Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 25 Disember 2009

Sudah mati tiga hari

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


SEREMBAN: “Sebaik membuka pintu belakang, saya dapati isteri dan anak terbaring dan sudah tidak bernyawa di ruang tengah rumah,” kata S Rajoo, 52, suami kepada M Meenah, 39, yang ditemui mati bersama anaknya, R Sharvin, 8, di rumah sewa mereka di Taman Bandar Seremban Selatan Senawang, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana bekerja sebagai pemandu bas ekspres di Johor Bahru dan sudah lebih tiga hari tidak pulang.

Dalam kejadian itu, mayat kedua-dua mangsa yang dipercayai mati sejak tiga hari lalu ditemui di ruang tengah rumah teres kos rendah dua tingkat terbabit kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

Rajoo berkata, dia mengesyaki sesuatu tidak baik berlaku terhadap isteri dan anak bongsu daripada tiga beradik itu selepas menghubungi mereka melalui telefon selama tiga hari tetapi tidak berjawab.

“Saya bimbang selepas menghubungi mereka melalui telefon di rumah tetapi tidak berjawab lalu dapat rasakan ada sesuatu yang tidak baik berlaku kepada isteri dan anak.

“Berikutan itu, saya terus bergegas balik ke rumah untuk mengetahui perkara sebenar dan terkejut apabila mendapati isteri dan anak bongsu sudah tidak bernyawa dan kemudian menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Zazali Hashim, berkata berdasarkan maklumat, pihaknya yang melakukan pemeriksaan menemui mayat dua beranak terbabit di ruang tengah rumah.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring berhampiran satu sama lain dan dipercayai mati dalam tempoh dua atau tiga hari kerana didapati sudah berulat.

“Sehingga kini, kita belum mengenal pasti punca kematian kedua-dua mangsa kerana belum menemui bukti sama ada mangsa dibunuh atau sebaliknya.

“Malah, keadaan dalam rumah juga tidak berselerak, bagaimanapun punca kematian mungkin dapat diketahui selepas laporan bedah siasat dan kita akan maklumkan kemudian,” katanya mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rajoo yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata ketika kejadian dua lagi anak lelakinya tiada di rumah kerana dibawa ke rumah bapa saudaranya di Johor Bahru.

Dia yang sedih dengan kejadian menimpa keluarganya itu, berkata selepas diperiksa mendapati sebuah pemain cakera padat video (VCD) miliknya hilang dari rumah berkenaan dipercayai dilarikan individu yang bertanggungjawab terhadap kematian isteri dan anaknya.

Menurutnya, rumah sewa yang sudah didudukinya sejak 12 tahun itu pernah dimasuki pencuri kira-kira dua tahun lalu hingga membabitkan kehilangan wang tunai RM250.

Dia berkata, terdapat luka di kepala isterinya yang bekerja di sebuah kilang di kawasan taman berkenaan.

“Saya tak dapat nak kata apa-apa kerana perkara sudah terjadi,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran mangsa yang dikenali sebagai Gunasinkaran, 52, berkata mendiang Meenah jiran yang baik dan sering menghantar makanan kepadanya.

“Saya tidak sangka kejadian buruk menimpa mereka sekeluarga kerana sebelum ini tidak dengar sebarang kejadian buruk,” katanya.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Zazali Hashim, berkata berdasarkan maklumat, pihaknya yang melakukan pemeriksaan menemui mayat dua beranak terbabit di ruang tengah rumah.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan berada berhampiran antara satu sama lain di mana dipercayai mati dalam tempoh dua atau tiga hari kerana didapati sudah berulat.

Harian Metro

Tiada ulasan: