Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 24 Mei 2012

Cadang Panel Islam Bimbing Gay Dan Lesbian

KUALA LUMPUR – Satu kumpulan ilmuan Islam perlu diwujudkan bagi membimbing dan menasihat golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini kembali ke pangkal jalan, kata seorang ahli akademik.

Penolong Profesor di Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Meriam Omar Din berkata berdasarkan kajian yang dijalankannya terdapat semakin ramai umat Islam terlibat dalam kegiatan seks songsang.

“Kumpulan khas ini akan dapat mengurangkan bilangan mereka yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Dr Meriam berkata daripada pengalamannya mendekati golongan itu, beliau mendapati tidak semua LGBT gembira dengan kehidupan serta jalan yang mereka pilih.

“Mereka yang terjebak dengan gejala ini antaranya kerana mengalami masalah perhubungan intim, tidak yakin dengan diri sendiri serta mengamalkan gaya hidup tidak sihat,” katanya.

Dr Meriam berkata pembentukan kumpulan khas itu merupakan jalan terbaik untuk mendekati golongan berkenaan serta meyakinkan mereka bahawa setiap kesalahan masih ada peluang untuk diperbetulkan.
“Saya dapati masyarakat masih boleh bertoleransi dengan golongan ini di mana kita dapati ada antara mereka memang berbakat dalam bidang seni serta diterima untuk memberi sumbangan,” katanya.

Dr Meriam berkata pendekatan agama merupakan satu-satunya cara yang boleh membimbing golongan itu supaya kembali ke jalan yang benar.

“Dengan pendekatan agama, kita boleh sedarkan mereka yang sebelum ini terlibat dalam perhubungan intim sesama jenis kerana mereka terlalu mengikut nafsu songsang mereka yang akan menyebabkan mereka menderita,” katanya.

Dr Meriam berkata laman sosial bukanlah faktor yang mendorong kepada peningkatan jumlah golongan itu menjalin hubungan sesama jantina.

“Penularan seks songsang ini sudah berakar umbi sebelum kewujudan laman sosial lagi. Sebelum ini mereka yang mengalami krisis identiti akan melarikan diri daripada keluarga dan datang ke Chow Kit kerana mereka tahu di situ ada golongan yang boleh menerima mereka.

“Bagi golongan tersebut masyarakat tidak boleh menerima dan sentiasa menindas mereka. Ini menyebabkan mereka memilih untuk berada di dalam kumpulan yang salah,” katanya.

Dr Meriam berkata golongan LGBT akan mengasingkan diri daripada masyarakat dan hanya berada dalam kelompok sama seperti mereka yang yakin boleh memberi menerima serta menyokong tindakan mereka.

“Bersama kumpulan tersebut mereka akan bersatu menentang masyarakat yang tidak dapat menerima mereka, malah tidak segan silu untuk berpakaian atau melakukan perbuatan yang bertentangan agama, di khalayak ramai,” katanya.

Beliau berkata gejala itu bertambah teruk apabila golongan LGBT mengambil tindakan untuk keluar daripada agama Islam kerana mereka tahu perbuatan mereka adalah salah di sisi agama.

Dr Meriam berkata Islam melarang seks songsang, maka golongan itu patut memikirkan kesan daripada perbuatan mereka yang akan menyumbang kepada penyakit sosial.

 – BERNAMA

Awani potong cabaran debat Najib-Anwar

 Harakahdaily,     24 Mei 2012




KUALA LUMPUR: Astro Awani dalam siaran ulangannya semalam, memotong bahagian moderator Dr Maszlee Malik yang mencabar debat antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan segera.
 
Malam semalam, stesen berbayar itu menyiarkan secara langsung debat PTPTN anjuran Sinar Harian antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang dikendalikan Dr Maszlee Malik sebagai perantara.

Menariknya, dalam debat itu moderator secara terbuka mencabar perdana menteri dan ketua pembangkang berdebat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Tindakan itu sekaligus menghangatkan semula politik tanah air apabila cadangan debat itu sebenarnya pernah dibuat sendiri oleh Anwar sejak tahun lalu, namun tidak dilayan oleh Najib sehingga isu itu tenggelam begitu sahaja.

Namun dengan cadangan terbaru Maszlee dalam forum yang dipancar secara langsung di televisyen swasta itu, membuka semula isu tersebut untuk diperdebat rakyat.

Di Facebook, Twitter, blog sibuk memperkatakan perkara itu dan mahu Najib menerima cadangan untuk berdebat dengan Anwar yang telah lama dinanti-nanti oleh rakyat.

Di Youtube pula, rakaman cabaran debat yang diajukan oleh moderator itu juga turut dimuat naik.

Bagaimanapun Astro didakwa memotong bahagian cabaran debat itu pada siaran ulangannya semalam.

Harakahdaily diberitahu, sebaik sahaja selesai debat itu, beberapa pemimpin Umno yang turut hadir telah menyerang pihak Astro kerana menyiarkan cabaran Dr Maszlee itu secara langsung.

Najib Perlu Contohi Khairy Untuk Berdebat



SHAH ALAM 23 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya mengikuti jejak langkah Ketua Pemuda Umno, Khairi Jamaluddin yang berani berdebat dengan Ketua Pambangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika benar-benar ingin membentangkan secara jelas segala dasar atau polisi yang dilaungkannya selama ini.
Malangnya, menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad, keengganan Najib untuk berdebat, bolehlah diibaratkan sebagai alasan seorang yang penakut.

“Kalau berani dan sememangnya segala hujah itu berfakta, silalah berdebat sepertimana yang ditunjukkan kedua-dua anak muda malam tadi iaitu saudara Rafizi Ramli dan Yang Berhormat Khairi Jamaluddin yang berdebat mengenai isu penghapusan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara).

“Walaupun YB Khairi dilihat lemah hujahnya, namun keberaniannya itu wajar dipuji dan wajar menjadi ikutan kepada pemimpin Umno/BN yang lain terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak,” ujar Idris yang ditemubual melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat masih ragu-ragu akan keberanian Najib untuk menyahut cabaran debat daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ianya ibarat menunggu bulan jatuh ke riba kerana sehingga kini tiada tanda-tanda langsung Najib akan turun berdebat secara depan-depan dengan Anwar.

“Sekadar menggunakan media untuk membalas kenyataan dan mengeluarkan kata-kata kosong tanpa hujah dan fakta itu adalah tidak sesuai dengan Najib sebagai seorang Perdana Menteri,” jelas beliau.

Sementara itu, mengulas isu debat PTPTN antara Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairi Jamaluddin, Idris berkata, ianya suatu permulaan yang baik untuk senario politik tanah air yang semakin ‘sakit’.

“Kalau dilihat budaya politik Umno/BN sekarang adalah kotor, dengan fitnahnya, budaya samsengnya, berbeza dengan Pakatan Rakyat yang sentiasa menyertakan fakta dan pelan lengkap sesuatu dasardibentangkan, malah setiap dakwaan juga pasti disertakan bukti dan hujah.

“Umno/BN pula memang dari dahulu lagi tidak mahukan budaya intelektual seperti ini dijadikan ‘gelanggang’ kerana mereka sedar mereka tidak akan mampu menang,” jelasnya lagi sambil menambah beliau yakin pimpinan PR bersedia pada bila-bila masa untuk berdebat dengan pimpinan Umno/BN.

Debat PTPTN: Dari Mana RM237 Billion Ini Datang?


 
PENULIS tergerak untuk membangkitkan persoalan ini setelah mendapati ia menjadi tajuk perbincangan hangat di media sosial dan Internet sekarang.  Ia berhubung kait dengan sesi Debat PTPTN antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Ia menarik perhatian penulis kerana dari banyak perkara yang dibincang antara kedua pemimpin muda tersebut, kenapa soal ini pula yang menjadi benchmark siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam debat itu.
Lagipun seperti yang biasa disebutkan, laman ini berpaksi kepada kebenaran, bukan kepada polemik politik yang tidak berkesudahan seperti mana yang dimahukan ramai orang.

Baiklah.

Seperti yang penulis katakan semalam, Rafizi gagal menjelaskan kepada rakyat bagaimana Pakatan Rakyat boleh menjayakan janji untuk memberi pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN.  Sumber memaklumkan penulis, semua maklumat telah diberikan kepada Rafizi tapi di saat -saat akhir Rafizi memilih untuk tidak mendedahkan maklumat tersebut atas alasan yang kurang dipastikan kenapa.

Sebaliknya Rafizi memilih untuk mempertikaikan soal berapa banyak peruntukan pendidikan hasil dari ‘sumbangan RM237 Billion’ oleh Petronas kepada kerajaan Malaysia sepanjang tempoh bapa mertua Khairy, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri (2003 -2009).

Sebelum berbicara panjang, penulis suka nak menyatakan disini bahawa dari kajian penulis, jumlah RM237 billion ini tidak dinyatakan dimana-mana sebagai sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Paling dekat ialah sumber dari blog mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menyebut Petronas telah menyumbang sebanyak RM 270 billion (sebelum cukai atau selepas cukai, penulis tidak pasti) kepada kerajaan sepanjang tempoh pemerintahan Abdullah, dan projek apa yang telah dibiayai dari hasil wang ini?
Sumber boleh rujuk disini.

Kita tahu Rafizi adalah bekas kakitangan Petronas tapi Mahathir adalah Penasihat Petronas.  Kalau diberi antara 2 pilihan maklumat siapa yang perlu lebih dipercayai, sudah tentu penulis memilih Mahathir.

Soal siapa Mahathir dan kekejamannya ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu adalah perkara berbeza. Yang dibangkitkan sekarang ialah maklumat tentang sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Lagipun, tindakan Rafizi membuat perbandingan ini adalah hampir sama dengan tindakan Mahathir pada 2010, cuma tidak mengkhusus kepada pendidikan seperti yang dilakukan Rafizi dalam debat tersebut.
Balik pada soal RM 237 billion ini tadi.

Dari mana angka ini datang?  Graf dibawah menunjukkan jumlah sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan Abdullah sebagai Perdana Menteri (2004-2008).  Yang mana kalau pembaca boleh mengira, jumlahnya hanyalah sebanyak RM202.8 billion!!  Katakanlah plus minus 10% pun, masih jauh dari angka yang diberikan Rafizi.

Kenapa penulis membangkitkan hal ini dengan panjang lebar?

Kerana seperti ditulis diatas, isu ini sedang hangat dibincangkan di alam siber bagi menunjukkan bahawa Khairy ‘kalah’ berdebat dengan Rafizi kerana gagal menjawab soalan tersebut sebanyak 2 kali.  Sekarang tahulah kita kenapa Khairy tidak boleh menjawab, angka diberikan itu salah dan tidak boleh dirujuk dimana-mana.

Jadi di mana yang Rafizi menang kalau rujukannya pun sudah salah? 
Itu belum disebutkan lagi dengan apa cara pendapatan Petronas semasa penggal pemerintahan Abdullah, mampu dikaitkan dengan keupayaan Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma setelah mengambil alih Putrajaya nanti.

Penulis tak nampak bagaimana ‘cerita’ 4 tahun lepas mampu membantu Pakatan Rakyat menjayakan janji pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN seperti yang menjadi tajuk debat tempoh hari.  Tidak hairan kenapa ramai menganggap tujuan Rafizi membangkitkan persoalan ini ialah untuk menyerang peribadi Khairy.

Tak pasal-pasal, dari seorang yang dianggap majoriti ahli UMNO sebagai ‘persona non grata’ (orang yang tidak diperlukan), Khairy kini diangkat menjadi hero pula.

Oleh yang demikian, penulis harap  Rafizi tampil dengan penjelasan dari mana sumber RM 237 billion ini diperolehi sebelum isu-isu lain yang timbul semasa debat itu mengambil tempat.

Antara yang paling memalukan, sudah tentulah dalam soal “beri pendidikan pra sekolah percuma pun tak mampu di Selangor (manifesto 2008), inikan pulak pendidikan peringkat tinggi percuma“ yang disebutkan ahli Parlimen Rembau tersebut semasa menutup hujahannya.

Penulis berpendapat beginilah, di masa hadapan, jika kurang persediaan, elok dibatalkan sahaja debat itu kerana penulis lihat ia bukan menaikkan lagi imej Pakatan Rakyat, tapi tambah menjatuhkan lagi.

PeLuiT:

Satu fakta yang kita kena sedar kebanyakan tadika di negara kita adalah dalam jagaan BN; tenguk kepada warna LOGO Tadika KEMAS pun telah jelas ianya adalah dalam bidang kuasa BN; PR boleh memulakan pendidikan pra sekolah percuma melalui tadika yang dikelolakan oleh PAS tak silap PeLuiT ianya PASTI; jika benar PR ini sehati sejiwa dalam memenuhi impian pengundi di Selangor.

Sindiran KJ memang satu fakta kukuh yang perlu dijawab oleh PR.

Mahfuz sokong debat Najib dan Anwar, debat KJ-Rafizi bukti masyarakat matang

May 23, 2012
 
KUALA LUMPUR, 23 Mei — PAS menyokong penuh cabaran yang dikemukakan moderator debat Sinar Harian berkenaan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) malam tadi, Dr Maszlee Malik, yang mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat secara terbuka bagi menjelaskan dasar parti masing-masing sebelum pilihan raya umum ke-13.

Jelas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar), beliau melihat cabaran yang dikemukakan Maszlee itu sangat bertepatan memandangkan berdasarkan debat antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, masyarakat semakin matang menerima medium baru politik tersebut.
“Saya menyokong penuh cabaran Dr Maszlee malam tadi terhadap debat antara perdana menteri dan ketua pembangkang. Umno sebelum ini kata debat itu bukan budaya masyarakat kita dan ia tindakan yang tidak matang.

“Tapi semalam sudah dibuktikan, masyarakat kita semakin matang menerima medium baru politik sedemikian untuk orang-orang politik melontarkan idea mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Mahfuz, banyak pihak yang menantikan debat tersebut menjadi kenyataan.
“Saya sokong penuh kedua-dua tokoh ini berdebat mengutarakan idea-idea mereka,” katanya lagi.
Maszlee yang juga merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, dakwaan yang menyatakan debat merupakan budaya barat dan tidak sesuai dengan budaya di negara ini, adalah bersifat penghinaan kepada rakyat Malaysia.

“Ia penting bagi negara menuju status negara maju dan selaras dengan kehendak rakyat. Debat adalah penghargaan kepada akal fikiran dan cara rakyat berfikir dalam usaha mewujudkan politik matang dan bertamadun.

“Debat hanya untuk pertahankan idea dan memastikan idea yang dilontarkan itu dicabar. Bukan seperti 'satu suara' seperti dalam ceramah. Ini adalah medium untuk mendidik rakyat di peringkat permulaan dan diharapkan ia akan menjadi politik baru selepas ini,” katanya lagi di penghujung debat antara Rafizi dan Khairy malam tadi.
Malah, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyindir Najib supaya tampil lebih berani berbanding pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) itu dengan menyambut cabaran tersebut.
“Jika ketua pemuda berani, saya tidak nampak ketakutan yang timbul daripada Najib. Beliau harus tampil lebih berani daripada Khairy,” tambahnya.

Analisis Debat PTPTN...

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sememangnya debat antara Saudara KJ dan Rafizi mengenai topik PTPTN sangat hangat dibualkan. Ada yang mendakwa bahawa KJ memenangi perdebatan itu, ada yang mendakwa Rafizi yang menang, dan sebagainya. Di sini, izinkan saya menulis analisis saya mengenai debat tersebut. InsyaALLAH, saya akan mendedahkan fakta-fakta yang tepat dan benar mengenai debat itu. 1. Sikap Rafizi yang cuba mengubah topik yang tidak berkaitan dengan topik perdebatan itu sangat mendukacitakan. Pertanyaan yang tidak berkaitan dengan topik bagi saya tidak usahlah dijawab oleh saudara KJ. Kalau perlu pun, itu mungkin dalam perdebatan yang lain.

2. Saudara Rafizi kelihatan memilih perbandingan yang langsung tidak munasabah untuk menyokong pendapatan beliau mengenai pendidikan percuma. Malah, beliau memberi fakta yang salah kepada umum dan KJ tidak berkesempatan untuk membidas fakta Rafizi.
 
3. Maka, tugas saya di sini untuk membidas saudara Rafizi. (Sebenarnya, saya sangat berkobar-kobar untuk duduk di tempat KJ kelmarin, hehehhe...) Pertama, Rafizi mendakwa bahawa negara Finland yang lebih miskin daripada Malaysia dan hanya bersumberkan satu sahaja sumber ekonomi iaitu Nokia yang itu pun sedang mengalami masalah kerana penguasaan Blackberry mampu memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya, mengapa tidak Malaysia. Benarkah dakwaan itu? Sini, Kapten Malaysia (hensem?) mahu menidakkannya. :)

4. Finland sebenarnya mempunyai banyak sumber ekonomi. Saya sertakan statistik sumber ekonomi Finland untuk tatapan umum: A) Agriculture and forestry 4.5%, B.) Industry 18.3% C.) Construction 7.3% D.) Commerce 16% E.) Finance, Insurance, and Business services 14.5%, F.) Transport and communications 7% G.) Public services 32.4% Sekarang ni, mana datangnya sumber dakwaan Rafizi yang mengatakan bahawa Finland hanya bersumberkan ekonomi daripada Nokia sahaja?

5. Benarkah Finland lebih miskin daripada Malaysia? Saya nak tergelak mendengarkan dakwaan saudara Rafizi itu. Hehehehe... (gelak malu). Menurut data daripada Bank Dunia, Malaysia jauh ketinggalan dalam ranking GDP. Finland menduduki tangga ke-17. Malaysia punya kekayaan menduduki ranking ke-69. Apa kejadahnya nak bandingkan Malaysia dengan Finland yang lebih kaya daripada Malaysia. Bahkan dengan kekayaan negara yang ke-17 terkaya di dunia, Finland hanya perlu menangung 5 Juta rakyat Mereka sedangkan Malaysia yang mempunyai kekayaan yang ke 69 dunia, perlu menanggung 30 Juta rakyat Malaysia. Sumber saya di sini: http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_countries_by_GDP_(nominal)_per_capita

6 . Perbandingan ini sangat tidak relevan. Anda cuba membandingkan epal dengan rambutan (bak kata saudara KJ). Saudara Rafizi ni, awak kena adil tau. Jangan nak spin fakta macam ayahanda Anugerah Tuhan kamu itu. Hehehehe.. tak baik tau. Kita ambil epal kalau nak dibandingkan dengan Epal. Erm... nak ambil contoh apa ya ?

7. Dah dapat! Apa kata kita ambil Brazil yang menduduki di tangga yang lebih kurang sama dengan kita. Brazil ialah salah satu daripada negara yang mendirikan pendidikan percuma. Ya, pendidikan percuma tetapi tahukah saudara Rafizi bahawa cukai di Negara Brazil ialah antara yang tertinggi di dunia? Tak..tak... saya tak buat spesikulasi saya sendiri tau Pak Fizi ya? Tak percaya? Mari-mari, kita mengembara lagi. Biar celik mata semua.

8. http://thebrazilbusiness.com/article/the-16-most-common-brazilian-taxes"Brazil is known for charging a high tax burden from its citizens and companies established. We will provide an overview of the most common taxes in Brazil, dividing them into Federal, State and Municipal taxes." Kenyataan itu dipetik daripada orang Brazil sendiri. Lihat betapa tingginya dan banyak cukai di negara mereka untuk menampung pendidikan percuma. Rafizi kena terima hakikat nothing is free dalam dunia ini. Ada harga yang perlu dibayar sekiranya mahukan pendidikan percuma. Dan harga yang perlu dibayar untuk pendidikan percuma ialah CUKAI YANG TINGGI.

 9. Tak puas hati lagi? Mari-mari menjelajah negara nombor satu dalam sukan bola sepak ini. Lagi artikel yang merungut mengenai hidup di Brazil yang sangat tinggi dengan cukai. Mereka memberi tajuk kepada artikel ini dengan ayat ini: " Everyday taxes in Brazil: IPVA, IPTU and IPTR!" Nak link ke ? Takut saya menipu? Ehh, jangan tuduh tau. Saya ni sesuci Anugerah Tuhan dan Pak Rafizi ye? (sarcasm). Nah, ambil ni: http://thebrazilbusiness.com/article/everyday-taxes-in-brazil-ipva-iptu-and-iptr 

10. Saudara Rafizi mengatakan bahawa pendidikan di Turki itu percuma. Heheheh, kaki kelentong betul lah awak ni. Awak fizi yang comel, tak nampak ke apa yang berlaku di Turki? Kalau pengikut-pengikut kamu, bolehlah kamu tipu ye? Tapi, tidak saya. http://www.businessturkeytoday.com/turkey-students-arrested-for-demanding-free-education-during-protests.html Eh, apa benda tu? Kata Turkey ni menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat, tetapi kenapa sebaliknya? Sampai kena tangkap tu Mahasiswa Turkey. Hehehehe... Abam Rafizi, udah-udahlah tu ya menjadi penipu ?

11. Kalau kita lihat pada permulaan debat, kita dapat melihat statistik dan nombor yang dikeluarkan oleh KJ mengenai perbelanjaan yang sedang ditanggung dan bakal ditanggung oleh kerajaan sekiranya mahukan pendidikan percuma. Kemudian, Rafizi membidas bahawa fakta itu penipuan dan mereka membuat kiraan mereka sendiri lalu menampilkan nombor mereka sendiri. 12. Sekarang, saya mahu bertanya kepada semua, anda percayakah fakta daripada Rafizi ini sedangkan dia sudah menipu kita dengan teori Finland dan Turkinya? Sekali menipu, dua kali menipu, tak mustahil dia akan menipu untuk sekian kalinya memandangkan penipuan itu ialah darah dagingnya.

13. Perkara lain, saya tak perlu saya ulas pajang lebar. Isu hutang dan sebagainya, saya rasa dah dijawab dengan kemas oleh saudara KJ.

14. Oh ya, ada lagi yang saya nak perkatakan. Rafizi suruh sifu kamu tu tunaikan janji bulan bintangnya pada penduduk Selangor. Bukan satu dua ye, berbelas tau. Ini janjinya pada penduduk Selangor pada PRU yang lepas pun tak habis ditunaikan, ada hati bercakap mengenai topik yang lebih besar.

15. Meh, saya senaraikan janji-janji puak anda yang tak tertunaikan sebelum nak menabur janji lain. - membuka tabung permulaan RM 100 bagi setiap anak kelahiran selangor. -memberi bantaun RM 75.00 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nuseri. -memberi bantuan RM 50 kepada seorang bagi pendidikan pra sekolah. -memberi hadiah tawaran RM 1000 kepada setiap anak selangor yang masuk ke universiti. Dan belasan lagi janji-janji2 yang terabai.

Kesimpulannya ialah kebanyakan daripada fakta yang dibentangkan oleh Rafizi sebenarnya lebih kepada puta belit yang dipelajari daripada sifunya Anwar Ibrahim. Dan motif artikel ini ditulis untuk menjawab tuduhan tidak berasas Rafizi. Setakat ini sahaja yang mampu saya nukilkan, InsyaALLAH kalau ada kesempatan, saya akan kembali menyambung artikel ini, mungkin dengan analisis yang lebih padat dengan fakta. Akhir kata daripada saya, TAHNIAH SAUDARA KJ KERANA berani berdepan dengan orang seperti Rafizi Ramli yang suka lari daripada tajuk dan kaki spin ini. Hehehehe.... Assalamualaikum.

Oleh Helmi Effendy

Debat KJ-Rafizi dari kaca mata moderator

DEBAT ini merupakan satu mercu tanda kepada bermulanya politik sihat, politik matang, politik ide dan juga politik bersih yang diimpikan oleh majoriti rakyat Malaysia. Masyarakat sudah meluat dengan politik fitnah, politik identiti dan juga perkauman yang mendominasi dan cuba dipaksakan ke atas mereka.

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana terdapat pihak yang sanggup mengusahakan program debat ini agar berjaya. Ia mungkin julung kali diadakan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selari dengan perkembangan politik matang negara-negara maju, dan akan merintis jalan kepada debat-debat lain yang melibatkan ahli politik-ahli politik yang lebih kanan.

Kita berharap permulaan ini akan menatijahkan kemuncaknya iaitu debat di antara calon Perdana Menteri dari kalangan BN dengan calon Perdana Menteri dari kalangan PR.

Kedua-dua ahli politik muda ini memberikan harapan kepada kita bahawa para pemimpin pelapis yang akan menjadi peneraju Malaysia di masa hadapan sudah bersedia untuk membawa perubahan.

Khairy Jamaluddin dalam perkara ini merupakan spesis unik dari partinya. Keberaniannya wajar dijadikan contoh kepada para pemimpin Umno yang sehingga kini masih lagi menikus apabila diajak berdebat di dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Bagi Rafizi pula, beliau memberikan harapan baru bahawa PKR dan PR juga sudah bersedia untuk menyajikan para pemimpin berkualiti bertaraf antarabangsa yang boleh membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Keberanian Kumpulan Media Karangkraf, Astro Awani dan radio Bernama24 untuk menjadi penganjur bersama debat bersejarah ini wajar diberikan pujian.

Diharapkan media-media cetak dan penyiaran lain akan turut mengikuti jejak langkah mereka di dalam mendidik masyarakat, mematangkan politik negara dan juga memberikan maklumat yang saksama kepada rakyat agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat dan adil dalam PRU13 nanti.

Rakyat Malaysia amat merindukan media yang berintegriti, berkualiti, mempunyai kredibel dan menghayati semangat demokratik dan juga politik hujah.

Akhir sekali, kepada rakyat Malaysia, diharapkan dapat mengambil peluang untuk menonton debat yang amat bermakna ini. Segala hujah para pendebat seharusnya membuatkan rakyat berfikir untuk diterjemahkan kepada pilihan mereka dan juga menjadi panduan untuk mereka menjadi warga yang lebih matang.

Semoga langkah yang pertama ini akan mengangkat rakyat Malaysia dari kepompong politik fitnah dan sempit yang dipaksakan ke atas mereka kepada politik yang lebih bertanggungjawab dan mengangkat martabat akal dan kemanusiaan.



* Dr Maszlee Malik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akan mengendalikan debat PTPTN 22 Mei 2012

Sabtu, 25 Februari 2012

Berita Minggu ada kroninya.


"nelayan dipeluk rasah derita" adakah perkataan rasah derita.. nampak sangat Berita Minggu (BM) ni ada kroninya; penyair lain giat cuba berkarya sering dibakulsampahkan; saya selalu mengikuti perkembangan puisi di BM sejak tiga tahun lalu, banyak sangat kesilapan ejaan; apa sebenarnya berlaku di BM sana?.

Penulis yang mapan tangkap muat sahaja karyanya & diterbitkan tanpa disemak kesilapan taipan mereka.

Jika sesekali tersilap ejaan mungkin kita dapat terima tetapi boleh kata setiap keluaran ada kesilapan bahasa & ejaan hatta pasti penyair di luar BM ini tertanya-tanya. Kenapa orang yang sama yang dipilih karyanya. Bagaimana penulis@ penyair lain yang begitu gigih mahu melihat karyanya terbit di sana.

Aku antara seorang yang boleh kata tiap minggu menghantar tulisan ke sana; tak satu pun tersiar sepanjang lebih kurang tiga tahun. Akhirnya aku tarik semula karya di sana dan menghantar ke penerbit yang lain. Alhamdulillah banyak yang telah diterima & diterbitkan. Nasihatku kepada penulis lain yang pernah cuba berkarya di BM, jangan kecewa jika karya anda mungkin bernilai buat penerbit lain bukan di BM. Kita lihatlah sejauh mana BM ini terusan mahu memertabatkan sastera tanah air. Takutnya nanti BM jadi Majalah Mastika yang telah melupakan nilai Sastera asyik dengan ceritera misteri yang memang menjanjikan keuntungan yang besar. Samalah majalah Al-Islam tahun 80an di sanalah tempat ramai penulis muda mahu melihat karya mereka diterbitkan, sekarang tidak lagi.

Penulis atau penyair kini terpaksa bergantung dengan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP). Masalah yang meruntun hati penulis adalah sukarnya mendapat majalah keluaran DBP ini. Kemelut pemasaran DBP entah sampai bila baru mahu selesai. Sukarnya menjadi seorang Penyair.

Rabu, 22 Februari 2012

Sime Darby Asyik Rugi


Oleh Rusnizam Mahat

Sime Darby Berhad mengalami kerugian lebih RM1.6 bilion kerana antara lain mengambil alih projek nazak seperti Empangan Bakun di Sarawak, kata pengerusi syarikat gergasi itu, Tun Musa Hitam.


Musa berkata pada tahun 2002, Sime Engineering Sdn Bhd mengambil alih Bakun, ketika projek itu mengadapi pelbagai masalah, khususnya dari segi kos yang menjangkaui anggaran.

Saya pernah bertelagah de-ngan pucuk pimpinan terdahulu mengenai projek Bakun, lebihan kosnya besar, kata Musa dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Proses pengambilalihan projek Bakun ini berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara.

Dalam wawancara itu juga, Musa memberitahu bahawa Sime Darby mendapat kontrak projek Bakun pada harga yang rendah meskipun projek itu berskala besar.

Beliau mempersoalkan kenapa kerajaan tidak langsung memantau projek yang menelan berbilion ringgit itu walaupun ia membabitkan kepentingan nasional.

“Ia dianugerahkan kepada seseorang, kemudian ia ditender semula ketika itu, Sime Engineering memperolehinya. Ia tidak ada kaitan dengan Sime Darby sekarang. Namun bagi saya tentu kerajaan tahu, boleh menyekat ataupun mengawasi Sime Engineering ketika itu. Ini merupakan projek nasional,” tambah beliau.

Pendedahan oleh Musa itu harus mengundang siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia membabitkan syarikat kepen-tingan nasional yang mengambil alih projek-projek tenat, kata Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul.

Menurut beliau, projek Bakun nazak sekitar tahun 1997 selepas syarikat milik jutawan Ting Phek King, Ekran Berhad, gagal menyiapkannya melalui Bakun Hydroelectric Coporation.

Sime Darby umpama menangung biawak hidup apabila terpaksa mengambil alih projek Bakun yang gagal dilaksanakan. Umum tahu hubungan akrab antara Ting dengan Dr Mahathir dan ini bukan perkara baru,’’ tambah beliau.

“Pada masa itu kos melambung tinggi dan Ting juga dilaporkan menuntut perbelanjaan yang tidak sepatutnya untuk projek Bakun,kata Johari.

Johari meminta SPRM menyiasat kerugian yang ditanggung Sime Darby kerana ia melibatkan kepentingan awam dan dana awam diguna untuk membiayai projek berkenaan yang tertangguh beberapa kali.

“Pertama, SPRM perlu siasat dan kita minta dedahkan laporan di parlimen kerana ini melibatkan duit orang ramai yang menabung dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja(KWSP) dan pegangan dalam Permodalan Nasional Berhad(PNB) yang akan diguna untuk menyelamatkan Sime Darby dan Bakun,” ujarnya.

Mengenai kerugian ditanggung Sime Darby, beliau juga menambah, antara punca kerugian kerana membuat banyak pelaburan bukan di dalam bidang terasnya iaitu perladangan.

Sime Darby tidak fokus pada kepakarannya dalam perladangan yang mempunyai risiko rendah. Nampak keuntungan di bidang lain besar tetapi risiko tinggi. Adakah kita mahu meletakkan duit rakyat dalam sektor yang berisiko tinggi?,” katanya yang menambah bahawa adalah lebih baik syarikat itu membuat pelaburan di dalam negara.

Sime Darby mengalami kerugian hampir RM1.6 bilion dari divisyen Tenaga dan Utiliti akibat lebihan kos dalam projek minyak di Qatar dan empangan Bakun.

Berikutan itu syarikat itu mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir Murshid, untuk bercuti sementara siasatan dijalankan.

Ramai pihak turut mendesak Musa meletakkan jawatan atas kerugian besar yang ditanggung Sime Darby.

Peluit:

Seharusnya Sime Darby dapat membantu ekonomi negara; lantaran ia adalah syarikat gergasi yang mengambil semua ladang kelapa sawit di negara kita. Bumi kita yang kaya dengan rempah ratus; herba, flora & fauna yang cantik habis gondol diteroka oleh pemaju kelapa sawit. Ini adalah hak kita hutan simpan kita; bumi indah kita tapi habis ditanam kelapa sawit.

Keuntungan kelapa sawit ini jika kita gunakan dengan cara tak munasabah mahu memikul syarikat yang nazak ini memang merugikan negara. Siapa pemilik ladang kelapa sawit ini mereka tetap untung kenapa kita pula yang melabur rugi; siapa pelabur paling banyak dalam Sime Darby ini sila dedahkan; apakah pelabur ini rugi; atau wang yang dikatakan rugi berbillion ini ada ceritera di sebaliknya.

Kes saman bekas CEO dijangka dedah pelbagai kesalahan Sime Darby dan Kerajaan

Monday, 14 March 2011

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kes saman RM338 juta Sime Darby Bhd terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dan empat yang lain dijangka akan mendedahkan segala ‘daki’ memandangkan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga akan dipanggil memberi keterangan mengenai operasi konglomerat itu.

Difahamkan defendan juga akan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua bekas penyandang jawatan tersebut iaitu Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes yang difailkan Disember lalu.

Ketiga-tiga mereka juga sedang dan pernah mengetuai Kementerian Kewangan.

Saman berhubung kerugian RM2.1 bilion dialami Sime Darby telah menamakan Zubir dan empat yang lain.

Empat yang lain itu adalah Datuk Mohamad Shukri Baharom (bekas naib presiden eksekutif bahagian tenaga & utiliti kumpulan), Abdul Rahim Ismail (bekas ketua pegawai kewangan bahagian tenaga & utiliti kumpulan), Abdul Kadir Alias (bekas ketua unit perniagaan minyak & gas bahagian tenaga & utiliti) dan

Mohd Zaki Othman iaitu bekas pengurus besar kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd.

Tertuduh-tertuduh dijangka mempertahankan bahawa projek konglomerat itu di Bakun dan Qatar memang diketahui umum, malah disedari pemimpin-pemimpin kerajaan.

Sime Darby memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap mereka kerana didakwa melanggar peraturan pelaksanaan tugas.

Syarikat itu berkata saman itu bertujuan menebus kerugian yang dialami oleh Sime Darby Group dalam projek Qatar Petroleum, projek Maersk Oil Qatar (MOQ) dan projek yang berkaitan dengan pembinaan kapal-kapal bagi kegunaan dalam projek MOQ, dikenali sebagai ‘Marine Project’.

Ia menuntut daripada defendan, antara lain, pengembalian wang yang dibayar secara salah, ganti rugi bagi kerugian yang dialami, kehilangan keuntungan, kerosakan teruk dan kos.

Zaid Ibrahim & Co dikekalkan sebagai peguam cara Sime Darby dan Tommy Thomas sebagai peguam.

Sumber-sumber memberitahu, antara perkara yang akan didedahkan dalam perbicaraan itu kelak ialah pembabitan pemimpin-pemimpin kerajaan, Kabinet dan ahli-ahli politik kanan dalam soal pengendalian syarikat senaraian awam itu.

Ini termasuklah dana politik ketika pilihan raya dan pilihan raya-pilihan raya kecil.

Negara telah menyaksikan 16 pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum Mac 2008.

Lapan daripada dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) manakala baki oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR).

Wujud spekulasi Sime Darby juga bercadang untuk menyaman Zubir dan beberapa yang lain berhubung peningkatan kos dan pengendalian projek air bawah tanah besar-besaran di Perak serta pembelian tanah di Sarawak.

Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri bulan depan.

Sumber-sumber berkata seorang anggota kerabat diraja dan adik kepada pemimpin kanan kerajaan terlibat dalam projek air bawah tanah manakala seorang ahli perniagaan yang rapat dengan pemimpin berpengaruh di Sarawak dikaitkan dengan urusan pembelian tanah.

Difahamkan pegawai-pegawai penyiasat masih meneliti bukti sebelum menyerahkan fail kepada Peguam Negara.

Bekas CEO Sime Darby fail notis tuntut sumbangan 22 individu

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid memfailkan notis pihak ketiga bagi menuntut suatu sumbangan daripada 22 individu yang berkepentingan di syarikat itu, dalam kes saman RM338 juta berkaitan projek Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan projek marin serta kes saman RM92.2 juta berhubung projek Bakun.

Dalam notis itu, Ahmad Zubir berkata, jika plaintif dalam dua kes saman itu berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadapnya, beliau memohon suatu indemniti dan/atau suatu sumbangan daripada 22 individu itu.

Beliau berkata, ini kerana mereka anggota satu atau lebih lembaga pengarah di Sime Darby yang juga badan pembuat keputusan tertinggi dalam syarikat itu.

“Oleh itu, kamu mempunyai kewajipan untuk menggunakan kemahiran, kewaspadaan dan ketekunan yang sewajarnya dalam melaksanakan tugas kamu sebagai pengarah satu atau lebih daripada plaintif-plaintif di sini,” katanya dalam dua notis berasingan yang difailkan 8 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kumar Partnership.

Individu yang dinamakan Ahmad Zubir itu termasuk orang kenamaan bergelar Tan Sri dan Datuk.

Pada 23 Disember lalu, Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Energy Sdn Bhd, Sime Darby Marine Sdn Bhd dan Sime Darby Marine (Hong Kong) Sdn Bhd memfailkan saman menuntut pembayaran balik sekurang-kurangnya RM338 juta, ganti rugi am dan teruk, serta ganti rugi lain.

Isnin, 20 Februari 2012

Cara Mengenal Bulu Khinzir Yang Di Jadikan Berus...


( بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم)

Kebanyakkan berus yang murah dari China diperbuat dari bulu khinzir…hal ini kerana terdapat ciri-ciri khas pada bulu tersebut menyebabkan ia begitu popular dijadikan berus untuk mengecat, mewarna dan membersihkan rumah.

Ciri-ciri bulu khinzir:

1-Bulu yang rimbun dihujungnya (lebih tepat hujung bercabang)
2-Boleh diubahsuai dengan bahan kimia untuk menjadi lembut atau keras.
3-Susah tertanggal dan jatuh atau cepat rosak.
4-Senang didapati berbanding bulu haiwan lain.

Bulu khinzir atau khinzir hutan dipanggil “Bristle” kerana bentuk mereka yang keras dan kasar. Hujung bulu khinzir ini mempuyai sifat yang unik iaitu hujungnya akan bercabang (split ends). Bristle daripada wilayah Chungking China adalah yang terbaik untuk digunakan untuk mengecat.

Manakala berus bulu kambing atau biri-biri banyak digunakan untuk kaligrafi. Hujungnya tidak bercabang seperti bulu khinzir. Bulu kambing atau biri-biri ini mempunyai hujung yang tajam.

Maha suci Allah menjadikan bulu khinzir berbeza dengan haiwan yang lain. Mungkin ada hikmah disebaliknya - agar umat Islam dapat membezakannya. Namun masih ramai yang tidak mengetahuinya. Jadi, berhati-hatilah..Insyallah dengan izinnya,semoga kita semua sentiasa dilindungi.

Senarai Orang Terkaya di Malaysia 2012 (1-20)

Berdasarkan nilai pegangan mereka dalam syarikat-syarikat senaraian sehingga 20 Januari 2012
  1. Robert Kuok – Wilmar International (aset RM45.7 bilion)
  2. T Ananda Krishnan – Maxis & Astro (aset RM42.99 billion) -
  3. Tan Sri Teh Hong Piow – Public Bank – (aset RM12.64 billion)
  4. Tan Sri Lee Shin Cheng – IOI Corporation Bhd (aset RM11.36 billion)
  5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary – MMC Corporation Berhad (aset RM9.53 billion)
  6. Tan Sri Quek Leng Chan – Hong Leong Malaysia (aset RM8 billion)
  7. Tan Sri Lim Kok Thay – - Gengting Group (aset RM7.58 billion)
  8. Puan Sri Lee Kim Hua – balu kepada Pengasas Genting (aset RM6.58 billion)
  9. Tan Sri Tiong Hiew – Rimbunan Hijau Group (aset RM6.41 billion)
  10. Ong Beng Seng – Grand Prix Formula One Singapore (aset RM4.92 billion)
  11. Tan Sri Azman Hashim - Arab-Malaysian Corp (aset RM3.470 billion)
  12. Tan Sri Vincent Tan - Berjaya Group (aset RM2.541 billion)
  13. Datuk Mokhzani Mahathir - Kencana Petroleum (aset RM1.937)
  14. Datuk Lee Yeow Chor - IOI Group (aset RM1.787 billion)
  15. Tan Sri Tony Fernandes – Air Asia (aset RM1.772 billion)
  16. Lee Yeow Seng – IOI Group (aset RM1.746 billion)
  17. Tan Sri Lau Cho Kun - Hap Seng Consolidated (aset RM1.721 billion)
  18. Tan Sri Yeoh Tiong Lay – YTL Group (aset RM1.711 billion)
  19. Tan Sri Lee Oi Hian - Batu Kawan (aset RM1.589 billion)
  20. Datuk Lee Hau Hian - Batu Kawan (aset RM1.58 billion)
Senarai orang terkaya di atas ini adalah yang tersurat, tetapi yang tersirat?

Ramai billioanaire senyap sebenarnya di Malaysia. Mungkin kalau ada dimasukkan sekali kekayaan ahli politik di Malaysia mungkin kita boleh melihat kelibat di puncak senaraian rang terkaya di Malaysia:

Formula Gaji Baru 2012 : Adakah Berita Gembira Atau Sebaliknya? Nantikan 22 Februari Ini!!

Seperti kami perkatakan sebelum mesyuarat yang melibatkan para petugas bagi semakan semula formula gaji baru SBPA 2012 ini akan diadakan pada hari Rabu ini 22 Februari 2012. Katanya mungkin akan ada khabar gembira untuk kakitangan awam, mungkin juga….

Mungkin juga sebaliknya. Semuanya bakal diketahui hari Rabu ini berdasarkan tuntutan penambaikan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Antara Lain Cadangan Cuepacs : Penambaikan Formula Gaji Baru SBPA 2012

Dan terbaru berdasarkan laporan Bernama perkembangan terbaru mengenai Cuepacs antaranya ialah :

Cuepacs mengharapkan supaya kumpulan pekerja lama dalam kumpulan pelaksana Gred-17 skim Saraan BaruPerkhidmatan Awam (SBPA) dengan dinaikkan ke gred yang lebih tinggi

Mengiktiraf apa-apa sijil kemahiran dan teknikal untuk tujuan kenaikan pangkat sehingga ke Gred-21

Mengambil kira kedudukan mereka yang berkhidmat lama sebagai kakitangan awam
Realitinya sekarang ini, kerajaan hanya beri satu kenaikan saja kepada mereka yang berkhidmat (dengan kerajaan) hingga 30 tahun atau 35 tahun, iaitu sama dengan orang baru yang dinaikkan pangkat ataupun baru saja berkhidmat 4 atau 5 tahun

Cuepacs mengadu yang kakitangan awam rata-ratanya hanya menerima sehingga 4 % sahaja berbanding pengumuman Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2012 yang mengatakan kakitangan awam akan menerima kenaikan gaji antara 7% hingga 13%.

Lapisan gred kumpulan pelaksana untuk kenaikan pangkat ditambah kerana jumlah yang ada sekarang terlalu kecil

Pastinya kalau ditanya kepada kalangan kakitangan awam, mereka pastinya mengharapkan berita gembira daripada penambaikan formula gaji baru SBPA 2012 kali ini. Sama-sama nantikan apakah bentuk perkhabaran yang bakal diumumkan 2 hari lagi.