Kira-kira dua juta daripada tujuh juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini masih tidak memiliki akaun bank, menyukarkan bantuan itu disalurkan terus kepada mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad berharap mereka yang masih belum membuka akaun bank supaya berbuat demikian dengan segera supaya bayaran BR1M tahun depan sebanyak RM950 dapat disalurkan kepada mereka dengan lancar.
"Selepas membuka akaun, mereka boleh menyerahkan maklumat terbabit kepada penghulu, ketua kampung atau pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terdekat supaya kita (Kementerian Kewangan) boleh mengemas kini data," katanya kepada Bernama di Kampung Parit Datuk Onn, baru-baru ini.
Katanya mereka yang masih belum membuka akaun bank boleh berbuat demikian di cawangan atau ejen Bank Simpanan Nasional (BSN), Maybank atau CIMB.
Menurut Ahmad, penerima BR1M yang memiliki akaun bank tidak lagi perlu beratur panjang untuk menerima bantuan kewangan itu yang akan disalurkan kepada akaun bank mereka menerusi tiga kali pembayaran.
Fasa pertama pembayaran BR1M akan dilakukan pada Jan tahun depan sebanyak RM300, katanya.
Ahmad berkata pemberian BR1M bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat seperti pembelian barangan keperluan dapur dan bukannnya untuk membayar hutang kenderaan dan lain-lain.
"Jikalau perbelanjaan dapur bulanan satu isi rumah itu secara puratanya adalah sebanyak RM300, BR1M dapat menampung selama tiga bulan perbelanjaan dapur isi rumah terbabit," katanya.
Bagi isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan purata perbelanjaan dapur sebanyak RM400 sebulan, BR1M itu mampu menampung dua bulan perbelanjaan dapur mereka, katanya.
"BR1M bertujuan untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan