Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 27 Februari 2013

Peguam Syarie Menulis: Hikmah bertunang

Ikatan boleh batal jika wanita masih isteri orang

Tunang atau dalam bahasa Arab disebut khitbah adalah hasrat seorang lelaki untuk menjadikan seorang perempuan sebagai isterinya atau secara ringkasnya suatu perjanjian untuk mendirikan rumah tangga.
Perjanjian juga dianggap sebagai suatu kontrak sebelum memasuki alam pernikahan, iaitu apabila pihak lelaki mengemukakan hasrat untuk mengahwini pihak perempuan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui orang tengah atau perantaraan.

Disyaratkan juga perempuan itu bukan tunangan lelaki lain. Adalah haram untuk meminang seorang perempuan yang telah bertunang. Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya sehingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT: “Dan tidak ada dosa bagi kamu meminang wanita-wanita itu dengan sindiran atau kamu menyembunyikan (keinginan mengahwini mereka) dalam hatimu. Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut mereka, dalam pada itu janganlah kamu mengadakan janji kahwin dengan mereka secara rahsia, kecuali sekadar mengucapkan (kepada mereka) perkataan yang makruf.” (Surah al-Baqarah, ayat 234-235)

Mengikut adat orang Melayu, jika seorang lelaki berkenan kepada seorang perempuan, maka hasratnya akan diluahkan kepada ibu bapanya. Maka ibu bapa lelaki atau saudara-maranya akan bertandang ke rumah perempuan untuk memaklumkan kepada ibu bapa perempuan hasrat lelaki itu.

Bukan tiket hubungan bebas

Kebiasaannya, sebentuk cincin merisik akan dibawa ketika bertandang. Sewaktu merisik inilah perbincangan mengenai majlis pertunangan akan diadakan, seperti tarikh dan tempat majlis pertunangan diadakan.
Hikmah bertunang adalah untuk membuka jalan perkenalan antara pasangan, mengenali hati budi masing-masing, menyuburkan rasa cinta kerana perkahwinan hendaklah diasaskan kepada cinta antara satu sama lain dan memastikan jiwa serta emosi pasangan yang bertunang stabil.

Namun, ikatan pertunangan bukanlah bermakna ia tiket membenarkan lelaki dan perempuan bergaul bebas. Menjadi tanggungjawab ibu bapa menyegerakan akad perkahwinan jika didapati ikatan pertunangan itu menyebabkan hubungan bebas antara pasangan yang bertunang.

Secara amnya Islam telah menggariskan syarat yang sepatutnya dimiliki setiap pasangan yang berhasrat untuk bertunang. Lelaki yang mengemukakan hasrat bertunang wajiblah seorang yang berakal, beragama Islam dan telah akhil baligh.

Lelaki itu juga harus dipastikan orangnya, supaya tidak keliru dengan orang yang mempunyai nama sama. Disyaratkan juga lelaki itu hendaklah seorang lelaki yang tidak mempunyai empat isteri.

Syarat pada pihak perempuan juga hendaklah beragama Islam, pasti orangnya, terutama sekali apabila perempuan itu mempunyai ramai adik-beradik perempuan dan halal bagi lelaki yang ingin meminangnya.

Wanita yang haram dikahwini

Perempuan yang diharamkan dikahwini dijelaskan dalam firman Allah SWT: “Diharamkan ke atasmu menikahi ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan bapamu (ibu saudara sebelah bapa), saudara-saudara perempuan ibumu (ibu saudara sebelah ibu), anak-anak perempuan daripada saudara lelakimu, anak-anak perempuan daripada saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukanmu, saudara-saudara perempuan sepersusuan, ibu mentuamu dan anak-anak tirimu yang ibunya sudah kamu campuri, tetapi jika kamu belum mencampuri ibunya, kamu boleh mengahwininya.” (Surah al-Nisa, ayat 32)

Perempuan itu juga hendaklah bukan di dalam edah cerai hidup atau cerai mati, dan hendaklah bukan isteri kepada lelaki lain. Mana-mana pertunangan yang diadakan dengan perempuan yang telah bersuami, ia adalah tidak sah dan terbatal.

Lelaki yang menjalin hubungan dengan seorang perempuan sedangkan dia mengetahui perempuan itu adalah isteri seseorang, lalu menyatakan kesediaan untuk mengambil ‘kekasihnya’ itu sebagai isteri jika diceraikan oleh suaminya, juga termasuk dalam konteks meminang yang dilarang syarak.

‘Peminangan’ sedemikian akan mendorong perempuan itu meminta cerai daripada suaminya, sebagai jalan untuknya berkahwin dengan kekasihnya. Islam melarang seorang isteri meminta cerai daripada suaminya, tanpa sebab yang diharuskan syarak.

Sabda Rasulullah SAW: “Mana-mana perempuan yang meminta suaminya menjatuhkan talak tanpa apa-apa kesalahan, maka haramlah ke atasnya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Disyaratkan juga perempuan itu bukan tunangan lelaki lain. Adalah haram untuk meminang seorang perempuan yang telah bertunang. Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh meminang seorang atas pinangan saudaranya sehingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang setelah ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki atau dipersetujui pihak lelaki, yakni lelaki bersedia memutuskan pertunangan itu.

Tuntutan ganti rugi pertunangan

Memutuskan ikatan pertunangan tanpa sebab yang sah boleh menyebabkan tindakan ganti rugi pertunangan dikemukakan di Mahkamah Syariah. Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (Pindaan 1992) memperuntukkan: “Jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.”

Menaruh minat terhadap perempuan yang telah bertunang juga adalah suatu perkara yang perlu dielakkan. Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan tunangan orang boleh menyebabkan perbalahan, pergaduhan, perpecahan dan boleh memutuskan silaturahim.

Islam melarang keras perbuatan memutuskan silaturahim. Sabda Nabi SAW: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim.” (Riwayat Muslim)

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Berita Harian terus mengorak langkah jadi akhbar bahasa Melayu terulung

1 Julai 2012

HARI ini genaplah 55 tahun Berita Harian lahir sebagai sebuah akhbar berbahasa Melayu terulung di negara ini yang berjaya mencatat pelbagai sejarah sejak kelahiran pertamanya pada 1 Julai 1957, seusia dengan kejayaan negara ini mencapai kemerdekaan. Dalam tempoh itu, pelbagai kejayaan sudah ditempa dan pelbagai perubahan juga sudah dilalui sama ada dalam aspek fizikal, pengisian mahupun kepemimpinan.

Bermula edisi pertama pada 1957, akhbar ini menggunakan bahan sama dengan akhbar Straits Times. Pada ketika itu, Berita Harian menggunakan gambar Tunku Abdul Rahman Putra untuk menghiasi muka depannya dengan harga 15 sen.

Seramai hanya lapan orang kakitangan bertugas ketika itu sebelum pelantikan pengarang pertama, Abdul Samad Ismail pada 1958. Dalam tempoh itu, Berita Harian terus berusaha untuk muncul sebagai sebuah akhbar perdana dengan imej tersendiri termasuk melancarkan Berita Minggu pada 10 Julai 1960 dan akhirnya pada 1966 satu konsep baru `masthead' diperkenalkan.

Tahun 1972 menyaksikan tampuk kepemimpinan di Berita Harian diambil alih oleh Abdul Wahab Zain yang sepanjang pembabitannya sebagai pengarang berjaya menambah dua muka surat tambahan menjadikan keseluruhan 12 muka surat pada 1974. Fokus penambahan ketika itu menumpukan kepada ekonomi, nota fotografi, tips menghadapi peperiksaan, lebih penumpuan kepada hiburan, berita luar negara dan rencana umum.

Sebelum beliau mengundur diri pada 1975, Berita Harian berjaya menaikkan harga jualannya kepada 25 sen sebelum akhirnya Abdul Samad Said dilantik menjadi pengarang selama dua tahun bermula 1976 hingga 1978 dan digantikan pula Salim Kajai pada 1978.

Dalam era kepemimpinan Salim Kajai, dua perubahan besar berjaya dicapai iaitu pelancaran Edisi Bandar Berita Harian pada 1979 dan sekali lagi imej baru pada 'masthead' selain seksyen baru yang memberi sedikit penekanan terhadap elemen hiburan dengan kali ini, harga jualan juga meningkat kepada 35 sen senaskhah dan dinaikkan sekali lagi kepada 45 sen sebelum Adibah Amin dilantik sebagai pengarang pada 1983.

Setahun selepas itu, Ahmad Sebi Abu Bakar dilantik menggantikan Adibah dengan jawatan Pengarang Kumpulan dan satu kejayaan terbesar di bawah pimpinannya ialah apabila Berita Harian dan Berita Minggu disatukan di bawah Berita Harian Sdn Bhd pada 1985. Pada 20 Oktober tahun sama, Akhbar Dalam Darjah (ADD) dilancarkan.

Dua tahun memimpin Berita Harian, Ahmad Sebi digantikan A Kadir Jasin yang berperanan besar dalam memperkenalkan Anugerah Bintang Popular pada Disember 1987 sebelum melepaskan kepemimpinan itu kepada Ahmad Nazri Abdullah pada 8 April 1988. Pembabitan Ahmad Nazri selama 10 tahun sebagai Pengarang Kumpulan mencetuskan kelahiran akhbar tabloid sukan, Jaguh pada 8 Ogos 1989 yang mempunyai 16 muka surat.

Berita Harian juga memperkenalkan tema terbaru pada 2 Disember 1991 iaitu 'Sumber Ilmu dan Maklumat Mutakhir'. Pada 1 Jun tahun sama, akhbar keluaran khas harian dikeluarkan iaitu Berita Pelajar, Berita Wanita, Berita Teknologi, Jaguh, Perspektif dan Dunia. Pada 4 Disember 1993, Minda Pelajar diterbitkan dan serentak itu harga Berita Harian dinaikkan kepada 70 sen sebelum pengenalan kepada tabloid 'Didik' pada 23 Januari 1995.

Langkah Berita Harian semakin panjang dalam memenuhi kehendak semua golongan termasuk wanita apabila secara rasmi menerbitkan akhbar mingguan Citra dengan tema 'Bicara Wanita Kontemporari' pada 23 Februari 1995 dan dijual dengan harga RM1.

Antara kejayaan terbesar Berita Harian dalam menarik kelompok pembaca ialah apabila melancarkan sisipan Joran pada 4 Oktober 1996 yang nyata memberi impak besar terhadap akhbar ini menjelang sambutan ulang tahun ke-40nya setahun selepas itu yang menyaksikan Grand Prix Joran diperkenalkan.

Selepas 10 tahun memimpin Berita Harian sehingga Julai 1998, tempat Ahmad Nazri diambil alih Ahmad Rejal Arbee yang sekali gus menaikkan harga Berita Harian kepada RM1.20 serta merombak beberapa pengisian dalam akhbar ini. Tidak puas dengan semua itu, beliau mengorak langkah merubah rupa bentuk Berita Harian pada 2000 yang menggunakan `masthead' baru dengan grafik lebih menarik dan penambahan kepada ruang berita, rencana dan analisis.
Tahun pendidikan. Itulah gelaran paling tepat untuk 2001 kerana ketika itu, dua tabloid dijadikan sisipan percuma untuk pembaca Berita Harian yang mana Didik diberi secara percuma bermula isu 6 hingga 12 Februari dan Minda Pelajar pada 5 hingga 11 Februari sebelum Skor pula dilancarkan pada 26 April 2001 sebagai tabloid pendidikan ketiga, memfokuskan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menyedari kepentingan menarik golongan muda, Berita Harian mengubah reka letaknya pada 6 Januari 2003 kepada sesuatu yang lebih segar dan mesra pembaca dengan pengisian mendekati pembaca muda. Tahun sama juga menyaksikan Hishamuddin Aun dilantik sebagai Pengarang Kumpulan yang kekal memimpin Berita Harian selama tiga tahun.

Pelantikannya mencorak satu lagi imej baru apabila satu sisipan baru diperkenalkan pada 4 Oktober 2003. Sisipan itu, Ikon nyata sekali menyasarkan golongan muda dan diselitkan bersama akhbar ini pada setiap Sabtu. Pada tahun sama juga, satu lagi sisipan diperkenalkan iaitu EPG (Emas, Perak, Gangsa) yang menggantikan edisi Jaguh sebagai sisipan sukan.

Semua usaha keras warga Berita Harian mula menampakkan hasil apabila pada Januari 2004, purata jualan akhbar ini mencapai 238,000 naskhah sehari yang menjadi titik tolak kepada kemunculan edisi muka depan untuk Wilayah, Tengah, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah - Sarawak, Timur, Utara dan Selatan. Pada tahun sama, Berita Harian memperkenalkan kolum 'Hello YB'. Pada 23 Ogos 2004, edisi Tengah ditukar nama kepada Sentral.

Harga Berita Harian dinaikkan sekali lagi pada 2005 kepada RM1.50 dan sekali lagi Berita Harian merubah reka letak dan grafiknya untuk kelihatan lebih muda serta dinamik pada 20 Jun 2005. Penggunaan maklumat ringkas dan fakta nombor menjadi satu elemen baru yang diperkenalkan.
Pelantikan Hishamuddin sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP membolehkan Datuk Manja Ismail dilantik Pengarang Kumpulan pada 1 April 2006. Pengenalan kepada RakanBH pada 10 April 2006 membolehkan pembaca berpeluang berkongsi pandangan serta komen menggunakan telefon bimbit.

Satu lagi kejayaan sekali gus dianggap sebagai sejarah dalam rekod Berita Harian ialah apabila merubah bentuknya kepada akhbar kompak pada Julai 2008 selepas 51 tahun bertahan dengan imej 'broadsheet.' selepas rakan dalam satu syarikat, News Straits Times dan New Sunday Times memulakan transformasi itu pada April 2005.

Pada 1 Julai 2009, Datuk Mior Kamarul Shahid dilantik menggantikan Manja sebagai Ketua Pengarang yang kini mengetuai Berita Harian untuk terus mengorak langkah cemerlang muncul sebagai akhbar bahasa Melayu arus perdana terulung di negara ini sempena sambutan ulang tahun Berita Harian ke-53 hari ini.

Apa yang pasti, selepas semua kejayaan yang dicapai, semua warga Berita Harian mempunyai keyakinan tinggi untuk mencapai misi itu dan seiring dengan sasaran Media Prima Bhd dan The New Straits Times Press (M) Bhd yang dalam transformasi agresif pada semua jabatan di bawahnya.

Nasional Sasar 10 juta pekerja bergaji lebih RM2,000

Ahmad Husni bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar membaca buku cerita kepada murid-murid Tadika Perpaduan Tanah Hitam di Ipoh, semalam. Ahmad Husni bersama Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Raslin Abu Bakar membaca buku cerita kepada murid-murid Tadika Perpaduan Tanah Hitam di Ipoh, semalam.
Ipoh: Kerajaan menyasarkan 10 juta pekerja berpendapatan lebih RM2,000 sebulan menjelang 2020, berbanding jumlah kira-kira lima juta sekarang.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata sasaran mewujudkan lebih banyak tenaga kerja berpendapatan tinggi dalam tempoh tujuh tahun ini mampu dicapai menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

“Ketika ini, kira-kira 4.5 juta pekerja memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM7,000 dan 500,000 pekerja memperoleh lebih RM7,000.

“Sasaran 10 juta pekerja berpendapatan lebih RM2,000 mampu dicapai kerana Pendapatan Negara Kasar (PNK) kini semakin meningkat,” katanya selepas merasmikan Projek Pembangunan Semula Pasar Tanjung Rambutan bernilai RM5.8 juta, di sini, semalam.

Capai PNK RM1.7 trilion

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, sasaran negara pada 2020 adalah untuk mencapai PNK sebanyak RM1.7 trilion dan kini jumlah yang berjaya diperoleh kira-kira RM900 bilion.

“Justeru, pelbagai pendekatan dijalankan kerajaan seperti pelaksanaan ETP bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Ia termasuk meningkatkan jumlah pendapatan individu dengan menyasarkan lapan juta pekerja berpendapatan antara RM2,000 hingga RM7,000 sebulan serta dua juta pekerja berpendapatan lebih RM7,000 pada 2020 nanti,” katanya.

Katanya, menerusi ETP juga tumpuan bukan hanya diberi kepada ekonomi berpendapatan rendah malah lebih memfokuskan ekonomi berpendapatan tinggi kerana ia membantu meningkatkan jumlah pendapatan pekerja serta bilangan mereka di negara ini.

Deretan kedai musnah terbakar

Pasukan bomba mengawal  kebakaran yang memusnahkan sembilan buah rumah kedai  di Jalan CY Choy di Georgetown, malam tadi. Pasukan bomba mengawal kebakaran yang memusnahkan sembilan buah rumah kedai di Jalan CY Choy di Georgetown, malam tadi.
Georgetown: Sembilan deret kedai satu tingkat yang dibina ketika zaman perang dunia kedua musnah dalam kebakaran di Jalan CY Choy di sini semalam, menyebabkan kerugian dianggarkan ratusan ribu ringgit.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.45 malam dan api dipercayai bermula dari bahagian tengah kedai yang menempatkan kedai makan sebelum merebak ke kiri dan kanan kedai berikutan angin kuat ketika kebakaran.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.55 malam sebelum tiba ke lokasi kejadian lima minit kemudian bersama 10 pegawai dan anggota bomba serta sebuah jentera.


Beliau berkata, dalam operasi pemadaman itu, pihaknya turut mendapat bantuan Balai Bomba Jalan Perak dengan lebih 10 anggota serta empat jentera bomba termasuk anggota bomba sukarela dari Bukit Bendera, Sri Tanjung, Air Itam dan Paya Terubong. Api berjaya dikawal dalam tempoh 10 minit.

Tiada kecederaan dilapor

Katanya, pemeriksaan awal mendapati sembilan premis kedai termasuk kedai alat ganti, kedai membaiki motosikal, kedai telefon bimbit dan kedai gunting rambut musnah disebabkan struktur bangunan lama selain mempunyai bahan mudah terbakar dalam kedai terbabit.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh sejam dan tiada kecederaan dilaporkan berikutan semua premis ditutup kerana cuti hujung minggu,” katanya.

United tak endah ugutan Nani

Manchester: Tonggak Manchester United, Nani diberi kata dua sama ada menerima atau bersedia untuk meninggalkan kelab dalam kontrak baru yang bakal ditandatanganinya kelak.

Pemain sayap itu dipanggil dalam satu mesyuarat minggu lalu dan diberitahu kelab tidak akan berganjak dengan tawaran gaji asal 90,000 pound (RM430,000) seminggu untuk tempoh empat tahun.

Tuntutannya mendapatkan bayaran gaji 130,000 pound (RM610,000) seminggu ditolak oleh kelab dan pemain Portugal itu sedang menilai dan mempertimbangkan pilihan tepat yang akan diambil.

“Kami mahu dia terus kekal bersama pasukan, tetapi dia mahukan jaminan dalam kesebelasan utama pasukan. Kami tidak mempunyai masalah seandainya dia berjaya memperagakan aksi seperti yang dilakukan ketika menentang Reading,” kata pengurus United, Alex Ferguson.

Nani, 26, menyertai Red Devil dari Sporting Lisbon dengan nilai perpindahan 14 juta pound (RM66 juta) pada Julai 2007 dan United pastinya tidak mahu menanggung risiko kehilangan pemain itu dengan kontrak semasa hanya berbaki hingga musim depan.
Agensi

Pengamal media sosial perlu lebih matang dan bertanggungjawab: PM

KUALA LUMPUR: Pengamal media sosial perlu bersikap lebih matang dan bertanggungjawab apabila menggunakan kemudahan baharu itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menyatakan sikap optimistik beliau terhadap media sosial dan kesannya terhadap masyarakat, Najib berkata adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya media sosial tidak terikat langsung dengan sebarang etika.
Beliau berkata, etika dan tanggungjawab yang datang bersamanya (media sosial) adalah sama pentingnya bagi masyarakat dalam memanfaatkan kepentingannya.


"Adalah sesuatu yang menyedihkan sekiranya tidak wujud sebarang etika dalam konteks media sosial ini," kata Najib pada Minggu Media Sosial Malaysia anjuran Dewan Media Sosial (SMC) Malaysia di sini hari ini.

Acara itu turut dihadiri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan pengasas, yang juga presiden Dewan Media Sosial Malaysia Shahul Hameed Shaik Dawood.

Najib berkata, bulan-bulan yang akan datang adalah tempoh yang menarik bagi mereka yang meminati politik dan Internet. - BERNAMA

Nasional Penjawat awam perlu bijak pilih

Ipoh: Sebanyak 18 perkara yang memberi manfaat kebajikan dan kesejahteraan kepada anggota perkhidmatan awam sudah diberi kerajaan sejak lima tahun lalu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berkata ia menjadikan perkhidmatan awam di negara ini antara paling istimewa di dunia kerana mendapat layanan penuh daripada kerajaan.

“Justeru, sebagai pemimpin pekerja, saya menasihatkan 1.4 juta penjawat awam dan keluarga mereka serta 500,000 pesara membuat keputusan bijaksana dalam memilih kerajaan, jangan buat keputusan kerana ‘marahkan nyamuk, kelambu dibakar’, itu dikira keputusan tidak matang.

“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita tahu mana buruk dan baik, fikirlah apa manfaat yang kita dapat seperti kenaikan pangkat, bonus, semakan gaji, gaji maksimum dan pelbagai lagi, tidak tahulah esok, kalau orang lain, sama ada benda ini kekal atau tidak,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada Ahli CUEPACS Perak, di sini, semalam.

Omar berkata, pihaknya berharap akan mendengar lagi berita baik daripada kerajaan khususnya berhubung semakan gaji, kenaikan gred beberapa perjawatan dan elaun dalam tempoh terdekat, iaitu selepas Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, selesai mengemukakan saranannya kepada kerajaan awal tahun ini.

Pahang kenduri gol di Kuantan


Kuantan:

Pahang tidak menghadapi masalah layak ke suku akhir apabila membelasah Tentera Darat 7-1 pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Bermain di atas padang becak jelas menyaksikan kedua-dua pasukan terutama skuad kendalian Dollah Salleh lebih berhati-hati bagi tempoh 10 minit pertama perlawanan.
Namun, gol pertama tuan rumah akhirnya hadir menerusi jaringan pemain tengah, R Gopinathan untuk menggegar gawang lawan yang beraksi dalam saingan Liga FAM itu.

Selepas itu, Azamuddin Mohd Akil yang juga pemain kebangsaan menambah derita Tentera Darat apabila menjaringkan gol kedua dan ketiga tuan rumah pada minit ke-23 dan 25.

Pada minit ke-37, penjaga gol Tentera Darat, Khairul Anuar Mohamad tewas buat kali keempat selepas Mohd Faizul Hussain yang tidak dikawal mudah melakukan sepakan terus ke gawang lawan.

Tiga minit bersambung babak kedua, tuan rumah menambah gol kelima menerusi Azamuddin yang mudah menyempurnakan tendangan penalti selepas Amirulhadi Zainal dijatuhkan dalam kotak penalti.

Tentera Darat yang dilatih Ahmad Fuad Karim berusaha untuk mengurangkan defisit gol dan ia berhasil apabila mereka dihadiahkan penalti apabila Razman Roslan menjatuhkan Nazri Akui pada minit ke-66.
Faizal Hamzah yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaiuzul Azuar Ali.

Namun, minit ke-68, Azamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Alex membuktikan sentuhan berbisanya apabila menjaringkan gol keempat peribadi dan keenam buat pasukannya.

Minit ke-86, pemain gantian, Mohamed Borji menjaringkan gol ketujuh buat Pahang yang turut diperoleh menerusi tendangan penalti selepas Nikolche Klechkaroski dijatuhkan.

Najib dianugerah `Kepimpinan dalam hubungan media sosial'

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini diberi penghargaan apabila dianugerah 'Kepimpinan dalam Hubungan Media Sosial' oleh Malaysia Social Media Chambers (MSMC) bagi Aktivis Media Sosial No 1 Malaysia.

Anugerah itu disampaikan Pengasas dan Presiden MSMC Shahul Hameed Shaik Dawood dan disaksikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim pada Minggu Media Sosial Malaysia, di sini hari ini.

Majlis yang dianjur MSMC itu menarik ratusan delegasi dari seluruh dunia termasuk penceramah tempatan dan antarabangsa.

Pada masa ini laman sosial facebook Najib mempunyai 1.4 juta 'like' dan akaun twitter beliau mempunyai 1.2 juta pengikut.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan akaun Instagram beliau apabila mengambil gambar peserta ketika tiba di majlis itu.

"Gambar-gambar anda semua yang saya ambil semasa saya (berjalan) ke pentas sebenarnya menjadi gambar akaun Instagram yang saya lancar hari ini," kata beliau dalam ucapannya.

 - BERNAMA

Anwar: Komuniti India tak dipinggir dalam manifesto


 
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata manifesto Pakatan Rakyat merentasi sempadan kaum dan pelbagai masyarakat termasuk komuniti India, yang mana tidak akan dipinggirkan.

Dengan memberi contoh jenis sekolah, Anwar yang juga ketua pembangkang berkata semua sekolah Cina, Tamil dan juga sekolah mubaligh turut akan dibantu.

"Ia tidak ditujukan kepada komuniti tertentu. Ini adalah satu jaminan setiap warganegara - Melayu, Cina , India, Kadazan atau Dayak - yang diberi penghormatan dan perhatian.

"Saya telah bertemu dengan masyarakat India di Hulu Selangor malam tadi, dan secara umumnya mereka sangat menerima pendidikan adalah satu masalah yang besar, isu-isu peminggiran masyarakat dan jenayah dibangkitkan.
"Bagaimanapun, isu-isu ini ditangani dalam teras negara dalam polisi Pakatan Rakyat yang tidak ditujukan kepada sub-kumpulan, " katanya.

"Ini adalah manifesto rakyat di mana kami membangkitkan isu kenaikan harga, komoditi, pembalakan, urustadbir kerajaan dan sokongan pada semua jenis sekolah," katanya.

Anwar menjawab soalan pemberita mengapa tiada polisi spesifik terhadap komuniti India dalam manifesto 'Pakatan Harapan Rakyat' yang dilancarkan semalam.

Tawar khidmat seks, wanita dalam pantang dipenjara


 
Seorang wanita dalam tempoh berpantang hari ini dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis, Ahad lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Rosmalini Hussin, 31, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap pada 24 Februari lepas.

Rosmalini dari Triang, Pahang didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan kepada Sarjan Major P Ravidran, 50, dari cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di hadapan sebuah hotel di Jalan Raja Laut di ibu negara pada 8.05 malam pada tarikh tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Rosmalini yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia hanya seorang suri rumah dan masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak sebulan yang lepas.

Dia juga mempunyai empat lagi anak yang berumur antara 2 tahun hingga 10 tahun manakala suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Zuraimi Kamarozzaman.

-Bernama