MAKAN...Amirul ditemani ibunya, Che Yoon Abu Hasan dan ahli keluarganya, semalam. |
BOTA: Selepas dilaporkan hilang sejak empat hari lalu, seorang remaja yang mengalami masalah lembam ditemui dalam keadaan selamat di Kampung Teluk Bakong, dekat sini, tengah hari semalam.
Namun penemuan Amirul Ikhsan, 25, kira-kira jam 12.30 tengah hari, mencetus misteri baru apabila dia ditemui bekas pengasuhnya, Hamsiah Min dalam kebun durian miliknya, yang hanya kira-kira 50 meter dari rumah remaja terbabit.
“Saya pergi ke kebun itu setiap hari untuk memungut durian dan ketika memasuki kebun tengah hari tadi (semalam), saya terkejut melihat kelibat seseorang duduk di perdu pokok pisang sambil menggigil kesejukan.
“Pada mulanya saya takut tetapi sebaik menghampirinya, saya terkejut kerana dia kelihatan seperti Amir (nama panggilan Amirul). Saya bertanya beberapa kali sama ada dia Amir tetapi dia hanya tersenyum sambil tangan kanannya memegang tong plastik bekas minyak dan tangan kiri memegang baju,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Beliau yang yakin remaja itu Amir berlari ke rumah untuk memberitahu suaminya sebelum menghubungi keluarga Amir yang tiba beberapa minit kemudian sebelum dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk menerima rawatan.
Hamsiah yang pernah menjadi pengasuh Amirul selama setahun ketika Amirul berusia tujuh tahun, berkata dia hairan bagaimana Amirul boleh berada di kebun duriannya kerana dia pergi ke kebun berkenaan setiap hari namun tidak pernah terserempak dengannya.
Sementara itu, bapa Amirul, Sabree Ahmad, 52, berkata, beliau dan ahli keluarga serta polis, bomba, Rela dan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari hampir di seluruh kawasan kampungnya termasuk di kebun durian milik Hamsiah yang berhampiran rumahnya.
Amirul dilaporkan hilang selepas enggan mengikuti ahli keluarganya pergi ke Ipoh dan mahu tinggal di rumah bersendirian.
Dia dilaporkan hilang selepas ahli keluarganya mendapati dia tiada di rumah apabila mereka pulang pada petang hari sama.
Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan