Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 25 November 2009

Motor hilang setiap hari (Ceritera)

Oleh Amirul Haswendy Ashari
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Hampir setiap hari ada saja kes kehilangan motosikal, kereta dicalar dan pergaduhan dilaporkan dan ia membimbangkan kami,” kata beberapa penduduk di Projek Penempatan Rakyat (PPR) Seri Pantai yang ditemui, baru-baru ini.

Berikutan itu, kebanyakan mereka mahukan pengurusan persatuan penduduk dan Rukun Tetangga (RT) yang ditubuhkan di kawasan itu memainkan peranan bagi membantu meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu.

Pengawal Keselamatan, Kasim Rauf, 46, berkata masalah yang dihadapi PPR Seri Pantai mungkin berpunca daripada pengurusan persatuan penduduk dan RT yang kurang berkesan.

Katanya lagi, RT tidak boleh mengharapkan rondaan pihak polis semata-mata kerana Jabatan Perpaduan Negara memperuntukkan RM14,000 untuk RT menjalankan aktiviti berkaitan seperti pemantauan keselamatan dan gotong-royong, tetapi jika pertubuhan itu tidak bergerak peruntukan itu tidak dapat disalurkan.

“Penduduk mahu mereka yang berkenaan menerajui persatuan dan RT memainkan peranan lebih berkesan supaya penduduk dapat bersama memainkan peranan mengawasi keselamatan kawasan ini,” katanya.

Peniaga, Herlinawati Abdullah Ahmad, 40, berpendapat semua ini bermula daripada tanggungjawab dan kesedaran penduduk sendiri.

Dia yang menetap di kawasan itu sejak tujuh tahun lalu juga bersetuju apabila ditanya mengenai fungsi RT yang dilihat kurang berkesan.

“Pengerusi sepatutnya turun padang melihat sendiri dan merancang aktiviti yang boleh menjamin keselamatan penduduk” katanya.

Suri rumah, Norliza Abdullah, 33, pula berkata kes jenayah yang timbul sedikit sebanyak merisaukan penduduk terutama mereka yang berkeluarga.

Norliza juga menyarankan penduduk PPR patut mengambil sikap menjaga tepi kain dan tahu masalah yang dihadapi jiran tetangga.

“Kita ni hidup berjiran, kalau bukan kita yang nak mengambil tahu siapa lagi?”

“Kita tidak boleh mengharapkan pihak berkuasa saja menjalankan tugas, kita juga perlu main peranan sebagai sebahagian daripada kelompok masyarakat” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga PPR Seri Pantai, Abdul Razak Ariffin, 39 yang turut ditemui mengakui masalah dalaman yang dihadapi RT di situ menjejaskan kehidupan seharian penduduk.

Menurutnya, rukun tetangga dan persatuan penduduk memainkan peranan penting dalam PPR di situ sama ada kesedaran kebersihan, kawalan jenayah dan masalah sosial yang lain

“Jika pengerusi yang dilantik tidak menjalankan tugas, seseorang harus memikul tugas ini demi kesejahteraan penduduk,” katanya.

Harian Metro

Tiada ulasan: