Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Tan Sri
Muhammad Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes
liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahmad Shabery berkata amat malang jika ada pihak yang terus mendakwa
bahawa keputusan tersebut merupakan konspirasi politik Umno bersama
dengan pihak kerajaan yang mahu menganiaya Anwar.
"Ia
merupakan satu tuduhan yang tidak berasas," katanya kepada pemberita
selepas menghadiri majlis penyerahan cek sumbangan Tabung Kemanusiaan
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) bagi membantu mangsa banjir
di Putrajaya hari ini.
Justeru, katanya, beliau bersedia menganjurkan sebarang forum, dialog
atau debat bagi rakyat berpeluang melihat hujah sebenar mengenai kes itu
melalui saluran televisyen nasional atau mana-mana platform lain.
"Saya sebenarnya tidak mahu masuk campur dalam hal ini tetapi bila ada
pihak yang terus mencemarkan nama negara dan sistem keadilan dan
mempersoal hakim kita hingga sanggup ke luar negara untuk mempengaruhi
negara lain bagi mencemuh negara kita, ia boleh dianggap sebagai
mengkhianati negara," katanya.
Jelasnya platform debat tersebut juga diadakan bagi memberikan ruang
yang lebih seimbang bagi semua pihak memberikan pendapat yang dapat
ditonton oleh semua rakyat.
"Sekurang-kurangnya kita dapat bagi pendapat yang lebih seimbang kerana
lebih daripada enam tahun terutamanya daripada parti kerajaan berdiam
diri kerana kita kata isu ini adalah antara Anwar dengan pembantu khas
yang dia sendiri pilih," kata Ahmad Shabery.
Namun, katanya, penganjuran debat itu terserah kepada pihak mahkamah sama ada ia dibenarkan untuk diadakan.
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan
pada 10 Februai lalu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas
pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
- Bernama
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan