Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 20 Februari 2015

Menteri: RTM sedia siar debat kes Anwar

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  
Ahmad Shabery berkata amat malang jika ada pihak yang terus mendakwa bahawa keputusan tersebut merupakan konspirasi politik Umno bersama dengan pihak kerajaan yang mahu menganiaya Anwar.
  
"Ia merupakan satu tuduhan yang tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan cek sumbangan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) bagi membantu mangsa banjir di Putrajaya hari ini.
  
Justeru, katanya, beliau bersedia menganjurkan sebarang forum, dialog atau debat bagi rakyat berpeluang melihat hujah sebenar mengenai kes itu melalui saluran televisyen nasional atau mana-mana platform lain.

"Saya sebenarnya tidak mahu masuk campur dalam hal ini tetapi bila ada pihak yang terus mencemarkan nama negara dan sistem keadilan dan mempersoal hakim kita hingga sanggup ke luar negara untuk mempengaruhi negara lain bagi mencemuh negara kita, ia boleh dianggap sebagai mengkhianati negara," katanya. 

Jelasnya platform debat tersebut juga diadakan bagi memberikan ruang yang lebih seimbang bagi semua pihak memberikan pendapat yang dapat ditonton oleh semua rakyat.  

"Sekurang-kurangnya kita dapat bagi pendapat yang lebih seimbang kerana lebih daripada enam tahun terutamanya daripada parti kerajaan berdiam diri kerana kita kata isu ini adalah antara Anwar dengan pembantu khas yang dia sendiri pilih," kata Ahmad Shabery.
  
Namun, katanya, penganjuran debat itu terserah kepada pihak mahkamah sama ada ia dibenarkan untuk diadakan.
  
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Februai lalu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

- Bernama

'3 kali disekat mahu jumpa menteri'

Anggota keluarga penumpang MH370 daripada China hari ini disekat tiga kali daripada bertemu dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Kira-kira 20 orang rombongan itu muncul di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina, sekali gus menemui Liow, yang juga presiden parti itu.

Salah seorang daripada mereka, Jiang Hui, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tiba di tempat itu kira-kira jam 10 pagi tetapi dihalang oleh petugas keselamatan dan polis.

“Ia (sekatan) berlaku di bangunan sebelah ibu pejabat MCA,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak faham penjelasan polis itu kerana anggota pihak berkuasa itu menggunakan bahasa Melayu.

Mereka memakai baju merah yang menyatakan harapan supaya penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu selamat pulang.

'Disepak macam bola'

Selepas itu, terdapat anggota MCA datang untuk membawa mereka masuk ke bangunan parti itu, tetapi tersekat di pintu masuk apabila kira-kira 30 orang anggota pasukan RELA dan polis membentuk benteng manusia, menurut rakaman video.

Sambutan Tahun Kambing itu dihadiri pegawai tinggi kerajaan, pemimpin terkenal Cina dan pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kawalan keselamatan ketat dibuat di dalam dan luar bangunan.

Selepas Najib keluar, anggota keluarga berjaya masuk ke dalam bangunan, menurut seorang anggota keluarga dikenali sebagai Kelly.

Kumpulan itu mahu mengadu rasa tidak puas hati kepada Liow (atas) berhubung layanan diterima mereka.

“Jangan biarkan DCA (Jabatan Penerbangan Awam), MAS dan menteri luar sepak kami macam bola dan tiada sebarang jawapan,” kata Jiang Hui.

Wan Ji gesa JAIS bukti kuliahnya 'ajaran sesat'

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuktikan sejauhmana kuliahnya di surau dan masjid di negeri itu dianggap sebagai menyebar ajaran sesat.

Dalam tulisannya di Facebook hari ini, beliau menyuarakan harapannya supaya pihak berkuasa agama itu memberi penjelasaan bagaimana Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan ajaran sesat memberi kesan pada pengajarannya.

Beliau turut menjelaskan terdapat selebriti yang bertaubat memberi ceramah di masjid dan surau di negeri itu, tetapi tidak dianggap bersalah kerana mereka bukan penyebar ajaran sesat.

"Jadi saya perlukan bukti sejauh mana selama saya mengajar ini, dikira sebagai ajaran sesat, sedangkan semasa kuliah tadi, kitab yang saya bawa adalah Fathul Bari, syarah kepada Sahih al-Bukhari," tulisnya dalam Facebook.

Fathul Bari adalah antara kitab yang memberi komentar dan tafsir kepada koleksi hadis Nabi Muhammad SAW yang dikumpul oleh sarjana hadis terkenal Imam Al-Bukhari.

Malam tadi, JAIS dilapor menahan Wan Ji selepas beliau memberi kuliah tanpa tauliah di sebuah surau di Seksyen 17 Shah Alam.

Selepas memberi kuliah, beliau dibawa untuk diambil keterangan selama sejam sebelum dibebaskan sekitar jam 10.30 malam.

Dalam tulisannya juga, Wan Ji diminta hadir ke pejabat JAIS pada Isnin ini (23 Februari) untuk tujuan siasatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Wan Ji berkata beliau akan hadir di pejabat JAIS jam 9 pagi Isnin ini.

"Saya telah memberitahu peguam saya mengenai perkata ini, tetapi saya rasa saya akan pergi ke sana seorang diri," kata sambil menambah seramai lima pegawai JAIS membawanya untuk disoal siasat malam tadi

Beliau turut mengesahkan penahanan beliau semalam adalah buat kali pertama didakwa mengajar tanpa tauliah dan tidak pasti sama ada ada pihak tertentu membuat aduan kepada JAIS sehingga menyebabkan beliau ditahan.

Wan Ji juga berkata beliau akan meneruskan kuliahnya yang dijadualkan di masjid sekitar Selangor.

Najib usahlah gelisah, kata Mahfuz

Datuk Seri Najib Tun Razak usahlah gelisah kerana hanya yang makan cili sahaja yang terasa pedasnya, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai mengulas kenyataan Najib semalam yang menganggap sebagai ‘mengarut’ kenyataan Sirul Azhar Omar yang mendakwa dia bertindak atas arahan.


Mahfuz (kiri) berkata, Sirul tidak menamakan mana-mana individu yang memberinya arahan berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Oleh itu, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Sena berkata, kenyataan Najib itu sungguh menghairankan.

“Kenapa mengarut? Siapa yang mengarut? Sirul yang mengarut atau PM yang mengarut.

“Sungguh menghairankan kerana Sirul tidaklah menyebut mahupun mengaitkan PM dengan dakwaan dia “hanya menjalankan arahan” dalam kes pembunuhan Altantuya, jadi mengapa pula PM memberi respon sedemikian rupa,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tak perlu bawa Sirul pulang

Menurut Mahfuz lagi, siasatan berhubung kes itu tidak perlu membawa Sirul pulang ke Malaysia kerana sebelum ini bekas tahanan ISA, Yazid Sufaat disoal siasat oleh badan perisikan FBI kerana didakwa menganggotai Al-Qaeda.

“Siasatan boleh dibuat di Australia sepertimana Malaysia pernah beri peluang kepada FBI untuk buat siasatan di Malaysia, Yazid Sufaat sewaktu ditahan ISA," katanya.

MP Pokok Sena itu berkata tidak adil jika Sirul dibawa pulang ke Malaysia untuk siasatan sedangkan beliau telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan sekiranya dibawa pulang kes ini akan ditutup.

Sebaliknya, kata Mahfuz, sewajarnya pihak polis dihantar ke Australia untuk membuat siasatan.

Sementara itu, Mahfuz berkata dokumen dan pasport ibu dan adik perempuan Sirul telah disiapkan cuma masih menunggu kelulusan visa daripada kedutaan Australia.

Beliau berkata pihaknya akan pergi ke negara itu seramai lima orang selama seminggu dan tarikh perjalanan akan dimaklumkan kelak.

Sirul: Saya tak pernah mengaku bunuh Altantuya

Bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar berkata beliau tidak pernah mengaku membunuh  Altantuya Shaariibuu, walaupun Mahkamah Persekutuan mensabitkannya bersalah.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, dia mengulangi kenyataan bahawa dia bertindak atas arahan dan menjadi kambing hitam dalam kes itu.

“Sampai hari ini tiada saksi terhadap kematian itu.

“Semua ini hanya berdasarkan keterangan mengikut keadaan yang dikaitkan dengan saya (terhadap pembunuhan itu)

“Saya faham bahawa keterangan mengikut keadaan tidak sekuat keterangan langsung,” kata Sirul (kanan), 43, bapa kepada dua orang anak itu.

Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan mensabit dan menjatuhi hukuman mati pada Sirul dan seorang lagi bekas komando polis Azilah Hadri ekoran kes pembunuhan pada 2006 itu.

Mereka berdua dikatakan menembak mati dan meletupkan seorang warganegara Mongolia di dalam hutan.

Bagaimanapun, mahkamah dan pihak pendakwaan tidak menentukan motif di sebalik tindakan itu.

Ia mencetuskan spekulasi apabila Razak Baginda, penganalisis politik dan rakan rapat perdana menteri, dikaitkan dengan perkara itu.

Razak dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Datuk Seri Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri, menafikan mempunyai sebarang kaitan dalam kes itu dan bersumpah dengan nama Allah.

Polis juga membersihkan namanya.

Najib (atas) pagi ini diminta oleh pemberita mengulas dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan dan pihak yang mempunyai motif masih bebas.

Najib hanya menjawab perkara itu “mengarut”.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Sirul tidak berpuas hati dengan prosiding undang-undang, termasuk kegagalan memanggil pegawai atasannya DSP Musa Safri.

Musa bekas pembantu Najib.

Kenapa polis dedah muka?

Sementara itu, bekas komando polis itu juga kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan gambarnya.

 ”Kenapa dedah gambar saya tanpa kebenaran? Sejak awal pendengaran hingga rayuan di Mahkamah Persekutuan, saya berjaya tutup muka.

 ”Apa tujuannya (dedah gambar saya),” soalnya.

Sirul tidak hadir ketika keputusan diumumkan kerana berada di Australia.

Dia kini ditahan oleh imigresen negara kanggaru itu di Sydney.

Undang-undang Australia tidak membenarkan pihak berdepan hukuman mati dieksradisi ke negara hukuman dijatuhkan.

Sirul sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan segala-galanya berhubung kes itu.

Najib: Dakwaan Sirul 'mengarut'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar bahawa dia bertindak atas arahan sebagai “mengarut”.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bersama isterinya Rosmah Mansor.

Najib pada mulanya memberikan ucapan Tahun Baru Cina dengan berkata beliau yakin rakyat Malaysia mampu menjadikan 2015 sebagai tahun yang baik walaupun berdepan cabaran ekonomi.

Sejurus selepas itu, pemberita mengajukan soalan tentang dakwaan Sirul, termasuk yang menyebut bahwa “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Menunjukkan tidak setuju dengan dakwaan itu, Najib menggelengkan kepalanya berkali-kali dan mula beredar.

Diasak pemberita, Najib kemudiannya menjawab “mengarut” sambil tersenyum dan kemudian berlalu pergi.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, Sirul mendakwa dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya Shaariibuu masih bebas.

Sirul: Selepas Altantuya, inikah balasannya?

 
EKSKLUSIF Bekas anggota pasukan elit polis Sirul Azhar Umar kini sugul kerana dijatuhkan hukuman mati, hanya kerana mengikut arahan.

"Jika saya mati hari ini, saya tidak akan aman kerana saya cuma buat apa yang diarah dan ini balasannya yang saya dapat," katanya kepada Malaysiakini dalam satu perbualan telefon dari Australia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bahawa kenyatana itu adalah pengakuan bersalah.

Sirul, yang disabitkan bersalah bersama seorang lagi komando polis Azilah Hadri, juga tidak berpuas hati dengan perjalanan kesannya.

Dia merasakan DSP Musa Safri, orang atasannya dan bekas pembantu (ADC) Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika menjadi timbalan perdana menteri, patut dipanggil menjadi saksi pihak pendakwaan.

'Hujah peguam saya kuat'

Mahkamah Rayuan pada 2013 membebaskan Azilah dan Sirul akibat salah arah serius Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Zaki Yasin, termasuk tidak memanggil Musa.

Bagaimanapun, kata Sirul, Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan rayuan pendakwaan, mengabaikan perkara itu.

"Mahkamah juga mengabaikan bukti DNA daripada kesan darah pada kasut yang diletakkan di dalam kereta saya dan sampel DNA saya sendiri.

"Mahkamah abaikan perkara ini walaupun terdapat penghujahan kuat oleh peguam saya," katanya.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Peguam Cara Negara I Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah bahawa Musa bukan saksi penting dalam perbicaraan itu dan tiada keperluan memanggilnya.

Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, pula berhujah bahawa tindakan itu telah bertukar perbicaraan silap.

Gerak hati kalah kes

Berhubung DNA, ahli kimia memberi keterangan bahawa terdapat kemungkinan DNA daripada kesan darah itu milik Altantuya, walaupun terdapat keraguan padanya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Sirul sekali lagi menegaskan bahawa beliau menjadi “kambing hitam” dalam kes itu.

Beliau juga mengaku tertekan dengan dakwaan penganalisis politik Abdul Razak Baginda (kiri) bahawa “polis jahat” bertanggungjawab membunuh Altantuya pada 2006.

Razak Baginda, rakan rapat Najib, didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Sementara itu, menceritakan keadaannya dalam tahanan pihak imigresen Australia di Sydney, Sirul berkata semuanya baik dan dia ditempatkan seorang diri dalam bilik yang mempunyai empat katil.

Ditanya kenapa beliau berlepas ke Australia sebelum keputusan mahkamah, dia berkata berdasarkan gerak hatinya, kes itu tidak akan menyebelahinya.




Buru mereka, gesa peguam Shaariibuu

Polis patut membuka semula siasatan ke atas pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu berikutan pendedahan terkini oleh Sirul Azhar Umar yang disabit membunuh wanita Mongolia itu, kata peguam Ramkarpal Singh.

Ramkarpal, yang juga peguam keluarga Altantuya, berkata adalah menjadi tugas polis untuk membuka semula siasatan ekoran pendedahan Sirul itu.

Siasatan baru perlu memberi fokus kepada siapa yang mengarahkan dua anggota polis itu membunuh Altantuya, katanya, memandangkan pendedahan Sirul bahawa dia diarah dan orang dengan motif untuk membunuh, masih bebas.

"Ini bukanlah pendedahan biasa yang boleh diabaikan. Rakyat ada hak untuk tahu siapa yang mengarahkan pembunuhan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Sirul dan Azilah Hadri telah dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Altantuya tetapi motif pembunuhan itu tidak dinyatakan.

Sabitan Anwar kerana kebijaksanaan Shafee?

 

Ekoran kejayaannya baru-baru ini dalam mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim – dan mensabitkan ketua umum PKR itu – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mendapat perhatian yang lebih daripada biasa.

Dengan mengendalikan kes berprofil tinggi seperti itu, kehebatan pendakwaan peguam kanan itu telah banyak menjadi subjek perdebatan.

Selepas mengambil alih tugas sebagai pendakwa utama, Shafee berjaya di Mahkamah Rayuan untuk menebalikkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar, dan berhujah kes itu di mahkamah tertinggi, yang mengekalkan sabitan tuduhan liwat terhadap Anwar dan hukuman lima tahun penjara.

Adakah peguam yang menjadi perhatian ini, juga seorang pendakwa yang cemerlang?

Ditanya sama ada terdapat apa-apa yang baru atau tambahan dalam hujah Shafee ini – yang berjaya mensabitkan Anwar – sumber-sumber yang biasa dengan kes itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memberitahu Malaysiakini bahawa tiada apa yang luar biasa.

Shafee, kata satu sumber, mengemukakan hujah-hujahnya atas kekuatan penghujahan oleh bekas Peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan dari Pejabat Peguam Negara (AGC), sebelum beliau bersara.

"Ini ekoran semua kerja keras yang telah dilakukan oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Yusof dalam mengutarakan bukti di mahkamah dan juga penghujahan yang dibuat.

"Satu-satunya tambahan ialah satu kes perundangan di Australia, di mana sampel DNA yang berusia 13 tahun telah digunakan untuk mensabitkan seorang pembunuh.

"Selain daripada itu, tiada apa yang baru dalam penghujahan," kata sumber itu yang tidak mahu namanya disebut.

Shafee, dalam hujahnya, memberi contoh kes di Australia itu, di mana polis menemui tuala milik mangsa pembunuhan dan apabila pemeriksaan dilakukan, telah menemui kesan air mani, yang dihantar untuk analisis bagi mengetahui pelakunya.

"DNA ditemui pada tuala di mana kesan air mani dijumpai. Bacaannya dianggap hampir sama dan tertuduh disabitkan dengan pembunuhan itu, selepas 13 tahun," Shafee telah dikemukakan.

Shafee, dalam hujahnya menegaskan bahawa dalam hal ini, sampel DNA telah berjaya diambil dari Saiful 56 jam selepas kejadian itu.

"Dalam kes saya, bacaan itu adalah sempurna," kata peguam kanan itu dalam membandingkan sampel DNA yang diambil dari dubur Saiful dan sampel yang diperolehi dari botol air mineral, berus gigi dan tuala yang diambil dari lokap Anwar selepas beliau ditangkap pada 16 Julai 2008.

Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari dengan keputusan sebulat suara oleh panel lima hakim.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria juga menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara.

'Saya tidak cabut sewaktu Anwar kecam hakim'

 
Barisan hakim kes liwat "tidak cabut" sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam mereka tetapi hanya menangguhkan prosiding rayuan, jelas ketua hakim negara.

Tun Arifin Zakaria menambah, beliau tidak mendengar kecaman Anwar sewaktu berkata mereka "menyembah tuan politik" selepas menghukum  tokoh pembangkang itu bersalah.

"Saya bukan cabut (melarikan diri)," katanya di Putrajaya selepas majlis kenaikan pangkat empat orang hakim hari ini.

Tambahnya, beliau menangguhkan prosiding untuk menenangkan keadaan.

Walaupun tidak mendengar kritikan keras tersebut, Arifin berkata beliau tidak tersinggung dengan kecaman tokoh PKR itu.

Sementara itu laporan Bernama menyebut, Ariffin turut ditanya sekiranya beliau ditanya sama ada beliau ada berasa hati dengan Anwar, Arifin menjawab beliau tidak menyimpan "perasaan" terhadap sesiapa dan beliau menjalankan tugasnya dengan penuh ikhlas.

Tentang sama ada akan diambil prosiding komital terhadap Anwar berikutan kenyataannya mengenai badan kehakiman semasa mitigasi pada 10 Feb, Arifin berkata tidak ada komen, dan menegaskan itu hal lain dan beliau tidak tahu.

Pada 10 Feb, Arifin dan empat hakim lain yang membicarakan rayuan Anwar terhadap sabitan sodominya beredar meninggalkan bilik Mahkamah Persekutuan bila pemimpin pembangkang itu menyelar mereka dari kandang tertuduh, menuduh mereka bersekongkol dengan tuan politik mereka.

Beberapa minit kemudian, hakim-hakim itu masuk semula ke bilik mahkamah dan menyampaikan keputusan mereka terhadap rayuan Anwar mengenai hukumannya, mengekalkan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Awal hari itu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar terhadap sabitannya.

Dalam ucapannya di majlis mengangkat sumpah jawatan hari ini untuk empat hakim yang masing-masing dinaikkan kedudukan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Arifin memberi amaran bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman.

Beliau berkata badan kehakiman terbuka kepada kritikan tetapi tidak akan membiarkan tuduhan tidak berasas di media sosial dan forum awam.

"Saya tegaskan bahawa mahkamah memandang serius sebarang tingkah laku yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya," kata beliau.

Arifin berkata kritikan tidak berasas terhadap mahkamah akan melemahkan perjalanan kehakiman dan menghakis keyakinan awam terhadap institusi itu.

Beliau berkata serentak dengan penyebaran teknologi komunikasi, terdapat ramai dalam masyarakat yang tidak segan silu dan tidak rasa bersalah melemparkan sindiran tentang segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

“Seolah-olah menganggap tindakan mereka dapat diterima bila mereka membuat kenyataan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube yang mempunyai pengikut yang semakin bertambah – sekalipun kritikan seumpama itu tidak ada justifikasinya, dan boleh dipersoalkan.

Arifin mengingatkan hakim agar sentiasa menegak dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan membuat keputusan yang adil berasaskan prinsip undang-undang yang sah.

Beliau berkata kebebasan badan kehakiman adalah perkara paling utama dalam pentadbiran negara dan Perdana Menteri dikehendaki menjamin kebebasan institusi itu di bawah Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009.

Arifin juga mengingatkan pihak-pihak lain khususnya peguam agar tidak bertindak menentang undang-undang bila menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah.

Beliau berkata tanggungjawab integriti kehakiman tidak terletak pada bahu Perdana Menteri dan para hakim semata-mata, tetapi perlu dipertahankan oleh pihak awam.

"Dengan penuh kesedaran, saya mesti nyatakan, perkara mengenai perjalanan kehakiman di negara ini perlu diserahkan sepenuhnya kepada badan kehakiman tanpa gangguan.

"Badan kehakiman mestilah dilihat sebagai institusi yang bertugas memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan dalam menegakkan prinsip pemisahan kuasa yang demokratik.

"Badan kehakiman mestilah juga dilihat sebagai pemelihara Perlembagaan dan pelindung hak rakyat," kata Arifin.

Terdahulu, hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaharah Ibrahim, 62, mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, sementara hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani A. Rahim, 64, dinaikkan pangkat hakim Mahkamah Rayuan.

Dua Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera, 53; dan Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun, 63, disahkan sebagai hakim-hakim Mahkamah Tinggi.

Pelantikan mereka berkuat kuasa mulai hari ini.   

Sabtu, 3 Januari 2015

Najib pulang, jet masih keliling dunia

 
Genap dua minggu, jet VIP milik kerajaan dengan nombor pendaftaran 9M-NAA membuat perjalanan mengelilingi dunia dan mendarat di Bangkok petang ini namun teka-teki mengenai lokasi isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor masih belum terjawab.

Sehingga kini masih belum jelas, siapakah yang menggunakan pesawat tersebut memandangkan suaminya, Datuk Seri Najib Razak sudahpun pulang ke tanah air sejak Sabtu lalu.

Menurut laman penjejak penerbangan Flightradar24, pesawat jet Airbus 319 jet itu berlepas dari pengkalan udara Subang pada 20 Disember dan berlepas ke Honolulu, Hawaii selepas persinggahan singkat di Osaka, Jepun.

Najib dilaporkan bermain gol dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Hawaii, namun kemudiannya bergegas pulang apabila mendapat kritikan meluas kerana tiada dalam negara ketika situasi banjir meruncing.

Perdana menteri turut memberitahu media bahawa keluarganya berasa sedih kerana beliau terpaksa memendekkan percutiannya.

Najib tiba di Kota Bharu pada petang 27 Disember dengan satu pesawat lain.

Beliau dipercayai dijemput dengan menggunakan pesawat kerajaan di Hong Kong, namun tidak dapat dipastikan bagaimana beliau tiba ke destinasi tersebut dari Honolulu.

Rekod Flightradar24 menunjukkan bahawa pesawat eksekutif Boeing 737 tiba di Kota Bharu pada masa yang sama dengan ketibaan Najib, seperti dilaporkan.

Pada masa tersebut, jet asal yang digunakannya sudahpun berada di Indianapolis, Amerika Syarikat, selepas persinggahan singkat di Los Angeles.

Pesawat itu berada di Indianapolis selama enam hari sehingga 31 Disember, dan kemudiannya berlepas ke Long Angeles, dan seterusnya ke New York, London, Dubai dan destinasi terakhir di Bangkok – dengan perhentian singkat sehingga beberapa jam di setiap lapangan terbang sehingga ia tiba di Bangkok.

Pesawat tersebut mendarat di Don Mueang International Airport, Bangkok pada jam 2.11 petang ini selepas perjalanan semalam 41,900 kilometer dan masih berada di destinasi tersebut ketika berita ini ditulis.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk mendapatkan penjelasan mengenai perjalanan pesawat tersebut namun sehingga kini masih belum menerima jawapan.


Pesawat 9M-NAA merupakan antara beberapa jet orang kenamaan yang dikendalikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia.

Dalam kenyataan tahun lalu, PMO menyatakan bahawa jet itu masing-masing melibatkan sebuah pesawat Boeing Business Jet, Global Express, a Falcon 900, dan terbaru sebuah pesawat Airbus.

Menurut kenyataan tersebut, pesawat berkenaan bukan untuk kegunaan eksklusif Najib tetapi juga untuk Yang di-Pertuan Agong, Yang Dipertua negeri, anggota kabinet, tetamu kerajaan dan pegawai tinggi serta orang kenamaan.

Menurut PMO, ia bagi membolehkan individu tersebut membuat perjalanan dengan selamat dan membantu melicinkan tugas mereka.