Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 13 November 2009

Hukuman sudah berat (Sukan)


Mohd. Nor Yaacob (kanan) turut menderma kepada tabung RM1, 1Kelantan yang dianjurkan oleh Kelab Penyokong Kelantan untuk meringankan beban membayar denda FAM di Wisma KAFA, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Hafiz Johari


KOTA BHARU - Jika Negeri Sembilan bakal menerima durian runtuh sebanyak RM200,000 ekoran menjuarai Piala Malaysia, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pula menghabiskan nilai yang sama sepanjang tahun ini hanya untuk membayar denda dan bukan untuk pembangunan sukan itu.

Lebih menarik, denda sebanyak RM200,000 sepanjang tahun ini itu terpaksa dilunaskan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya disebabkan kerenah liar penonton yang tidak berpuas hati, termasuk kemuncaknya Sabtu lalu ketika Kelantan menjadi Naib Juara Piala Malaysia 2009.

Apa pun, bagi KAFA, hukuman denda RM50,000 yang dikenakan terhadap mereka ekoran tindakan liar para penyokong pasukan itu dianggap sudah cukup berat.

Ketika banyak pihak mungkin berasakan ia begitu ringan dan tidak setimpal dengan apa yang dicetuskan, bagi KAFA yang memikul beban itu, tindakan lebih berat hanya membunuh masa depan bola sepak Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Noor Yaakob berkata, KAFA yang dalam proses membangunkan semula skuad negeri dan menyemarakkan sukan itu di Kelantan sentiasa berdepan dengan kekangan kewangan.

''Malangnya kita terpaksa membelanjakan RM200,000 sepanjang tahun ini bukan untuk pembangunan sukan ini tetapi sekadar denda yang terpaksa dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

''Kita akur dengan keputusan FAM semalam tetapi kita mungkin membuat rayuan. Bagi KAFA denda ini sudah cukup besar, bukan dari segi jumlah tetapi dari segi moral yang memberikan satu implikasi sangat berat terhadap imej KAFA, pengurusannya dan penyokong Kelantan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai denda sebanyak RM50,000 oleh FAM kelmarin setelah penyokong Kelantan bertindak liar dan ganas dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

Laporan Utusan Malaysia semalam menyebut bahawa hukuman itu sebagai ringan dan tidak setimpal berbanding nilai kerosakan stadium dianggarkan kira-kira RM138,150 dalam insiden yang disaksikan oleh jutaan peminat bola sepak seluruh negara.

Menurut Mohd. Noor, untuk berlaku lebih adil, adalah lebih wajar dikenal pasti siapa sebenarnya yang bertindak liar dalam kalangan penyokong Kelantan itu.

"Adakah mereka benar-benar penyokong Kelantan atau sekadar memakai baju merah dan mencari peluang untuk berseronok dengan bertindak ganas," ujarnya.

Beliau berpendapat lebih adil jika hukuman itu dikenakan jika insiden tercetus di gelanggang sendiri kerana persatuan di peringkat negeri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan dan perjalanan pertandingan serta keselamatan.

''Di Bukit Jalil, pengurusan perlawanan dan keselamatan 100 peratus di bawah kawalan FAM, tetapi mercun dan botol air masih dibawa masuk dan ini berkaitan dengan kawalan keselamatan.

"Tentunya ia bukan tanggungjawab kita, namun jika seluruh kutipan tiket perlawanan itu menjadi milik Kelantan, hukuman beratus ribu pun boleh dilunaskan melalui kutipan itu," ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan FAM didesak untuk bertindak tegas agar insiden seumpama itu tidak terus berlaku.

''Mungkin lebih besar denda, akan dilihat lebih membuktikan ketegasan FAM tetapi yang menjadi mangsa adalah persatuan-persatuan yang menjadi gabungannya," tambahnya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan: