Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Ahad, 21 Mei 2000

Penunggu ( cerita hantu )

Kisah ini terjadi lebih kurang 23 tahun yang lalu. Walaupun kisah ini telah lama berlalu tetapi tetap segar dalam ingatan aku. Semasa kejadian itu berlaku, aku masih bekerja di salah sebuah kilang di kampung aku, kilang ini didirikan di kawasan kebun, tetapi kawasan ni telah dimajukan untuk kawasan perkilangan. Dahulunya tanah ini adalah milik persendirian.

Pada suatu petang, lebih kurang pukul 5 seperti biasa pekerja-pekerja akan bergegas untuk pulang. Tapi pada hari tersebut agak kelam kabut kerana mengejarkan rancangan kegemaran dekat tv iaitu cerita jepun, aku pun dah lupa tajuk cerita tu. Memang cerita tu menjadi kegemaran ramai ketika itu. Dalam keadaan yang agak tergesa-gesa tu
adalah sorang minah ni terjatuh tah mana silapnya aku pun tak tau, terlanggar batu kot. Kepala minah tu terkena dekat pagar, kepalanya berdarah dan darahnya tu pulak boleh tahan jugak banyaknya mungkin kena tang urat kot aku pun tak pasti, habis merah lantai kat situ dengan kesan darahnya.

Pada keesokkan harinya pulak, kejadian menjerit-jerit ni berlaku lagi tapi pada orang lain pulak lepas sorang reda kena pada orang lain pulak. Macam pesta pulak, ada yang mengilai, ada yang menjerit, ada yang ketawa, seram pulak aku tengok perangai masing-masing nasib baik aku tak kena. Kejadian ni pulak berlarutan hampir setengah bulan, ramai yang berhenti kerja sebab takut. Kalau nak ke tandas pulak nak kena berteman, yelah takut terkunci dengan sendiri sebab pernah terjadi kat aku sebelum ni, nasib baik tak jumpa apa-apa, melaung-laung jugak la aku kat dalam tu mujur ada orang yang dengar.

Setelah diselidik rupanya ada sebab apa yang telah berlaku. Cerita ini diceritakan sendiri oleh pak guard kat tempat aku bekerja tu. Dia ada melihat satu lembaga putih terbang dari pokok saga di depan kilang dan terus menjilat pada kesan darah minah yang terlanggar pagar tu. Dan pak guard tu cerita, dulu tempat ni kebun milik seorang yang kaya kat kampung ni dan dia takut hartanya di ceroboh maka dia telah menanam tengkorak di setiap penjuru kebunnya sebagai guard la tu kot. Dan bila orang tu meninggal lupa pulak dia nak halau guard dia tu, sampai la kilang tu didirikan kat situ, kira marah la penunggu tu agaknya. Konon-kononnya lembaga tu mengamukla, mengamuk kerana apa pak guard tu pun tak berapa pasti. Tapi yang pastinya semenjak dari itu lah kejadian histeria tu terjadi. Pihak atasan tidak berapa percaya dengan perkara ni. Budak-budak yang terkena histeria tu ada cerita katanya dada mereka seolah-olah dipukul dengan kepala-kepala tengkorak tanpa henti, tu yang menjerit-jerit tu.

Dan untuk menghalau penunggu tu kata sepakat telah dibuat, maka diadakan "samak" entah apa samak tu pun aku pun tak tau. Dipanggilnya bomoh tak mana-mana punya bomoh nak halau hantu tu. Entah apa yang bomoh tu meraban aku pun tak tau, selepas daripada itu kilang aku tu pun kembali aman. Lebih kurang tu la citenye, tapi banyak yang khurafat.... tak taulah aku setakat mana kesahihan kejadian yang sebenar. Wasallam.

Cerita Asal : ayang2 (wangsa maju)

Sabtu, 1 Januari 2000

'Jururawat' itu menegur

Hospital adalah tempat yang penuh dengan harapan dan keinginan. Harapan untuk yang sakit kembali sembuh, dan juga keinginan bagi yang telah ‘tiada’ untuk kekal di antara ruang manusia.


KEBANYAKAN daripada kita pasti bersetuju bahawa hospital adalah antara tempat yang tidak sesuai untuk bergurau atau berjenaka. Tempat seumpamanya sudah banyak membawa khabar dan cerita pelik yang berbaur mistik.

Bukan untuk menakutkan sesiapa, tetapi fenomena yang mahu diceritakan semula ini hanyalah untuk renungan bersama. Ia adalah peringatan bahawa dalam dunia yang kita diami, bukan manusia sahaja yang mutlak mengisi dimensi ruang dan waktu.

Terjadi di sebuah hospital yang terletak di sebelah pantai barat negara ini, Diya sudah tiga minggu menemani tunangnya, Aziz, yang terlantar akibat menjalani pembedahan membetulkan kedudukan tulang kaki yang patah akibat kemalangan jalan raya.

Sering berada di hospital selepas waktu kerja, malah biasa bermalam menemani kekasih hatinya itu, Diya secara tidak langsung sudah mengenali ramai pesakit dan petugas di hospital itu.

"Hendak dijadikan cerita, pada hari pertama keempat aku menjaga Aziz di hospital lebih kurang dalam pukul 11 malam di tingkat tujuh, aku terjumpa seorang jururawat. Lengkap dengan pakaian seragam berwarna putih di hadapan kaunter," Diya memulakan cerita.

Kata Diya, dia sangat mengenali jururawat itu. Namanya Yanie. Sejak hari pertama Aziz di hospital, Yanie memang sering dalam syif. Jadi, pada malam Diya terserempak dengan Yanie, mereka berbalas pandangan. Diya tersenyum lalu menyapa dia.

"Syif malam lagi hari ni? Kerap juga nampak awak...." Itu yang Diya ucapkan kepada Yanie yang hanya membalas dalam tersipu-sipu; "Ya, kerja malam ni. Tiap-tiap malam saya nak kerja."

Jawapan itu sedikit pun tidak mencetuskan tanda tanya dalam kepala Diya hinggalah dia akhirnya tertidur di sisi katil Aziz kemudiannya.

Disapa terbit matahari pagi keesokannya, Diya dikejutkan oleh bunyi kedatangan seseorang. 'Eh, Yanie masih berjaga?' Kata Diya dalam hati. Pagi itu Yanie mengenakan uniform yang berbeza. Kemeja putih dan berseluar hitam. Yanie datang untuk memeriksa peralatan rawatan dalam wad tersebut.

"Awak tak balik lagi? Siap tukar uniform lagi," tanya Diya sambil menggosok mata malas paginya.

"Bila pula saya datang, kak? Saya baru masuk kerja ni lepas dua hari cuti. Ni memang uniform saya. Saya hanya pembantu teknikal. Bukan jururawat," jawabnya yang membuatkan Diya terlopong.

"Tapi malam tadi akak tegur awak. Kita jumpa depan kaunter. Awak pakai uniform putih jururawat," Diya cuba meyakinkan apa yang dilihat malam sebelumnya.

"Akak jangan main-main. Saya baru masuk kerja hari ni. Saya bukan jururawatlah,'" Yanie memberitahu sambil sengih. Kemudian dia tiba-tiba menutup mulut dengan tangan sementara dahinya berkerut. Cepat-cepat dia menarik tangan Diya ke luar wad, sebelum perbualan didengari Aziz yang masih lena.

"Akak, dengar saya cakap ni ya. Jangan beritahu sesiapa, terutamanya tunang akak tu. Nanti dia takut tinggal keseorangan," kata Yanie seakan berbisik.

"Apa dia?" tanya Diya.

"Begini, tiga hari sebelum tunang akak masuk wad, ada kes bunuh diri dalam hospital ni. Ada seorang wanita mati gantung diri dalam bilik dia di tingkat sembilan. Dia tak dapat terima hakikat yang dia disahkan berpenyakit dan tidak boleh hidup lama," terang Yanie dalam sedikit menggeletar.

Sambung Yanie, semenjak itu ada saja orang yang menemukan perkara pelik dalam hospital itu. Paling kerap adalah kes 'duplikasi'. Ramai orang terkeliru dan terkejut bila ada jelmaan yang asyik menyerupai petugas-petugas hospital.

Mendengarkan cerita Yanie, Diya terdiam. Terus terdiam dan tidak mahu mengulas apa-apa selepas itu. Sepanjang hari dia berani dalam takut. Berani kerana mahu menemani Aziz, takut kerana tidak mahu berjumpa dengan staf hospital yang 'palsu' itu.

'Ah! Biarlah, dia tak kacau aku. Bukannya hantu jahat pun!' Diya menenangkan hati sendiri.

Malam itu, Diya menggagahkan diri kerana mahu menemankan Aziz yang tidak tahu apa-apa tentang kejadian itu. Waktu itu pukul 10.30 malam. Sambil membaca majalah, Diya sesekali menjeling ke arah jururawat bernama Hafizah yang memeriksa bengkak di kaki Aziz.

"Dia dah lena tidur. Awak pun tidur ya. Jangan berjaga malam," ujar Hafizah yang hanya dibalas senyuman dan anggukan perlahan Diya. Kemudian dia memeriksa pesakit di katil sebelah Aziz dan meninggalkan wad.

Sempat menoleh ke arah Hafizah melangkah, Diya terjerit kecil. Dia tersentak, dan darahnya bagai berhenti mengalir. Pandangannya tiba-tiba kabur dan gelap. Diya tidak bermaya. Dia ternampak Hafizah berjalan menembusi dinding!

* Diceritakan semula kepada A.H. HAMZAH