Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 26 Julai 2011

13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap

2011/07/26

PUTRAJAYA: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.
"Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

"Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini hari ini.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya.

- BERNAMA

4,200 kereta di Singapura dipanggil semula

2011/07/26

SINGAPURA: Kira-kira 4,200 kereta Honda yang dijual oleh Kah Motors di Singapura terpaksa dipanggil semula berikutan 200,000 kereta penumpang buatan Jepun itu di seluruh dunia dikesan mempunyai kerosakan di bahagian enjin.

Kerosakan skru enjin boleh menyebabkan masalah terhadap sistem penyejukan motor dan kemudiannya mungkin menyebabkan enjin berhenti.
Syarikat berkenaan berkata, ia menerima 63 aduan daripada pelanggan di Jepun berkaitan masalah enjin akibat kerosakan berkenaan tetapi tiada yang menyebabkan kemalangan.

- BERNAMA.

Anwar fail notis usul untuk temu bual lima saksi

2011/07/26

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan satu notis usul memohon untuk pihak pembelaan menemu bual lima saksi dalam perbicaraan kes liwatnya sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos.

Anwar yang memfailkan permohonannya menerusi Tetuan Karpal Singh & Co pagi ini, menamakan dua saksi berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tiga saksi yang lain ialah Hasanuddin Abd Hamid iaitu pemilik unit kondominium di mana kejadian didakwa berlaku; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Anwar di dalam notis itu menyatakan bahawa mengikut undang-undang adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan semua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan dan semua kos ditanggung pihak pendakwaan.

Di dalam afidavit sokongannya, Anwar menyatakan bahawa peguamanya, S N Nair menerima sepucuk surak daripada Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields bertarikh 18 Julai bahawa Mohd Rodwan, Najib, Rosmah dan Musa enggan ditemu bual tetapi bersetuju untuk menjadi saksi pihak pembelaan dengan syarat sapina dikeluarkan terhadap mereka.

"Sementara itu, Hasanuddin enggan ditemu bual kecuali jika ia dilakukan dengan kehadiran peguamnya," kata Anwar dalam afidavitnya.

Anwar berkata, jika semua saksi berkenaan gagal hadir untuk ditemu bual peguamnya, beliau sudah dinafikan hak untuk satu perbicaraan yang adil.

Daripada 25 orang yang dikenal pasti untuk ditemu bual pihak pembelaan, hanya lima ditemu bual setakat ini.

Mereka ialah bekas ratu pecut, Datuk Mumtaz Jaafar; bekas doktor PUSRAWI, Dr Mohd Osman Abd Hamid; adik perempuan Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan; seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Daniel; dan bekas pegawai khas Najib semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anaz Yusof.

Pada 13 Julai, hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 8 hingga 26 Ogos untuk mendengar hujahan pihak pembelaan.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu Ketua Pembangkang itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang juga pengadu kes itu ialah saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Pada penghujung kes pendakwaan, pihak pendakwaan mengemukakan 71 saksi, yang mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwat bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008. - BERNAMA

Langkah Mat Sabu dari Guar Petai menuju Putrajaya

SEKALI lagi anak Pulau Pinang diberi kepercayaan menduduki jawatan No.2 dalam parti politik. Jika dulu UMNO menampilkan Abdullah Ahmad Badawi dari Kepala Batas dan Anwar Ibrahim dari Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam sebagai Timbalan Presiden , kini giliran Pas pula melalui Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dari Kampung Guar Petai.

Dulu Guar Petai dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh tetapi kini di bawah Tasek Gelugor. Guar Petai jiran kepada kampung penulis, Guar Perahu. Penduduk tempatan tentu gembira dengan kemenangan Mat Sabu lebih-lebih lagi mereka yang sering solat di ‘Surau Mat Sabu’. Memang hebat Mat Sabu. Siapa tidak kenal dengan bekas ‘ayam tambatan’ Pas ini. Terpukau orang mendengar ceramahnya. Ada serius, sinis, jenaka, merapu dan maki hamun. Seorang rakan di Permatang Pauh memberitahu penulis ada juga penyokong - tidak pasti Pas atau PKR di kawasan Parlimen itu tidak senang dengan kemenangan Mat Sabu. Mungkin mereka masih belum dapat menerima gelaran buruk yang diberi terhadap Anwar. Ada juga yang mengharapkan ulama menang jawatan itu.

Setakat ini hanya Abdullah berjaya menduduki jawatan Presiden sementara Anwar ‘ditendang’ keluar kerana isu moral. Apakah Mat Sabu akan terus meniti kejayaan sebagai orang No. 1 dalam Pas? Ini perkembangan yang amat menarik untuk dinantikan. Soal layak atau tidak, Mat Sabu sudah menang. Tidak payahlah kita selak kembali siapa Mat Sabu sama ada golongan profesional atau ulama. Tetapi ramai yang tahu siapa Mat Sabu sejak mula belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) kini UiTM, seorang peminat seni khabarnya drama, lakonan, boria dan pantun. Cukup aktif menyertai pelbagai demonstrasi dan macam-macam lagi sehinggalah menyertai Pas pada 1978 dan bertanding pada pilihan raya umum (PRU). Malangnya beliau tidak pernah menang di Pulau Pinang. Kali pertama Mat Sabu mencuba nasib pada PRU 1982 di Parlimen Kepala Batas dalam pertandingan tiga penjuru - BN, Pas dan DAP. Abdullah Badawi menang dengan majoriti 12,644 undi. Beliau juga bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh tetapi tewas. Pada PRU 1986, beliau mencabar ‘seteru’ politiknya Anwar di Parlimen Permatang Pauh dan tewas lagi.

Akhirnya Mat Sabu berhijrah ke Kelantan dan menang di Parlimen Nilam Puri pada PRU 1990, kemudian ke Parlimen Kubang Kerian (1995) dan Parlimen Kuala Kedah (1999). Cubaannya untuk mempertahankan kerusi bagi penggal ke empat di Kuala Kedah pada 2004 tidak kesampaian. Ketika tsunami politik melanda pada PRU 2008, Mat Sabu tewas lagi, kali ini di Parlimen Kuala Terengganu. Khabarnya, pada 2008, beliau berhasrat untuk bertanding di Pulau Pinang. Dalam satu ceramah politik di Terengganu yang turut dihadiri Lim Guan Eng, beliau berkata, orang Melaka bertanding di Pulau Pinang menang, jadi ketua menteri tetapi beliau dari Pulau Pinang bertanding di Kuala Terengganu tewas.

Mungkin dengan kedudukan No.2, beliau sudah bersedia untuk turun di Pulau Pinang lebih-lebih lagi hubungan baik dengan ‘adindanya’ Guan Eng. Ternyata pertemuan semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengukuhkan hubungan Mat Sabu dan Guan Eng. Ada juga hikmah di sebalik ISA ini. Di Pulau Pinang, Mat Sabu adalah pengarah bukan eksekutif di PBA Holdings Bhd. sejak 16 April 2009. Baru-baru ini beliau mewakili kerajaan negeri DAP Pulau Pinang untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa tanah runtuh di Hulu Langat.

Kini tugas Mat Sabu semakin berat. Lebih-lebih lagi Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menyifatkan Kabinet baru yang dipilih kelmarin barisan mantap menghadapi PRU Ke-13. Tugas besar Mat Sabu ialah pada 9 Julai ini bagi menggerakkan demonstrasi Bersih di ibu negara untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Kembali kepada PRU, di Pulau Pinang, kawasan mana Mat Sabu akan bertanding? Di Kepala Batas atau Tasek Gelugor? Mungkin di Bayan Baru, Permatang Pauh, Batu Kawan atau Nibong Tebal? Sebagai orang No.2, tentunya sekutu politik Pas iaitu PKR dan DAP sedia berkorban untuk memberi laluan. Apa yang penting bagi pakatan pembangkang ialah memastikan laluan ke Putrajaya yang suatu ketika dahulu mahu dilelong dipermudahkan.

Maka pakatan pembangkang perlu melupakan semua sengketa. Ini termasuklah bagi Mat Sabu dalam menghadapi seteru politiknya, yang pernah digelar ‘Al-Jxxxxx'.

Kata Mat Sabu, beliau menyerang Anwar pada 1982 apabila bekas Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) itu menyertai UMNO.

Sekarang, keadaan sudah berubah. Dalam politik tidak ada musuh yang kekal, hari ini kita lawan, esok kita berkawan dan lusa kita ‘berkahwin’. Begitulah politik. Jika dulu Pas begitu menekankan soal negara Islam tetapi hari ini tidak lagi. Semua sudah berubah mengikut tuntutan masa dan kuasa. Jika dulu prinsip didahulukan kini kuasa diutamakan.

Maka tidak hairanlah Mat Sabu yang pernah diuji dalam isu khalwat di bilik 121 boleh menang dengan majoriti 21. Kemenangan Mat Sabu dan tiga Naib Presiden, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Husam Musa juga sudah dijangka oleh bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas, Ghazali Ahmad.

Biar apa pun label terhadap gandingan ini, perwakilan sudah buat keputusan. Tahniah kepada Mat Sabu dan rakan-rakan.

Dan meneliti seketika ucapan dasar Abdul Hadi kelmarin, adakah ucapan dasar Allahyarham Fadzil Mohd Noor akan tinggal kenangan?

Pada muktamar ke-40 (Jun 1994) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, dalam ucapan bertemakan Ulama: Teras Kepimpinan Ummah antara lain allahyarham menyebut: ‘‘Saya ingin menegaskan kepada seluruh ahli dan pendokong Pas bahawa perjuangan kita untuk mendaulatkan Islam akan terus mara ke hadapan...Pas mengumumkan hasratnya untuk melaksanakan syariat Islam termasuk hudud sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951. Para pemimpin Pas sejak itu tidak pernah berselindung mengenai cita-cita ini,”

Kita nantikan dalam Pas, siapa yang akan tetap berpegang kepada ‘kebenaran lebih penting dari kemenangan’.

Mengenali pengarang Bercakap Dengan Jin



Ahmad Mahmud


TAMAR Jalis atau nama sebenarnya Ahmad @ Mohd.Radzi bin Mahmud telah menghasilkan lebih 284 Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ),16 daripadanya sudah dibukukan dan jualannya menurut suatu kajian Prof. Adnan Nawang melebihi sejuta naskhah.

Hal ini memperlihatkan sambutan meluas pembaca terhadap siri novel itu yang sudah bermula sejak tahun 1981 hingga 2005.

Jualan hingga lebih sejuta naskhah siri novel SBDJ membuktikan karya itu lebih banyak terjual berbanding mana-mana buku Sasterawan Negara yang pernah diterbitkan setakat ini. Jualan besar SBDJ termasuk naskhah cetak rompak menunjukkan pembaca daripada pelbagai kaum menggemari SBDJ yang mempunyai resipi tersendiri, teknik penulisan kreatif tertentu dan strategi memikat pembaca.

Di samping itu strategi jualan SBDJ yang mudah diperoleh sama ada di kedai besar, kecil, pasar , malam, kedai mamak, Cina dan sebagainya yang rakyat sifatnya. Hal ini secara tidak langsung mencetuskan fenomena dan budaya membaca yang positif di kalangan rakyat Malaysia.

Generasi pembaca Malaysia era 1980-an, 1990-an dan 2005 kebanyakannya pernah membaca siri novel SBDJ atau mengikuti siri ini dalam majalah Variasari. Malah ada segelintir mereka masih memiliki koleksi Siri novel ini yang diterbitkan dalam pelbagai versi dan ilustrasi kulit depannya untuk menarik perhatian pembaca meskipun kisahnya bukanlah sekadar tentang makhluk jin tetapi disulami dengan ilmu perubatan tradisional Melayu, sejarah, ilmu persilatan, psikologi Melayu, kosmologi Melayu, perbomohan Melayu dan petua-petua untuk memerangi dan menewaskan iblis dan syaitan daripada menganggu manusia.

Tamar Jalis adalah nama samaran penulisnya yang diambil daripada satu nama jin yang terdapat dalam Hikayat lnderaputera yang terkenal dalam kesusasteraan Melayu tradisional. Penggunaan nama Tamar Jalis memang sesuai dengan penulisan SBDJ hingga kebanyakan pembaca tidak menyedari nama sebenar penulis yang sudah berusia 71 tahun ini dan masih sihat walafiat.

Tamar Jalis dilahirkan pada 13 September 1940 di Kampung Batu 36, Jalan Sitiawan, Perak. Beliau mendapat pendidikan Melayu dan lnggeris serta Sekolah Rendah Teknik, Ipoh (bahagian tukang kayu dan binaan).

Dalam sejarah hidupnya, beliau pernah menjadi buruh, berniaga, pemberita bebas dan kerani pengedar akhbar Utusan Melayu (1970) dan pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Editor kumpulan majalah Variapop Group sebelum bersara dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau juga pernah berkhidmat dalam tentera Wataniah antara tahun 1964 hingga 1966.

Tamar Jalis mula menceburkan diri dalam dunia penulisan sejak tahun 1955 melalui Utusan Kanak-Kanak dan Tunas, tetapi cerpen dewasanya yang pertama tersiar dalam majalah Mutiara pada tahun 1958 berjudul Berhari Raya di Kampung.

Kekuatan

Di samping menulis SBDJ yang tersohor dalam sejarah kesusasteraan Melayu itu, beliau juga menulis novel dan cerpen. Cerpen-cerpennya tersiar dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat , Mastika dan Widya, dan akhbar-akhbar Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

Dua buah cerpennya, Menanti Ayah (1971) dan Samad Toja (Mingguan Malaysia, 26 Mei 1974) memenangi Hadiah Karya Sastera pada era tersebut yang memperlihatkan kekuatan dan ketinggian mutu cerpen karya Tamar Jalis. Cerpen Samad Toja termuat dalam Antologi Hadiah Karya Sastera 1974 terbitan DBP (1976).

Panel Hadiah Karya Sastera (1974) antara lain menyebutkan, Samad Toja menceritakan kisah seorang tua yang memegang teguh kepada kepercayaan terhadap kuburan datuknya yang dianggap keramat. Dan ini didramakan dalam satu situasi di mana kekolotan watak ditimbulkan dengan jelas. Samad Toja sanggup mati kerana mempertahankan kepercayaannya. Cerita diselesaikan secara ironis dengan Samad Toja terselamat sedangkan pemuda yang cuba menyelamatkannya mati menjadi korban di suraunya."

Tiga buah cerpennnya iaitu Jaril,Jangan Tinggalkan Emak (Dewan Bahasa, September 1973), Paman (Dewan Sastera, Januari 1977) dan Cincin Berlian Bermata Dua (Dewan Sastera, April 1980) dimuatkan oleh Hamzah Hamdani dalam buku selenggaraannya Di Bawah Bayang Kemboja terbitan DBP (1981).

Tuah menyebelahi Tamar Jalis bila cerpennya Paman dan cerpen- cerpen pengarang lain yang termuat dalam antologi Suatu Subuh Yang Bening selenggaraan Othman Puteh dan Ramli Isin terpilih dan menjadi teks kesusasteraan Melayu peringkat SPM pada era persekolahan tahun 1980-an dan menjadi bahan kajian pelajar untuk lulus peperiksaan SPM.

Antara novel Tamar Jalis yang lain ialah Pucuk-pucuk Yang Mati (1967), Lorong-Lorong Hitam (1969) dan Rumah Urut (1970). Hamzah Hamdani dalam ulasannya ada menyebutkan “Walaupun novel-novel Ahmad Mahmud cenderung mengemukakan persoalan-persoalan seks, tetapi dalam perkembangannya kemudian, melalui cerpen-cerpennya, beliau telah mengemukakan persoalan-persoalan kehidupan manusia yang lebih serius. Ahmad Mahmud sering melukiskan jiwa manusia yang gigih menghadapi hidup walaupun akhiran cerita-ceritanya sering menyayat hati."

Menerusi nama samarannya Atma A.M beliau menulis novel-novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan berjudul Bukan lmpian Hati setebal 126 halaman terbitan Variapop Group (Kuala Lumpur) pada tahun 1987. Beliau kemudiannya menulis novel Bukan Impian Hati(2) dengan menggunakan nama Atma A.M setebal 111 halaman terbitan Variapop Group (Kuala Lumpur) pada tahun 1988.

Beliau kemudiannya meneruskan penulisan novel bercorak percintaan dan kemasyarakatan dengan menggunakan nama samaran Ramadhan A.M menulis novel Kasihku, Sewangi Cempaka setebal 127 halaman (1988) dan Kukirim Rindu Untukmu setebal 127 halaman (1988) terbitan Variapop Group, Kuala Lumpur.

Pada bulan April 1985 hingga Januari 2005 iaitu selama 23 tahun enam bulan, beliau mula menggerakkan penulisan novel SBDJ dalam majalah Variasari untuk meningkatkan jualan majalah itu dan mencipta rekod sebagai siri novel terpanjang di Malaysia, Asia Tenggara dan sekali gus dunia antarabangsa. Pada era 1980-an, majalah Variasari pernah dicetak 120,000 naskhah sebulan kerana wujudnya siri SBDJ itu sebelum beransur menurun kini.

Paling lama

Menurut Presiden Persatuan Karyawan Perak, Zabidin lsmail, SBDJ karya Tamar Jalis adalah siri cerita kreatif Melayu yang terbanyak dan paling lama dalam sebuah majalah tempatan. Sebanyak 221 siri telah dibukukan dengan pelbagai tajuk dan paparan corak kulit yang menarik lagi menyeramkan, termuat dalam 16 buah buku. Sebuah buku SBDJ mengandungi kira-kira 24 siri. Namun demikian terdapat sebanyak 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 belum lagi dibukukan."

Dengan tema Memperkasakan SBDJ Sebagai Karya Kreatif Melayu Tersohor telah diadakan Wacana Siri Bercakap Dengan Jin di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak baru-baru ini.

Wacana anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Yayasan Perak dan Persatuan Karyawan Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah menampilkan pembentangan sepuluh buah kertas kerja menarik yang mengangkat dan mengiktiraf sumbangan besar SBDJ karya Tamar Jalis dalam dunia kesusasteraan.

Dalam memperkasakan lagi ketokohan Tamar Jalis dan SBDJ, Persatuan Karyawan Perak, Nafiela Books (penerbit SBDJ) dan pihak tertentu akan mengadakan wacana SBDJ di seluruh negara. Di samping itu ada pihak yang sedang membuat dokumentari The Making of SBDJ untuk merakamkan lokasi-lokasi khususnya di Perak, Malaysia dan Sumatera yang menjadi latar sebenar penceritaan SBDJ yang pastinya akan mempopularkan lagi siri novel seram, misteri dan unik ini.

Tamar Jalis pelopor novel mistik


Tamar Jalis (duduk) menandatangani buku para peminatnya ketika wacana siri bercakap dengan jin di Ipoh baru-baru ini.


KEMUNCULAN penulis novel mistik di negara ini memang tidak dinafikan kerana kesan penerimaan masyarakat terhadap karya bentuk itu masih mendapat sambutan.

Ini terbukti apabila Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ) karya Mohamad Radzi Mahmud atau lebih dikenali sebagai Tamar Jalis, 71, merupakan sebuah karya menarik pada era 1980-an.

Karya tersebut digarap bercirikan sastera genre memoir dengan pendekatan autobiografi yang mampu menarik perhatian pembaca dalam menghayati rentetan peristiwa melalui penceritaan orang pertama iaitu Tamar Jalis bersama datuknya (Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah).

Ketua Jabatan Kesusasteraan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Datuk Paduka Dr. Rosli Saludin dalam kertas kerja Alam Bunian dan Jin Dalam SBDJ berkata, karya itu mengajak orang Melayu berfikir di sebalik kehidupan orang Melayu.

Katanya, SBDJ sebuah novel yang baik kerana ia disampaikan dalam bentuk pemaparan yang menarik dan mempunyai banyak pengajarannya.

Beliau berkata demikian pada Wacana SBDJ: Memperkayakan SBDJ Sebagai Karya Kreatif Melayu Tersohor di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak di Ipoh baru-baru ini.

Mengikut kajian SBDJ, sebanyak 284 siri itu telah disiarkan di majalah Variasari terbitan Variapop Group selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005. Ia sekali gus mencatatkan rekod dunia, siri terpanjang dan lama disiarkan di majalah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 221 siri telah dibukukan dalam 16 buah buku.

Terdapat 63 siri iaitu siri 222 hingga 284 yang belum dibukukan.

Meskipun SBDJ tersohor dengan kisah hantu, jin dan makhluk halus yang melingkari kehidupan orang Melayu zaman dahulu, tetapi secara instrinsik manipulatif ia memaparkan sosio-budaya, psikologi, falsafah, petua, perubatan tradisional, mistik, keagamaan, seni persilatan, kebatinan, sejarah tempatan, geografi, pemburuan, pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera (Jambi, Krinchi, Bangkahulu dan Aceh) serta kepakaran menundukkan makhluk halus.

Tamar Jalis dilahirkan di Beruas, Perak. Antara novelnya ialah Selembut Bayu, Selembut Angin Senja, Seraut Wajah Kekasih, Di Sini Cintaku Berbunga, Sebening Sinar Matamu dan Bukan Impian Hati.

Prof. Madya Dr. Talib Samad dari UPSI dalam kertas kerja Stategi dan Teknik Naratif dan Penggunaan Kaedah Penulisan Memoir Dalam SBDJ berkata, Tamar Jalis menggunakan teknik yang tersendiri untuk menyampaikan cerita alam jin, makhluk halus dan iblis dengan menggunakan teknik naratif yang menjadikan cerita disampaikan lebih kreatif, berkesan dan realistik.

"Teknik yang digunakan itu cukup popular pada waktu itu dan mempunyai peminat yang tersendiri dalam sejarah kesusasteraan tanah air," katanya.

Menurut beliau, karya yang dihasilkan itu memberikan pengajaran kepada manusia agar bersedia dengan ilmu agama dalam menghadapi kewujudan alam jin dan iblis yang tidak dinafikan dalam kehidupan manusia.

Pensyarah Institut pendidikan Guru Kampus Hulu Kinta, Mohamad Paris Arshad dalam kertas kerja 'Penilaian Kritis Tentang Jampi, Serapah dan Petua Dalam SBDJ' berkata, penulis mengetengahkan cerita yang berkisar tentang alam ghaib dan makhluk halus sebagai cerita rakyat yang mengandungi unsur kepercayaan.

Beliau berkata, watak penting yang diketengahkan penulis adalah bomoh, pawang atau dukun yang menjadi tonggak dalam kehidupan masyarakat Melayu pada suatu masa dahulu.

"Ini bermakna peranan bomoh, pawang atau dukun sebagai orang tengah untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan kuasa ghabib, penunggu, makhluk halus dan jin, hantu dalam menangani makhluk itu dari mengganggu kehidupan manusia," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Kebudayaan dan Sukan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika menutup majlis itu berkata, Tamar Jalis merupakan penulis Perak yang hebat kerana karyanya itu mampu mengangkat dunia penulisan di negeri itu.

Menurutnya, karya yang dihasilkan itu merupakan satu khazanah yang sukar dan perlu dipelihara bagi tatapan generasi akan datang.

Katanya, kerajaan negeri percaya SBDJ adalah sebuah karya mistik yang menarik dan mempunyai peminat yang tersendiri.

Wisran Hadi sudah tiada


TEATER "Mak Dara Nyonya" akan dipentaskan di Kuala Lumpur pada 6 - 12 Julai ini. Pementasan arahan Rosminah Tahir ini menggabungkan monolog Mak Dara karya Siti Rohaya Atan dan Nyonya-Nyonya karya Wisran Hadi. Barangkali banyak khalayak teater di Malaysia tidak begitu mengenali penulis naskhah Nyonya-Nyonya ini. Di negara kelahirannya, beliau adalah sasterawan dan seniman besar yang sangat dihormati, yang telah berkarya sejak dekad enam puluhan, hingga ke akhir hayatnya baru-baru ini.

Wisran Hadi, yang lahir di Kota Padang, Indonesia pada 27 Julai 1945, kembali ke rahmatullah secara mengejut pada 28 Jun yang lalu. Pengarang cerpen, novel, drama pentas, drama televisyen dan esei serta kritikan ini mendapat pendidikan dalam jurusan seni halus dari Akademi Seni Rupa (ASRI), Jogjakarta (tamat pada 1969). Namun beliau tidak lama menjadi pelukis, sebaliknya memilih bidang penulisan kreatif. "Alatan untuk melukis terlalu mahal waktu itu," kata Wisran kepada saya satu waktu dahulu.

"Sedangkan untuk menulis hanya perlukan pena dan kertas," tambahnya lagi.

Wisran Hadi sudah menghasilkan hampir 50 naskhah drama pentas, 12 daripadanya pernah memenangi Sayembara Menulis Naskhah Drama Indonesia yang dianjurkan oleh Dewan Kesenian Jakarta sejak 1976 hingga 1985 dan 1998. Sebanyak 13 lagi naskhah dramanya diterbitkan oleh Departemen Pendidikan dan Kebudayaan untuk bacaan pelajar sekolah, sementara sejumlah lagi belum diterbitkan.

Naskhah Nyonya-Nyonya terpilih sebagai Juara II dalam Sayembara yang sama pada 2003 di samping sebuah lagi naskhahnya, Roh yang memenangi hadiah Harapan II (kedua-duanya terbit dalam antologi 5 Naskah Drama, 2005). Nyonya-Nyonya pertama kali dipentaskan sebagai projek tahun akhir pelajar Fakulti Teater Aswara di bawah arahan Wisran Hadi sendiri pada 28 Mac 2004 dan tidak lama kemudian dipentaskan pula oleh CTRA Production di Lambang Sari, Istana Budaya.

Sepanjang penglibatannya sebagai penulis dan aktivis teater, Wisran Hadi berpeluang mengikuti Program Penulisan Antarabangsa Iowa di Iowa City, Amerika Syarikat (1977), dua kali terpilih melakukan penelitian teater moden di New York (1978 dan 1987) dan juga di negara Jepun (1987). Selain memenangi pelbagai peraduan penulisan, Wisran Hadi turut menerima Anugerah Sasterawan Terbaik Indonesia (1991, 2000), Anugerah Seni Indonesia (2003) dan Tokoh Budaya Indonesia kira-kira tiga bulan lalu. Puncak pencapaiannya ialah apabila terpilih menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) daripada Kerajaan Thailand di Bangkok pada 2000.

Dalam bidang teater, Wisran Hadi memimpin kumpulan Bumi Teater di Kota Padang, Sumatera dan pernah membawa pementasannya ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru, selain di kota-kota besar di Indonesia, termasuk di tempat yang berprestij - Taman Ismail Marzuki, Jakarta.

Selain daripada naskhah drama, kekuatan Wisran Hadi juga dapat dilihat pada novel-novel karya beliau. Tamu diterbitkan secara bersiri melalui akhbar Republika sebelum terbit dalam bentuk buku dan memenangi penghargaan Buku Utama dari IKAPI dan Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Jakarta. Juga dipilih sebagai buku bacaan pelajar sekolah di Indonesia. Imam juga terlebih dahulu terbit secara bersambung dalam Republika. Novelnya yang lain ialah Orang-Orang Blanti, Negeri Perempuan, Dari Tanah Tepi dan Pelarian. Dua kumpulan cerpennya yang terbit ialah Daun-Daun Mahogani Gugur Lagi dan Guru Berkepala Tiga.

Wisran Hadi pernah memegang beberapa jawatan, antaranya sidang redaksi Harian Singgalang, majalah Limbago, penulis tetap di Padang Ekspres, setiausaha eksekutif dan pensyarah di Akademi Pariwisata Bunda, Direktur Kerohanian di Ruang Pendidik INS Kayutanam, pensyarah tamu di Fakulti Sastera dan Fakulti Pertanian Universiti Andalas, Universiti Bung Hatta dan termasuk di Jabatan Teater dan Jabatan Penulisan Kreatif, Akademi Seni Kebangsaan, Malaysia (kini Aswara) pada 2001-2004.

Sepanjang empat tahun berada di Kuala Lumpur, selain Nyonya-Nyonya, Wisran Hadi juga berkesempatan mengarah teater Syakuntala, Randai Puti Nilam Sari dan monodrama Puteri Dari Mekah (karya adaptasi). Wisran Hadi meninggalkan seorang balu, Putri Reno Raudha Thaib, juga seorang penulis dan pensyarah dalam bidang botani di Universiti Andalas, Padang.

Sejalur pelangi


SESEKALI Haji Syamsul teringat setangkai puisi yang tidak berjudul itu:

Yang dipeluk itu rindu

teramat rindu

yang didakap itu sepi

teramat sepi

tak siapa pun menyelaminya

erti sebuah kebahagiaan

telah terlaksana

segunung pengorbanan

dalam laut kepayahan

dikutip karang-karang cinta

yang amat panjang

teramat panjang

tapi kini

adanya seperti tiada

tiadanya seperti ada

tak bolehkah dirasai

sedikit kebahagiaan

di hujung usia ini?

Haji Syamsul terbayang wajah Datuk Zahir yang masih gagah, sihat semua. Tentu sesekali kemahuannya ada walaupun sudah berusia menjangkau enam puluh lapan. Setia berjoging dan bersenam, pantas bermain golf dan sesekali berenang dengan cucu-cucu di kolam renang Kelab Saujana itu.

Alangkah seronoknya berpeluk bergomol dengan cucu di kolam renang itu. Tak terasa sejuk dingin di teduhan bayu petang hingga matahari merajuk dan tenggelam. Tapi kocak air yang kebiruan masih mercik beriak ketepian kerana anak-anak orang lain terus di situ macam kelkatu, lompat melompat berterjunan ke air macamlah alam ini sudah berjanji tidak mahu tidur.

"Cukup…," kata Datuk Zahir kepada cucunya yang dipanggil Bob itu. Dia membiarkan Bob mengapung sendiri ketepian. "Ambil tuala pada Wan," arahnya.

Ketika itu, si burung walet menggila di udara, terbang silang menyilang, junam menjunam seolah-olah hendak jatuh ke air, ada kalanya mengacah-acah seperti sepasang kepaknya sudah patah terkulai. Tapi tidak, si burung walet terlalu gembira, barangkali banyak kelkatu tersesat di situ atau makhluk itu mahu menghantar mesej kepada orang ramai, pulanglah kerana maghrib sudah hampir tiba. Kalau Datuk Zahir boleh bercakap dengan si burung walet, pertama sekali, dua perkara yang mahu ditanyanya: Pernahkah kamu rindu? Pernahkah kamu sepi?

Dan, sekiranya si burung walet mahu berkumpul, hinggap di mana-mana, Datuk Zahir tidak akan menangkap mengurung merampas kebahagiaannya kerana kebahagiaan itu terlalu mahal, kebebasan dan keriangan itu tidak ternilai dengan harta dan wang ringgit. Berbahagialah si burung walet seperti dunia ini kamu yang punya. Tetapi semasa si burung walet hinggap, mahu Datuk Zahir bercerita dan bertanya panjang-panjang kisah manis dan pahit selama 45 tahun bersama Zulaika atau Ika. Tidak ada yang kurang walaupun dalam kekurangan.

"Pernahkah kamu patah hati?" mahu Datuk Zahir bertanya kepada si burung walet yang akan hinggap.

Kalau terlanjur bertanya dan bercerita, Datuk Zahir akan meminta pandangan si burung walet yang sentiasa bahagia, bukan soal rindu, sepi dan patah hati saja. Mungkin otak si burung walet yang kecil itu lebih pintar dari otak seorang manusia yang bijaksana.

"Pernahkah kamu tidur sendirian, dingin sedingin-dinginnya?" Datuk Zahir bertanya kepada si burung walet yang akan hinggap.

Kalau boleh, mahu Datuk Zahir meminta kepada si burung walet: Bolehkah aku meminjam kepak kamu, aku mahu terbang menyeberang Selat Melaka, mengembara dari pulau ke pulau, manalah tahu, aku akan ternampak tercapai sekuntum mawar merah atau mawar biru seperti keindahan yang aku rasa semasa aku bersama Zulaika waktu muda-muda dahulu. Bolehkah aku menggapai masa lalu, membawa keindahan itu berpeluk beradu di masa kini?.

Mustahil? Tidak! Aku sihat dan masih gagah, tidak seperti Zulaika yang derita sudah berbelas tahun. Derita yang panjang.

Dan kalau boleh, kalaulah boleh, kamu bisikkan ke telinga Zulaika, katakan padanya: Tidak bolehkah suamimu merasai sedikit kebahagiaan di hujung usia? Sebenarnya, suamimu tak sampai hati hendak bertanya begitu kepada insan yang dia amat sayang, dia tidak tertahan melihat kelayuan matamu yang derita.

Dan kini, Datuk Zahir naik ke atas, kelihatan Zulaika sedang mengelap tubuh cucu kesayangannya Bob. Walaupun nampak lemah di kerusi roda, tapi Zulaika masih boleh bergurau dengan Bob. Barangkali, Bob yang montel itu adalah pembalut suka luka.

"Kita solat di surau kelab ini," kata Datuk Zahir kepada Zulaika. "Tidak sempat kejar masa balik ke rumah, maghrib dah dekat."

penyair

Zulaika angguk-angguk tanda setuju. Datuk Zahir terus menolak kerusi roda isterinya bersama Bob lalu meninggalkan kolam renang Kelab Saujana.

Datuk Zahir bukanlah seorang penyair seperti Usman Awang atau Amir Hamzah. Dia sebenarnya seorang wartawan dan ahli politik yang berjaya. Tapi dia insan yang amat perasa, mudah tersentuh dengan peristiwa suka luka begini. Dan dia pernah meluahkan perasaannya itu:

Berbelas tahun

bagaikan satu malam

satu malam

bagaikan berbelas tahun

tapi dia adalah segalanya

dia ibu anak-anakku

dia Wan cucu-cucuku

air mata tidak mungkin

memadamkan tulisan cinta

dan air mata

tak mungkin

membasuh sepi dan rindu.

Selepas solat maghrib di surau Kelab Saujana, Datuk Zahir dan Bob menolak kerusi roda Zulaika ke Terrace Café yang menghadap ke kolam renang. Ketika itu, malam sudahpun berlabuh, tidak mahu menunggu siapa-siapa, dan masa tidak pernah berjanji mahu menunggu siapa-siapa. Sedar tak sedar, rupanya, sudah hampir 15 tahun Zulaika menderita lumpuh akibat serangan angin ahmar dulu. Sudah puas keluar masuk hospital, sudah puas berurut di sana sini, sudah puas dengan jampi serapah, sudah puas dengan doa air penawar atau air zam-zam, tapi setakat ini, Zulaika belum sembuh lagi.

"Abang kecewa?" sesekali Zulaika bertanya suaminya. "Abang kesal beristerikan Ika?"

Datuk Zahir tetap memberikan semangat: "Tidak, abang sayang Ika, abang sayang anak-anak dan cucu-cucu."

"Abang boleh bersabar?"

"Boleh"

"Berapa lama?"

"Seperti janji dahulu."

"Janji duhulu?"

"Ya…, kalau kering Selat Melaka padamlah sayang abang pada Ika."

"Sungguh?"

"Memang, kasih pertama tidak pernah berakhir."

Biasanya orang yang sakit dan derita, memerlukan semangat pertolongan dan perlindungan. Sepatah kata sayang sudah cukup menjadi ubat yang paling mujarab, apatah lagi diberikan pengakuan kasih sayang yang tidak akan kering dan kasih pertama tidak pernah berakhir. Ini bukan saja dengan kata-kata, malah dengan tindakan yang dapat dirasa dan dipandang. Sebab itu, Datuk Zahir setiap malam berada di rumah menemani Zulaika, tidak akan ke mana-mana kecuali kalau terpaksa menghadiri mesyuarat di mana-mana.

Tetapi Haji Syamsul, sahabat rapat Datuk Zahir yang hampir sebaya itu, sesekali, tetap menyelam perasaan sahabatnya itu. Dan petang semalam, di Coffee House Impian Inn, sekali lagi Haji Syamsul bertanya.

"Betulkah kau berkeinginan?"

"Keinginan apa?"

"Kau kata, adanya seperti tiada, tiadanya seperti ada."

"Itu perasaan."

"Kenyataannya?"

"Susah nak cakap."

"Aku rasa tak susah, jawablah ingin atau tidak."

Sampai di situ, Datuk Zahir tersenyum dan dalam senyum itu suaranya meletus, "Ingin, tapi pertimbangan mengatasi keinginan."

"Tapi kau juga yang bertanya, tak bolehkah dirasai sedikit kebahagiaan di hujung usia?"

"Itu hanya pertanyaan,." jawab Datuk Zahir. "Itu hanya sebuah puisi."

"Cubalah kau bercakap benar pada sahabat lama kau ini, kalau boleh aku bantu, aku akan bantu."

"Bantu apa?"

"Carikan sekuntum mawar merah atau mawar biru."

Sekali lagi, Datuk Zahir tersenyum dan dalam senyum itu, dia berkata: "Aku sudah berjanji dengan Zulaika, dialah yang awal dan akhir."

"Tapi untuk kebaikan mendirikan masjid, tidak salah mungkir janji."

"Tak salah?"

"Tak."

"Ah, terlukalah hati Zulaika, hancurlah hati Zulaika."

"Tidak."

"Masakan tidak."

"Aku yakin tidak, kerana yang tahu aku dan kau saja."

Datuk Zahir terdiam, sepantas kilat melintas di bayangannya wajah seorang gadis hitam manis berambut panjang baju kebaya, gemuk tidak kurus pun tidak, yang pernah "tertemu" dalam penerbangan KL - Jakarta setahun lalu.

"Mengapa terdiam?" pintas Haji Syamsul.

"Bolehkah berahsia?" Datuk Zahir memberi respons. "Kalau meletup macam mana?"

"Kau mesti yakin," sahut Haji Syamsul. "Biarlah rahsia."

Kalau begitu, ungkapan tidak bolehkah dirasai sedikit kebahagiaan di hujung usia itu, sudah terjawab. Nampaknya, Datuk Zahir sudah tersenyum. Dia terfikir, kalau sudah dijamin "biarlah rahsia", gadis hitam manis berambut panjang itu boleh dihubungi bila-bila masa. Walaupun usia si gadis itu sudah lanjut, sekitar 35 tahun, tapi dia kelihatan cukup anggun kerana dia adalah seorang pegawai tinggi di sebuah bank di Kuala Lumpur.

"Belum sampai jodoh," kata gadis yang bernama Suhaily itu. "Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tidak, apa nak dikata."

Kerancakan perbualan dalam pesawat KLM KL - Jakarta itu amat menarik. Penerbangan satu jam 45 minit agak lama juga. Dapatlah berbual panjang kerana "rezeki" mendapat tempat duduk bersebelahan dengan Suhaily di tingkat atas bahagian eksekutif itu

Tapi selepas peristiwa itu, Datuk Zahir mula memikirkan sejalur pelangi. Kisah hidup yang penuh kepedihan kerinduan kesepian begini tak ubah seperti sejalur pelangi. Walaupun cantik dan indah mengenang masa lalu, tapi kehidupan itu sudah jauh ditinggalkan.

Seperti sejalur pelangi

melengkung di dada langit

indahnya pancaran warna

siapa tukang lukisnya

langit menjadi kanvasnya

tak nampak tepian

tak nampak hujungnya

dan kehidupan masa lalu

tak ubah seperti pelangi

tak seindah warnanya

kerana ia padam sendiri.

Dan kini, Datuk Zahir sudah meninggalkan Terrace Café dan kolam renang Kelab Saujana. Pemandunya, Zailan, sudah menunggu di hadapan lobi kelab bersama Audi A6 berwarna hitam dengan pintu yang terbuka. Sekejap saja kereta itu sudah berlalu. Tidak diketahui apakah Datuk Zahir masih teringatkan kisah si burung walet yang terlalu gembira, atau mungkin tidak perlu lagi berfantasi mahu meminjam kepak si burung walet untuk mencari sekuntum mawar merah atau mawar biru dari pulau ke pulau.

Datuk Zahir berseorangan di dalam bilik buku "Anjung Ilmu" di rumahnya petang ini. Petang-petang begini, selepas asar sebelum maghrib, amat sesuai sekejap membaca buku bersantai-santai. Cucu-cucunya yang ada tidak boleh mengganggu kerana pintu tertutup rapat. Zulaika pun telah berpesan kepada pembantu rumah, Susanti: "Jangan biarkan budak-budak mengganggu sekitar bilik buku."

Dan tiba-tiba, Datuk Zahir terdengar suara Susanti memanggil-manggil, gopoh-gopoh dan sekejap saja, pintu bilik "Anjung Ilmu" diketuk berkali-kali, kuat sekali. Gegar suara dan ketukan pintu berbaur dengan suara yang bertambah gugup. Datuk Zahir meluru dan terus menguak pintu. Susanti semacam menggigil.

"Datin sakit amat," katanya gugup. "Tolong Datin, tolong Datin."

Datuk Zahir meluru ke bilik Zulaika dan sekejap saja dia sudah terpacak di hadapan katil Zulaika.

"Ya, Allah!" Datuk Zahir terus mencapai telefon bimbit di sisi kepala katil. Tentunya dia menghubungi ambulans. Selepas itu, dia mencapai sebotol air mineral di atas meja kecil di sudut katil, membuka penutup botol itu, dituang sedikit air ke tapak tangan kanan dan dipercik air ke muka Zulaika, dilurut rata-rata ke muka Zulaika yang kelihatan pucat sekali.

"Ika!" Datuk Zahir memanggil. "Ika! Ika!!" terus memanggil-manggil, tapi Zulaika tidak bersuara. Dan Datuk Zahir terus mencapai tangan kiri Zulaika, lalu membelek-belek tapak tangan Zulaika, kemudian ibu jari Datuk Zahir cuba menekan urat nadi di pergelangan tangan Zulaika, tekan lama-lama.

"Oh! masih ada," meletus suaranya.

"Telefon anak-anak di kantor," perintah Datuk Zahir kepada Susanti.

"Baik Datuk," sahut Susanti masih gugup.

"Ika!" Datuk Zahir menepuk-nepuk pipi Zulaika kiri dan kanan. "Ika! Ika!!" diulang berkali-kali, tapi tidak berjawab, hanya kelihatan dahi Zulaika berkerut rapat, menahan kesakitan tentunya.

Dan tiba-tiba, dada Datuk Zahir menjadi sebak, dipaut dan digoncangnya bahu Zulaika. "Ika!" ulangnya, dan ketika itu, Datuk Zahir terus mencium pipi Zulaika kiri dan kanan dengan linangan air mata!

"Ika! Ika!" suaranya bergetar. "Percayalah, abang tak mahu sebarang mawar, kasih pertama tak pernah berakhir. Abang tak mahu sedikit kebahagiaan di hujung usia itu. Sembuhlah, biarlah abang terus menahannya, berkorban sepanjang hayat untukmu."

Di sini, di petang ini, tidak ada si burung walet, tidak ada. Kedengaran jeritan ambulans bertambah hampir ke kawasan elit, Taman Sunway Prima, Bukit Rahman Putra.

WAQWAQ


Katanya dia belayar meninggalkan Basrah setelah peristiwa Yahya bin Abdillah ibn Hasan ibn Ali ibn Abi Talib yang digelar jiwa yang suci hilang daripada tawanan Khalifah Harun al-Rashid. Yahya ibn Abdillah ditahan di rumah Jaffar al-Barmaki dengan Jaffar bertanggungjawab mengawasinya. Tetapi kemudian Yahya ibn Abdillah terlepas lari - dilepaskan oleh seorang wanita demi penghormatan terhadap keluarga Rasulullah s.a.w. Jaffar berkata kepada Harun al-Rashid, "Saya telah melepaskannya". Tidak lama kemudian Harun al-Rashid telah menyingkirkan keluarga Barmaki yang berpengaruh sekian lama dalam istananya. Jaffar al-Barmaki yang membesar bersama beliau dan menjadi penasihat utama Harun al-Rashid dipenggal kepalanya.

Masudi belayar meninggalkan Basrah dan tidak lama kemudian mengalir darah keluarga Barmaki yang dibunuh Harun al-Rashid kerana masalah politik. Harun al-Rashid telah memburu musuh-musuh politiknya termasuk Yahya ibn Abdillah dan para pengikutnya. Ghaliat Masudi membelah Laut Arab meninggalkan gejolak dan kegawatan di wilayah Abbassiah. Ghaliat Masudi mengikuti laluan yang pernah dilalui oleh Abdul Mulk bin Syibab al-Masmai, Panglima Khalifah Al-Mahdi bapa Harun al-Rashid yang menyerang Gujrat di India. Masudi tiba di Gujrat yang terdapat ramai bangsa Arab dan orang Islam setelah melayari Lautan Hindi. Di situ Masudi mendengar kembali cerita tentang negeri yang bernama Waqwaq. Dongeng tentang bidadari yang mempunyai sayap seperti burung didengarnya sejak dia kecil ketika hidup di Basrah. Pelayar-pelayar Arab yang pulang membawa pelbagai barangan juga membawa pelbagai cerita. Cerita-cerita benar bercampur dongeng, mitos dan khayalan mengisi cerita-cerita pelaut di Basrah. Tetapi terdapat cerita tentang Masudi sendiri, yang mungkin juga dongeng. Masudi dikatakan membawa lari Yahya ibn Abdillah dalam kapalnya yang berlepas dari Basrah. Yahya ibn Abdillah, ahlul bait dari nasab Saidina al-Hassan ibn Ali ibn Abi Talib. Tiada siapa yang dapat mengesahkan hal tersebut.

Dia belayar meninggalkan Gujrat. Berpandukan maklumat yang diberikan oleh pedagang-pedagang Arab yang tiba dari China, dia belayar mencari negeri yang dinamakan Waqwaq. Lautan Hindi yang disebut bhar-e-Hind oleh pelayar Arab dilayari dengan ghaliat bersama anak-anak kapalnya, iaitu pelaut yang mereka panggil nawwat. Laut ini mempunyai ikan-ikan besar, ganas dan menakutkan, jika kau belayar pada waktu malam bunyikan loceng untuk menakutkan mereka. Itu kata pedagang Arab yang telah melayari lautan yang penuh misteri ini. Di bhar-e-Hind atau Laut Hargind ini ada ribuan pulau kecil. Dia melencong mengelakkan pulau-pulau kecil dan menuju ke lautan luas. Pelayarannya meredah lautan menuju ke timur jauh. Benar, laut ini mempunyai ikan-ikan besar yang ganas. Semakin jauh dia bergerak ke tengah lautan segara sehingga tidak kelihatan sebarang daratan atau pulau selama berminggu-minggu, semakin banyak ikan-ikan besar dan pelbagai macam hidupan laut menghampiri ghaliatnya. Tetapi loceng yang dibunyikan dengan kuat segera menakutkan ikan-ikan itu. Pada malam hari mereka menyalakan lampu di kapal dan membunyikan loceng apabila mendengar deburan-deburan yang aneh di laut yang gelap.

Bertenggek

Ikan-ikan ini memang menakutkan tetapi ia tidak lebih menakutkan daripada cerita pelaut-pelaut dahulu kala tentang seorang tua yang muncul dari laut, menaiki kapal dan bertenggek di haluan kapal dengan wajah yang tersembunyi di sebalik rambut dan janggutnya yang panjang. Tiada siapa yang berani mendekati. Tidak lama kemudian kapal itu akan musnah diamuk badai. Makhluk aneh dari laut ini muncul untuk memberi petanda buruk. Sukar untuk mereka mempercayainya, tetapi pelaut yang terselamat dari kapal yang karam menceritakan hal ini. Lalu mereka berjaga-jaga agar makhluk apa dari laut itu tidak melompat tiba-tiba dari laut dan bertenggek di kapal mereka.

Dua hari mereka diamuk badai. Entah benar entah tidak, sebelum badai menerpa seorang nawwatnya melihat sesuatu muncul dari laut pada malam yang gelap. Tetapi si nawwat itu segera membunyikan loceng untuk menakutkan makhluk itu. Seorang nawwat lagi tiba dan membaling lembing ke arah makhluk itu. Kebetulan angin agak kuat, lalu ghaliat itu belayar laju. Makhluk itu hilang, tetapi nawwat yang pertama tadi melihat bahawa makhluk seperti manusia itu cuba menaiki ghaliat mereka. Mereka tiba-tiba diserbu rasa seram yang sangat aneh. Keesokan harinya badai tiba-tiba turun seperti gulungan hitam dari langit. Laut bertukar menjadi wajah gergasi yang amat ganas. Ghaliat mereka dilambung dan dihempas seperti sehelai daun di tengah lautan. Dua hari hari dua malam mereka tidak tidur menimba air agar ghaliat tidak tenggelam dan mengharung gelora berperang dengan badai. Hari ketiga badai sedikit reda, dan mereka semua bergilir-gilir berehat.

Dia berehat di dalam kabinnya. Ketika dia memilih untuk menjadi pejuang, dia tidak pernah memaksa sesiapa mengikutinya. Tetapi mereka mengikutinya kerana perjuangan mereka sendiri. Sekarang dia di meja, bau minyak zaitun yang menyalakan api pada lampu pelita melegakan rasa mual dan loyanya selama dua hari diamuk laut. Di atas mejanya, di tepi carta pelayaran terletak istinggar iaitu senjata baru yang boleh membunuh musuh dari jauh. Mengikut pedagang yang ditemuinya di Gujrat, senjata ini dinamakan istinggar dan berasal dari negeri berperadaban tinggi bernama Waqwaq. Namun seorang pedagang Cina yang ditemuinya berkata bahawa senjata itu dimajukan daripada bedil yang direka di China. Waqwaq adalah sebuah negeri yang mana pelabuhannya menjadi tempat persinggahan para pedagang. Tidak mustahil kepandaian orang China telah diambil dan dimajukan untuk merekacipta istinggar ini.

Dua sungai besar mengalir ke Laut Parsi, Bahr-e-Faras dan Khasybat-ul-Basra. Matanya mencari Gujrat. Kota-kota pesisiran pantai Konkan, Cemur, Subarh, Thana dan Khambayat, semua menghadap ke Laut Hargind. Pandangan turun ke timur. Antara Teluk Parsi dan Laut China, carta ini menunjukkan pelbagai tempat yang harus dilalui. Dia mencari di manakah Waqwaq. Tidak ada disebutkan langsung dalam carta ini. Apakah Waqwaq benar-benar wujud atau hanya dongeng daripada pelaut-pelaut yang mabuk digoncang gelombang. Bagaimanapun dia percaya, Waqwaq terletak di pertengahan laluan antara Laut Hargind dan Laut China. Dia mengkaji carta dengan teliti. Dia percaya bahawa dari Gujrat, setelah melalui Khambayat 10 hari pelayaran mereka akan menemui Kalah, kemudian menyusur selat melalui Zabarjad sehingga tiba di Zabaj, dan kemudian Pulau Faulat sebelum membelok belayar lebih 10 hari sehingga bertemu Sinf, dan akhirnya sampai di Jinji, Laut China Selatan sebelum mereka masuk ke China melalui Khanfua.

Peradaban

Dia meneliti dan terdiam sejenak. Pengiraannya menunjukkan bahawa Waqwaq kemungkinan berada antara Kalah dan Zabaj. Dia percaya corak tanah serta kedudukannya menjadikan setompok tanah subur di bawah langit ini melahirkan penduduk-penduduk yang cerdas dan kuat, sehingga mereka terdorong untuk mewujudkan sebuah peradaban yang besar, maju dan hebat. Dia percaya Waqwaq terletak di wilayah yang subur itu. Dia mengukur cartanya, membuat tanda-tanda dan kemudian dilukis garis-garis yang selari. Dia menandakan Kalah, dan menandakan satu titik antara Kalah dan Zabaj. Ya, Waqwaq di situ. Wilayah di sini telah mempunyai peradaban-peradaban besar seawal 500 tahun sebelum tahun Hijrah, atau 1000 tahun sebelum Hijrah lagi. Dia tahu daripada catatan pelayar-pelayar Arab dahulu kala yang mendapat cerita daripada pelayaran mereka ke Timur Jauh.

Setelah seminggu berlalunya peristiwa mereka diamuk badai, sebuah daratan terlihat - Kalah. Ia dikenali daripada Gunung Jerai yang putih disapu kabus. Sebuah kerajaan besar tinggalan peradaban Hindu-Buddha. Ada keinginan yang meluap di dalam hatinya. Ketika berjalan di Zafariah bukankah seorang lelaki membuka pintu dan bertanyanya, 'apa yang kamu cari semalam?'. Dia tidak dapat mengingatnya. Orang itu marah dan menutup pintu. Setelah itu dia teringat permintaannya kepada Tuhan semalam, lalu dia hendak mencari pintu tetapi gagal menemuinya. Kini dia menemui pintu di sini. Pintu untuk dimasuki membawa cahaya Tuhan. Apa yang dapat kau tawarkan untuk mereka menukarkan agama mereka kepada agamamu? Dia melihat ke dalam dirinya. Aku ada sebuku roti dan segelas air. Satu untuk mengenyangkan dan satu menghilangkan dahaga. Itulah kata-katanya, dan kemudian Islam pun masuk ke Kalah, kerana penduduk yang cerdas ini mempunyai kebijakan untuk menerima fikiran-fikiran yang tinggi.

Dia memikirkan bagaimana jika sebuah peradaban besar yang ada di tenggara Asia ini menjadi sebuah tamadun Islam baru yang lebih berkuasa daripada khalifah Abbasiyyah yang memburunya. Dia tidak memikirkan tentang dendam kepada Abbasiyyah yang membunuh keluarga Barmaki, dan memburu semua musuh termasuk keluarga dan pengikutnya dari golongan keluarga Ali r.a. Beberapa kurun kemudian keluarga Ali r.a dari nasab Hussein menjujutkan keturunan Alawiyyah yang digelar Syed. Sementara keturunan Ali r.a dari nasab Hassan seperti dia digelar Sharif. Dia memikirkan tentang bagaimana sebuah peradaban besar ini dapat dimunculkan sebagai tamadun Islam sebagaimana Khurasan dan Parsi bertukar menjadi sebuah wilayah ketamadunan Islam. Suatu hari ketika bersama Raja di Kalah, menonton sebuah persembahan. Tiba-tiba cerita dalam persembahan itu menyucuk hatinya seperti jarum. Ia bercerita tentang putera Sithon berjuang untuk mendapatkan isterinya yang difitnah iaitu Manohara yang pulang kembali ke negerinya. Manohara ialah manusia separuh burung daripada bangsa Kinrara. Beberapa kurun kemudian persembahan ini dikenali sebagai menora. Segera cerita tentang Waqwaq menyeka di dalam kepalanya.

Besoknya dia mengembangkan layar bersama semua nawwatnya meninggalkan Kalah. Antara Kalah dan Zabaj ini dia harus menemukan Waqwaq. Dia telah membuat kiraan mengikut segala garis yang terdapat di carta. Orang Arab telah mencipta alat pelayaran yang paling ajaib di dunia. Ketika mereka perlu memastikan arah selain daripada bergantung kepada buruj dan bintang, mereka menggosok sebatang besi sehingga mengeluarkan daya aneh yang boleh menariknya kepada arah utara. Besi itu diletakkan di dalam air lalu berpusing ke arah utara, lalu mereka namakan qutb numa. Sejak itu qutb numa menjadi alatan paling maju dan berharga buat pelayar-pelayar Arab. Tetapi bukankah Nabi Daud a.s mengajar bagaimana menggosok kotak yang mempunyai jarum besi, dan akhirnya mengajar tentang sifat-sifat besi? Dengan menggunakan qutb numa dia membawa ghaliatnya ke Waqwaq.

Mereka akhirnya menemui Waqwaq, benar ia sebuah peradaban maju di Tenggara Asia. Manusia burung hanya dongeng. Bangsa ini sebangsa dengan bangsa di Kalah, Zabarjad, Zabaj dan wilayah tenggara yang luas ini; berkulit putih dan sawo matang, oleh perubahan cuaca di garis khalulistiwa. Ketinggian mereka sederhana, kuat berjuang dan mempunyai kecerdasan yang luar biasa. Mereka telah membangunkan sebuah peradaban yang maju dengan senibina kapal, alat-alat senjata serta susunan masyarakat yang teratur. Di suatu muara, dia menemui perkataan Melayu yang juga pernah melambangkan sebuah kerajaan besar yang berdiri lebih dua kurun sebelum tahun Hijrah. Lalu peradaban Asia Tenggara mendapat pengenalan baru, iaitu Melayu yang melambangkan tamadun Islam.

Mencipta

Bangsa Melayu ini mencipta istinggar iaitu senjata yang boleh menembak dan membunuh dari jauh dengan letupan yang dahsyat. Mereka juga mencipta istinggar yang lebih pendek disebut pemuras dan terakol, selain lela rentaka yang lebih besar ditembak dan mengeluarkan daya pemusnah yang luar biasa hebatnya. Pada abad terkemudian istinggar ciptaan bangsa Melayu menjadi asas kepada penciptaan senapang atau rifal di Eropah, dan pemuras serta terakol yang mula-mula dicipta oleh bangsa Melayu menjadi moyang kepada pistol yang dicipta oleh bangsa Eropah. Ukuran bangsa Melayu yang berasaskan 12, termasuk ukuran tahun dalam daur Melayu juga menjadi ukuran orang-orang Inggeris seperti kaki dan inci, bahkan ukuran ela menjadi asas kepada ukuran yard Inggeris. 200 tahun kemudian tanah Waqwaq muncul sebagai tamadun Melayu-Islam yang besar di Asia Tenggara, 200 tahun lebih awal dari sejarah yang dicatatkan secara rasmi kemudiannya.

Dia membaca daripada ilmu ahli kaji manusia bangsa Arab, bahawa bangsa Melayu yang cerdas dan berhati baik ini memang sedia asal wujud di wilayah ini. Mereka bukan bangsa pendatang dari Yunan atau dibina oleh peradaban India. Sebaliknya bangsa Melayu ini yang belayar ke wilayah yang jauh dan mengambil segala kebudayaan luar masuk ke wilayah mereka, sehingga menjadikan mereka maju dan cerdas. Beberapa abad kemudian orang Eropah yang keluar daripada kegelapan sesudah Perang Salib telah menakluki bangsa Melayu dan mencipta sejarah palsu di wilayah ini. Seabad setelah itu pendatang-pendatang dari wilayah China dan India dibawa masuk ke wilayah bangsa Melayu untuk menyempurnakan sejarah palsu yang dicipta oleh penjarah Eropah. Wilayah alam Melayu tiba-tiba menjadi milik semua orang, sehingga bangsa Melayu tidak ada hak lagi untuk menyatakan wilayah ini ialah wilayah asal Melayu-Islam tanpa dituduh bersifat perkauman dan pelampau.

Pada zaman yang kemudian, ditemui batu nisan seorang wali berbangsa Arab di Pekan, Pahang bertarikh tahun 419Hijrah bersamaan tahun 999Masehi - sezaman dengan Masudi. Kemasukan orang Arab ke Pahang adalah sama ada yang datang dari China atau dari Melaka. Masudi hanya belayar sehingga ke Gujrat, dan kemudian pulang semula ke Basrah, meninggalkan ghaliatnya di Gujrat. Ghaliatnya belayar menuju ke Timur Jauh, oleh nakhoda yang tidak dikenali. Masudi menulis cerita tentang negeri yang bernama Waqwaq di mana tinggalnya puteri-puteri jelita separuh manusia separuh burung. Tidak dipastikan dengan jelas di manakah letaknya Waqwaq. Ada yang mengatakan letaknya di Zanzibar, Amazon, Seychelles, Madagaskar, Jawa, malah Melaka, atau China. Pelayar-pelayar Arab terkemudian menamakan Pulau Jepun sebagai Waqwaq. Tetapi pada hakikatnya Waqwaq yang asal tidak pernah diketahui dengan pasti letaknya. Masudi yang pulang ke Basrah, segera berbaik-baik dengan golongan Abbasiyyah dan tuduhannya melepaskan Yahya bin Abdillah seorang ahli sufi, pejuang dan keturunan Hassan ibni Ali bin Abi Talib itu lenyap begitu sahaja. Dan sejarah-sejarah yang berlaku ketika itu juga dilenyapkan begitu sahaja, termasuk apa yang berlaku di timur jauh, di Kalah, Zabarjad, Zabaj, Faulat, Sinf dan Waqwaq. Nama-nama ini kemudian dikenali sebagai Kedah, Sumatera, Jawa, Temasik, Champa dan Melaka - sebuah wilayah ketamadunan Melayu-Islam yang hanya dicatat muncul pada abad ke-15, lewat dua kurun daripada sejarah yang sebenar.

Sejarah adalah milik pihak yang menang.

Hadiah terindah Norman dan Memey


Pasangan merpati dua sejoli ini bakal disatukan sebagai suami isteri pada 24 September depan.


BAGAI bulan jatuh ke riba. Itulah perasaan Norman Hakim, 35, apabila ditanya tentang persiapan majlis resepsinya bersama bakal isteri, Memey Suhaiza Suhaimi, 23, yang akan berlangsung pada 28 September ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur.

Bakal pasangan suami isteri itu hanya bawa tubuh sahaja kerana dari hujung rambut sampai kaki, semuanya ditaja tanpa perlu keluar sesen.

Kata Norman, dia tidak pernah menduga majlis perkahwinan yang dirancang oleh perunding perkahwinan Bill Bora bakal menjadi begitu gah serta di luar jangkauannya dan Memey yang hanya bercadang mengadakan majlis secara sederhana.

Norman yang bakal bernikah dengan Memey selepas Asar pada 24 September ini, di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor, menganggap majlis yang ditaja sepenuhnya oleh Rafflesia The Pearl Centre, sebagai hadiah yang terindah.

“Kami tidak pernah termimpi bakal dirai dalam satu majlis gilang gemilang. Bagi saya apa yang dilakukan oleh pihak Rafflesia dan penaja-penaja lain adalah di luar jangkaan.

“Saya dan Memey tidak terfikir untuk buat majlis begitu gah. Bila dapat tahu kos perbelanjaannya sampai RM12 juta, saya jadi takut. Adakah saya bermimpi atau kenyataan. Ini adalah rezeki yang tidak diduga,” katanya teruja.

Jelasnya, kalau ikut perancangan, mereka hanya tumpukan perhatian pada majlis wajib selain majlis khatam al-Quran serta berinai yang akan dilakukan di sebelah pihak perempuan sebelum bersanding pada 25 September ini.

Kata Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, untuk majlis di Kota Tinggi, ada juga tajaan daripada beberapa pihak dan justeru itulah dia dan Memey tidak dapat menahan perasaan gembira.

“Apa yang boleh saya kata adalah syukur. Allah memberikan rezeki yang banyak kepada kami setelah apa yang telah kami lalui sebelum ini. Bagi saya ini bukanlah satu perkahwinan perniagaan tapi kerjasama antara dua pihak. Orang lain kalau mendapat peluang sebegini pun tidak akan menolak,” katanya.

Norman yang bakal bergaya dengan sut rekaan daripada Lord‘s Taylor berkata, hasil daripada perbincangan yang tercetus sejak tiga minggu lalu, mereka juga diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan.

Bagaimanapun, katanya, apa yang dikemukakan oleh penaja tidak ada bantahan daripadanya dan Memey kerana semua yang terbabit dalam perancangan majlis tersebut merupakan pakar dalam bidang masing-masing.

Dalam pada itu, Norman ketika ditanya adakah dia akan mengundang bekas isteri, Abby Abadi untuk hadir ke majlis respsinya kelak.

“Insya-Allah, saya akan undang dia dan anak-anak ke majlis itu nanti tetapi terpulanglah kepadanya,” katanya yang turut mendapat ucapan tahniah daripada Abby.

Sementara itu, Memey yang mengikuti kursus perkahwinan di Bangsar pada minggu lepas berkata, apa yang bakal dilalui umpama mimpi kerana tidak pernah terlintas di fikirannya akan memakai pakaian bernilai RM500,000.

“Terasa diri seperti bidadari. Tidak pernah Memey mengenakan pakaian semahal itu. Itulah yang dikatakan rezeki kerana tidak semua orang berpeluang. Bagi Memey, majlis yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur itu merupakan hadiah paling bermakna,” akuinya.

Memey yang bakal bercuti dua minggu daripada berlakon untuk menumpukan perhatian pada persediaan majlis di kampung berkata, acara di Johor lebih berkonsep perkahwinan taman.

Pas cukup profesional bohongi rakyat


KUALA LUMPUR 25 Julai - Pembohongan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, mengenai insiden kononnya beliau dilanggar kenderaan pacuan empat roda polis pada 9 Julai lalu, membuktikan parti itu kini cukup profesional dalam membohongi rakyat demi meraih simpati.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamad Sabu kerana berjaya muncul sebagai pelakon politik terbaik, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, begitulah rupa bentuk pemimpin masa hadapan Pas, yang sanggup menghalalkan apa sahaja demi kuasa.

"Saya ucapkan tahniah kepada Mat Sabu (Mohamad) kerana muncul sebagai pelakon terbaik politik sehingga beliau mendapat simpati daripada penulis-penulis media maya yang percaya dengan lakonan itu. Inilah rupa bentuk pemimpin masa depan sebuah parti kebajikan.

"Beliau tokoh profesional yang diketengah untuk berkombinasi dengan ulama. Ternyata profesionalisme Mat Sabu (dalam berbohong) adalah contoh terbaik mengenai kepimpinan Pas sekarang," katanya kepada pemberita di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Mohamad yang secara tiba-tiba mengubah pendirian selepas polis mendedahkan rakaman sebenar mengenai insiden 'langgar' ketika Timbalan Presiden Pas itu menyertai demonstrasi haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 9 Julai lalu.

Beliau yang mulanya mendakwa dilanggar kenderaan pacuan empat roda kemudian menukar dakwaan dilanggar kereta peronda jenis Proton Waja, selepas rakaman mendedahkan Timbalan Presiden Pas itu terjatuh daripada motosikal akibat terlanggar pembahagi jalan.

Ditanya mengenai tindakan Mohamad menukar pendirian itu bererti dia mempercayai bukti dari rakaman video, sekali gus berbeza pandangan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang hanya menganggap video sekadar besi, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu campur dalam soal itu.

"Soal antara Mat Sabu dan Hadi Awang saya tidak mahu campur, itu urusan parti berkenaan. Apa yang penting, saya minta masyarakat menilai siapa yang bercakap benar dalam isu ini dan berilah sokongan kepada parti yang terbukti memerintah dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga mempunyai rakaman video mengenai pelbagai bentuk lakonan oleh pemimpin politik pembangkang ketika mereka menyertai demonstrasi Bersih dan berjanji akan mendedahkan pada masa yang sesuai.

Bagaimanapun, ketika ditanya apakah ia bermakna Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai rakaman video tersebut, beliau sekadar berkata: "Saya tidak kata ATM, saya kata kita juga mempunyai video berkenaan, ia diserahkan oleh rakan-rakan dan orang awam."

Politik DAP dalam proses kelulusan tanah merugikan rakyat


BUKIT MERTAJAM 25 Julai - Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa berhenti bermain politik dalam proses kelulusan tanah bagi pelaksanaan projek perumahan kos rendah dan sederhana oleh kerajaan Pusat di negeri ini kerana ia hanya akan merugikan rakyat.

Ini kerana sebagai kerajaan yang sering melaungkan prinsip ketelusan, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepatutnya tidak mengamalkan sikap pilih kasih kepada pemaju yang ingin membina rumah mampu milik demi kemudahan rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, jika kerajaan negeri tidak mahu membina rumah kos rendah atau sederhana, jangan pula menyekat hasrat kerajaan Pusat untuk membina rumah tersebut melalui agensi-agensinya.

Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Exco bertanggungjawab serta pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa meluluskan permohonan tanah serta kebenaran merancang yang boleh dipermudahkan tanpa perlu dirujuk kepada One Stop Agency (OSA) negeri yang dipengerusikan Guan Eng sendiri.

"Agensi kerajaan Pusat seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), UDA Holdings Berhad, Majlis Amanah Rakyat (Mara), JKP Sdn. Bhd. dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) tidak pernah meminggirkan penduduk negeri ini.

"Komitmen mereka dapat dilihat menerusi pembinaan 1,500 rumah kos rendah dan sederhana di seluruh negeri ini biarpun Pulau Pinang diperintah DAP sejak 2008," katanya selepas program tinjauan mesra Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di Pasar Awam Taman Selamat dekat sini hari ini.

Akhbar semalam menyiarkan kenyataan Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim yang mendakwa birokrasi kerajaan negeri telah menyebabkan berlaku kelewatan kelulusan permohonan untuk membolehkan agensi itu melaksanakan projek pembangunan termasuk pembinaan rumah mampu milik.

Azhar mendakwa, sejak pembangkang mentadbir Pulau Pinang, setiap projek perumahan rakyat yang dibina oleh agensi-agensi kerajaan Persekutuan terpaksa melalui banyak proses tapisan sebelum diluluskan dan ia berbeza dengan prosedur bagi projek perumahan swasta yang diluluskan begitu mudah dan cepat oleh PBT.

Zainal Abidin menambah, kerajaan Pusat mempunyai pilihan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di negeri-negeri yang diperintah BN, namun mereka tidak sesekali mahu meminggirkan penduduk Pulau Pinang.

Justeru katanya, projek terbabit tetap dibawa ke Pulau Pinang kerana menyedari keperluan rakyat negeri ini memiliki rumah, tetapi usaha itu sering tergendala ekoran kerenah kerajaan negeri yang lebih gemar bermain politik.

"Hasrat kerajaan Pusat adalah untuk memastikan keselesaan hidup penduduk melalui pembinaan rumah mampu milik agar dapat menikmati kehidupan lebih baik dengan memiliki rumah sendiri. Kerajaan Pusat berharap ia dapat dibina sebanyak mungkin kepada penduduk yang memerlukan.

"Sekiranya kerajaan negeri terus bermain politik dan hanya memikirkan undi pilihan raya sehingga sanggup meminggirkan kebajikan rakyat, ia pastinya sukar dilaksanakan," ujarnya.

Kecewa pemimpin sokong Bersih, ahli Pas sertai UMNO


PASIR PUTEH 25 Julai - Kecewa dengan tindakan pemimpin Pas menyokong demonstrasi jalanan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), seramai 20 ahli parti itu termasuk seorang bekas penghulu bertindak menyertai UMNO.

Mereka menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dalam majlis 'Selamat Tinggal Pas Kami Kecewa Pas Sokong Ambiga' di Kampung Alor Pasir di sini, malam tadi.

Menurut bekas Penghulu Mukim Gong Nangka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Zakaria Mat Husin, 53, orang Melayu sebenarnya tidak mempunyai pilihan kecuali bersatu kembali dalam perjuangan UMNO untuk membela nasib agama dan bangsa.

Beliau berkata, hala tuju perjuangan Pas sekarang sering berubah kerana kepentingan politik walaupun bercanggah dengan prinsip asal perjuangan parti itu.

"Lebih mendukacitakan apabila wujud sikap mementingkan kroni daripada tuntutan agama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis tersebut.

Zakaria yang menyandang jawatan penghulu selama 10 tahun berkata, lebih memalukan orang Melayu dan umat Islam apabila Pas sekarang sanggup diperkuda oleh musuh Islam sendiri sebagaimana berlaku dalam perhimpunan haram 9 Julai lalu.

"Menyedari hakikat itu, saya akan berusaha menarik kira-kira 1,400 pengundi Pas dalam kawasan Peti Undi Gong Nangka supaya memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak," katanya.

Bekas Ketua Pemuda Pas Cawangan Alor Pasir, Mohd. Jizi Omar, 30, turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang sanggup bersubahat dengan Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga.

"Sedangkan kita tahu Ambiga banyak menentang perjuangan Islam sebelum ini," ujarnya.

Bekas ahli Pas cawangan berkenaan, Robiah Omar, 40, pula berkata, dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pas Kelantan setelah lebih 20 tahun memerintah hanya dibuat mengikut selera dan kepentingan politik, bukan kerana agama.

"Ini termasuk tidak membenarkan wanita menyertai tilawah al-Quran dengan alasan suara wanita aurat tetapi pada masa yang sama membenarkan kaum wanita menjadi wakil rakyat bersyarah di sana sini," dakwanya.

Isnin, 25 Julai 2011

Kerajaan Yang Baik: BN Perak Gagal

Oleh Dewan Pemuda PAS Perak

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penuh titah Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam memastikan pihak kerajaan yang memerintah agar peka dan berusaha memenuhi tanggungjawab sosial kepada rakyat akan terus dihormati dan mendapat kepercayaan, sebaliknya rakyat secara natural akan mengalihkan sokongan jika tanggungjawab itu gagal disempurnakan merupakan signal kepada kegagalan Barisan Nasional (BN) dalam meneruskan pemerintahan semenjak selepas kemerdekaan Negara lagi sehingga ke hari ini.

Dengan melihat temubual Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir bersama Laman Web Perak News baru-baru ini, beliau menjelaskan telah berjaya menyelesaikan pelbagai masaalah sebelum ini dan bermakna sepanjang pemerintahan BN Perak sebelum rampasan kuasa 11 bulan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) juga telah dikatakan berjaya diselesaikan oleh BN. Sebenarnya dakwaan Datuk Seri Zambry mengesahkan bahawa sebelum PR memerintah Kerajaan Negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke - 12 yang lalu, terlalu banyak masalah tertunggak yang ditinggalkan oleh BN sebelum itu.

Termasuk ketika Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali sebagai Menteri Besar negeri Perak dahulu banyak masalah yang gagal diselesaikan walaupun Datuk Seri Zambry sebagai EXCO Kerajaan Negeri pada ketika itu. Ditambah pula, berdasarkan sejarah keengganan bapa Tan Sri Tajol Rosli iaitu Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi pada tahun 1974 dahulu sebagai Menteri Besar yang tidak menerima titah Sultan Perak, Sultan Idris Shah untuk meletakkan jawatan telah menyebabkan semua urusan pentadbiran kerajaan negeri lumpuh dan banyak fail-fail tertunggak yang menimbun akibat perkara tersebut.

Dengan nada mendabik dada, Datuk Seri Zambry lupa akan sejarah yang rakyat boleh menilainya sendiri siapakah yang pemerintah kerajaan yang terbaik berbanding 11 bulan pemerintahan PR yang disifatkan oleh Datuk Seri Zambry sebagai gagal untuk dibandingkan dengan lebih 50 tahun BN memerintah. Sudah pasti mesej yang dititahkan oleh Sultan Azlan Shah adalah kepada semua pemegang jawatan Menteri Besar sehingga kini yang perlu bermuhasabah demi kesejahteraan rakyat jelata.


SALMAN HAJI SALEH
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Teoh ‘bunuh diri’: Fakta atau Fantasi?

Oleh Kim Quek

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI – Royal Commission of Inquiry) berhubung kematian Teoh Beng Hock, pembantu peribadi seorang Ahli Dewan Undahttp://www.thenutgraph.com/user_uploads/images/2009/07/20/TeohBengHock-sketch500.jpgngan Negeri Selangor, membuat kesimpulan bahawa beliau membunuh diri.

Dan apakah sebab seorang anak muda yang mempunyai masa depan dan kareer politik yang cerah meragut nyawanya sendiri?


RCI menyediakan jawapannya dalam (perenggan 232 Laporan RCI) hasil siasatannya, yang merujuk kepada peringkat akhir beliau disoalsiasat bertubi-tubi sepanjang malam hingga ke dini hari di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam pada 15 Julai 2009.

“Teoh mengalami perubahan dalam kedudukan fikirannya. Dalam dalam tempoh beberapa jam sahaja, berlaku transformasi dalam diri beliau, dari kumpulan berisiko rendah kepada kumpulan berisiko tinggi untuk melakukan tindakan membunuh diri,” kata laporan itu.

Perubahan dalam diri Teoh dalam tempoh yang singkat yang didakwa oleh laporan itu seperti keraguan, ketidaktentuan, konflik dalam diri, tekanan emosi yang keterlaluan dan rasa bersalah yang amat sangat, kesemuanya tidak dapat diterima.

Memandangkan dirinya tidak mempunyai alasan yang mampan untuk menangkis segala tuduhan terhadapnya, beliau mendapati dirinya tidak dapat mencari jalan keluar dari perangkap yang dilaluinya, kata laporan itu lagi.

Apabila beliau hilang semua harapan, Teoh merasakan dirinya terperangkap, hilang segala harapan maka beliau terjerumus dalam kehampaan dan kesengsaraan.

Teoh mendapati jalan keluar yang ada dari kesengsaraan yang beliau hadapi ialah dengan melompat dari tingkap, walaupun ini bermakna nyawanya melayang.”

Berdasarkan dari keseriusan perasaan sengsara yang digambarkan oleh RCI, seseorang akan menyangka bahawa Teoh didakwa atas kesalahan menyalah guna dana awam yang melibatkan berjuta ringgit.

Dan beliau menghapati tekanan jiwa dan menghadapi saat harga diri diaibkan, orang-orang yang disayangi, partinya dan kerajaannya, demikian menurut laporan itu.

Nampaknya, tidaklah sedemikian rupa.

Tuduhan remeh dan meragukan

Teoh sebenarnya dibawa oleh SPRM sebagai saksi untuk membantu siasatan berhubung tuduhan (yang belum lagi dibuktikan kesalahannya) yang dihadapi bosnya kerana menyalah guna dana awam sebanyak RM2,400, yang didakwa digunakan untuk membeli bendera yang tidak pun diterimanya.

Jika anda seorang yang baru mengetahui tentang kes ini, anda tentu melahirkan rasa terperanjat dan tidak percaya bahawa perkara yang begitu remeh boleh menyebabkan seorang aktivis politik yang berwibawa membunuh diri.

Tetapi RCI berfikir sebaliknya, di mana mereka mengutarakan berbagai sebab, yang utama disimpulkan dalam perenggan 230 laporan itu, di mana saya memetik sepenuhnya:

“Tahap tekanan emosi yang bertalu-talu dalam siasatan mungkin membawa kepada kesangsian dalam kotak pemikiran Teoh berhubung tugasnya sebagai setiausaha politik Ean Yong Hian Wah.

“Menandatangani sendiri dokumen dengan menggunakan cop rasmi Ean, ketiadaan tiga sebutharga sebelum memberi projek atau program, dakwaan rasuah terhadap DAP, pemberian secara runding terus projek, dan menetapkan harga kepada barangan yang diperlukan untuk projek-projek, juga membebankan pemikirannya.”

Sebelum itu, RCI menjelaskan dalam laporannya bahawa pegawai-pegawai SPRM membuli Teoh dengan pelbagai tuduhan-tuduhan palsu terhadap salah laku, yang beliau tidak lakukan.

Ini termasuk Teoh menandatangani dokumen dengan menggunakan rubber stamp Ean (walaupun beliau tidak bersalah kerana namanya berada dalam dokumen itu dan beliau berbuat demikian bagi pihak bosnya).

Begitu juga dengan pemberian kontrak setelah mendapatkan tiga sebutharga (walaupun peraturan ini dimansuhkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk projek di bawah nilai RM20,000 boleh diberi secara runding terus tetapi Teoh tidak biasa dengan peraturan ini.)

Kejadian-kejadian lain yang menyebabkan kerungsingan Teoh, pada pendapat RCI ialah pengambilan telefon bimbitnya di mana Teoh begitu bergantung padanya dan pendedahan nombor password kepada akaun e-melnya, membolehkan akses kepada hal peribadinya.

Integriti Teoh, Ean terus mantap

Bagaimanapun, RCI dalam percubaannya untuk merendahkan kredibiliti Teoh menyatakan bahawa Teoh “mempunyai semangat yang lemah” (perenggan 229, laporan RCI). RCI lupa bahawa bahawa integriti Teoh dan bosnya tetap kukuh dan Teoh sedar akan hal ini.

Malahan, ketika Teoh disoalsiasat, beliau sudah biasa dengan taktik SPRM yang cuba mencari kesalahan terhadap para pemimpin Pakatan Rakyat yang telah berjalan sejak sekian lama, sebagai sebahagian dari strategi Barisan Nasional untuk mengucar-kacirkan kestabilan kerajaan negeri Selangor.

Dalam keadaan sedemikian, walaupun SPRM berjaya menimbulkan keraguan dalam dirinya Teoh melalui tuduhan-tuduhan palsu seperti yang digariskan dalam perenggan 230, ini hanya berbentuk teknikal semata-mata.

Tidak ada elemen ketidakjujuran dalam kes ini, sama ada Teoh atau Ean telah mengambil wang.

Oleh itu, bagaimana RCI boleh membuat kesimpulan bahawa tuduhan palsu berhubung salah tingkah laku yang kecil telah menyebabkan Teoh berada dalam situasi “konflik emosi yang teruk”, “perasaan bersalah yang keterlaluan”, “tidak menaruh sebarang harapan”, dan “terjerumus ke dalam kesengsaraan”?

Ketika membuat kesimpulan ini, adakah RCI telah membuat satu lompatan yang jauh ke sebuah negeri yang penuh dengan fantasi?

Dari sudut mana pun kita melihatnya, Teoh merupakan seorang anak muda yang mempunyai integriti dan penampilan diri yang menarik dan sedang menanti hari perkahwinan di mana tunangnya sedang mengandungkan anaknya.

Adakah seseorang itu akan melompat dari tingkat 14 bangunan semata-mata kerana dia disoalsiasat secara tidak adil dan saksama oleh pegawai-pegawai kerajaan?

Profesor Paul Edward Mullen, Profesor Emeritus Psychiatri Forensik Universiti Monash, yang dibawa untuk menyediakan laporan itu, memberi jawapannya apabila beliau menyatakan (dalam perenggan 209 Laporan RCI):

“Teoh berada dalam kumpulan berisiko yang rendah untuk membunuh diri apabila beliau berada dalam tahanan SPRM. Jika benar Teoh…..membunuh diri, beberapa perkara telah berlaku untuk menggugat kestabilannya dari sudut psikologi dan percubaan menakut-nakutkannya berdepan dengan kematian.”

Adakah benar Teoh ditakut-takutkan dengan kematian dengan antik soalsiasat yang dilakukan, dengan kejam, yang dijalankan oleh pegawai-pegawai SPRM berhubung dengan kes yang remeh dan tuduhan yang meragukan itu?

Laporan pakar sakit jiwa tidak tepat

Mengenai laporan daripada pakar sakit jiwa, adalah mengecewakan apabila RCI memilih untuk memetik bahagian yang tidak tepat untuk memberi gambaran seolah-olah pakar-pakar ini menyokong tindakan bunuh diri.

Namun kenyataan akhbar dari Majlis Peguam yang memetik dari laporan ini tidak pula menyokong teori bunuh diri.

Mengenai laporan Profesor Mullen, Majlis Peguam berkata, “beliau berpendapat peristiwa-peristiwa yang menjadi pertikaian yang telah berlaku bukannya membawa kepada tindakan bunuh diri dalam tahanan.

Namun demikian beliau berkata beliau tidak dimaklumkan apa-apa keadaan panik dan tekanan yang dikira wajar untuk mendorong Teoh memelihara maruah diri yang sudah tercemar.

Dan laporan bersama pakar sakit jiwa Dr Badiah Yahya dan Dr Nor Hayati Ali, yang hadir pada prosiding mahkamah dan mewawancara mereka yang rapat dengan Teoh, turut menyatakan status Teoh berada pada risiko yang rendah untuk tindakan membunuh diri.

Laporan mereka menyebut:

“Kami tidak mempunyai bukti bagaimana siasatan dijalankan kerana tidak ada soalan bertulis dikemukakan kepada Teoh atau rakaman audio bagi mengesahkan tahap tekanan yang beliau alami.”

Adalah tidak jelas sama ada beliau mengalami dalam fikirannya kesan kemungkinan dijatuhkan hukuman berhubung tuduhan-tuduhan itu, sama ada sesuatu yang mendatangkan bencana kepada dirinya dan/atau pertubuhannya.”

Meskipun dua pakar sakit jiwa ini bertegas bahawa tidak ada bukti yang boleh dipercayai bahawa Teoh membunuh diri, RCI tetap berkeras untuk menggunakan pemerhatian kedua-dua pakar ini bagi mencadangkan terdapat unsur membunuh diri.

Pakar-pakar sakit jiwa itu mendapati Teoh menerima tekanan emosi berhubung dua peristiwa di bawah berhubung soalsiasat SPRM terhadapnya:

  • Teoh terpaksa mempercepatkan tarikh perkahwinannya selepas mendapati tunangnya mengandung.
  • Pengumpulan maklumat oleh SPRM dari Pejabat Tanah dan Daerah menggambarkan seolah-olah terdapat salah guna peruntukan oleh bosnya, Ean.

Kehabisan modal

RCI terpaksa mengggunakan dua peristiwa ini bagi menyokong kesimpulannya mengenai tindakan bunuh diri dan ini menunjukkan bbahawa RCI kehabisan modal untuk menyakinkan orang awam yang masih ragu-ragu.

Mempercepatkan tarikh perkahwinan akibat kandungan yang tidakbdirancang adalah perkara biasa dan diterima dalam masyarakat btempatan, dan tidak sepatutnya menjadi isu, mahupun ianya mendatangkan krisis terhadap emosi.

Para pegawai SPRM yang melawat pejabat-pejabat kerajaan untuk mendapatkan bukti bagi membabitkan para pemimpin Pakatan Rakyat sudah lama dikenali sebagai ‘modus operandi’ untuk mensabotaj kerajaan negeri Selangor dan Teoh sudah tidak hairan dengan perkara ini.

Walaupun laporan RCI mendapati Teoh sebenarnya membunuh diri namun ianya tidak menyakinkan.

Bagaimanapun, suruhanjaya itu telah menjalankan tugasnya dengan baik apabila mendedahkan salah guna kuasa dan salah laku pegawai-pegawai SPRM, sepertimana jua dalam institusi-institusi yang lain, yang sentiasa dinafikan oleh para pemimpin politik yang korup sejak sekian lama.

Sekiranya RCI berlaku jujur dalam menyiasat kes kematian Teoh ini, sepertimana yang dilakukan dengan mengkritik salah urus tadbir dalam SPRM, ini bermakna RCI memberi perkhidmatan yang baik dan malah membantu tuan-tuan politiknya.

Ini kerana para pengundi akan percaya terhadap parti pemerintah yang bersungguh-sungguh ingin mendedahkan kebenaran, lebih penting dari segi moral, walaupun ianya pahit untuk ditelan.

Namun begitu, Teoh dalam kematiannya akan terus menuntut keadilan daripada para pemimpin politik yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap kematiannya.

Bersih 2.0 :Drama kejar mengejar aku, Mat Sabu, polis

Oleh Mohamed Hanipa Maidin

Kali ini aku ingin ber­kongsi cerita pra, semasa dan pasca himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. Kita mulakan dengan fasa prhttp://tvsnews.net/v1/images/news_images_upload/mat%202.jpga perhimpunan. Aku dan Mat Sabu berada di luar negara kerana bererehat sebentar dek terlalu banyak kes Mahkamah yang melibatkanku (peguam) dan Mohamad Sabu atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu (anakguam) yang juga Timbalan Presiden PAS.



Di luar negara kami berbincang adakah Mat Sabu perlu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Julai iaitu sehari sebelum Himpunan Bersih. Mat Sabu agak risau dicekup pada 8 Julai di Pulau Pinang maka ter­lepas untuk menyertai himpunan Bersih. Aku katakan pada Mat Sabu bahawa kami perlu hadir pada 8 Julai di mahkamah.

Maka pada hari tersebut, kami berdua berlepas ke Pulau Pinang dari Lapangan Terbang Subang pada jam 6.55 pagi. Di Pulau Pinang aku dan Mat Sabu hadir di Mahkamah Tinggi bagi rayuan kes oleh Pendakwaraya ke atas keputusan Mahkamah Majistret di Jawi yang membebaskan Mat Sabu dan sembilan yang lain. Tapi jahatnya pihak pendakwaraya, mereka hanya merayu kes Mat Sabu sahaja.

Alhamdulillah di Pulau Pinang Mat Sabu tidak ditangkap. Ramai yang menyapa Mat Sabu tanpa mengira bangsa di Pulau Pinang dan semua bersemangat bercerita tentang Bersih dan tindakan polis yang mereka kata agak kururang siuman. Jam 6.30 petang, kami sampai di Subang. Kenderaan dan petugas keselamatan PAS menanti kami. Di Lapangan Terbang Bayan Lepas, kami membeli baju warna kuning yang bakal dipakai di perhimpunan Bersih 2.0 keesokan harinya.

Pemandu yang membawa kami beritahu banyak sekatan jalan polis dan jika naik kereta tidak selamat. Dua buah motosikal disediakan untuk kami. Sampai di sebuah stesen minyak, Mat Sabu membonceng motosikal untuk dibawa ke sebuah hotel di ibu kota dan aku pula dibawa ke rumah. Kami berjanji akan jumpa malam itu di hotel.

Sebaik sahaja sampai di rumah, aku membersihkan diri dan jam 12 malam berjumpa Mat Sabu di sebuah hotel di ibu kota.

Pagi 9 Julai, aku tinggalkan Mat Sabu di bilik hotel dan turun minum. Aku hanya berseluar jeans hitam dan ber­baju T merah (tapi bukan Patriot). Aku minum di gerai mamak tidak jauh dari hotel. Ramai ahli PAS turut minum dan menyapaku. Kepala aku hanya memikir satu perkara; bagaimana nak melepasi banyak sekatan jalan polis? Aku dan Mat Sabu saling ber­hubungan melalui SMS (khidmat pesanan ringkas).

Tiba-tiba aku terima SMS dari sahabat PAS Johor yang secara kebetulan dapat maklumat daripada seorang kawan lain yang berada di hotel penginapan Mat Sabu. SMS itu berbunyi; “Beritahu akhie Hanipa jangan balik ke hotel kerana polis sedang cari dia.”

Aku forwardkan SMS itu kepada Mat Sabu. Aku minta kawan yang minum bersama aku untuk lihat keadaan di hotel. Kawan aku pergi ke hotel dan beritahu ramai polis berkeliaran. Aku menelefon Dr Mohd Hatta Ramli dan beliau minta aku dan Mat Sabu ke Masjid Negara jika boleh lepas dari kepungan polis. Aku beritahu Mat Sabu apa yang Dr Hatta beritahu. Mat Sabu kata kita ke sana untuk solat Zohor. Maka petugas keselamatan menyediakan dua motor dengan dua penunggang. Aku naik satu motor dan Mat Sabu naik satu motor yang lain.

Sebaik sahaja Mat Sabu berjaya turun ke bawah (polis tidak menyedari Mat Sabu sudah terlepas), kedua-dua motor memecut deras membawa kami. Aku amat gayat membonceng motor yang dipandu laju. Tiba-tiba motor yang membawa Mat Sabu berhenti kerana dalam jarak 100 meter ada sekatan jalan polis. Kami cuba masuk ke kawasan perumahan dan tidak semena-mena kenderaan pacuan empat roda polis dan dua kereta peronda meluru laju dan membrek di hadapan motor kami.

Kami cuba berpatah balik tetapi dikepung dan pacuan empat roda polis dengan sengaja melanggar motosikal yang dinaiki Mat Sabu. Aku nampak bahagian depan jip Pajero itu melanggar kaki Mat Sabu.

Kedua-dua motosikal yang kami naiki jatuh dan beberapa anggota polis bertindak ala gangster menerpa kami sambil berteriak. Aku dijatuhkan dan muka aku ditekan oleh polis sehingga ter­kena roda motosikal. Aku lihat Mat Sabu dalam kesakitan dan memberitahu polis bahawa dia tidak boleh berjalan.

Tanganku digari ke belakang dan dimasukkan ke dalam kereta peronda. Aku protes tangkapan tersebut dan memberitahu polis yang aku seorang peguam. Namaku juga tiada dalam perintah mahkamah. ACP Fairuz (yang juga aku kenal kerana akulah peguam yang menyoal balas beliau dalam kes himpunan Protes) hanya mengatakan beliau “ikut arahan”. Jawapan standard polis.

Kami berempat dibawa ke Balai Polis Jinjang. Dari sana Mat Sabu kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. Di Jinjang aku dikenali oleh beberapa anggota polis yang bekerja di mahkamah dan mereka agak terkejut kerana aku ditangkap. Apabila merereka kata pada aku “maaf tuan’ polis yang lain pula terkejut. Aku bersyarah panjang pada polis tentang hak orang yang ditangkap dan sedikit sebanyak mereka akur.

Aku dimasukkan ke dalam sel bersama-sama dua pemandu motosikal yang membawa kami. Di dalam sel, rupanya sudah ada merereka yang ditangkap kerana perhimpunan Bersih. Apabila aku ingin bersolat Zohor, polis arahkan aku berpindah sel. Aku dibawa ke sel baru dan di situ aku terserempak dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam sel seorang diri. Aku juga melihat seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar juga dalam sel seorang diri. Aku diletakkan dalam sel bersebelahan Mahfuz. Kami bertiga dikurung di sel berasingan seorang diri (solitary confinement).

Tidak lama kemudian Tian Chua pula dimasukkan ke dalam sel di sebelah aku. Selepas itu Mat Sabu pula dimasukkan ke dalam sel di depan sel kami. Beliau hanya berkain pelekat dan kaki berbalut.

Mat Sabu berjalan terdencot-dencot. Tidak lama lepas itu Sivarasa Rasiah pula dimasukkan dalam sel di sebelah sel Mat Sabu. Maka kami ber­bual (sahut-menyahut) dengan nada ria antara satu sama lain.

Nampaknya, polis boleh menahan kami tetapi tidak boleh mencabut kegembiraan kami menentang kezaliman polis dan BN.

Surat Terbuka Untuk Kaum Cina dan India

Oleh ramziredang

"Salam BERSIH 709, dari jauh kami hulurkan salam kasih sayang kepada kaum cina http://dinmerican.files.wordpress.com/2011/06/bersih-2-01.gifdan india. Alangkah gembira dan syukurnya, 709 telah terpatri sejarah antara kita,melayu,cina dan india. Sejarah yang menyaksikan benteng perkauman yang dibina oleh perancangan jahat UMNO selama ini runtuh terlerai dimamah oleh asap gas pemedih mata. Semburan air kimia, rupanya mejadi hujan rahmat dalam memperlihatkan keikhlasan hati hati kami kepada kamu,kaum cina dan india.

Dalam saat cemas, kelam kabut dan suasana kepedihan dek asap gas pemedih mata, tiba tiba kamu ditolong oleh orang yang tidak pernah kamu kenali selama ini. Air mineral dan garam diberi kepada kamu dengan penuh rasa kasih sayang. Padahal kamu tidak pernah melihat wajah kami sebelum ini. Malah kamu pun tidak mungkin dapat mengingati kembali wajah kami selepas ini. Tetapi itulah keikhlasan kami.

Kami juga terharu membaca coretan coretan kamu di dada internet.(http://greenboc.blogspot.com/2011/07/kisah-benar-catatan-seorang-peserta.html). Kekadang tanpa sedar airmata kami mengalir, tiba tiba merasa hiba kerana rupa rupanya kasih sayang kami meresap ke hati hati kamu. Tetapi sebenarnya itulah hati kami sedari dulu.

Kami dididik oleh pemimpin kami memperjuangkan Islam yang sejati. Islam yang membawa keamanan kepada seluruh sekalian makhluk yang ada dibumi ini. Lalu lantaran itu menjadi tanggungjawab kami membela kamu jika kamu dizalimi. Alhamdulillah, tuhan telah memberi kami sedikit ruang masa untuk membuktikan keikhlasan perjuangan kami.

Kita, melayu ,cina dan india adalah bersaudara. Cuma selama ini kita telah dipengaruhi oleh perancangan licik rapi oleh UMNO, lantaran itu mungkin sebelum ini keikhlasan kami terlindung. Terlindung oleh momokan mereka.

Selama ini kami digambarkan oleh perancangan jahat UMNO seolah olah kami ganas, agresif dan anti kaum. Adakah kami begitu? Sudah tentu segalanya terjawab ketika 709 lalu.

Kini benteng telah terlerai antara kita,melayu,cina dan india. Benih kasihsayang telahpun disemai. Sama samalah kita bajai dan sirami ia. Sebarkan juga kepada kawan kawan kamu, bahawa kita sebenarnya bersatu dan berkasih sayang.

Kini dibahu kitalah segala tanggungjawab memperjuangkan untuk anak cucu kita. Jutaan terima kasih kerana kini kamu juga sama sama sudi menyalakan obor perjuangan. Sudi sama sama memegang panji keadilan. Alangkah harmoninya melayu cina dan india berganding tangan.

Di saat ikatan kita semakin kukuh dan padu, percayalah di satu pihak yang lain sedang runtuh dan hancur menyembah bumi. Mereka mereka yang jahat tidak akan selamanya akan dapat mempertahankan kezaliman mereka. Sejarah yang lampau tetap akan berulang, roda keadilan tetap akan berputar, kezaliman akan ada titik noktahnya.

Marilah kita,melayu, cina dan india, sama sama merasa bangga. Bangga kerana 709 adalah detik bersejarah, tersemai ikatan antara kaum dalam memperjuangkan keadilan. Suatu masa nanti, ketika kita tiada di dunia ini, anak cucu kita sedang membaca sejarah kita sambil tersenyum bangga.

Mereka tersenyum bangga, rupa rupanya keadilan kedamaian dan kesejahteraan yang mereka nikmati ketika itu, adalah kerana kita, melayu, cina dan india sama sama menempuh pedihnya perjuangan di zaman pemerintahan UMNO yang zalim.

Syabas BERSIH 2.0

Rujukan : greenboc.blogspot.com

‘Kalau aku tembak je…buang masa macam ni...’


Posted on Friday, July 22 @ 19:46:59 PDT by paktam

Oleh SAIDAH HAIRAN

HAMPIR 60 ribu peserta Himpunan Bersih berjaya memboloskan diri di semua 40 sekatan jalan raya oleh anggota Polis Diraja Malaysia ke pusat bandar, Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Kuala Lumpur bermula petang Jumaat begitu lenggang seolah-olah membayangkan bandar besar itu tidak berpenghuni. Banyak kedai-kedai ditutup, suasana petang Jumaat hingga pagi Sabtu begitu sayu. Membayangkan akan berlaku tragedi yang menyedihkan.



Di sekitar bangunan pejabat PAS, Jalan Raja Laut dipenuhi dengan anggota pasukan khas (SB). Jarak 100 meter dari bangunan PAS kelihatan tiga buah kereta peronda polis.
Penulis terpaksa menempuh tiga sekatan polis bermula di Jalan Raja Laut hingga menuju ke masjid Jamek yang menahan dan melarang untuk membuat liputan himpunan Bersih.

Ketika penulis memaklumkan dari media Harakah, polis berkenaan mengatakan jalan sudah ditutup dan mengarahkan penulis tidak bergerak ke mana-mana. Lantas penulis menjawab, “Encik bertugas, saya pun bertugas, kita sama-sama bertugas....”

Di hadapan pasaraya Sogo dan jalan Raja Laut penuh dengan anggota polis dan SB. Memang sukar untuk peserta himpunan Bersih meloloskan diri. Bagaimanapun, suara riuh peserta himpunan Bersih didengari dari jalan Leboh Ampang menuju ke masjid Jamek.

Inilah hebatnya semangat rakyat penyokong Pakatan Rakyat. Walaupun mendapat halangan polis namun mereka cerdik dan berusaha untuk berhimpun bagi menuntut keadilan pilihan raya.

Peserta himpunan bertempiaran lari apabila polis menembak gas pemedih mata sebelum sampai ke masjid jamek. Kelihatan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman serta Zulkifli Mohamad berlari mengelak ditahan polis.

Pemuda PAS Sabah memberi sebotol air mineral kepada peserta dan penulis serta berkongsi garam bagi melegakan keperitan tekak dan pedih mata. Lebih menyayat hati apabila seorang kanak-kanak OKU (orang kurang upaya) dan remaja perempuan pengsan kerana gas pemedih mata.

Keadaan tenang seketika dan perarakan diteruskan menuju ke masjid jamek dan Pudu raya. Sekali lagi peserta himpunan terpaksa menghidu gas pemedih mata dari FRU dan air berkimia 100 meter dari jejantas Pudu raya.

Lebih 100 orang ditahan dan diheret dengan tangan bergari plastik. Pemerhatian penulis mendapati polis menangkap secara rambang.

Seorang peserta himpunan dari Sepang (Selangor) jatuh dan pengsan di Pudu raya dengan tangan bergari di belakang. Polis enggan membuka gari tali plastik walaupun didesak oleh peserta yang berada di atas jejantas pudu raya.

Akhirnya, gari tersebut dibuka hasil usaha dua tiga orang peserta yang juga membantu mengajar pak cik tersebut mengucap. Keadaan ketika itu agak tertekan kerana pak cik mengerang kesakitan. Pak cik tersebut pengsan dan dibawa ke hospital dengan kereta peronda polis setelah menunggu lebih 20 minit.

Semua tahanan pada petang itu diletakkan di tempat menunggu bas dataran Maybank. Lebih mengejutkan trak polis yang bertutup rapat berada di dataran Maybank dipenuhi dengan peserta himpunan.

Bayangkan betapa kejam polis yang membiarkan tahanan dalam trak yang tidak cukup udara dan gelap. Polis hanya membuka untuk memberi sebotol air dan dikongsi. Penulis mahu merakamkan suasana itu lebih dekat tetapi dihalau pegawai polis.

Kekejaman anggota polis terserlah apabila menengking tahanan yang terdiri daripada golongan muda daripada menunaikan solat. Bagaimanapun, mereka terus menunaikan solat secara berjemaah dengan tangan bergari.

Ketika tahanan masuk ke dalam trak polis, kedengaran seorang pegawai polis wanita menyindir, “nanti jangan lupa sembahyang Isyak...” disambut dengan gelak anggota polis lain.

Empat pegawai polis wanita dan lebih lima orang pegawai polis lelaki mengelilingi seorang pemuda Melayu yang baru ditangkap. Kedengaran pelbagai soalan diajukan kepada pemuda tersebut. Seorang anggota polis yang berpakaian biasa menengking, “Bodoh ya, tadi berani sangat sekarang ditanya diam...”.

Bahasa kasar dan biadab anggota polis dan FRU memang tidak dinafikan. Penulis mendengar seorang pegawai FRU berkata; “Muka cantik...tapi bodoh berdemo...”, kata itu ditujukan kepada dua gadis yang memakai tudung labuh berada dalam trak polis.

Tiga orang SB yang berada di sebelah penulis di belakang trak menyindir gadis tersebut, “Ini budak sekolah ni...ikut sapa la budak ni...habiskan la mengaji dulu..., disahut oleh SB yang lain...”Mesti budak ni dijanjikan dapat duit dapat habuan...”.

Tiga orang SB tersebut terus duduk di dataran Maybank dan berbual sesama sendiri. Penulis mendengar mereka mengatakan, “kalau aku tembak je...buang masa macam ni...”.

Jika mereka boleh mengeluarkan kata-kata yang menggambarkan kekejaman, tidak mustahil Allahyarham Baharudin Ahmad, 58, yang meninggal setelah terhidu gas pemedih mata turut ditendang dan dipijak.

Hakikatnya, apakah selepas tarikah 9 Julai rakyat Malaysia akan terus mempercayai kewibawaan anggota dan pegawai polis? Mungkin selepas ini sejarah hitam akan terus terpahat di hati setiap peserta himpunan Bersih sehingga sukar untuk mereka mempercayai kejujuran anggota polis.