• Wajah Datuk Lee Chong Wei ketika ditemubual wartawan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini. - Foto Bernama  
  • Wajah Datuk Lee Chong Wei ketika ditemubual wartawan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini. - Foto Bernama
PEMAIN badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, menyuarakan hasratnya untuk berehat selepas Kejohanan Terbuka Denmark pertengahan bulan ini, sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Malaysia tahun hadapan.
  
Beliau akan membincangkan perkara itu dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas pulang daripada kejohanan itu nanti.
  
"Saya perlu berehat agak panjang untuk bersedia (menghadapi Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Malaysia). Saya akan bincang dengan BAM selepas Terbuka Denmark," katanya kepada media sejurus tiba dari  Incheon, Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini, hari ini.
  
Chong Wei dijadualkan menyertai Terbuka Denmark, satu daripada kejohanan Siri Super Premier Persekutuan Badminton Dunia (BWF), dari 18 hingga 23 Okt ini.
  
Menurutnya keputusan untuk berehat itu wajar berikutan tiadanya kejohanan yang perlu disertainya pada Januari dan Februari depan.
 
"Awal tahun depan tidak ada kejohanan besar, ia agak baik untuk  saya berehat sebelum memulakan latihan dan tingkatkan  prestasi bagi menghadapi All England dan Terbuka Malaysia," katanya.   

Chong Wei juga mengakui prestasinya agak menurun selepas Kejohanan Dunia Denmark bulan lepas, namun menganggap pencapaiannya sehingga ke peringkat separuh akhir pada Sukan Asia Incheon adalah cukup bagus.
  
Mengenai kerjayanya dalam badminton, beliau  berharap dapat  terus bertahan untuk dua tahun lagi.
  
Ditanya mengenai kemungkinan BAM mengambil jurulatih baharu dari China untuk membantunya dan skuad badminton negara, Chong Wei berkata beliau menerima apa sahaja keputusan  BAM.
  
BAM dilaporkan bakal melantik beberapa jurulatih baharu  termasuk He Guo Quan, iaitu bekas jurulatih pemain perseorang lelaki Lin Dan dan pemain perseorangan wanita Li Xueriu.
     
Sementara itu, jurulatih perseorangan lelaki Tey Seu Bock berkata langkah BAM membawa jurulatih mungkin memberi kebaikan  kepada Chong Wei.
  
"Ia akan wujudkan satu perubahan ke arah kebaikan kepada Chong Wei...saya fikir, kita perlu buat perubahan atau sesuatu yang lain untuk  Chong Wei (khususnya dalam menghadapi Sukan Olimpik)," katanya.
  
Menurutnya  beliau tidak menghalang jika BAM mahu Chong Wei dikendalikan seorang jurulatih baharu.
  
"Jika perubahan itu penting dan untuk kebaikan Chong Wei, saya  tidak kisah. Kita perlu cari formula untuk bantu kecemerlangan  beliau. Saya nampak beliau begitu kecewa bila tewas kepada Lin Dan di  Sukan Asia," katanya. - Bernama