Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 5 April 2011

Penyiaran video di YouTube langkah awal ke arah kebenaran

KUALA LUMPUR 4 April - Rakaman video aksi seks yang didakwa melibatkan pemimpin parti pembangkang yang dimuat naik ke laman YouTube hari ini disifatkan sebagai langkah awal dalam usaha mencari kebenaran berhubung kes itu.

Ketika mengulas pendedahan berkenaan, Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, ia juga bakal menjawab banyak persoalan di sebalik isu video seks itu terutama identiti individu di dalam rakaman tersebut.

"Rakyat kini boleh menilai sendiri siapa individu yang terlibat dan sekiranya benar seperti apa yang disebut-sebut sebelum ini, maka ia merupakan satu malapetaka besar kepada politik negara, orang Melayu dan umat Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada rakaman video selama 1 minit 47 saat yang dimuat naik ke YouTube hari ini yang dipercayai sebahagian daripada rakaman video aksi seks yang didedahkan kepada sekumpulan media 21 Februari lalu.

Rakaman itu memperlihatkan dengan jelas tiga individu iaitu dua lelaki dan seorang wanita dipercayai pelacur dari China dengan seorang daripada lelaki itu hanya memakai tuala.

Hamidzun menambah, pendedahan rakaman video di YouTube itu juga diharapkan dapat disusuli dengan tayangan penuh rakaman video aksi seks itu kepada seluruh wakil rakyat di Parlimen seperti yang diminta GAPS.

Ini kerana katanya, rakaman video di YouTube itu tidak memadai untuk membuktikan kebenaran, tambahan pula individu yang didakwa terbabit dalam rakaman video seks tersebut juga merupakan seorang ahli Parlimen.

"Kita tidak mahu rakaman video yang pendek ini semakin menimbulkan keraguan di kalangan orang ramai dan perlu dipertontonkan keseluruhannya supaya seluruh rakyat jelas mengenainya," kata beliau.

Dalam perkembangan sama kata Hamidzun, GAPS akan menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar melalui Ketua Polis Shah Alam, Selangor berhubung tiga perkara berkaitan video itu.

Selain menuntut supaya rakaman video aksi seks itu ditayangkan di Parlimen, memorandum itu juga mahukan supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan.

"Kita juga mahukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggotai suruhanjaya itu," kata beliau.

Ramai Meragui ini Bukan DS Anwar



Jika ikutkan komen memang tak percaya ini DS Anwar.

Selasa, 29 Mac 2011

Sepasang suami isteri pegawai kanan kastam ditahan


Sepasang pegawai kanan Kastam suami isteri ditahan oleh Pasukan Tindakan Khas diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa serbuan ke atas lebih 100 buah syarikat dan orang perseorangan secara serentak semalam.

Mendedahkan demikian, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata dua pegawai itu ditangkap bagi membantu siasatan.

"Ratusan ribu ringgit telah dijumpai di rumah dua orang pegawai kanan Kastam ini yang merupakan pasangan suami isteri," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Serbuan melibatkan 84 agen penghantaran, sebuah syarikat induk serta 24 anak syarikat berkaitan dan 25 premis Kastam Diraja Malaysia di seluruh negara.

Katanya pasukan ini juga telah menyita lebih daripada 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan.

Pasukan Tindakan Khas ini melibatkan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa lagi agensi penguatkuasaan berkaitan.

Mustafar berkata kesemua entiti yang diserbu dipercayai terlibat dalam pengisytiharan di bawah nilai sebenar cukai kastam, pengelakan cukai pendapatan dan aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram.

"Ia juga termasuk penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara yang melibatkan nilai wang mencakupi berbilion ringgit dan perlakuan jenayah rasuah," katanya.

"Kami melakukan tinjauan selama sebulan. Ia boleh dikatakan satu sindiket berikutan jaringan yang ada antara satu sama lain," katanya.

Kesemua aktiviti tersebut melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ditanya mengenai jumlah sebenar yang diperolehi dari serbuan itu, Mustafar berkata, "Ia hanya merupakan satu kes yang dilaporkan berbanding 10 yang tidak dilaporkan. Saya yakin ia tetap melibatkan jumlah yang sangat tinggi."

Tentang sama ada serbuan semalam melibatkan seorang anggota salah sebuah parti politik, beliau menjawab, "Ia hanya satu kebetulan".

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata Malaysia mencatatkan Kesalahan dan Ketinggalan (E&O) aliran keluar kewangan RM135.3 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.

E&O itu antara lain mungkin mencerminkan aliran kewangan tidak direkodkan yang dijalankan melalui saluran tidak formal, yang mungkin termasuk dana yang berpunca daripada aktiviti haram, katanya.

- Bernama

Khamis, 24 Mac 2011

PAS cadang pendidikan Islam, moral subjek wajib lulus SPM


KUALA LUMPUR, 24 Mac: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof mencadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia turut menjadikan subjek pendidikan Islam dan moral sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain daripada mata pelajaran sejarah.

Beliau berkata, pendidikan Islam dan pendidikan moral merangkumi pelbagai perkara asas yang amat penting untuk dipelajari dan difahami oleh pelajar-pelajar sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, jika kedua-dua mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib lulus, pelajar-pelajar tidak akan bersungguh-sungguh mempelajarinya sedangkan ianya merupakan penyelesaian kepada masalah moral.

"Persoalannya kenapa mata pelajaran sejarah sahaja diwajibkan lulus sedangkan pendidikan Islam merupakan fardu ain kepada setiap orang Islam tidak menjadi mata pelajaran wajib lulus tapi wajib ambil sahaja.

"Apabila tak wajib lulus, mana mungkin pelajar akan belajar bersungguh-sungguh dalam mata pelajaran ini," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya juga, mata pelajaran pendidikan Islam dan moral amat penting kepada setiap pelajar kerana negara ketika ini ketandusan pemimpin yang berintegriti dan bermoral.

"Kita sekarang ketandusan pemimpin berintegriti. Lihat sahaja masalah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

"Jadi kita perlukan pelapis kepimpinan yang berintegriti. Integriti bukan lahir dengan pencapaian subjek lain tetapi asasnya agama. Jadi sudah sapai masa kerajaan kaji balik sukatan pelajaran dan mata pelajaran wajib lulus kalau betul-betul nak lahirkan generasi yang berintegriti dan bebas daripada masalah moral yang semakin kritikal," katanya.

Tegas Siti Zailah juga, kerajaan tidak bersungguh-sungguh melahirkan insan yang cemerlang dari semua sudut apabila mengabaikan kedua-dua mata pelajaran ini.

"Ini menunjukkan kerajaan tidak serius melahirkan insan yang berkualiti yang mengikut kata kementerian, kita perlu melahirkan modal insan.

"Bagaimana nak lahirkan modal insan kalau mata pelajaran melibatkan agama dan moral tidak diwajibkan lulus," katanya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat.

Sementara itu, beliau mengakui kepentingan pelajar mempelajari sejarah tetapi katanya, ia tidak harus bergantung kepada buku teks semata-mata yang faktanya dilihat diselewengkan oleh orientalis.

"Sejarah memang penting tapi bukan hanya sejarah yang ditulis dalam buku teks yang kita tengok banyak yang diselewengkan faktanya oleh barat.

"Contohnya Kamal Atartuk dikatakan bapa pembebasan Turki sedangkan dia lah yang menghancurkan Islam di Turki.

"Sejarah jangan hanya bergantung kepada buku teks orientalis sahaja tapi kembangkan juga sejarah Islam yang boleh dijadikan iktibar untuk pemerintahan yang lebih baik," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri, ketika menggulung perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat memberitahu, bermula pada tahun 2013, mata pelajaran Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat layak untuk mendapat sijil SPM.

Dasar ini katanya selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan moda insan cemerlang, berkemahiran tinggi, berdaya saing, mempunyai semangat jati diri yang kental serta memiliki semangat patriotik dan nilai kewarganegaraan yang tinggi.

PKR desak Najib jelaskan bincang dalang video

PETALING JAYA, 24 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu membuat kenyataan segera mengenai hasil perbincangannya dengan ketiga-tiga dalang video seks yang memalukan Malaysia demi membersihkan namanya dan Umno.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keengganan kerajaan mengambil tindakan tegas dan segera ke atas semua dalang yang terbabit menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa ada penglibatan pimpinan kerajaan yang serius di dalam konspirasi itu, tidak ubah seperti mana konspirasi tahun 1998 dahulu.

Beliau menyatakan demikian dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat semalam oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah, salah seorang dari tiga dalang yang menamakan diri mereka ‘Dato T’ berhubung pembabitan mereka di dalam skandal seks video yang memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Eskay menyatakan bahawa dia juga turut dirakam di dalam video tersebut.

“Ini mengesahkan teori bahawa lelaki yang pada awalnya dilihat sedang mengaturkan sesuatu di dalam bilik dan disyaki bertanggungjawab memasang alat perakam adalah Eskay sendiri,” kata Nazmi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, ia juga selari dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk Johari Abdul semalam bahawa si pelaku tahu perbuatan seks akan dirakamkan kerana pada awalnya dia dirakam bersama-sama seorang lelaki lain yang disyaki sedang menyiapkan peralatan rakaman.
Beliau menambah, pengakuan Eskay menimbulkan keraguan besar kepada jalan ceritanya iaitu kononnya dia disuruh oleh Anwar untuk mengambil jamnya yang tertinggal, lalu terjumpa peralatan rakaman semasa mencari jam tersebut.

“Jelas bahawa itu pembohongan kerana dia sendiri mengaku bahawa dia adalah lelaki terbabit yang disyaki bertanggungjawab memasang alat rakaman di permulaan rakaman video tersebut.
“Dakwaannya kononnya dia terjumpa video itu adalah penipuan semata-mata dan tidak masuk akal,” ujarnya.

Justeru, beliau mendesak Perdana Menteri sendiri memberi maklum balas kepada satu laporan bahawa ketiga-tiga orang dalang itu berjumpa dengan Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri di Parlimen untuk berbincang mengenai perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Umno di pejabatnya di Parlimen petang semalam, maka Perdana Menteri memang berada di Parlimen ketika ketiga-tiga dalang ini dilihat di Parlimen semalam.

“Perkara ini menimbulkan tanda tanya yang serius mengenai setakat manakah pembabitan pimpinan kerajaan dalam pembikinan dan penayangan video seks ini, yang melanggar beberapa peruntukan undang-undang secara jelas,” katanya.

Simpan bahan lucah & ugutan politik, polis kena siasat Datuk T

KUALA LUMPUR: Pimpinan KEADILAN dan badan bukan kerajaan (NGO) mendesak polis mengadakan siasatan segera kerana tindakan Datuk T menayang video seks, adalah perbuatan jenayah di sisi undang-undang.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh pula meminta polis menjalankan siasatan kerana ia melibatkan kesalahan jenayah mengikut Seksyen 922 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem iaitu menyimpan dan memiliki bahan lucah.

“Harap polis ambil serius kerana melibatkan politik kotor sehingga mencalarkan nama baik Anwar dan keluarganya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan bersama pimpinan parti di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, tengah hari tadi.

Turut membuat laporan ialah badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (Gapet).

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, mereka juga boleh didakwa kerana menggunakan rakaman video lucah itu sebagai bahan ugutan untuk memaksa Presiden dan Ketua Umum KEADILAN meletak jawatan.

“Perkara ini mesti diambil tindakan segera kerana tiga orang Datuk ‘T’ masih bebas dan kesalahan mereka berbahaya.

“Selepas menyebarkan video itu, mereka mengugut supaya pemimpin tertinggi meletak jawatan, dan sekarang mereka mengaku pula pelakon dalam rakaman itu,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasgam pula meminta kerajaan tidak memenuhi permintaan ‘Datuk T’ untuk menubuhkan siasatan khas.

“Tidak perlu tubuh badan bebas kerana kami percaya polis dapat menjalankan siasatan lebih baik kerana Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar maklum bahawa pihaknya akan menubuhkan badan penyiasatan kes itu

Pengerusi Gapet, Khairul Anuar Othman pula menyeru Umno dan Perkasa supaya tidak campur tangan dalam proses penyiasatan video itu kerana tidak mahu wujud bayangan politik.
“Kami tidak mahu Umno dan Perkasa menyibukkan diri mereka dalam penyiasatan itu dan berharap polis dapat jalankan secara telus dan adil menentukan siapa yang salah,” katanya

Chegu Bard : Datuk T pembohong, Video Adalah Rekayasa


KUALA LUMPUR 24 MAC : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin menegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa fitnah video lucah yang direkayasa oleh tiga individu yang mengenali diri mereka sebagai Datuk T.

Bercakap selepas menonton video itu, Badrul yang dikenali atas ketegasannya berhubung isu- isu prinsip, berkata bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik juga berbohong mengenai video itu pada sidang akhbarnya semalam.

Badrul diperlawa menonton video itu apabila dibawa berjumpa dengan Tan Sri Rahim dan Datuk Shazryl Eskay di sebuah hotel lima bintang pada Isnin lalu.

Berikut kenyataan penuh Badrul setelah beliau mengadakan sidang media di Kuala Lumpur:
Pada 21 Mac 2011, saya telah menerima panggilan dari seseorang yang menawarkan saya menonton video tersebut dan bertemu Datuk T.

Saya telah mendapat maklum pada pagi itu, bahawa Datuk T juga adalah penganjur tayangan video lucah di Carcosa Seri Negara pada awal pagi pada hari yang sama.

Saya bersetuju untuk pergi bersama beberapa rakan tetapi yang dibenarkan menemui beliau adalah 2 orang sahaja. Saya telah membawa rakan baik saya yang juga seseorang dari UMNO. Saya diarah menunggu depan Institut Jatung Negara (IJN) pada jam 7.45 petang. Saya tiba tepat waktunya. Seseorang yang perkenal diri Datuk T menelefon saya dan mengarahkan saya meletakkan kenderaan di situ dan kami telah di jemput di perkarangan parkir Institut Jantung Negara pada lebih kurang hampir 8.00pm. Sebelum itu ketika kami menanti ada beberapa kenderaan berpusing beberapa kali dan memerhati kami.

Kami telah dibawa ke Hotel Shangrila dan telah bertemu dengan 3 orang di sana selain dari beberapa orang yang dipercayai pengawal peribadi yang bertugas untuk Datuk T. Sebelum memasuki bilik kami diperiksa badan dan diminta meninggalkan telefon tangan kepada pengawal. Datuk T telah memperkenalkan dirinya dan bersama beliau adalah Tan Sri Rahim Thamby Chik dan seorang tua yang tidak dikenali, (tetapi selepas itu dikenal pasti sebagai Tengku Sulaiman)
Kami telah dibenarkan untuk menonton video lucah secara menyeluruh dua kali dan semasa itu Datuk T memberi penerangan mengenai video itu. Kami juga dimaklumkan bahawa Datuk T yang kini disahkan sebagai Datuk Easkay Abdulllah adalah pemunya video tersebut dan hanya beliau mempunyai video tersebut.

Kami juga dimaklumkan bahawa Tan Sri Rahim Thamby Chik baru menonton video tersebut dan ini berbeza sekali dengan kenyataan beliau pada 23 hb Mch 2010 sebagai orang yang sama-sama terlibat dengan Datuk T. Ketika menonton bersama, Tan Sri Rahim seolah beberapa kali terkejut dan beristigfar seolah inilah kali pertama menonton.

Tujuan saya dipanggil adalah untuk diberi sesalinan video itu untuk ditunjukkan kepada Wan Azizah Wan Ismail dan mengemukakan desakan agar beliau dan Ketua UMUM PKR berhenti dan meninggalkan politik.

Untuk tujuan mendapatkan video itu saya telah berpura- pura untuk bersetuju mengenai apa yang di beritahu kepada saya mengenai video itu. Datuk T memberitahu bahawa video itu membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerangkan mengenai video itu secara terperinci.
Saya telah diminta memberi keputusan untuk bersetuju atau tidak menjadi orang yang akan membawa video itu untuk ditunjukkan kepada Wan Azizah Wan Ismail. Walaubagaimanapun ianya terbantut setelah Datuk T meminta ruangan untuk menayangkan video itu sendiri kepada Wan Azizah. Kami berhubung melalui telefon yang menurut beliau baru dibeli.

Saya mendapati beberapa pencanggahan antara kenyataan media yang diberi oleh beliau sewaktu di Hotel Impiana dan apa yang telah diberitahu keapda saya khususnya mengenai Datuk T sebagai Datuk Trio, tetapi dalam pertemuan tersebut Datuk Eskay memperkenalkan diri sebagai Datuk T. Tan Sri Rahim memanggil beliau sebagai Datuk T juga kecuali dua kali terlepas dengan menyebut memanggil Datuk T sebagai Eskay.

Kami meninggalkan hotel tersebut hampir jam 10.00 malam dan bertemu rakan yang mengiringi kami seramai 3 orang yang kami ceritakan apa yang berlaku.
1. Tan Sri Rahim menipu kerana dalam sidang media semalam dia mengatakan dia merancang semua tetapi ketika bersama saya dia mengatakan ini kali pertama menonton setelah pulang dari luar negara untuk percutian keluarga.

2. Saya telah 'berpura' yakin mengenai video dan sedia memberikan video tersebut ditonton oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah namun beliau enggan melakukan. Nampaknya beliau pun tidak bersungguh dalam kononya mahu Wan Azizah menonton video tersebut.

3. Dari pemerhatian saya video tersebut kemungkinan besar video asal yang tidak diganggu imejnya pun. Namun pelakon dalam filem tersebut bukan Anwar. Memang sekali imbas kelihatan seperti Anwar tetapi bagi sesiapa yang rapat dan biasa melihat 'perwatakan' atau gerak geri Anwar pasti tahu itu bukan Anwar. Contohnya dalam filem Ghandi, Ben Kingsley yang melakonkan watak Ghandi begitu menjadi sehingga menggondol sekurang kurangnya 11 anugerah peringkat dunia. Saling tak tumpah seperti Ghandi namun jika sesiapa yang pernah rapat dan mengenali perwatakan Ghandi tentu tahu membezakannya.

4. Saya menyakini kumpulan ini besar serta mendapat lindungan istimewa kerana modus operandi ketika membawa saya ke hotel tersebut seperti babak filem James Bond. Nama penyewa bilik tempat menonton dan daftar kenderaan yang digunakan menjemput saya mungkin dapat mengundang fakta lebih menarik lagi.

Politik kotor dan jijik seperti ini harus dikecam oleh rakyat Malaysia. Rakyat sebenarnya sudah bosan dengan politik 'selak kain' yang lansung tidak mendidik. Isu polisi, kebajikan rakyat tidak diperdebat tetapi sebaliknya 'isu selak kain' dibincangkan secara sensasi, kesian rakyat yang terhimpit dengan kenaikan harga dan kos hidup yang makin meningkat.
Sekian

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Isnin, 14 Mac 2011

Band gabungan dua negara


SIFAT muzik yang tidak bersempadan membolehkan lima anak muda berlainan kewarganegaraan bergabung untuk membentuk sebuah band indie yang dinamakan Indie Mice.

Ternyata status kewarganegaraan bukanlah penghalang buat Indie Mice memperjuangkan bakat seni mereka sebaliknya, ia memberi kelebihan dari segi pemasaran dan pengaruh.

Dianggotai oleh tiga pemuda tempatan iaitu Noah sebagai vokalis, Hadi (gitar) dan Hazreq (drum), Indie Mice dilengkapkan dengan dua jejaka dari Indonesia iaitu Dede (basis) dan Ledu (vokalis & gitar).

Menurut Noah, Indie Mice ditubuhkan pada April 2009 tampil dengan album pertama mereka, 1 Rumpun, simbolik kepada hubungan dua negara yang terbina dalam kumpulan itu.

Menjelaskan bagaimana band tersebut boleh bersatu, Noah memberitahu, Hadi dan Hazreq adalah kawannya. Pada masa yang sama Hadi mengenali Dede dan Ledu.

"Setelah berjumpa, secara kebetulan, masing-masing boleh bermain muzik. Jadi, kami lakukan latihan bersama di studio.

"Selepas beberapa kali mengadakan latihan, kami bersetuju untuk membentuk satu kumpulan. Dari situlah Indie Mice mula ditubuhkan," katanya menceritakan sejarah penubuhan bandnya itu.

Popular di Indonesia

Dalam sidang akhbar pelancaran album 1 Rumpun yang diadakan di Borneo Rainforest, Sunway baru-baru ini, Noah turut memberitahu, Indie Mice kini mula mendapat tempat di kalangan peminat muzik di Indonesia.

Bukan itu sahaja, pengamal media di negara jiran itu juga memberi ruang kepada Indie Mice untuk tampil di dada-dada akhbar selain muncul di kaca televisyen terutamanya di Jakarta.

"Lagu Jangan Sesekali sering dimainkan di beberapa stesen radio di sana. Selain itu, muzik videonya juga ditayangkan di stesen televisyen tempatan.

"Setakat ini, kami tidak mempunyai masalah untuk memasarkan produk kami di Indonesia. Mungkin kerana buat masa ini, media di sana tidak tahu kami adalah kumpulan muzik yang berasal dari Malaysia.

"Mungkin mereka beranggapan kami adalah kumpulan muzik dari sana kerana adanya Ledu dan Dede," ujar Noah.

Tatkala ditanya mengapa aktiviti promosi Indie Mice begitu giat dijalankan di Indonesia berbanding Malaysia, Noah menjawab, mereka mendapat sokongan kewangan terlebih dahulu daripada sebuah syarikat pengedar di sana.

Way Be Music Indonesia merupakan sebuah syarikat yang bertanggungjawab memasarkan album 1 Rumpun dan juga merangka siri jelajah untuk mempromosikan Indie Mice pada April ini.

"Selepas selesai siri jelajah kami di sana, Indie Mice akan memulakan siri jelajah di Malaysia pula.

"Sebelum ini, lagu Indie Mice iaitu Helah telah pun dimainkan di beberapa stesen radio tempatan dan dicalonkan dalam Muzik Muzik 2010," ujar Noah.

Bercerita mengenai album mereka, Noah menerangkan, nada dering untuk single pertama, Helah mendapat sambutan yang memberangsangkan sehingga mereka mampu mencatat jualan sebanyak RM70,000.

"Sekarang ini kami sedang mempromosikan Jangan Sesekali sebagai single kedua. Terdapat tujuh buah lagu dan tiga trek bonus yang dimuatkan dalam album ini dan kesemua lagu ini ditulis sendiri oleh ahli kumpulan kami," jelas Noah.

Utusan

Pengorbanan empat finalis AQ5


KADEMI al-Quran sama juga seperti rancangan-rancangan realiti televisyen (TV) lain yang memerlukan setiap pesertanya memberi komitmen, tumpuan dan sekali gus berusaha merebut gelaran juara pertandingan itu.

Empat finalis Akademi al-Quran musim kelima (AQ5) iaitu Suhaila Zulkifli, Muhamad Nasir Mohamad Salleh, Mohd. Syahrian Syah dan Mohamed Husaini Mahmur tidak terkecuali melalui pengalaman yang sama.

Malah, para peserta rancangan realiti TV terbitan TV9 itu juga terpaksa mengorbankan masa dan tenaga mereka sepanjang 12 episod pertandingan itu bagi meneruskan ke peringkat akhir AQ5 yang akan diadakan pada 26 Mac ini.

Suhaili Zulkifli misalnya, terpaksa mengambil cuti selama tiga bulan daripada meneruskan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semata-mata mahu memberi tumpuan dalam pertandingan mengaji al-Quran tersebut.

“Saya tidak menyangka akan berjaya hingga ke final AQ5. Ini kerana, saya menjangkakan hanya mampu meneruskan saingan hingga ke minggu yang ketiga sahaja. Tetapi tidak diduga pula saya layak bertanding hingga ke final.

“Walau bagaimanapun, sewaktu menyertai pertandingan ini saya telah memohon cuti tiga bulan bagi memudahkan saya jika layak bersaing hingga ke final,” katanya sewaktu sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut siswazah jurusan al-Quran dan Sunnah di UIAM itu, dia sanggup menangguhkan pengajiannya buat sementara waktu bagi merebut peluang bertanding dalam program realiti TV yang disifatkannya sukar untuk dilepaskan.

Apatah lagi, kata gadis berusia 22 tahun ini, penyertaannya dalam AQ5 bukan setakat mendapat dorongan daripada ibu bapa dan keluarganya tetapi teman-teman sekuliah di UIAM juga memberi sokongan padu.

“Bukan senang untuk menyertai AQ5 kerana setiap pesertanya hebat-hebat belaka. Jangankan hendak bertanding, mahu menyertai sesi uji bakatnya juga terpaksa bersaing dengan ramai ramai peserta yang lain.

“Itu tidak termasuk saingan yang harus ditempuhi sewaktu bertanding dalam AQ5 di mana ia mencabar kredibiliti saya terutamanya apabila berdepan dengan panel juri yang mengadili pertandingan ini.

“Semua itu adalah cabaran saya dan rakan-rakan yang lain. Cabaran itu semakin kuat kerana saya satu-satunya peserta wanita yang bersaing di peringkat akhir AQ5 ini. Itu adalah perjuangan yang harus saya tempuhi,” ujarnya.

Mendalami ilmu

Bagi Mohamed Nasir, dia juga seperti Suhaila yang terpaksa mengambil cuti belajar selama tiga bulan tetapi turut berkorban dengan mempelajari lebih terperinci bacaan ayat-ayat al-Quran daripada bapanya, Mohamad Salleh.

Meskipun mula mempelajari bacaan al-Quran sejak berusia enam tahun tetapi siswazah Universiti Malaya (UM) ini masih mendalami ilmu itu sehinggalah di saat-saat dia terpilih menyertai AQ5 yang bermula 8 Januari lalu.

“Pengorbanan saya untuk menyertai AQ5 ialah saya masih terus belajar membaca al-Quran daripada bapa saya sehinggalah kini. Segala pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya bertanding dalam pertandingan ini.

“Saya lebih berminat dengan bacaan taranum tetapi dalam AQ5 saya juga diajar kaedah bacaan qiraat yang lebih sukar bacaannya. Saya harus lebih banyak berkorban untuk mempelajari kaedah-kaedah bacaan itu.

“Kalau di UM saya berkorban masa untuk lulus pengajian, tetapi di AQ5 saya juga terpaksa berkorban masa bagi mendalami bidang bacaan qiraat yang asing bagi saya. Ini kerana, saya tidak pernah belajar qiraat sebelum ini,” jelasnya.

Siswazah jurusan Usul dan Fiqh berusia 21 tahun ini yang akan menamatkan pengajiannya empat tahun lagi itu berharap penyertaannya dalam AQ5 akan menambahkan lagi pengetahuannya dalam bacaan al-Quran termasuklah qiraat.

Memberi bimbingan

Disebabkan persaingan yang semakin sengit menjelang final AQ5, Mohamed Husaini Mahmur juga sama seperti para peserta lain tidak terkecuali berkorban lebih masa bagi memantapkan lagi bacaan al-Quran.

Bekas pelajar Maahad Ahmadi di Gemencih, Negeri Sembilan ini, sanggup mencari semula guru-guru lamanya bagi memberi bimbingan tambahan menjelang pertandingan akhir program realiti TV tersebut.

“Saya berjumpa semula dengan ustaz-ustaz dan guru-guru lama saya sewaktu zaman persekolahan dulu bagi mengingat serta memantapkan lagi bacaan al-Quran saya. Mereka banyak memberi tips kepada saya.

“Sebagai bekas pelajar jurusan bahasa Arab, saya rasa lebih mudah untuk membaca dan memahami bacaan al-Quran yang saya pelajari selama ini. Saya harap semua pengorbanan saya itu dapat membantu saya bertanding kelak,” katanya.

Persiapan terakhir

Sementara itu, bagi Mohd. Syahrian Syah pula, dia lebih banyak melakukan persiapan terakhir daripada segi vokal dan kawalan suara beberapa minggu sebelum bertanding pada pertandingan yang ditonton 1.5 juta penonton itu.

Katanya, cuti selama tiga bulan sebagai pelajar jurusan Pendidikan Islam di UM akan dipergunakan sepenuhnya bagi memantapkan gaya bacaan terutamanya daripada segi vokal dalam usahanya mahu bergelar juara AQ5.

“Sejak empat minggu sebelum ke final AQ5 lagi saya sudah mula berlatih vokal di mana ada kalanya saya mengaji al-Quran sehingga empat jam sehari. Selain membaca, tumpuan saya daripada segi latihan vokal.

“Ia banyak membantu saya bertaranum kerana selama ini saya mempelajari kaedah itu secara tidak formal. Kombinasi bacaan yang betul dan lontaran vokal yang mantap boleh memperelokkan lagi bacaan saya pada final AQ5 nanti,” tuturnya.

Empat finalis AQ5 itu akan meneruskan saingan bagi meneruskan kesinambungan AQ yang sebelum itu pernah dijuarai oleh Abdullah Fahmi Che Nor (AQ1), Anuar Hasin (AQ2), Fakhrul Radzi Khamaruddin (AQ3) dan Ahmad Tirmizi Ali (AQ4)

AQ5 menampilkan dua pengacaranya iaitu Mohd. Zhafran Zainuldin yang merupakan adik kepada hos Mari Mengaji, Ustaz Mohd. Zamri Zainuldin serta Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang juga pernah muncul naib juara AQ3.

Utusan

Jelajah 'DNA' tangkis serangan pada Anwar


KR akan menggerakkan jenteranya di seluruh negara dengan membangkitkan semula isu kontroversi sekitar kematian model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang didakwa sesetengah pihak melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Program itu dirancang sebagai tindak balas kepada demonstrasi bersama - antaranya melibatkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) - bagi mendesak Anwar menyerahkan sampel DNA kepada pihak pendakwaan di mahkamah. Ia akan digelar DNA sebagai singkatan untuk "Datuk Najib Altantuya", kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution dalam sidang media selepas mesyuarat majlis tertinggi Pakatan Rakyat di parlimen.

Saifuddin yang juga anggota parlimen Machang berkata program itu melibatkan ceramah dan pengedaran risalah. Ditanya tentang bantahan kumpulan NGO di ibu pejabat PKR semalam, Anwar mengaitkannya dengan usaha Umno untuk menanganinya. Menurut ketua pembangkang itu, beliau tidak takut menyerahkan sampel DNA, tetapi memandang berat kaedah yang digunakan oleh pendakwaan dan siasatan pihak polis. Secara sinis, beliau berkata dimaklumkan oleh "Tuan Judi" bahawa sampel itu disimpan dalam kabinet, bukan peti ais. Justeru, beliau meminta ditunjukkan pakar manakah yang akan menerima keputusan sebegitu.

Hazlan Zakaria
Mac 14, 11
6:51pm

Budaya buruk di universiti hasil didikan Umno


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Mac:
Teguran Datuk Seri Najib Tun Razak kepada ahli akademik supaya tidak terlalu berpolitik seperti ketam menyuruh anak berjalan betul.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, punca ahli akademik jadi demikian kerana tingkah laku dan budaya politik Umno yang mengajar mereka.

Katanya, setengah tindakan ahli akademik macam tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Umno yang menyekat bantuan dan menyenaraikan hitam bantuan kerana menyokong Pakatan Rakyat.

“Budaya politik Umno yang diketuai oleh Datuk Seri Najib sudah mewarnai corak pemikiran ahli akademik di IPTA,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan Hal Ehwal Pelajar ketika pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bukti pemikiran primitif Umno yang bersarang di kalangan pentadbir, hatta bergelar profesor.

Menurutnya, ahli akademik yang mengampu kerajaan akan dinaikkan pangkat, walapun merit akademik tidak layak sementara ahli akademik yang kritis akan dipinggirkan dari kenaikan pangkat, walaupun kewibawaan mereka teruji.

Beliau berkata, sekarang Presiden Umno resah dengan budaya politik di kalangan ahli akademik terutama ketika setiap kali perlantikan Naib Canselor Universiti seperti budaya surat layang yang ada di dalam Umno menjalar ke universiti.

“PAS menasihatkan Datuk Seri Najib tidak perlulah mengeluh dengan budaya buruk di universiti semuanya hasil didikan Umno kepada anak didiknya,” katanya.

Baginya, samalah juga Allah menimpa kepada Umno dengan wabak rasuah, kerana pemimpin Umno yang mengajar tingkah laku begitu sehingga menjadi barah tahap empat.

“Sekarang penyakit ini sukar untuk diubat, maka perkara yang sama juga akan berlaku di universiti.

“Yang mengajar budaya ini ialah pemimpin Umno ketika hendak melantik pimpinan universiti, maka sekarang sudah menjadi masalah kepada pemimpin Umno siapakah ahli akademi yang boleh dipilih untuk memegang jawatan tersebut, kerana semuanya hendak mengampu, kesannya tahap akademik terabai.