KUALA LUMPUR – Satu kumpulan ilmuan Islam perlu diwujudkan bagi
membimbing dan menasihat golongan lesbian, gay, biseksual dan
transeksual (LGBT) di negara ini kembali ke pangkal jalan, kata seorang
ahli akademik.
Penolong Profesor di Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM) Dr Meriam Omar Din berkata berdasarkan kajian yang
dijalankannya terdapat semakin ramai umat Islam terlibat dalam kegiatan
seks songsang.
“Kumpulan khas ini akan dapat mengurangkan bilangan mereka yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya kepada Bernama di sini.
Dr Meriam berkata daripada pengalamannya mendekati golongan itu,
beliau mendapati tidak semua LGBT gembira dengan kehidupan serta jalan
yang mereka pilih.
“Mereka yang terjebak dengan gejala ini antaranya kerana mengalami
masalah perhubungan intim, tidak yakin dengan diri sendiri serta
mengamalkan gaya hidup tidak sihat,” katanya.
Dr Meriam berkata pembentukan kumpulan khas itu merupakan jalan
terbaik untuk mendekati golongan berkenaan serta meyakinkan mereka
bahawa setiap kesalahan masih ada peluang untuk diperbetulkan.
“Saya dapati masyarakat masih boleh bertoleransi dengan golongan ini
di mana kita dapati ada antara mereka memang berbakat dalam bidang seni
serta diterima untuk memberi sumbangan,” katanya.
Dr Meriam berkata pendekatan agama merupakan satu-satunya cara yang
boleh membimbing golongan itu supaya kembali ke jalan yang benar.
“Dengan pendekatan agama, kita boleh sedarkan mereka yang sebelum ini
terlibat dalam perhubungan intim sesama jenis kerana mereka terlalu
mengikut nafsu songsang mereka yang akan menyebabkan mereka menderita,”
katanya.
Dr Meriam berkata laman sosial bukanlah faktor yang mendorong kepada
peningkatan jumlah golongan itu menjalin hubungan sesama jantina.
“Penularan seks songsang ini sudah berakar umbi sebelum kewujudan
laman sosial lagi. Sebelum ini mereka yang mengalami krisis identiti
akan melarikan diri daripada keluarga dan datang ke Chow Kit kerana
mereka tahu di situ ada golongan yang boleh menerima mereka.
“Bagi golongan tersebut masyarakat tidak boleh menerima dan sentiasa
menindas mereka. Ini menyebabkan mereka memilih untuk berada di dalam
kumpulan yang salah,” katanya.
Dr Meriam berkata golongan LGBT akan mengasingkan diri daripada
masyarakat dan hanya berada dalam kelompok sama seperti mereka yang
yakin boleh memberi menerima serta menyokong tindakan mereka.
“Bersama kumpulan tersebut mereka akan bersatu menentang masyarakat
yang tidak dapat menerima mereka, malah tidak segan silu untuk
berpakaian atau melakukan perbuatan yang bertentangan agama, di khalayak
ramai,” katanya.
Beliau berkata gejala itu bertambah teruk apabila golongan LGBT
mengambil tindakan untuk keluar daripada agama Islam kerana mereka tahu
perbuatan mereka adalah salah di sisi agama.
Dr Meriam berkata Islam melarang seks songsang, maka golongan itu
patut memikirkan kesan daripada perbuatan mereka yang akan menyumbang
kepada penyakit sosial.
– BERNAMA
Khamis, 24 Mei 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan