Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Nafsu membuak-buak mendorong seorang pemilik kedai yang juga pembuat roti canai memperkosa pekerjanya sendiri menggunakan secawan kopi yang dicampur ubat khayal.
Perbuatan suspek yang berusia 48 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas mangsa yang diperkosa sejak tiga bulan lalu hamil dua bulan.
Sumber polis berkata, mangsa yang berusia 16 tahun diperkosa majikannya beberapa kali, namun takut mendedahkan kejadian kerana bimbang dan malu.
Menurutnya, siasatan polis sebelum ini mendapati mangsa bekerja sebagai pembantu di kedai roti canai milik suspek yang terletak di Sabak Bernam, Selangor.
“Mangsa dirogol pada 26 Julai lalu di satu bilik di belakang kedai majikannya itu ketika dia hendak menukar pakaian.
“Ketika itu, suspek sengaja pergi ke bilik berkenaan membawa secawan kopi kesihatan kononnya sebagai tanda simpati kerana melihat mangsa kurang bermaya dan keletihan,” katanya.
Menurutnya, selepas meneguk air kopi itu, mangsa berasa pening dan pengsan dalam bilik berkenaan.
“Kesempatan itu digunakan suspek untuk merogol mangsa.
“Kejadian hitam itu disedari mangsa sebaik tersedar beberapa jam kemudian. Mangsa terkejut apabila mendapati pakaian dalamnya terlucut manakala kemaluannya sakit,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang mengesyaki dirinya diperkosa kemudian menyoal suspek berhubung kejadian itu, namun suspek mengugut mangsa supaya tidak menceritakan kepada sesiapa.
“Lebih malang apabila kejadian rogol itu berulang beberapa kali apabila mangsa terus menjadi mangsa nafsu buas majikannya dalam bilik di kedai berkenaan.
“Difahamkan mangsa yang diperkosa sehingga September lalu bimbang untuk menceritakan kisah dialami kepada keluarga selepas turut diugut akan dipukul oleh suspek,” katanya.
Katanya, mangsa yang merasai perubahan pada dirinya memaklumkan masalah kepada ibu saudaranya.
“Berikutan itu, mangsa dibawa ibu saudaranya menjalani rawatan di hospital. Namun semuanya terbongkar selepas doktor yang menjalani pemeriksaan terhadap mangsa mengesahkan mangsa mengandung dua bulan.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam,” katanya.
Harian Metro
Rabu, 25 November 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan