Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 30 September 2009

40 kes baru pesakit ILI



PUTRAJAYA: Jumlah pesakit baru dengan gejala seperti influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan bertambah 40 kes berbanding kelmarin kepada 324 semalam dan pada masa sama, 132 pesakit dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah semasa kes ILI yang dirawat di 81 hospital termasuk enam hospital swasta ialah 896 kes.

“Bagaimanapun, hanya 137 pesakit positif influenza A (H1N1) disahkan melalui ujian makmal.

“Sebanyak 18 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan ada dua kemasukan baru sehingga semalam (kelmarin) manakala satu kes dibenarkan keluar dari hospital,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr Mohd Ismail berkata, tiada kematian dilaporkan semalam.

Katanya, 16 pesakit yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti kanak-kanak di bawah usia lima tahun (tujuh), obesiti (empat), penyakit kronik (tiga) dan penyakit respiratori kronik (dua).

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi nasihat dikeluarkan kementerian termasuk:

  • Orang ramai yang bercadang mengadakan dan menghadiri jamuan rumah terbuka dinasihatkan menyediakan kemudahan membasuh atau membersih tangan di samping menjaga kebersihan persekitaran serta menyediakan tempat membuang sampah mencukupi untuk membendung penularan H1N1.

  • Orang ramai digalakkan membawa kit H1N1 ketika berkunjung ke jamuan rumah terbuka, menaiki kenderaan awam atau berhari raya di rumah sanak-saudara dan rakan.

  • Orang ramai juga dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri khususnya mencuci tangan sekerap mungkin.

  • Harian Metro

    Tiada ulasan: