Kira-kira 20 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat hari ini.
Setakat pukul 5.30 petang ini, lapan daripada mereka telah dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Seorang daripada mereka meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat manakala tujuh lagi yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Difahamkan ketika kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, semua kanak-kanak itu sedang berada di dewan makan rumah anak-anak yatim itu.
- Bernama
MANGSA kejadian tanah runtuh.
KAJANG: "Saya dengar bunyi dentuman kuat, tiba-tiba tanah kejar saya," kata Ketua Warden Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Mohamad Hambali Ismail, 34, ketika ditemuramah wartawan Berita Harian Online, sebentar tadi.
Katanya, ketika kejadian 2.15 petang itu, seramai 23 penghuni sedang membuat persiapan untuk menyambut ketibaan rombongan FINAS yang dijadualkan makan tengah hari dan beramah mesra dengan anak yatim.
"Ketika sedang sibuk membuat persiapan, saya terdengar dentuman kuat. Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa lari menyelamatkan diri," katanya.
Beliau berkata, sementara menunggu rombongan FINAS, anak yatim terbabit sebahagiannya berlatih kompang dan nasyid.
Ketika kejadian, 23 orang berada di bawah khemah untuk majlis makan tengah hari itu.
Rumah anak yatim berkenaan mempunyai 34 penghuni, semuanya lelaki.
Setakat ini, dua penghuni maut dan enam pula cedera parah.
Sementara itu, seorang penghuni rumah anak yatim berkenaan, Mohd Faizal Isni, 17, berkata, ketika kejadian dia ke tandas dan tiba-tiba kejadian berkenaan berlaku.
"Saya nampak kawan-kawan yang berada bawah khemah sudah tertimbus, cuma nampak tangan dan kepala mereka. Semuanya terkambus.
"Masa yang sama, ketika saya menoleh ke belakang ternampak tanah runtuh seperti mengejar saya," katanya.
24 orang tertimbus tanah runtuh di Hulu Langat
2011/05/21
KUALA LUMPUR: Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, dekat sini, hari ini.
Setakat 7 petang ini, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis.
Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.
Semua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Semua penghuni rumah itu adalah lelaki.
Ketika kejadian 2.30 petang, semua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual 5 petang.
Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit itu menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali. Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada 6.10 petang.
Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Morni Mamat, berkata sehingga 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.
- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan