Oleh S Anand Kumar dan Safeek Affendy Razali
2011/07/11
Penyokong ingkari arahan polis, cetus huru-hara di pusat bandar rayaKUALA LUMPUR: Janji penganjur kononnya perhimpunan haram kelmarin berlangsung aman tanpa kekecohan adalah pembohongan kerana ada penyokong dikesan cuba mencetuskan huru-hara di sekitar pusat bandaraya.
Wakil Berita Harian yang menyertai kumpulan itu mengesan ramai penyokong mengingkari arahan pihak polis. Puluhan penyokong mula berkumpul seawal jam 7 pagi di Masjid India memakai kemeja-T berwarna kuning, selain cuba mengedarkan baju di lokasi tersembunyi.
Mereka turut berpakat memberikan alasan bersiar-siar atau menunggu saudara datang mengambil mereka jika diperiksa polis. Ada antara mereka membawa anak kecil berusia empat hingga enam tahun di sekitar kawasan larangan polis, kononnya meminta simpati jika ditahan.
Selain itu, ada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berarak menyertai perhimpunan, sedangkan mereka tahu perhimpunan itu haram.
Namun ketika ditanya motif dan matlamat perhimpunan, mereka hanya memberitahu ia usaha pemimpin mereka membersihkan negara walaupun terpaksa bertempur dengan pihak polis.
Penulis juga dapat menyaksikan tindakan jahat penyokong membaling mercun yang diubahsuai ke arah polis yang mengadakan kawalan. Tidak cukup dengan itu, penyokong turut membaling botol minuman kaca ke arah polis sambil merosakkan harta benda awam di sepanjang laluan perarakan di Jalan Pudu.
Kejadian itu memaksa polis bertindak tegas melepaskan beberapa gas pemedih mata. Namun, kesabaran polis yang dihina dan dicaci serta cuba dicederakan perlu dihargai. Mereka juga mengambil berat terhadap sebahagian penyokong yang cedera selepas terjatuh ketika melarikan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan