Bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar berkata beliau tidak pernah mengaku membunuh Altantuya Shaariibuu, walaupun Mahkamah Persekutuan mensabitkannya bersalah.
Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, dia mengulangi kenyataan bahawa dia bertindak atas arahan dan menjadi kambing hitam dalam kes itu.
“Sampai hari ini tiada saksi terhadap kematian itu.
“Semua ini hanya berdasarkan keterangan mengikut keadaan yang dikaitkan dengan saya (terhadap pembunuhan itu)
“Saya faham bahawa keterangan mengikut keadaan tidak sekuat keterangan langsung,” kata Sirul (kanan), 43, bapa kepada dua orang anak itu.
Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan mensabit dan menjatuhi hukuman mati pada Sirul dan seorang lagi bekas komando polis Azilah Hadri ekoran kes pembunuhan pada 2006 itu.
Mereka berdua dikatakan menembak mati dan meletupkan seorang warganegara Mongolia di dalam hutan.
Bagaimanapun, mahkamah dan pihak pendakwaan tidak menentukan motif di sebalik tindakan itu.
Ia mencetuskan spekulasi apabila Razak Baginda, penganalisis politik dan rakan rapat perdana menteri, dikaitkan dengan perkara itu.
Razak dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.
Datuk Seri Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri, menafikan mempunyai sebarang kaitan dalam kes itu dan bersumpah dengan nama Allah.
Polis juga membersihkan namanya.
Najib (atas) pagi ini diminta oleh pemberita mengulas dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan dan pihak yang mempunyai motif masih bebas.
Najib hanya menjawab perkara itu “mengarut”.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Sirul tidak berpuas hati dengan prosiding undang-undang, termasuk kegagalan memanggil pegawai atasannya DSP Musa Safri.
Musa bekas pembantu Najib.
Kenapa polis dedah muka?
Sementara itu, bekas komando polis itu juga kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan gambarnya.
”Kenapa dedah gambar saya tanpa kebenaran? Sejak awal pendengaran hingga rayuan di Mahkamah Persekutuan, saya berjaya tutup muka.
”Apa tujuannya (dedah gambar saya),” soalnya.
Sirul tidak hadir ketika keputusan diumumkan kerana berada di Australia.
Dia kini ditahan oleh imigresen negara kanggaru itu di Sydney.
Undang-undang Australia tidak membenarkan pihak berdepan hukuman mati dieksradisi ke negara hukuman dijatuhkan.
Sirul sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan segala-galanya berhubung kes itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan