Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 27 Mac 2010

Syarat baru bersara pilihan

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my

2010/03/27

JPA perketat permohonan berikutan kedudukan kewangan semasa, elak kekurangan pegawai terlatih

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengetatkan permohonan bersara pilihan kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP). Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA, Datuk Yeow Chin Kiong, berkata antara syarat baru yang diperkenalkan mulai 1 Februari lalu ialah kakitangan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi ketika bersara pilihan berbanding bayaran, sekali gus seperti sebelum ini. Katanya, baki ganjaran akan dibayar bergantung kepada keputusan kerajaan, tetapi tidak melampaui usia bersara wajib pekerja terbabit.

Namun, Yeow berkata, kelonggaran kakitangan menerima ganjaran penuh ketika bersara pilihan hanya diberikan bagi kes khusus, iaitu membabitkan keperluan rawatan perubatan petugas atau keluarga, perbelanjaan pendidikan sendiri atau keluarga dan kakitangan memerlukan wang untuk mengelakkan daripada tindakan bankrap yang semuanya memerlukan bukti bertulis.

Beliau berkata, kali pertama JPA mengambil langkah sama ialah pada 1998 berkuat kuasa selama 18 bulan.

Yeow berkata, JPA perlu meminimumkan jumlah kakitangan bersara pilihan demi kepentingan jentera pentadbiran berikutan inisiatif GTP yang sedang dilaksanakan, sekali gus mengelakkan jabatan kehilangan tenaga kerja berpengalaman.
"Waktu ini adalah era perkhidmatan awam yang penuh cabaran dan kerajaan sedang melakukan pelbagai penambahbaikan dalam skim perkhidmatan awam untuk menangani keadaan semasa," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, kerajaan membayar RM1.1 bilion setahun ganjaran kepada kakitangan yang bersara pilihan dan pencen wajib, tetapi dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion tahun ini apabila kumpulan pertama yang usia bersara wajib dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun bersara mulai 1 Julai ini.

Yeow juga menjelaskan bersara pilihan adalah keistimewaan yang dipertimbangkan bagi kakitangan sektor awam dengan mengambil kira kepentingan jabatan, perkhidmatan dan keadaan kewangan negara.

Beliau berkata, bagi tempoh antara 1 Februari tahun ini hingga Khamis lalu, JPA menerima 426 permohonan bersara pilihan dan 200 daripadanya diluluskan dengan bayaran ganjaran 20 peratus yang membabitkan penangguhan bayaran sebanyak RM11.5 juta.

Sebanyak 121 permohonan lagi diluluskan dengan pembayaran ganjaran penuh, manakala 105 menarik balik permohonan yang membabitkan penangguhan bayaran ganjaran RM9.3 juta.

Pada masa ini, ada 1,253,026 kakitangan termasuk anggota polis dan tentera dalam perkhidmatan awam. Tahun lalu, 3,553 kakitangan awam bersara pilihan, 2,991 pada 2008, 3,331 pada 2007, 3,306 pada 2006 dan 3,033 pada 2005. Selain itu, kira-kira 15,000 kakitangan awam bersara wajib setiap tahun.

Sementara itu, dalam surat edaran JPA bertarikh 25 Januari lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata baki ganjaran 80 peratus akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan tetapi tidak melampaui umur persaraan wajib kakitangan terbabit.

Bagaimanapun, wang untuk gantian cuti rehat dan pencen bulanan akan dibayar mengikut undang-undang.

Berita Harian

Khamis, 25 Mac 2010

BAGAIMANA MELAHIRKAN SEORANG JUARA?


Foto: Ini sebuah inkubator untuk melahirkan tiga ekor anak burung. Dicarikan tempat yang tidak terjangkau oleh akal manusia iaitu di dalam sebuah tabuh (ketuk-ketuk) di masjid. Cuba teka, kalau seorang anak mendengar azan lima waktu sejak belum lahir, apakah boleh membantu dia menjadi sorang juara?


Juara lahir daripada inkubator yang disediakan di rumah. Melahirkan seorang juara ialah seperti seekor ibu burung mengeramkan telur untuk melahirkan anak yang cemerlang. Inkubatornya harus bermutu, memberi kepanasan yang sederhana. Jangan terlalu panas nanti telur rosak. Jangan panasnya suam-suam kuku, nanti anak yang lahir lembik.

Sarang inkubator kemas, lengkap, teratur, bersih dan mantap. Inilah rumah tangga bahagia - asas untuk melahirkan anak cemerlang.

Dalam inkubator burung, telur dieram 24 jam tanpa pengecualian, hatta ibu terpaksa berpuasa dan meninggalkan kerja lain. Telur disusun rapat-rapat supaya wap panas tidak tiris keluar.

Jangan pula telur dipijak, diinjak atau dihimpit hingga pecah. Anak akan cacat sebelum dilahirkan.

Foto: Saya tidak pastilah mengapa burung species ini membina inkubator bergotong royong dengan suku sakat dan anak-anaknya. Yang saya tahu inkubator hanya dibina oleh ibu dan bapa burung sahaja. Susah payah pun mereka berdua! Yang pasti inkubator ini dibina di puncak gunung yang selamat.


Begitulah inkubator rumah untuk melahirkan seorang juara. Anak harus dijaga dan diawasi 24 jam juga. Ibu bapa terpaksa berkorban masa dan tenaga fizikal. Anak-anak perlu dirapatkan ukhwah dan kasih sayang. Tolong menolong dan mempunyai sifat simpati dan empati.

Anak tidak boleh dibelasah, didera dan dikasari. Anak perlu dibelai dengan kasih sayang. Tapi bukan dimanjai melampaui batas hingga si anak hilang waja diri dan keyakinan diri.

Cuba anda perhatikan apa hambatan dari luar yang akan merosakkan sebuah inkubator sarang burung:
  • Air hujan yang akan merosakkan telur.
  • Ular yang sentiasa mencari peluang untuk menghisap isi telur. Telur kelihatan baik dan tidak rosak tetapi isinya kosong kerana telah dihisap ular. Hanya lubang seni yang diguna ular untuk menghisap telur.
Inkubator untuk melahirkan seorang juara di rumah juga dihambati oleh anasir yang sama:

  • Air hujan ibarat media massa yang meresap masuk ke dalam rumah tangga. Kebobrokan media massa merosakkan minda anak. Media massa harus dikawal. Sedikit media massa penting seperti bergunanya sedikit air untuk kehidupan, makan minum dan kebersihan diri. Air yang berlebihan menjadi mudarat seperti banjir dan ribut taufan.
  • Musuh ular yang merosakkan isi telur tanpa merosakkan kulitnya ibarat pengaruh manusia seperti kawan-kawan, jiran dan manusia luar yang membawa budaya tidak sihat. Ini merosakkan minda dan pembangunan jiwa anak-anak.
Sarang burung mesti kukuh bertapak di dahan yang kuat - bercabang tiga, diikat dengan susunan dan anyaman sarang dari daun lalang yang kuat kerana kering dan liat. Kalau pokok ditiup angin sekalipun, bergoyang, namun sarang tidak roboh atau jatuh.

Begitu juga inkubator di rumah yang mahu melahirkan anak-anak juara harus ada 2 struktur:

  • Skruktur fizikal: Keperluan prasarana asas untuk anak-anak membesar dan menimba ilmu harus lengkap seperti keperluan kepada makan minum, pakaian, tempat tinggal dan kemudahan tempat belajar.
  • Struktur rohani: Jiwa anak-anak harus dibangunkan sebaiknya.

Lihat bagaimana burung membina sarang?

  • Tinggi di hujung dahan supaya tidak tercapai oleh musuh seperti anak-anak nakal dan ular.
  • Setengahnya bersarang di lereng bukit batu yang tinggi. Sangat merbahaya jika mahu mengambilnya namun manusia akan berusaha membuat binaan dari batang-batang buluh, mengikat dengan akar dan rotan yang kuat supaya tidak runtuh untuk mengambil sarang burung layang-layang yang terletak di atas bumbung gua.
  • Bapa burung mencari makanan untuk si ibu, membawa balik rezeki untuk disuapkan ke mulut ibu. Ibu mengeram telur sepenuh masa.
  • Lagi lama dieram, lagi matang anak yang akan lahir.
  • Sifat garang ibu burung luar biasa jika ada musuh yang mahu mengambil telurnya. Sifat itu menjadi lebih garang jika anak burung sudah lahir, maknanya hasil sudah nampak.

Bagaimana burung menjaga anak yang baru lahir?
  • Diasuh 24 jam.
  • Disuap makanan dahulu sebelum ibu bapanya makan.
  • Garang menjaga dari gangguan musuh.
  • Kebersihan. Burung pun pandai mengumpulkan najis di suatu sudut sahaja.
  • Anak menjadi guinea pig (barang eksperimen) seperti anak burung but-but.


Foto: Ini inkubator untuk mendidik anak-anak kita yang saya laksanakan di Maran, Pahang baru-baru ini. Terima kasih Cik Azizah, pengurus program yang berjaya.


Cerita Burung But-but

Waktu saya kecil-kecil saya mengikut datuk saya membuat minyak urut dari sarang burung but-but. Saya sering mengikut datuk saya masuk belukar mencari sarang burung but-but. Selalunya kawasan itu berlalang.

Bila jumpa sarang burung but-but beliau akan memastikan hingga anak burung but-but menetas. Selepas beberapa hari datuk akan datang lagi lalu mematahkan kaki anak-anak burung but-but yang masih kecil ketika ibunya terbang mencari makan. Bercicitan anak burung itu menjerit kesakitan. Kesihan saya melihatnya.

Yang ajaibnya selang beberapa hari apabila datuk datang semula ke sarang itu, kaki anak burung itu sudah pulih. Lalu dipatahkan sekali lagi. Begitulah dilakukan hingga tiga kali. Akhirnya anak-anak burung itu disembelih dan direbus bersama sarangnya untuk menghasilkan minyak but-but yang sangat mujarab untuk sakit patah. luka dan sakit tulang.

Datuk memberitahu apabila kaki anak burung but-but itu dipatahkan ibunya akan mencari ramuan tumbuh-tumbuhan herba untuk merawat tulang yang patah. Herba itu terkumpul di dalam sarang setelah digunakan.

Sebab itu sarang itu direbus untuk mengeluarkan minyak daripada herba tersebut yang sangat mujarab untuk dijadikan minyak urut dan mengubat sakit patah tulang atau tergeliat urat seperti mana ibu burung but-but mengubatkan kaki anaknya yang patah (dipatahkan datuk) dan boleh sembuh dalam sekelip mata.

Saya sebenarnya hendak bercerita tentang anak-anak yang dijadikan eksperimen oleh ibu dan bapa. Maksud saya untuk menghasilkan juara anak harus jadi bahan eksperimen (guinea pig). Anak harus menguasai banyak kemahiran. Anak harus pandai mengaji. Bukan sahaja pandai mengaji tetapi pandai bertaranum (membaca al-Quran berlagu). Di samping itu pandai melukis kaligrafi Arab (khat). Pandai berpidato. Boleh mengarang dan berkhutbah Jumaat atau khutbah hari raya.

Foto: Ini satu lagi inkubator untuk mendidik anak-anak yang saya adakan setiap cuti sekolah bulan Disember iaitu KEM TAHFIZ AL-QURAN 40 HARI. Ini di Masjid Bandar Baru Sungai Buluh yang disertai 400 orang peserta yang diadakan beberapa tahun lalu. Fasilitator sahaja seramai 26 orang hafiz dan hafizah. Tunggu program yang sama selepas raya tahun ini.


Apa relevannya inkubator sebuah sarang burung dengan inkubator di rumah untuk melahirkan seorang juara?

  • Aktiviti anak-anak harus dipantau dengan rapi oleh ibu bapa.
  • Jangan ada anasir jahat meresap masuk.(seperti telur yang dihisap ular). Anak kita nampak sihat dan biasa-biasa tetapi mindanya sudah kotor atau kosong.
  • Bersikap tegas (garang) dalam menjaga anak.
  • Body contact dengan anak-anak perlu. Selalu usap mereka. Anak hendaklah mencium ibu dan bapa setiap kali mahu berpisah seperti mahu ke sekolah atau selepas solat berjemaah.
  • Rapat dengan adik-beradik lain (seperti rapatnya telur dalam sarang).
  • Cukup input (seperti kepanasan eraman ibu burung).
  • Inkubator kuat, tidak tergugat dengan angin dan ribut maksudnya rumah kebal dari gangguan.
Saya sudah jumpa anak yang berusia sepuluh tahun mampu menghafal 2 juzuk al-Quran, boleh bermain 10 lagu dengan piano dan boleh menulis dan bercakap Cina!

Jangan manjakan anak pada hujung minggu dengan melepak di hadapan TV atau mengunci diri dalam bilik. Hantar mereka ke kelas tuisyen atau latihan sukan. Jangan menumpu kepada kelas tuisyen akademik semata-mata. Hantar mereka tuisyen Bahasa Arab atau Bahasa Inggeris, tuisyen tajwid, tuisyen badminton atau tuisyen kelas tarian.

Ada ibu bapa yang membangkang, "Itu memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Kami tidak ada wang."

Itulah harga untuk melahirkan seorang juara.

Motivasi Haji Muhammad

TV3 CABUL BAHASA MALAYSIA (Delima Merkah)

allyiskandar_copy.jpg
Ally Iskandar

Pagi tadi jam 8.08minit, saya amat tersinggung sekali, apabila sedang mengikuti MHI di TV3, dua juruhebahnya yang bernama Abby dan Ally tiba-tiba menukar bahasa Malaysia yang sedang dituturkannya kepada Bahasa Inggeris apabila menghadapkan cakapnya kepada seorang rakyat Malaysia bernama Dato’ Sri Tony Fernandes pemilik Air Asia melalui telefon.

Saya tidak faham adakah mereka berdua bergilir-gilir bercakap dalam Bahasa Inggeris itu bertujuan nak beritahu kepada penonton yang mereka berdua boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris, atau takut Tony Fernandes tidak faham? Kalau jawapannya yang pertama itu mungkin benar, mereka berdua mahu menunjuk-nunjuk melihat kepada cara mereka bercakap, penuh dengan ketawa, padahal tiada yang melucukan.

Kalau jawapan itu yang kedua, iaitu Tony tak faham Bahasa Malaysia, tidak mungkin. Seorang rakyat Malaysia lahir di Malaysia , belajar di Malaysia di zaman lepas merdeka ini, adalah mustahil tidak tahu berbahasa Malaysia . Apakah juruhebah TV3 itu fakir hanya orang Melayu sahajakah yang faham Bahasa Malaysia? Anda berdua bermimpikah bahawa rakyat Malaysia keturunan China atau India atau rakyat Malaysia keturunan lain-lain bangsa semuanya boleh faham dan boleh bercakap Bahasa Malaysia dengan baik.

Tabiat buruk ini hendaklah dihentikan serta merta oleh sesiapa saja dan pihak mana sekalipun di negara ini. Bahasa Jiwa Bangsa !.

Janganlah ketinggalan zaman , lihatlah keputusan Bahasa Malaysia di setiap peringkat peperiksaan di Malaysia ini, tidakkah penguasaan Bahasa Malaysia pelajar bukan Melayu mengatasi pelajar Melayu di banyak buah sekolah , atau sekurang-kurangnya sama. Anda berdua sebenarnya telah mencabul bahasa sendiri dan telah menghina orang Malaysia berbangsa bukan Melayu kononnya mereka tidak boleh memahami dan bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Satu perkara lagi yang amat dikesali, setiap kali TV3 memperkatakan tentang perniagaan dan ekonomi, Bahasa Inggerislah menjadi bahasa perantaraannya. Apakah hanya Bahasa Inggeris sahaja ada nilai ekonomi sedangkan Bahasa Malaysia hanya layak memperkatakan tentang perkara remeh temeh... layak hanya untuk Program Jom Heboh, Melodi, Bersamamu, 360, Apa-Apa sajalah... dan banyak lagi program yang hanya ditonton oleh orang Melayu yang berupa program santai-santai dan ringan-ringan.

Apakah orang Melayu ini hanya suka yang enteng-enteng dan tidak mahu menggunakan otak untuk program yang serius. Apakah Bahasa Melayu/Malaysia tidak layak di pentas perbahasan dan perbincangan tentang perkara besar, tentang dunia, tentang permasalah ruang lingkup kehidupan termasuk dunia perniagaan dan ekonomi.

Aduhai nasib Bahasa Melayu yang kini dah pun menjadi Bahasa Malaysia. Dalam sebuah negara merdeka lebih 50 tahun seperti Malaysia ini, Bahasa Inggeris masih diagung-agungkan dalam perbualan harian. Masih ramai orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya kelihatan malu-malu dan segan-segan untuk bercakap dan berbincang dalam Bahasa Malaysia...takut-takut dikatakan tidak moden, tidak bandar sifatnya dan dianggap tidak sosial .

Allay dan Abby mempunyai peranan yang besar sebagai orang yang terlibat dalam dunia kewartawanan. Sebagai pengamal media, anda berdua merupakan agen perubah. Jangan biarkan minda anda berdua dijajah oleh budaya Barat. Jangan lihat orang seperti Tony Fernandes itu sebagai satu penghalang untuk anda berdua bertanya dan bersoal jawab dalam bahasa pengantar Bahasa Malaysia. Anda berdua boleh menarik beliau ke topik perbincangan dengan menggunakan Bahasa Malaysia. Saya sendiri yakin, Dato' Sri Tony Fernandas sendiri akan bangga jika bercakap dalam Bahasa Malaysia dan beliau akan berasa aib kalau tidak fasih bahasa rasmi negara kelahirannya Malaysia.

Saya ingin menarik perhatian Ally dan Abby mengenai sebuah cerita di tahun 1970-an mengenai penumpang bas mini No.10 dari Selayang ke pusat bandar Kuala Lumpur. Suatu pagi di hari kerja ketika bas mini penuh sesak, seorang warganegara Eropah yang berbadan gemuk menahan bas mini itu di stesen berhampiran Kg. Batek, kawasan pelancongan di Selayang. Salah seorang penumpang bas yang sesak berdiri di tepi pintu meneriak kata-kata " Buka jalan...gajah mahu lalu!". Warganegara Eropah itu masuk ke dalam dan berdiri di belakang. Apabila sampai di Jalan Ipoh, warganegara Eropah itu menekan loceng untuk berhenti dan apabila sampai di pintu tangga dia meneriak," Buka jalan...gajah nak lalu." Saya lihat semua orang dalam bas terpinga-pinga dan suasana jadi sepi. Saya juga melihat orang yang meneriak ke arah warganegara Eropah tadi meraut wajahnya berkali-kali.

Jadi, saya juga takut akan berlaku cerita yang sama akan berlaku kepada orang seperti Ally dan Abby suatu hari nanti. Ke mana muka hendak diletak kalau orang seperti Tony Fernandes akan balas cakap bahasa Malaysia pengacara yang bertanya dalam bahasa Inggeris. Bagaimana kalau nanti orang seperti Tony itu akan berkata, " Boleh ke saya jawap dalam Bahasa Malaysia?"

PeLuiT : Menarik artikel ini; tak ramai yang dapat memahami jiwa seorang yang sayangkan bahasa ibunda. Malahan ada pula pemaklum balas bertanya apa salahnya bertutur Bahasa Inggeris?.

"kalau you ni tak paham, mengaku je lah. english merupakan the international language for currency, law, aviation, science, medicine and mathematics."

Betapa baculnya anak bangsa 1Malaysia kita ini. Sedangkan bagi saya secara peribadi, mendengar Bahasa Inggeris didewakan sebagai Bahasa Ilmu kononnya... ianya amat mencabar minda saya;

Fakta orang Inggeris itu tercatat dalam sejarah kita, selain mereka kononnya berilmu dalam masa yang sama mereka jua adalah penjajah malahan perundangan negara kita jadi kalut pun sebab kaum penjajah ini. Tak payahlah kita menceriterakan negara lain Jepun contohnya menderita lantaran bom atom kaum yang bertutur Bahasa Inggeris ini!.

Negara ini negara kita saluran TV ini jua kita empunya apakah malu untuk kita bertutur dalam 100% bahasa kesayangan kita. Bahasa Melayu.

Isnin, 22 Mac 2010

60 peratus gemuk (Ceritera)

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan dan kegemukan, sekali gus menunjukkan satu trend amat membimbangkan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, berdasarkan Indeks Berat Badan (BMI), kira-kira 30 peratus rakyat negara ini berusia 18 tahun ke atas berada di tahap 23 hingga 27.5, manakala 30 peratus lagi 27.5 ke atas, iaitu masing-masing dikategorikan lebih berat dan obesiti. Katanya, di kalangan kanak-kanak pula dianggarkan 20 hingga 30 peratus mengalami masalah lebih berat badan. “Kita perlu mengadakan pelbagai kempen pencegahan untuk memastikan trend ini dapat kita kawal dan dapat pastikan rakyat mempunyai berat badan sederhana, baik dan sihat, bawah paras 23,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Pengambilan Gula di Jusco Metro Prima, Kepong, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dan Pengarah Eksekutif AEON Co (M) Bhd, Yasuo Masuda.

Liow berkata, kajian dijalankan Kementerian Kesihatan menunjukkan kelaziman dewasa berlebihan berat badan meningkat hampir dua kali ganda manakala kelaziman dewasa yang obes meningkat tiga kali ganda.

“Obesiti meningkatkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan strok. Kajian yang sama menunjukkan kelaziman pesakit diabetes di kalangan penduduk berusia 30 tahun ke atas meningkat,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia secara purata mengambil tujuh sudu teh gula setiap hari dalam minuman, tidak termasuk jumlah kandungan gula dalam makanan dan kuih-muih.

“Jika dicampur dengan gula di dalam makanan dan kuih-muih, boleh menjadi purata 10 sudu gula satu hari. Kita kena kurangkan dari tujuh sudu,” katanya.

Justeru, katanya, kempen kurangkan pengambilan gula adalah usaha berterusan kerajaan bagi mendidik rakyat mengamalkan cara hidup sihat.

MyMetro

Khamis, 18 Mac 2010

101 aduan kandungan laman web bagi tempoh dua bulan 2010


2010/03/18

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 101 aduan berhubung kandungan laman web atau blog mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tempoh Januari hingga 23 Februari lalu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata terdapat 58 aduan bagi kandungan lucah dan 43 aduan bagi kandungan mengancam serta jelik, termasuk laman web atau blog yang menghina sultan.


Daripada jumlah itu, 15 kes aduan sedang disiasat mengikut Seksyen 211 dan 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) manakala 63 kes disiasat kerana kesalahan melanggar pelbagai akta.


"Terdapat enam kes pendakwaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung pelbagai kesalahan berkaitan dengan kandungan laman web atau blog," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran), yang bertanya mengeni tindakan diambil kerajaan terhadap penulis blog yang sering menyebarkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.


Kepada soalan tambahan Ismail berhubung halangan yang dihadapi oleh SKMM dan cadangan untuk melaksanakan tindakan lebih berkesan terhadap penulis blog yang menyiarkan isu yang boleh menjejaskan perpaduan, Rais berkata, perkara itu adalah persoalan induk kepada kementerian dan semua agensi penguatkuasa yang menjalankkan tugasan mengikut Akta Multimedia dan Komunikasi.


"Sesungguhnya SKMM mempunyai kuasa-kuasa yang boleh dikatakan genap di bawah seksyen-seksyen 211 dan 233, dan kekuasaan-kekuasaan yang ada di bawah undang-undang yang lain yang menjurus kepada Akta Hasutan 1948, akta yang menjurus kepada jenayah iaitu Kanun Keseksaan dan juga undang-undang yang lain," katanya.

Rais berkata, bahawa tiga bulan lepas, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta bahagian undang-undang sudah menjalinkan kerjasama. "Jadi, insya-Allah dengan kerapian tindakan ini, kita akan dapat menjalankan tugas di bawah undang-undang negara kita," katanya.

Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) pula berkata, selain penulis blog, kementerian juga perlu memantau dan mengambil tindakan terhadap media yang menyiarkan berita kurang tepat.

-Bernama

Rabu, 17 Mac 2010

Isu tanah: Orang Asli terus 'ditipu'



Salhan K Ahmad
Mac 7, 10
9:13pm

Penerangan dari pihak kerajaan berkaitan pindaan ke atas Akta Orang Asli setakat ini masih belum memadai, malah tidak menjelaskan isu sebenar, kata seorang pembentang kertas kerja dalam satu konvensyen semalam.

Wakil masyarakat ini juga melihat penerangan dari pihak kerajaan dalam cadangan pindaan akta berkenaan tidak lebih daripada cubaan untuk membendung sentimen di kalangan Orang Asli yang nampaknya tidak sabar lagi untuk menduduki tanah milik mereka sendiri.

Aturcara program sehari itu memperuntukkan satu sesi pembentangan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) untuk menerangkan cadangan pindaan Akta 134 yang dirancang untuk dibentangkan di parlimen selewat-lewatnya pada Jun ini.

Disogok data lama

Namun, JHEOA tidak menggunakan peluang tersebut untuk menerangkan dasar berkenaan tetapi masih mengemukakan data-data lama, kata Suki Mee ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Dasar pemberimilikan tanah Orang Asli -- Satu tinjauan'.

"Kalau mereka bersungguh-sungguh hendak beri penerangan, mereka akan bentangkan cadangan pindaan akta itu kepada kita di sini, barulah boleh mendapat maklum balas yang jelas daripada Orang Asli," kata anggota Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) itu.

Katanya lagi, pengumuman peruntukan sebanyak RM150 juta yang dibuat oleh menteri berkaitan hal ehwal Orang Asli, Datuk Seri Shafie Apdal semalam juga bukanlah satu cara yang konkrit untuk merungkai permasalahan sedia ada.

"Kami datang ke konvensyen ini untuk bercakap soal tanah, bagaimana RM150 juta ini dapat menyelesaikan masalah tanah ini?," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini pada sidang berkenaan.

Dalam sesi pembentangan kertas kerjanya sebelum itu, Suki berkata situasi yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli kini semakin meruncing kerana lebih 60% daripada tanah mereka masih belum mendapat sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.

"Agensi-agensi seperti Risda tidak akan dapat memberi bantuan sekiranya tanah yang diusahakan (Orang Asli) belum diwartakan dan diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya lagi.

Tanah dirampas

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof Madya Dr Bahari Belaton berkata keadaan inilah yang memangsakan masyarakat Orang Asli kerana kerajaan negeri berkuasa merampas tanah Orang Asli sewenang-wenangnya kerana tiada bukti pemilikan tanah berkenaan.

"Kalau betul mereka sedang berusaha untuk memberi milik tanah kepada Orang Asli, kenapa tidak ada kerja-kerja mengukur tanah-tanah ini diadakan?" katanya dalam sesi pembentangan.

Dalam kertas kerjanya itu, Bahari mengupas 19 seksyen utama dalam akta berkenaan yang perlu ditambahbaik dari segi perlindungan dan kesejahteraan warga berkenaan.

"Kupasan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa maklumat awal berkenaan kerangka pindaan ini, sama ada secara bertulis atau menerusi penglibatan beberapa ahli PSOA dalam bengkel dan program berkaitan akta 134," kata Bahari dalam kertas kerja tersebut.

Tambahnya, pindaan yang dicadangkan itu perlu mengambil tujuan untuk mengutamakan kepentingan Orang Asli dan memperkukuh hak keistimewaan masyarakat itu.

Jelasnya, ini perlu dilakukan dengan memperhalusi klausa-klausa sedia ada dengan istilah perundangan yang memberi lebih perlindungan kepada kepentingan golongan itu bagi mengelakkan mereka ditindas.

Usir orang tak diingini

Beliau memberi contoh peruntukan dalam Seksyen 14 dan 15 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah JHEOA dan polis untuk mengusir dan menghalang orang-orang yang tidak diingini dan berniat jahat daripada memasuki kawasan Orang Asli.

"Perkataan 'tidak bermoral' atau 'berniat jahat' perlukan penjelasan yang sewajarnya supaya perkara ini tidak boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa.

"Perkataan 'tidak diingini' juga perlu diperjelaskan supaya isu ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan," katanya dalam pembentangan tersebut.

Jelasnya, peruntukan sedia ada menyebut, pihak berkuasa berkenaan 'boleh' berbuat demikian, tetapi ini perlu digantikan dengan istilah yang lebih proaktif seperti 'perlu' atau 'wajib.'

"Maksud
nya, apabila ia dikuatkuasakan, orang politik yang hendak masuk untuk berkempen contohnya tidak boleh dibenarkan masuk ke kawasan Orang Asli. Orang yang tidak digemari ini boleh diusir setelah mendapat persetujuan dua pertiga daripada masyarakat Orang Asli," katanya.

Satu lagi cadangan yang dikemukakan adalah untuk merombak pentadbiran JHEOA supaya dapat mengambil peranan lebih pro-aktif, manakala satu badan lain perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan dalam jabatan berkenaan.

Bahari berkata, penubuhan itu perlu memandangkan JHEOA dikatakan akan distruktur semula menjadi sebuah agensi perbadanan.

"Setakat ini, menteri (pembangunan luar bandar dan wilayah) mempunyai kuasa mutlak ke atas JHEOA," katanya lagi yang juga mahu JHEOA diterajui oleh masyarakat Orang Asli sendiri secara majoriti, khususnya bagi jawatan tertinggi dalam jabatan tersebut," katanya.

Konvesyen disanjung

Datuk Seri Shafie Apdal pada ucapannya semasa merasmikan penganjuran konvensyen itu semalam bagaimanapun menyanjung tinggi usaha menjayakan sidang berkenaan.

Katanya, usaha untuk memberi pendedahan kepada golongan berkenaan mengenai dasar tanah dan perundangan itu adalah satu usaha yang lebih baik berbanding daripada membuat "rusuhan ataupun demonstrasi."

Katanya, usaha melalui perhimpunan seperti itu tidak memberi faedah kepada masyarakat Orang Asli.

Ucapan ini jelas ditujukan kepada pihak yang bertanggungjawab menganjurkan satu demonstrasi di hadapan pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Gombak bulan lalu.

Bercakap kepada kira-kira 500 orang wakil masyarakat Orang Asli dari seluruh negara, beliau juga berkata resolusi yang dicapai melalui konvensyen berkenaan akan disusuli dengan tindakan mengikut kehendak Orang Asli

Katanya lagi, resolusi berkenaan juga akan diteliti oleh satu kumpulan tumpuan yang turut dianggotai wakil masyarakat Orang Asli.

Salah seorang yang akan menganggotai kumpulan berkenaan ialah Rashid Ka', presiden Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) yang juga penganjur kepada sidang berkenaan.

MalaysiaKini

Orang Asli bukan bumiputera?


Mac 18, 10 1:14pm

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim kesal kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz gagal memahami bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan Orang Asli sebagai kaum bumiputera.

Katanya, menurut Perkara 153 and 161 Perlembagaan Persekutuan, Orang Asli tidak diberi hak keistimewaan sebagai Bumiputera.

Zaid (kanan) berkata Orang Asli tidak dikategorikan sebagai bumiputera, kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak sahaja yang dianggap sebagai bumiputera.

“Hanya 'Malays and the Natives of Sabah and Sarawak' dianggap sebagai Bumiputera. Inilah nasib Orang Asal di negara ini,” katanya.

“Sepatutnya merekalah orang yang paling layak sekali kerana bukan sahaja sebagai Orang Asal dan anak putera bumi bertuah ini tetapi juga kerana mereka paling miskin.

“Menteri sendiri tidak mengetahui status mereka, masakan mereka akan mendapat pertolongan dan pembelaan yang patut dan sewajarnya,” katanya dalam tulisan di blognya.

Kedangkalan pemimpin Umno itu hanya disedari ketika MP Hulu Rajang, Billy Abit Joo pada sidang parlimen semalam bertanyakan sama ada pengiktirafan status bumiputera perlu diperjelaskan dan kriteria Bumiputera diseragamkan.

Nazri dilaporkan terus menjawab “tidak perlu”.

Beliau sebaliknya mendakwa status bumiputera telahpun diseleraskan dan digolongkan dalam tiga kategori seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaaan Persekutuan, iaitu Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

Orang Asli naik minyak di Putrajaya

Zaid mengulas tindakan lebih 2,000 Orang Asli yang berarak ke pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka.

Memorandun itu mengandungi hal-hal penganiayaan di tangan kerajaan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun, tentang tanah nenek-moyang mereka yang dirampas dan diambil untuk pembangunan projek BN.

Zaid juga melahirkan rasa bangga dengan kebangkitan dan keberanian Orang Asli untuk menentang kezaliman Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli yang menindas kaum mereka.

“Walaupun polis menggunakan kuasa mereka untuk menahan perarakan itu ke pejabat Najib Razak, sekurang-kurangnya Orang Asal tanahair kita sudah berani bangkit. Mereka sudah mula “naik minyak” kerana masalah mereka selama ini dipandang ringan oleh kerajaan BN,” katanya..

Bagi Zaid, masa depan Orang Asli di bawah BN tidaklah cerah kerana jawapan Nazri semalam hanya membuktikan kerajaan BN tidak tahu sangat atau tidak mengambil berat perihal nasib Orang Asli.

MalaysiaKini.

Pelui@t:

Perlembagaan Persekutuan itu boleh dipinda & dibetulkan, asalnya ianya tepat pun tidak menganiaya mana-mana kaum. Ianya bukan undang-undang atau hukum Tuhan, perlembagaan ini sekadar buatan manusia. Orang Asli perlu mendapat hak mereka.

Tanah 'ditipu', orang Asli protes di Putrajaya


Salhan K Ahmad
Mac 17, 10
2:16pm

Lebih 2,000 Orang Asli ke Putrajaya bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada perdana menteri berhubung dasar pemberimilikan tanah.

Bagaimanapun kehadiran sesetengah mereka sejak jam 12.45 tengah hari tadi, dengan beberapa bas telah dilencongkan oleh pihak polis ke sebuah auditorium di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Kira-kira seribu daripada mereka disuruh berdialog dengan menteri berkenaan, Datuk Seri Shafie Apdal di auditorium itu.

Kira-kira seribu lagi petang tadi berkumpul di persiaran di hadapan pejabat perdana menteri bersedia untuk berarak bagi menyampaikan memorandum berkenaan.

Mereka bagaimanapun dihalang berbuat demikian oleh anggota polis yang bertugas sekitar kawasan itu.

Bagaimanapun setelah perbincangan kira-kira 15 minit, pihak polis memberi jaminan untuk membenarkan lima orang wakil Orang Asli untuk menghantar memorandum berkenaan.

Keputusan itu disambut dengan pekikan "boo" oleh Orang Asli.

Polis juga meminta Orang Asli supaya tidak berarak dan mempamerkan kain rentang serta sepanduk mereka.

Pakai pakaian tradisional

Kumpulan itu bagaimanapun akur untuk tidak menghalang laluan ke JPM dan berkumpul di bahu jalan.

D
alam perhimpunan ini, orang Asli membawa sepanduk dan kain rentang,antaranya berbunyi 'Hak Kami Selaku Orang Asal Perlu dihormati', 'Jangan Hapuskan Akta Kami' dan 'Iktirafkan Wilayah Adat Kami'.

Ada juga Orang Asli yang memakai pakaian tradisional mereka.

Perhimpunan tersebut anjuran bersama Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan juga Jaringan Kampung Orang Asli Perak.

Perhimpunan hari ini adalah yang kedua seumpamanya, selepas satu demonstrasi di hadapan pejabat JHEOA di Gombak pada 24 Februari lalu.

Kira-kira 2.30 petang, kumpulan tersebut berjaya menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri melalui pegawai tugas-tugasnya, Datuk Ghazali Ibrahim.

Memorandum tersebut diserah oleh presiden POASM, Majid Suud. Kedengaran tepukan gemuruh selepas dimaklumkan bahawa memorandum tersebut telah berjaya diserahkan.

Lima minit kemudian satu lagi memorandum diserahkan kepada Shafie oleh penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Perak, Tijah Yok Chopil.

'Kami tidak berpecah dua'

Memorandum pertama yang diserahkan oleh Majid berkaitan perlantikan senator Orang Asli yang telahpun diserahkan kepada perdana menteri pada 9 Disember tahun lalu.

Bercakap kepada pemberita, Majid berkata kumpulan itu tidak pernah berpecah dua seperti yang didakwa.

Sebaliknya, tambahnya, kumpulan tersebut tiba lewat dan tidak berjaya mengikuti program bersama Shafie di kementerian tersebut.

"Sebenarnya ada kawan saya yang terlewat kerana datang dari jauh. Kalau ikut jadual kita hendak serah memorandum (pada) jam 2.30, (tetapi) dia tak sampai lagi. Ini yang jadi masalahnya. Ini kumpulan yang sama, tak ada berbeza kumpulan," katanya.

Memorandum kedua yang diserahkan Tijah pula berkaitan bantahan ke atas dasar pemberimilikan tanah Orang Asli.

Sembilan perkara yang digariskan dalam memorandum itu antaranya menyebut, dasar berkenaan diluluskan tanpa melibatkan rundingan dengan masyarakat Orang Asli dan bercanggah dengan peruntukan dalam perlembagaan.

Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.

Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Menteri: 'Bukan protes, tapi jalan-jalan di Putrajaya'

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Tijah (bawah) yang juga pengasas Jaringan Kampung Orang Asal Semalaysia berkata, kumpulan Orang Asli yang diketuainya itu tidak sempat hadir di program yang diadakan di kementerian Shafie.

"Masa penyerahan memo tadi saya tidak dengar Datuk Seri Shafie sebut apa-apa jaminan. Saya hanya mampu menekan beliau dan wakil perdana menteri supaya menyampaikan kepada perdana menteri.

"(Saya juga menekan supaya) meneliti memorandum ini dan lupuskan terus dasar pemberimilikan tanah dan teliti tuntutan kami," katanya.

Manakala Shafie pula, ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan hari ini, sambil tersenyum berkata: "Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan."

"Yang majoriti ini kumpulan yang jumpa dengan saya tadi. Sebenarnya mereka nak datang, di samping nak menyaksikan penyerahan memorandum ini.

"Mereka juga datang untuk cuti sekolah hendak ambil gambar di Putrajaya sebab mereka cuma tengok Putrajaya dalam televisyen.

Tambahnya, beliau sedia mendengar apa-apa masalah yang dikemukakan oleh masyarakat, khususnya daripada Orang Asli.

"Jika ada sesiapa kata kami mengabaikan atau menidakkan hak mereka, itu tidak benar kerana kita telah menbelanjakan lebih daripada RM400 juta setahun untuk memastikan pendidikan dan prasarana mereka (terjamin).

MalaysiaKini.

- Banyak Tanah Rizab Melayu telah berpindah milik, sekarang masalah Tanah Rizab Orang Asli pula dicerobohi.

Isnin, 15 Mac 2010

Gajet seks dijual secara online



KEDAI menjual gajet seks turut beroperasi di pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya.


SUBANG JAYA - Premis cenderamata di pasar raya di sini turut menjual gajet seks yang melampau secara online selain menjual gajet yang biasa secara terbuka.

Tinjauan Kosmo! mendapati, ada sesetengah pengusaha premis terbabit membangunkan laman sesawang sendiri bagi tujuan menerima tempahan pelanggan melaluinya.

Tempahan juga boleh diterima melalui khidmat pesanan ringkas dan e-mel selain melalui interaksi menerusi laman rangkaian sosial khas diwujudkan.

Kosmo!


Tarik balik pengecualian lesen premis jual cenderamata


KUALA LUMPUR - Pengecualian lesen terhadap premis cenderamata yang didakwa turut menjual gajet seks di pasar raya di ibu kota perlu ditarik balik.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPGM), Zainul Rijal Abu Bakar (gambar) berpendapat, ia menjadi punca pengusaha berselindung di sebalik premis mereka bagi menjual peralatan tidak bermoral.

Jumaat, 12 Mac 2010

Sanggup tidur di surau

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

2010/03/12

CYBERJAYA: Pengorbanan seorang bapa yang sanggup ‘berkampung’ kira-kira sebulan di surau sekolah hanya bagi menemani anaknya yang sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbaloi apabila pelajar itu diumumkan antara tiga pelajar terbaik di Sekolah Seri Puteri di sini, semalam.

Pendekatan dilakukan bapa Noor Khairin Nazifa Khalid, 18, dari Marang, Terengganu memberi sokongan moral kepadanya untuk melakukan yang terbaik bagi membalas jasa dan pengorbanan bapa yang sanggup meredah perjalanan sejauh kira-kira 400 kilometer semata-mata untuk menemaninya.

Noor Khairin berkata, bapanya Khalid Abdullah, 59, yang juga seorang kontraktor sanggup tinggal dalam keadaan tidak selesa di surau sekolah bagi memastikan dia sentiasa berada di samping anak bongsu lima beradik itu.

“Kehadiran ayah memberi sokongan kepada saya dan rakan lain untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Malah, rakan saya amat menyenangi kehadiran bapa yang dianggap sebagai pengganti ibu bapa masing-masing.

“Alhamdulillah, kejayaan memperoleh 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil hadiah paling istimewa untuk bapa dan ibu, Che Mek Kamariah Che Yem,” katanya.

Noor Khairin yang bercita-cita menjadi doktor gigi berkata, dia tidak mengamalkan sebarang petua atau kaedah tertentu selain memperbanyakkan belajar secara berkumpulan dan mematuhi jadual belajar yang dibuat bagi mendisiplinkan diri.

Selain Noor Khairin, dua lagi rakan sekelasnya Nur Syazwani Aiman Abu Bakar dari Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Nor Ashikin Mohd Tahir dari Seremban, Negeri Sembilan turut mengharumkan nama sekolah terbabit apabila memperoleh keputusan 9A+ dalam semua mata pelajaran.

Nur Syazwani berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh hasil usahanya yang bijak menyeimbangkan waktu belajar dan bersosial bagi mengelakkan diri tertekan terutama sebelum menghadapi peperiksaan.

Harian Metro

Gigitan cinta ustazah khalwat


2010/03/12

JOHOR BAHRU: Aksi dramatis ditonjolkan seorang guru agama wanita ketika cuba memperdayakan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) yang melakukan pemeriksaan di rumahnya gagal menyembunyikan aib sendiri apabila kesan gigitan cinta di lehernya menimbulkan curiga.

Biarpun beria-ia mendakwa tinggal bersendirian di rumah berkenaan sejak lima bulan lalu, temberang wanita berusia 27 tidak mampu bertahan lama.

Malah, penemuan dua kondom yang dipercayai baru digunakan dalam rumah berkenaan mengukuhkan lagi rasa curiga pihak berkuasa bahawa terdapatnya orang kedua dalam premis berkenaan.


Wanita yang mulanya berlagak bersahaja itu mula berubah riak wajahnya, menjadi semakin pucat apabila diasak dengan pelbagai soalan berhubung kesan merah di lehernya.


Dia mula mereka pelbagai cerita dengan mengatakan kesan berkenaan akibat digaru kerana gatal manakala kondom yang ditemui adalah milik rakannya yang dikutip sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

Menurut sumber, selepas 20 minit berdolak-dalik, rahsia guru itu terbongkar dengan penemuan teman lelakinya bersembunyi di loteng.

“Berdasarkan maklumat orang ramai yang mendakwa perlakuan tidak senonoh guru agama itu dengan pasangannya, satu serbuan dijalankan di rumah teres, Taman Rinting, Masai jam 1 pagi.

“Hasilnya, kami menahan pasangan terbabit yang dipercayai berkhalwat dan tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau muhrim,” katanya.

Menurutnya, berlaku kekecohan apabila teman lelaki guru terbabit mendakwa kononnya sukar untuk turun dari loteng berikutan siling yang tinggi.

Harian Metro