Bukan sahaja peneroka Sg Koyan; masih terdapat hampir sepuluh ribu peneroka dinafikan Wang Tanam Semula yang merupakan hak mereka.

1.3 Kenapa peneroka getah yang menanam secara persendirian dinafikan untuk mendapat insentif Tanam Semula di bawah Risda walhal setiap kg getah dipotong untuk tabungan ses yang dikenakan kerajaan berasaskan Seksyen 3, Ordinan Kumpulan Wang bagi perusahaan getah(penanaman semula) 1952?

Ke mana perginya insentif tanam semula berjumlah RM7,000 sehektar(getah ke getah) dan RM6,000 sehektar(getah ke sawit) milik peneroka?

1.4 Kenapa program Tanam Semula anjuran Techno Plant Sdn Bhd; anak syarikat Felda bermasalah di kebanyakkan Tanah Rancangan Felda?

Gambaran kononnya Tanam Semula kelolaan Techno Plant di urus secara professional, menjimatkan kos, sistematik dan berkualiti bertentangan dengan hakikat sebenarnya. Lihatlah apa yang berlaku di Gugusan Ciku, Gua Musang, Nitar 2, Mersing, Aping Timur Kota Tinggi dan berpuluh-puluh Felda lain bagaimana kegagalan Tanam Semula selenggaraan Felda.

Adakah kecuaian dan kegagalan kosnya ditanggung Felda?

1.5 Kenapa kos Tanam Semula di bawah Felda begitu mahal jika dibandingkan dengan Sime Darby, IOI dan ladang swasta lain?

Adakah Najib tahu bahwa Kos Pembangunan Tanam Semula yang terpaksa ditanggung peneroka ada yang mencecah RM100,000?

Adakah kita tahu setiap hutang tanam semula peneroka dikenakan riba' 6.25%?

Apakah hukumnya riba' itu?

1.6 Kenapa Felda tidak melakukan muhasabah ketika Mahkamah mengesahkan wujud penipuan atas Kadar Perahan Gred(KPG) yang hanya diterima sekitar 18-19% peneroka kelapa sawit di 70 kilang Felda?

Kenapa Felda tidak mematuhi Manual Pengredan Lembaga Minyak Sawit Malaysia(MPOB)dan Analisis makmal Felda di Sg Tekam yang meletakkan standard kualiti KPG sekitar 21-25%?

Kenapa Buah Tandan Segar(BTS) yang reject tidak dikembalikan kepada peneroka?

Ke mana perginya BTS tersebut?

1.7 Kenapa peneroka Felda Cahaya Baru, Masai di Johor tidak mendapat baki pampasan sejumlah RM1 juta walaupun menunggu 17 tahun lamanya?

Ke mana pergi tanah mereka ketika ini dan siapa yang kaveat?

Siapa yang menipu mereka?

Mana pergi Muhyidin Yasin yang menjadi Menteri Besar Johor ketika itu?

Apa yang dilakukan Menteri Besar sekarang?

1.8 Kenapa peneroka Felda Sg Buaya, Hulu Selangor di Selangor tidak mendapat baki pampasan berjumah RM850,000 walaupun menunggu 16 tahun lamanya?

Ke mana pergi tanah mereka ketika ini dan siapa yang kaveat?

Mana pergi Muhamad Mohd Taib yang menjadi Menteri Besar Selangor ketika itu?

Apa yang dilakukan Tan Sri Rozali Ismail selaku Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda(GWGF) walhal beliau terlibat ketika di peringkat awal Pembangunan Felda Sg Buaya?

1.9 Kenapa gejala sosial sangat tinggi di penempatan Felda?

Benarkah dakwaan Datuk Ahmad Maslan jumlah penagih dadah di Felda hanya sekitar 2,000 orang?

Sejauh mana aktiviti pembangunan insan golongan belia di jalankan dan tahap keberkesanannya?

Kenapa ditamatkan jawatan Penyelia Pembangunan Agama di Felda sedangkan peranannya sebagai penyelaras kegiataan bercorak keagamaan sangat berkesan suatu ketika dahulu?

1.02 Kenapa pembukaan Tanah Rancangan Felda yang memberi manfaat kepada rakyat ditukar kepada Plantation mulai tahun 1990?

Adakah Najib sedar bahawa wujudnya plantation telah mengkhianati matlamat asal penubuhan Felda untuk memberi tanah kepada rakyat?

Adakah kita maklum Felda Plantation berkeluasan 367,710 hektar itu sendiri bercanggah dengan Akta GSA 1960 yang dibentang Tun Abd Razak di Parlimen pada 27 April 1960?

Kenapa ditolak desakan agar Felda Plantation dimansuhkan dan dijadikan penempatan anak peneroka yang susah dan boleh memberi manfaat kepada 79,000 anak peneroka?

Siapakah sebenarnya mengaut keuntungan atas Felda Plantation?

Apa yang dipaparkan baru sebahagian kecil persoalan yang berbangkit di Tanah Rancangan Felda. Terlalu banyak jika mahu disenaraikan.

Jangan cuba untuk mengalih perhatian rakyat kononnya mereka yang membela rakyat manakala yang menentang arus dituduh pengkhianat. Mungkin mereka boleh memperdaya golongan peneroka yang jahil; tapi bukan semua. Majoriti generasi muda Felda berpelajaran lebih tahu siapa petualang dan pengkhianat bangsa.

Siapa yang kaya raya, siapa yang dapat projek jutaan ringgit, siapa yang dapat komisyen dari kroni dan siapa yang menjadi mata dan telinga kerajaan dengan memperdaya warga Felda selama ini?

Saya dan rakan-rakan yang berjuang untuk kepentingan warga Felda tidak pernah gentar dan takut seperti dakwaan Perdana Menteri.

Siapa yang sebenarnya takut?

Kenapa cabaran debat saya kepada Datuk Ahmad Maslan ditolak?

Saya mengulangi cabaran debat dan bersedia bila-bila masa. Hatta berdebat di Dewan Felda pun saya sedia!!!


Penulis adalah Presiden, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK)

Sabtu, 16 Oktober 2010

Bengkok bawa padah


Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
tanyadrxy@bharian.com.my


Soalan:


SAYA memiliki zakar yang normal ketika tegang. Saya ingin bertanya bagaimana jika bersama isteri, saya membengkokkan zakar ketika masturbasi untuk menambah keseronokan.
Apa yang ingin saya tahu, apakah amalan membengkokkan zakar ini boleh memudaratkan zakar malah menjadikan ia lembik? Saya risau tidak dapat memberi kepuasan kepada isteri.

Lelaki Normal

Jawapan:

TINDAKAN saudara membengkokkan zakar ketika onani boleh menimbulkan kecederaan serius pada batang zakar. Ketika zakar menegang, darah akan memenuhi ruang di dalam tisu corpora cavernosa, iaitu dua struktur yang berbentuk tiub yang juga struktur utama dalam batang zakar.

Kedua-dua struktur ini dibaluti satu lapisan tisu yang dikenali sebagai tunica albuginea. Fungsi lapisan ini adalah untuk mengekalkan darah di dalam corpora cavernosa dan ia juga untuk membolehkan batang zakar menjadi keras.
Dalam keadaan zakar yang tegang, lapisan tunica albuginea ini akan menjadi tersangat nipis. Apa yang boleh berlaku ialah, jika saudara kerap membengkokkan zakar ketika masturbasi, lapisan tunica albuginea boleh koyak.

Apabila koyak, darah akan mengalir keluar dari ruang corpora cavernosa dan memenuhi kawasan di bawah permukaan kulit. Batang zakar juga tidak akan menjadi tegang lagi akibat kebocoran darah dari ruang corpora cavernosa. Keadaan ini dikenali sebagai patah batang zakar atau fracture penis.

Fracture penis ini sering terjadi semasa mastubasi, tambah lagi apabila seseorang itu gemar membengkokkan zakar pada sudut yang tertentu. Ia juga boleh berlaku ketika persetubuhan terutama apabila tusukan batang zakar ke dalam vagina berlaku pada sudut yang tidak normal atau zakar tiba-tiba terbengkok semasa tusukan.

Sering kali sebelum ia berlaku, seseorang lelaki akan mendengar bunyi ‘crack’ dan diikuti dengan sakit pada batang zakar. Batang zakar akan terus menjadi lembik dan akan menjadi bengkak serta berwarna kebiruan.

Fracture penis ini perlu dirawat secara pembedahan kecemasan. Ketika pembedahan, pakar urologi terpaksa mencari tempat di mana koyakan berlaku dan tempat itu perlu dijahit semula.

Sekiranya tidak dirawat, batang zakar sukar untuk mendapat ketegangan akibat dari kebocoran darah. Pada jangka masa panjang, kawasan terbabit akan ditutupi oleh tisu parut yang akan menyebabkan batang zakar menjadi bengkok semasa tegang. Kecederaan pada saluran urethra juga boleh berlaku bersama sama dengan fracture penis.

Selain dari fracture penis, tabiat saudara membengkokkan batang zakar semasa masturbasi boleh menyebabkan pembentukan tisu parut pada batang zakar. Pembentukan tisu parut ini boleh menyebabkan batang zakar bengkok semasa ereksi dan pada kes yang teruk, penetrasi tidak dapat dilakukan.

Janganlah saudara terpengaruh dengan aksi filem dewasa atau lucah. Sudah semestinya pelbagai aksi digayakan untuk menarik perhatian penonton. Anggapan bahawa membengkokkan zakar semasa masturbasi boleh menambahkan keseronokan adalah ilusi semata mata.

Ini adalah kerana serat saraf yang memberikan sensasi semasa masturbasi atau hubungan jenis terdapat banyak di kepala batang zakar dan bukan pada batang zakar.

Sekiranya saudara berminat untuk mempelajari pelbagai teknik dalam hubungan seks suami isteri, ada banyak buku di pasaran mengenai teknik-teknik sesuai. Janganlah menjadikan filem dewasa atau lucah sebagai sumber rujukan.

Bharian

Sabtu, 9 Oktober 2010

Wanita Pertama Negara Maju Tidak Mahu Terbabit Dengan Program Rosmah

Dilulus untuk paparan oleh teori
Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 9 Okt - Imej isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta dakwaan pembabitan beliau terlibat dalam konspirasi terhadap Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan kebanyakan Wanita Pertama negara maju menjarakkan diri mereka daripada terlibat dalam Sidang Kemuncak First Ladies anjuran beliau.

Malah acara tiga hari bermula Isnin depan hanya dihadiri oleh 20 Wanita Pertama yang kebanyakannya datang dari 'dunia ketiga'.

Wanita Pertama yang hadir termasuk dari Albania, Afghanistan, Chile, Congo, Gambi Ghana, Guinea Bissau, Iran, Jamaica, Mali, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Paraguay, Seychelles, Soerra Leone, Sri Lanka, Sudan dan Zambia

Isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu dikatakan menghina Raja Permaisuri Agung dengan merampas gelaran yang pada sisi Perlembagaan adalah hak Tuanku Nur Zahirah yang selayaknya digelar Wanita Pertama Malaysia.

"Imej beliau di kalangan Wanita Pertama negara Eropah dan Amerika Syarikat sudah tercalar. Mereka tidak mahu dikaitkan dengan beliau yang terpalit dengan bermacam-macam tuduhan yang memalukan negara.

"Yang peliknya bagaimana seorang yang tidak layak memanggil dirinya wanita Pertama atau First Lady dari segi Perlembagaan Persekutuan boleh menganjurkan sidang kemuncak yang mengumpulkan wanita Pertama negara lain walhal beliau sendiri bukan dalam kedudukan itu. Ini amat memalukan imej negara," kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi Suara Keadilan.

Zuraida berkata tindakan Rosmah membelakangkan Tuanku Nur Zahirah dengan 'menyamar' sebagai wanita Pertama adalah sesuatu yang mencerminkan kejelekan peribadi beliau.

Malah lebih memalukan dakwaan Rosmah yang mengaku sebagai Wanita Pertama Malaysia dipertikai bukan sahaja oleh pakar Perlembagaan dan juga rakyat negara tetapi pernah dibahaskan semasa sidamng Parlimen.

Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan isterinya" jelas dinyatakan, " Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

"Memang kita sudah bawa isu ini di dalam Parlimen dan saya sudah pun membahaskan perkara ini pada sidang yang lepas. Jadi kita akan teliti lagi sekali dan saya akan persoalkan mengapa kerajaan boleh berikan peruntukan dana awam untuk sidang kemuncak ini serta apa peranan dan keperluan penganjuran sidang berkenaan?

"Meskipun telah beberapa kali Rosmah mendapat teguran dan kritikan berhubung sikap beliau yang membelakangi Raja Permaisuri Agong dengan menganggap dirinya sebagai Wanita Pertama negara, namun dia tidak pernah peduli dan ambil kira pandangan dan teguran," tegas Zuraida.

Tambah Zuraida, Rosmah juga masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran terhadap beliau berhubung isu iklan berwarna dua halaman penuh yang memaparkannya di dalam di New York Times pada April lalu.

Iklan tersebut menyebut ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Apa yang menyedihkan kata Zuraida, Perdana Menteri juga menidakkan peruntukan Perlembagaan sambil menyokong Rosmah mengguna gelaran itu dengan mengatakan, 'Wanita Pertama tidak semestinya adalah Permaisuri'.

"Saya nak tanya Najib, nombor satu tu apa, kalau hanya setakat inilah pengetahuan beliau, dia kena belajar balik ilmu kira-kira," sindir beliau

"Ini jelas menampakkan Rosmah tidak menghirau dan menghormati Perlembagaan sedangkan di negara kita memang tidak pernah wujud istilah 'Wanita Pertama'.

"Malangnya apabila Najib dan Rosmah menguasai pentadbiran negara, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan. Mereka tidak ada mengetahui sejarah negara dan tidak peduli kepentingan Perlembagaan," ujar Zuraida lagi.

Sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama mengenai agenda memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.

Isnin, 16 Ogos 2010

8 ujian wajib lelaki

Oleh Fairuz Zaidan

fairuzaidan@bharian.com.my


SOALAN:
Saya lelaki berumur 50 tahun dan setakat ini tidak mempunyai sebarang penyakit. Boleh doktor terangkan jenis pemeriksaan kesihatan yang bersesuaian boleh saya jalani untuk memastikan tahap kesihatan saya sentiasa baik?

JAWAPAN:

Saudara, ada beberapa jenis pemeriksaan kesihatan yang perlu dilakukan oleh setiap lelaki demi untuk mengekalkan tahap kesihatan dan juga untuk mengesan sekiranya ada penyakit di peringkat awal. Pada pandangan saya, sikap ingin tahu berkaitan maklumat kesihatan itu wajar demi memahami tahap kesihatan diri. Seperti yang diketahui, mencegah lebih baik daripada mengubati dan penting bagi mengetahui penjagaan kesihatan sesuai keperluan usia. Berikut beberapa pemeriksaan kesihatan yang boleh saudara jalani :

1) Ujian paras kolesterol

Kolesterol adalah sejenis lemak protein di dalam darah yang boleh menimbulkan masalah penyumbatan saluran darah jika di tahap tinggi. Maklumat tahap kolesterol darah dapat bantu usaha mengetahui tahap kesihatan jantung dan risiko saudara untuk mendapat penyakit jantung. Ada dua jenis kolesterol iaitu HDL atau High-density lipoprotein dan LDL atau low density lipoprotein. HDL adalah kolesterol yang ‘baik’ dan boleh melindungi dari penyakit jantung sementara LDL pula adalah kolesterol ‘buruk.’ Paras LDL yang tinggi boleh mengundang risiko penyakit jantung. Ujian ini boleh dilakukan seawal umur 20 tahun dengan kekerapan ujian setiap dua ke lima tahun sekali bergantung kepada paras normal. Jika paras tidak normal, ujian perlu berulang setiap enam bulan atau mengikut arahan doktor.
2) Tekanan darah

Pemeriksaan ini amat mudah dilakukan dan penting. Maklumat itu penting bagi mengelak penyakit serius seperti ‘angin ahmar’ dan sakit jantung koronari. Kajian menunjukkan satu bagi setiap lima dewasa iaitu lebih kurang 50 juta penduduk dunia mengalami masalah tekanan darah tinggi. Apabila tekanan darah melebihi 140/90 mmhg, ia boleh menimbulkan ketegangan pada jantung dan pada jangka masa panjang keadaan ini boleh membahayakan. Pemeriksaan ini tidak kira peringkat umur, tetapi elok dimulakan pada awal remaja dengan kekerapan setahun sekali jika dalam keadaan normal atau mengikut arahan doktor jika tekanan tidak normal.

3) Pemeriksaan darah untuk kencing manis/diabetes

Pemeriksaan darah ini perlu dilakukan dalam keadaan berpuasa. Pemeriksaan ini dikenali sebagai ‘fasting blood sugar.’ Jika keputusan menunjukkan tahap yang tinggi, doktor akan menasihatkan saudara menjalani ujian ‘glucose tolerance test’ untuk mengesahkan simptom penyakit kencing manis. Pemeriksaan ini membabitkan pengambilan darah selepas saudara diberi minuman bergula. Ia boleh dilakukan pada usia 45 tahun jika saudara tiada faktor risiko kencing manis seperti berat badan berlebihan atau sejarah penyakit dalam keluarga. Sekiranya saudara mempunyai berat badan berlebihan dan sejarah keluarga atau mengalami tanda-tanda kencing manis, saudara perlu menjalani ujian darah ini lebih awal. Kekerapan menjalani ujian adalah setiap tiga tahun bagi mereka yang normal.

4) Ujian densiti tulang

Lelaki juga boleh mengalami masalah pengurangan kekuatan tulang yang dikenali sebagai ‘osteoporosis.’ Kajian menunjukkan selepas usia 50 tahun, enam peratus lelaki mengalami masalah patah tulang pinggul dan lima peratus mengalami masalah patah tulang belakang akibat osteoporosis dan peratusannya meningkat mengikut peningkatan usia. Apabila umur kian meningkat, bahan mineral seperti kalsium akan mula berkurangan dalam badan. Ditambah dengan masalah penurunan paras hormon testosteron yang menyebabkan tulang rapuh. Lelaki 65 tahun sepatutnya sudah pun menjalani ujian ini. Pun begitu, lelaki yang mempunyai risiko mendapat osteoporosis seperti pesakit yang mengambil ubat ‘corticosteroid’ atau pernah mengalami patah tulang harus menjalani ujian ini lebih awal.

5) Pemeriksaan Colonoscopy

Kanser kolorektal iatu kanser membabitkan usus besar dan usus bawah (rectum) sering menyerang lelaki dan ia boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal. Untuk mengesan pada peringkat awal, seseorang itu perlu menjalani ujian kolonoskopi. Ujian ini membabitkan alat berupa tiub yang mempunyai kamera dimasukkan ke dalam dubur dan seterusnya ke dalam usus besar. Melalui pemeriksaan ini, seluruh bahagian usus besar boleh diperiksa dan apa apa ketumbuhan atau tanda kanser usus besar dapat dikesan dan di ambil biopsy sekiranya perlu. Ia boleh dilakukan pada usia 50 tahun jika tiada faktor risiko.

6) Pemeriksaan mata

Ada pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan buta seperti glaukoma boleh dicegah dengan pemeriksaan mata secara berkala. Mengikut Akademi Oftahmologi Amerika Syarikat (AS), ada lebih kurang 43 juta rakyat AS mengalami masalah mata akibat penuaan dan hanya kurang satu pertiga rakyatnya menjalani pemeriksaan mata secara berkala. Ia boleh dilakukan pada usia 18 tahun dengan kekerapan satu hingga tiga tahun sekali mengikut lingkungan usia 18 hingga 61 tahun bergantung kepada saranan doktor. Bagi pesakit diabetes pula, risiko untuk mendapat masalah penglihatan adalah lebih tinggi dan mereka ini perlu menjalani pemeriksaan lebih kerap.

7) Pemeriksaan buah zakar

Kanser buah zakar sering melanda lelaki yang berusia antara 15 hingga 34 tahun. Sekiranya dikesan awal, 90 peratus dari pesakit kanser buah zakar boleh disembuhkan. Pemeriksaan ini boleh dilakukan sendiri dengan memegang buah zakar di antara ibu jari dan jari telunjuk, permukaan buah zakar perlu dirasa untuk mengesan bonjolan, kawasan yang menjadi keras atau pembesaran buah zakar. Jika ada tanda-tanda itu, saudara perlu berjumpa doktor. Pemeriksaan dilakukan selepas baligh dengan kekerapan setiap bulan.

8) Pemeriksaan kanser prostat

Pemeriksaan yang perlu dilakukan. Pertama menerusi pemeriksaan fizikal di mana doktor memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang dubur untuk mengetahui sama ada terdapat bonjolan atas benda keras yang menandakan berlakunya kanser prostat. Pemeriksaan darah pula dikenali sebagai ujian ‘Prostate Spesific Antigen’ (PSA). Dapatkan nasihat awal doktor sebelum memilih menjalani ujian PSA. Pemeriksaan ini boleh dilakukan pada usia 50 tahun tetapi harus dilakukan lima tahun lebih awal jika ada saudara terdekat seperti ayah, abang atau bapa saudara yang mengalami kanser ini.

Tamat

Bharian

Jumaat, 16 Julai 2010

Seks bantu proses pulih minda suami isteri


Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
tanyadrxy@bharian.com.my

Soalan:

SALAM sejahtera, doktor. Saya sudah mendirikan rumah tangga hampir 12 tahun lalu. Masalah saya, sekarang saya mengalami keinginan melakukan hubungan seks dengan isteri terlalu kerap, malah hampir setiap hari.

Apakah ini mendatangkan masalah kesihatan kepada diri saya dan isteri?

Ingin Tahu

Jawapan:

SAUDARA, hubungan seks yang kerap walaupun pada kadar setiap hari, tidak akan menimbulkan apa-apa kemudaratan. Hubungan seks dianggap satu proses pemulihan (healing) yang baik untuk minda dan tubuh badan.

Berikut ialah beberapa kelebihan melakukan hubungan seks:

1. Sejenis senaman.

Hubungan seks ialah salah satu bentuk aktiviti fizikal. Ketika hubungan berlaku, berlaku pelbagai perubahan fisilogi yang berlaku dalam badan seolah-olah seperti seseorang lelaki sedang menjalani aktiviti senaman.

Contohnya, semasa hubungan seks, tahap kadar pernafasan akan meningkat. Peningkatan pernafasan dan pernafasan yang dalam akan meningkatkan tahap oksigen dalam badan dan boleh memperbaiki sel-sel yang rosak. Kapasiti paru-paru juga akan meningkat. Begitu juga dengan degupan jantung, ia akan meningkat ketika hubungan seks dan ini akan meningkatkan aliran darah dalam badan.

Ketika hubungan seks, pelbagai otot mengalami kontraksi dan selepas hubungan seks, sering kali saudara dapati saudara letih dan berpeluh. Ini bermakna ada aktiviti fizikal yang membakar kalori berlaku semasa hubungan seks. Dianggarkan, jika saudara melakukan hubungan seks tiga kali seminggu dan setiap kali hubungan memakan masa 15 minit, saudara akan menggunakan 7,500 kalori setahun. Ini umpama saudara berjoging sejauh 120 km. Hormon testosterone yang dikeluarkan ketika hubungan seks juga akan meningkatkan kekuatan otot dan menguatkan tulang.

2. Penawar kesakitan.

Semasa hubungan seksual, sejenis hormon yang dipanggil ‘endophine’ akan dirembeskan. Hormon endophine ini mempunyai fungsi melegakan kesakitan dan sejenis hormon penahan sakit.

Satu kajian dijalankan menunjukkan semasa hubungan seksual terutama semasa orgasma, seseorang tidak akan merasa kesakitan dan selepas hubungan seksual, kesakitan ringan akan berkurangan.

3. Perlindungan kepada kelenjar prostat.

Sebahagian besar dari cecair yang dikeluarkan semasa ejakulasi datangnya dari kelenjar prostat. Hubungan seks yang kerap dapat membantu meningkat produksi cecair yang baru serta dapat mengeluarkan cecair yang berada dalam kelenjar. Jika ejakulasi lama tidak berlaku, akan terjadi pengumpulan cecair dalam kelenjar dan ini boleh menimbulkan inflamasi atau keradangan pada kelenjar prostat.

4. Pengurangan risiko mendapat masalah mati pucuk (ED)

Lima puluh peratus dari lelaki yang berumur lebih dari 40 tahun akan mengalami masalah mati pucuk. Salah satu langkah pencegahan ialah dengan kerap melakukan hubungan seks.

Semasa proses ereksi berlaku, banyak darah dari arteri akan dipamkan ke batang zakar dan darah ini akan membawa oksigen dan nutrien kepada tisu batang zakar.

Proses ini akan mengekalkan kesihatan batang zakar dan ketegangan batang zakar.

5. Mengurangkan stress.

Sudah terbukti dari segi kajian saintifik bahawa hubungan seks yang kerap dapat mengurangkan stress. Ini adalah kerana semasa hubungan seks, badan akan menghasilkan dopamine iaitu sejenis kimia dalam badan yang boleh mengurangkan stress.

Sejenis kimia lagi yang dikenali sebagai oxytocin, juga dirembeskan dan hormon ini bertindak sebagai hormon yang memberi kesan kelegaan serta kesan positif terhadap keinginan dan nafsu seseorang lelaki.

6. Lain-lain kelebihan.

Kajian di negara Barat menunjukkan hubungan seks yang dinikmati dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan sakit kepala, mengurangkan kemurungan serta dapat memberi kebaikan pada otot dan sendi. Selain itu, hubungan seks juga dapat mengukuhkan hubungan dan mengeratkan kasih sayang antara pasangan suami-isteri.

Bharian

Rabu, 16 Jun 2010

Risau nafsu seks menurun

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.

tanyadrxy@bharian.com.my


Soalan:

SAYA baru mencecah usia 49 tahun. Baru-baru ini, saya disahkan menghidap darah tinggi malah pernah mendapat angin ahmar atau minor stroke. Sejak dari itu, saya diminta mengambil beberapa jenis ubat tanpa ditinggalkan iaitu jenis atenolol, cardiopill dan sebagainya.
Apa yang merisaukan saya ialah saya dapati, kekuatan tenaga batin saya kini agak menurun. Saya gagal mengawal ketegangan zakar ketika bersama isteri. Apa sebenarnya masalah yang saya hadapi sekarang?

Mahu Normal

Jawapan:

UBAT darah tinggi yang diambil saudara boleh menyebabkan berlakunya masalah ketegangan zakar atau erectlie dysfunction. Ini kerana ubat dari jenis betablocker boleh memberi gangguan ke atas proses ereksi zakar. Selain itu, ubat lain dari jenis diuretiks; ubat anti kemurungan; ubat mengawal aras kolesterol; ubatan kanser prostate dan kemoterapi boleh menjejaskan ereksi.

Selain itu, masalah darah tinggi yang dialami saudara boleh menyumbang kepada masalah ereksi.

Saya menasihatkan saudara berjumpa doktor yang merawat untuk berbincang. Salah satu kaedah yang boleh diambil ialah mengurangkan dos ubat darah tinggi. Selain itu, saudara boleh berbincang mengenai pengambilan ubat PDE 5 inhibitor seperti Sildenafil (Viagara); Vardenafil (Levitra) atau Tadalafil (Cialis).

Ubat ini boleh membantu memulihkan masalah ketegangan zakar yang dialami. Bagaimanapun, ubat ini tidak boleh dibeli di farmasi. Saudara perlu berjumpa dengan doktor untuk memastikan saudara boleh mengambil ubat PDE5 inhibitor ini.

Ini kerana ubat ini tidak boleh diambil jika pada masa sama, saudara mengambil ubat jenis nitrates iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk merawat penyakit jantung.

Ahad, 16 Mei 2010

Zakar tidak terangsang


Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
tanyadrxy@bharian.com.my

Soalan:


SAYA sangat risau sekarang. Ini kerana sejak lebih dua minggu lalu, zakar saya sukar menegang. Malah, boleh dikatakan ia tidak menegang langsung.
Selalunya, pada awal pagi zakar saya menegang tetapi sekarang tidak. Puas saya cuba merangsangkannya seperti berkhayal tetapi masih lembik. Apakah ini sesuatu yang normal dan biasa dihadapi lelaki?

Jawapan:

ADA dua kategori utama penyebab masalah disfungsi erektil (erectile dysfunction). Jika saudara tergolong dalam kategori umur muda dan tidak mempunyai masalah kesihatan lain, punca utama adalah psikogenik. Ini disokong dengan fakta kegagalan mendapat ereksi secara tiba-tiba malah ereksi tidak boleh dirangsang langsung.

Faktor yang menyumbang kepada masalah psikogenik ini boleh terjadi secara disedari atau tidak. Ini termasuk stress, masalah kewangan atau perhubungan. Masalah ereksi yang saudara baru hadapi ini juga boleh menimbulkan tekanan yang mampu memburukkan keadaan.
Kategori kedua adalah organik iaitu masalah ketegangan zakar berpunca isu kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kekurangan hormon testosterone. Masalah ini sering terjadi pada golongan pertengahan umur termasuk mereka yang mengalami masalah kesihatan yang dinyatakan. Bagaimanapun, masalah ereksi pada golongan ini berlaku secara perlahan-lahan dan tidaklah mendadak dalam tempoh tiga minggu seperti yang dialami saudara.

Nasihat saya, cuba kenal pasti faktor yang boleh menimbulkan tekanan. Lakukanlah aktiviti yang boleh mengurangkan stress seperti bersenam. Jika saudara merokok, hentikannya kerana merokok akan menjejaskan fungsi ereksi. Ketika ini, elak cuba memaksa zakar menegang sama ada dengan cara stimulasi manual atau sebagainya.

Jika belum pernah mendapatkan pemeriksaan kesihatan, saya nasihatkan saudara mendapatkan saringan kesihatan untuk penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi kerana ia boleh menyerang golongan muda. Masalah ketegangan zakar psikogenik lazimnya bersifat sementara dan tidak memerlukan ubat. Namun, ada pakar urologi memberikan ubat PDE 5 inhibitor untuk mendapatkan apa yang dikenali sebagai placebo effect iaitu kesan secara tidak langsung. Apabila ketegangan pulih, pengambilan ubat dihentikan.

Saudara juga dinasihat tidak membeli ubat yang tidak diiktiraf di pasaran terbuka atau melakukan urut seperti urut batin yang akan menimbulkan banyak komplikasi. Jika masalah ini berlarutan, saudara perlu berjumpa pakar urologi.