anbia@hmetro.com.my
Lebih menyayat hati apabila suami berkenaan, Nor Mohamad Sham Maidin Sah, 39, yang inai di jarinya masih merah apabila mendapat berita isterinya ditangkap khalwat di rumah lelaki terbabit, beberapa hari selepas wanita itu melarikan diri dari rumah.
Malah, kisah menyayat hati itu boleh diibaratkan ‘tangisan bulan madu’ apabila Nor Mohamad belum berkesempatan mengenali hati budi isterinya, apatah lagi untuk bermesra dengan wanita yang baru 13 hari menaiki pelamin bersamanya.
Nor Mohamad berkata, kehilangan orang kesayangannya itu menyebabkan dia hampir pitam kerana tidak menyangka isterinya, Noor Sharmaine Mat Esa, 20, sanggup meninggalkannya tanpa pesan.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi pada 6 November lalu ketika dia dan Sharmaine berada di bilik tidur di rumahnya di Kampung Tengah Lembah Jaya, Ampang di sini, apabila isterinya itu memberi alasan kononnya mahu ke tandas.
Bagaimanapun, katanya selepas lebih 30 minit menanti, dia mula curiga apabila isterinya tidak muncul semula.
“Pada masa sama beberapa anak jiran berusia belasan tahun mengetuk pintu rumah saya sebelum menjerit memberitahu mereka melihat isteri saya lari dalam keadaan tergesa-gesa sambil menutup kepalanya dengan tuala.
“Sharmaine melarikan diri dengan membawa bersama beg pakaian sebelum menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu tidak jauh dari kawasan rumah saya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, dia berusaha mencari isterinya di kawasan perumahan berkenaan namun gagal mengesan jejak wanita itu yang dipercayai dilarikan bekas teman lelakinya.
“Bagaimanapun, Sharmaine menghubungi saya kira-kira jam 1.30 tengah hari keesokannya dan meminta saya memasukkan RM500 ke dalam akaun banknya. Saya sempat bertanya lokasi dia berada namun Sharmaine enggan menjawabnya.
“Kerana simpati, saya memasukkan wang RM100 ke akaun banknya sebelum dia meminta RM150 lagi daripada saya. Dia berjanji akan pulang ke pangkuan saya dan meminta saya menunggu di hadapan bank di Bandar Baru Ampang,” katanya.
Menurutnya, dia menunggu dua hari berturut-turut di hadapan bank dimaksudkan namun harapan itu palsu.
“Lebih memeranjatkan apabila kakak ipar saya menghubungi kami dan menyampaikan berita mengejutkan apabila mendakwa isteri saya ditangkap khalwat oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang di rumah seorang lelaki dipercayai bekas kekasihnya itu.
“Saya tak pasti apa yang berlaku namun berita dia ditangkap khalwat bersama lelaki lain membuat hati saya remuk,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya.
Menurutnya, walaupun hatinya terluka, dia masih bersedia untuk memaafkan isterinya asalkan Sharmaine sanggup pulang ke pangkuannya.
“Saya tidak tahu dia berada di mana sekarang selepas ada pihak yang dikatakan membayar ikat jamin sejurus dia dan lelaki terbabit ditangkap khalwat. Malah, saya pernah diugut akan dipukul sekiranya datang ke Pulau Pinang untuk mencari Sharmaine,” katanya.
Nor Mohamad berkata, walaupun berat hatinya untuk menerima hakikat kejadian itu namun menganggap kemaafan jalan terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang menyebabkan kedua-dua keluarga kini dalam keadaan tertekan.
Harian Metro
>Main SMS atas pelamin
KUALA LUMPUR: “Saya tidak menyangka tragedi itu boleh berlaku berikutan perkahwinan mereka bukan dipaksa, malah Sharmaine sendiri bersetuju menerima pinangan pihak lelaki, Oktober lalu,” kata Khatijah Mohd Ali, 55, ibu Nor Mohamad Sham Maidin Sah, 39.Menurutnya, Noor Sharmaine Mat Esa, 20, yang juga anak saudaranya, diijabkabulkan dengan Nor Mohamad di Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 24 Oktober lalu dengan majlis perkahwinan menelan belanja hampir RM20,000.
“Ketika itu menantu saya berkelakuan aneh apabila masih bermain SMS walaupun duduk di atas pelamin sambil diperhatikan orang ramai. Malah, tabiatnya itu berlanjutan selepas dia dibawa tinggal di rumah kami di Ampang.
“Pada malam sebelum kejadian, Sharmaine kerap menghantar SMS menerusi telefon bimbit yang disorok di bawah bantalnya. Saya malu nak bertanya kerana bimbang dilabel ibu mentua penyibuk,” katanya.
Malah, Khatijah berkata, ketika menantunya melarikan diri, dia terdengar bunyi kuat pada pintu rumah tetapi menyangka ia berpunca daripada kucing yang menerjah memasuki rumah.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan