Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff,
berkata, pertembungan pendapat berlaku antara kepimpinan Pas dan dua
bekas pemimpin parti itu, bukan perkara baru malah pernah berlaku dan
menjadi tumpuan sebelum ini.
“Pendapat Hasan dan Nasha tidak akan memberi kesan kepada sokongan
terhadap parti kerana orang-orang Pas ‘gila’ parti. Mereka tidak kisah
pertembungan pendapat itu sebab ia tidak meninggalkan kesan kepada
mereka, yang dijaga ialah parti.
“Hasan dan Nasha memiliki fahaman politik tersendiri, mereka bukan
politikus yang tidak berpengetahuan. Menjadi alat Umno atau tidak adalah
pendirian politik semasa mereka,” katanya ketika diminta mengulas
mengenai pergolakan dalam parti itu, semalam.
Bagaimanapun, Agus menyatakan, konsep Negara Berkebajikan yang
menimbulkan pertikaian dalam Pas, wajar dipraktikkan memandangkan ia
adalah konsep praktikal untuk dilaksanakan bagi mengelak berlakunya
pertembungan dengan parti komponen Pas (DAP).
“Konsep Negara Berkebajikan lebih relevan dengan senario politik semasa
berbanding perjuangan asal Pas iaitu membentuk kerajaan Islam. Konsep
baru itu lebih sesuai kepada rakyat lebih-lebih lagi untuk berhadapan
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Penyelesaian terhadap isu semasa juga perlu menggunakan kaedah semasa dan selari dengan tuntutan rakyat,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Mohd Mustamam Abd Karim
berkata, pergolakan dalaman parti itu, menggambarkan pembentukan energi
baru, bagi menghasilkan keputusan yang mampu mengukuhkan lagi perjalanan
parti.
“Itu sepatutnya berlaku dalam pas. Segala percanggahan pendapat
bergantung kepada kebijaksanaan ketua mereka, iaitu Mursyidul Am Pas,
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang.
“Pergolakan dalam Pas menunjukkan parti itu sedang bergerak dan akan
seimbang, setelah mendapat keputusan tetap. Mereka akan terus berfikir
bagi mencari penyelesaian serta membentuk titik keseimbangan dalam
parti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan