Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 20 Februari 2015

Serangan Shafee: 'Umno harus bertanggungjawab'

Umno harus dipertanggungjawab atas peningkatan serangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan sabitan tuduhan liwat terhadapnya, kata salah seorang peguam Anwar hari ini.

N Surendran (kanan) memberitahu Malaysiakini bahawa ia kini sudah "melampaui keraguan" bahawa Shafee bercakap bagi pihak Umno, lebih-lebih lagi kerana beliau telah diperkenalkan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam satu forum malam tadi, di mana Shafee mendedahkan butiran mengenai dakwaan liwat terhadap Anwar kepada kepada hadirin.

Beliau berkata, pihaknya memegang Umno dan dan ketuanya, Datuk Seri Najib Abdul Razak bertanggungjawab atas serangan tersebut terhadap Anwar.

Surendran juga menyifatkan serangan tersebut sebagai satu ‘tindakan pengecut’ kerana Anwar di dalam penjara dan tidak boleh mempertahankan dirinya.

Oleh itu, tegasnya, mereka (Umno) akan menanggung akibatnya.

Shafee adalah pendakwa utama dalam perbicaraan Liwat II dua minggu lalu di mana Anwar gagal dalam rayuannya terhadap sabitan kes liwat itu dan hukuman lima tahun penjara.

Semenjak itu, Shafee telah membuat pelbagai kenyataan awam menyerang perwatakan Anwar.

"Bagi kami, Shafee adalah seorang yang tidak penting yang bercakap bagi pihak Umno," kata Surendran.

Semalam, Shafee muncul sebagai peguam bela untuk Datuk Seri Anifah Aman dalam saman fitnah Anwar terhadap menteri luar itu.

Beliau juga adalah antara peguam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

50,000 sertai petisyen kes Anwar pada Obama

Lebih 50,000 orang sudah menandatangani petisyen atas talian terhadap Barrack Obama supaya presiden Amerika Syarikat (AS) itu memainkan peranan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Angka itu dicatat setelah seminggu kempen itu dimulakan.

Petisyen dimulakan oleh bekas duta AS John Malott itu kini hanya memerlukan separuh lagi sokongan daripada sasaran 100,000 tandatangan disasarkan.

Angka itu harus dicapai supaya gesaan orang ramai yang tidak puas hati dengan kes Liwat II itu layak disemak Rumah Putih sebelum dimajukan kepada pakar berkaitan dasar berkaitan.

Petisyen itu dirancang diserahkan kepada Obama pada 12 Mac depan.

Petisyen itu antaranya menyebut, Anwar seorang juara demokrasi, percaya kepada keadilan Islam dan sahabat lama AS yang dipenjarakan atas “tuduhan yang direka-reka”.

Polis beri amaran pada demo pro-Anwar

Ketua Polis Negara Tan Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada kumpulan 'Kita Lawan' yang mahu mengadakan demonstrasi ekoran pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya tidak berbuat demikian.

Beliau turut mengingatkan mereka yang ingkar dan terus ingin berdemonstrasi bakal berdepan dengan tindakan pihak keselamatan.

"Saya ingin mengingatkan kepada mereka yang ingin menganjurkan perhimpunan, perarakan, kita tidak akan berdiam diri dan ambil tindakan,” katanya dalam sidang media kempen balik kampung di tol Jalan Duta.

Menurutnya lagi, anak muda jangan terlalu ghairah berdemonstrasi sebaliknya memahami maksud kebebasan serta menghormati keputusan mahkamah.

Ahad lalu beberapa kumpulan anak muda mengumumkan pembentukan gabungan longgar dinamakan "Kita Lawan" dan menyatakan hasrat mereka mengadakan perhimpunan di ibu negara bulan depan.

Mereka yang terdiri daripada gabungan parti-parti politik dan NGO itu merancang aktiviti itu pada 7 dan 8 Mac sebagai reaksi terhadap pemenjaraan ketua umum PKR itu.

Sehari sebelum itu, seramai 400 orang termasuk mahasiswa menyertai himpunan di depan pusat membeli belah Sogo dan berjalan sampai ke Pudu Raya bagi menyatakan sokongan terhadap ketua pembangkang itu.

Liwat II: Hanipa sedia debat dengan Shafee, KJ

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanifa Maidin sedia untuk berdebat dengan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung kes Liwat II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hanipa yang juga peguam PAS itu berkata beliau juga bersedia berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mahu menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan berhubung kes itu.

"Saya merasa terpanggil dan Insya-Allah bersedia menyahut cabaran Shafee atau ketua Pemuda Umno dan bersedia untuk berdebat atau berwacana sama ada dengan Shafie sendiri atau Ketua Pemuda Umno Malaysia berkaitan isu tersebut.

"Maka saya berharap jika respon saya ini mendapat respon balas daripada mereka berdua mudah mudahan satu sesi perdebatan terbuka akan diadakan berkenaan isu tersebut," katanya dalam kenyataan media.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat Anwar.

Selasa lalu, Shafee yang merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan Liwat II mendedahkan pelbagai butiran sensasi berhubung kes itu dalam program anjuran Pemuda Umno di Kelana Jaya.

Malah, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam ucapannya di program tersebut berkata BN tidak akan berdiam diri lagi dalam kes liwat itu.

Walaupun Mahkamah Persekutuan telah menjatuhkan hukuman terhadap Anwar, namun Hanipa berkata beliau mendapati ada sesuatu yang "tidak kena" dalam kes itu apabila Shafee terus mengeluarkan kenyataan menyerang Anwar yang juga ketua pembangkang.

Justeru, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mencadangkan supaya debat itu perlu diadakan di mana-mana universiti awam dalam negara.

Hanipa juga mencadangkan ia disiarkan secara langsung oleh RTM atau TV3 supaya memastikan seluruh rakyat mendapat maklumat tentang debat itu.

Menteri: RTM sedia siar debat kes Anwar

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  
Ahmad Shabery berkata amat malang jika ada pihak yang terus mendakwa bahawa keputusan tersebut merupakan konspirasi politik Umno bersama dengan pihak kerajaan yang mahu menganiaya Anwar.
  
"Ia merupakan satu tuduhan yang tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan cek sumbangan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) bagi membantu mangsa banjir di Putrajaya hari ini.
  
Justeru, katanya, beliau bersedia menganjurkan sebarang forum, dialog atau debat bagi rakyat berpeluang melihat hujah sebenar mengenai kes itu melalui saluran televisyen nasional atau mana-mana platform lain.

"Saya sebenarnya tidak mahu masuk campur dalam hal ini tetapi bila ada pihak yang terus mencemarkan nama negara dan sistem keadilan dan mempersoal hakim kita hingga sanggup ke luar negara untuk mempengaruhi negara lain bagi mencemuh negara kita, ia boleh dianggap sebagai mengkhianati negara," katanya. 

Jelasnya platform debat tersebut juga diadakan bagi memberikan ruang yang lebih seimbang bagi semua pihak memberikan pendapat yang dapat ditonton oleh semua rakyat.  

"Sekurang-kurangnya kita dapat bagi pendapat yang lebih seimbang kerana lebih daripada enam tahun terutamanya daripada parti kerajaan berdiam diri kerana kita kata isu ini adalah antara Anwar dengan pembantu khas yang dia sendiri pilih," kata Ahmad Shabery.
  
Namun, katanya, penganjuran debat itu terserah kepada pihak mahkamah sama ada ia dibenarkan untuk diadakan.
  
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun setelah Mahkamah Persekutuan pada 10 Februai lalu memutuskan beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

- Bernama

'3 kali disekat mahu jumpa menteri'

Anggota keluarga penumpang MH370 daripada China hari ini disekat tiga kali daripada bertemu dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Kira-kira 20 orang rombongan itu muncul di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina, sekali gus menemui Liow, yang juga presiden parti itu.

Salah seorang daripada mereka, Jiang Hui, memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tiba di tempat itu kira-kira jam 10 pagi tetapi dihalang oleh petugas keselamatan dan polis.

“Ia (sekatan) berlaku di bangunan sebelah ibu pejabat MCA,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak faham penjelasan polis itu kerana anggota pihak berkuasa itu menggunakan bahasa Melayu.

Mereka memakai baju merah yang menyatakan harapan supaya penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu selamat pulang.

'Disepak macam bola'

Selepas itu, terdapat anggota MCA datang untuk membawa mereka masuk ke bangunan parti itu, tetapi tersekat di pintu masuk apabila kira-kira 30 orang anggota pasukan RELA dan polis membentuk benteng manusia, menurut rakaman video.

Sambutan Tahun Kambing itu dihadiri pegawai tinggi kerajaan, pemimpin terkenal Cina dan pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kawalan keselamatan ketat dibuat di dalam dan luar bangunan.

Selepas Najib keluar, anggota keluarga berjaya masuk ke dalam bangunan, menurut seorang anggota keluarga dikenali sebagai Kelly.

Kumpulan itu mahu mengadu rasa tidak puas hati kepada Liow (atas) berhubung layanan diterima mereka.

“Jangan biarkan DCA (Jabatan Penerbangan Awam), MAS dan menteri luar sepak kami macam bola dan tiada sebarang jawapan,” kata Jiang Hui.

Wan Ji gesa JAIS bukti kuliahnya 'ajaran sesat'

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin mahu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuktikan sejauhmana kuliahnya di surau dan masjid di negeri itu dianggap sebagai menyebar ajaran sesat.

Dalam tulisannya di Facebook hari ini, beliau menyuarakan harapannya supaya pihak berkuasa agama itu memberi penjelasaan bagaimana Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan ajaran sesat memberi kesan pada pengajarannya.

Beliau turut menjelaskan terdapat selebriti yang bertaubat memberi ceramah di masjid dan surau di negeri itu, tetapi tidak dianggap bersalah kerana mereka bukan penyebar ajaran sesat.

"Jadi saya perlukan bukti sejauh mana selama saya mengajar ini, dikira sebagai ajaran sesat, sedangkan semasa kuliah tadi, kitab yang saya bawa adalah Fathul Bari, syarah kepada Sahih al-Bukhari," tulisnya dalam Facebook.

Fathul Bari adalah antara kitab yang memberi komentar dan tafsir kepada koleksi hadis Nabi Muhammad SAW yang dikumpul oleh sarjana hadis terkenal Imam Al-Bukhari.

Malam tadi, JAIS dilapor menahan Wan Ji selepas beliau memberi kuliah tanpa tauliah di sebuah surau di Seksyen 17 Shah Alam.

Selepas memberi kuliah, beliau dibawa untuk diambil keterangan selama sejam sebelum dibebaskan sekitar jam 10.30 malam.

Dalam tulisannya juga, Wan Ji diminta hadir ke pejabat JAIS pada Isnin ini (23 Februari) untuk tujuan siasatan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Wan Ji berkata beliau akan hadir di pejabat JAIS jam 9 pagi Isnin ini.

"Saya telah memberitahu peguam saya mengenai perkata ini, tetapi saya rasa saya akan pergi ke sana seorang diri," kata sambil menambah seramai lima pegawai JAIS membawanya untuk disoal siasat malam tadi

Beliau turut mengesahkan penahanan beliau semalam adalah buat kali pertama didakwa mengajar tanpa tauliah dan tidak pasti sama ada ada pihak tertentu membuat aduan kepada JAIS sehingga menyebabkan beliau ditahan.

Wan Ji juga berkata beliau akan meneruskan kuliahnya yang dijadualkan di masjid sekitar Selangor.

Najib usahlah gelisah, kata Mahfuz

Datuk Seri Najib Tun Razak usahlah gelisah kerana hanya yang makan cili sahaja yang terasa pedasnya, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar sebagai mengulas kenyataan Najib semalam yang menganggap sebagai ‘mengarut’ kenyataan Sirul Azhar Omar yang mendakwa dia bertindak atas arahan.


Mahfuz (kiri) berkata, Sirul tidak menamakan mana-mana individu yang memberinya arahan berhubung kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Oleh itu, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Sena berkata, kenyataan Najib itu sungguh menghairankan.

“Kenapa mengarut? Siapa yang mengarut? Sirul yang mengarut atau PM yang mengarut.

“Sungguh menghairankan kerana Sirul tidaklah menyebut mahupun mengaitkan PM dengan dakwaan dia “hanya menjalankan arahan” dalam kes pembunuhan Altantuya, jadi mengapa pula PM memberi respon sedemikian rupa,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Tak perlu bawa Sirul pulang

Menurut Mahfuz lagi, siasatan berhubung kes itu tidak perlu membawa Sirul pulang ke Malaysia kerana sebelum ini bekas tahanan ISA, Yazid Sufaat disoal siasat oleh badan perisikan FBI kerana didakwa menganggotai Al-Qaeda.

“Siasatan boleh dibuat di Australia sepertimana Malaysia pernah beri peluang kepada FBI untuk buat siasatan di Malaysia, Yazid Sufaat sewaktu ditahan ISA," katanya.

MP Pokok Sena itu berkata tidak adil jika Sirul dibawa pulang ke Malaysia untuk siasatan sedangkan beliau telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati dan sekiranya dibawa pulang kes ini akan ditutup.

Sebaliknya, kata Mahfuz, sewajarnya pihak polis dihantar ke Australia untuk membuat siasatan.

Sementara itu, Mahfuz berkata dokumen dan pasport ibu dan adik perempuan Sirul telah disiapkan cuma masih menunggu kelulusan visa daripada kedutaan Australia.

Beliau berkata pihaknya akan pergi ke negara itu seramai lima orang selama seminggu dan tarikh perjalanan akan dimaklumkan kelak.

Sirul: Saya tak pernah mengaku bunuh Altantuya

Bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar berkata beliau tidak pernah mengaku membunuh  Altantuya Shaariibuu, walaupun Mahkamah Persekutuan mensabitkannya bersalah.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, dia mengulangi kenyataan bahawa dia bertindak atas arahan dan menjadi kambing hitam dalam kes itu.

“Sampai hari ini tiada saksi terhadap kematian itu.

“Semua ini hanya berdasarkan keterangan mengikut keadaan yang dikaitkan dengan saya (terhadap pembunuhan itu)

“Saya faham bahawa keterangan mengikut keadaan tidak sekuat keterangan langsung,” kata Sirul (kanan), 43, bapa kepada dua orang anak itu.

Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan mensabit dan menjatuhi hukuman mati pada Sirul dan seorang lagi bekas komando polis Azilah Hadri ekoran kes pembunuhan pada 2006 itu.

Mereka berdua dikatakan menembak mati dan meletupkan seorang warganegara Mongolia di dalam hutan.

Bagaimanapun, mahkamah dan pihak pendakwaan tidak menentukan motif di sebalik tindakan itu.

Ia mencetuskan spekulasi apabila Razak Baginda, penganalisis politik dan rakan rapat perdana menteri, dikaitkan dengan perkara itu.

Razak dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Datuk Seri Najib Razak, ketika itu timbalan perdana menteri, menafikan mempunyai sebarang kaitan dalam kes itu dan bersumpah dengan nama Allah.

Polis juga membersihkan namanya.

Najib (atas) pagi ini diminta oleh pemberita mengulas dakwaan Sirul bahawa dia bertindak atas arahan dan pihak yang mempunyai motif masih bebas.

Najib hanya menjawab perkara itu “mengarut”.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Sirul tidak berpuas hati dengan prosiding undang-undang, termasuk kegagalan memanggil pegawai atasannya DSP Musa Safri.

Musa bekas pembantu Najib.

Kenapa polis dedah muka?

Sementara itu, bekas komando polis itu juga kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendedahkan gambarnya.

 ”Kenapa dedah gambar saya tanpa kebenaran? Sejak awal pendengaran hingga rayuan di Mahkamah Persekutuan, saya berjaya tutup muka.

 ”Apa tujuannya (dedah gambar saya),” soalnya.

Sirul tidak hadir ketika keputusan diumumkan kerana berada di Australia.

Dia kini ditahan oleh imigresen negara kanggaru itu di Sydney.

Undang-undang Australia tidak membenarkan pihak berdepan hukuman mati dieksradisi ke negara hukuman dijatuhkan.

Sirul sedang mempertimbangkan untuk mendedahkan segala-galanya berhubung kes itu.

Najib: Dakwaan Sirul 'mengarut'

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan bekas anggota polis elit Sirul Azhar Umar bahawa dia bertindak atas arahan sebagai “mengarut”.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina MCA di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bersama isterinya Rosmah Mansor.

Najib pada mulanya memberikan ucapan Tahun Baru Cina dengan berkata beliau yakin rakyat Malaysia mampu menjadikan 2015 sebagai tahun yang baik walaupun berdepan cabaran ekonomi.

Sejurus selepas itu, pemberita mengajukan soalan tentang dakwaan Sirul, termasuk yang menyebut bahwa “orang penting yang mempunyai motif” dalam kes itu masih bebas.

Menunjukkan tidak setuju dengan dakwaan itu, Najib menggelengkan kepalanya berkali-kali dan mula beredar.

Diasak pemberita, Najib kemudiannya menjawab “mengarut” sambil tersenyum dan kemudian berlalu pergi.

Dalam wawancara melalui telefon dengan Malaysiakini, Sirul mendakwa dia hanya mengikut arahan dan pihak yang mempunyai motif untuk membunuh Altantuya Shaariibuu masih bebas.

Sirul: Selepas Altantuya, inikah balasannya?

 
EKSKLUSIF Bekas anggota pasukan elit polis Sirul Azhar Umar kini sugul kerana dijatuhkan hukuman mati, hanya kerana mengikut arahan.

"Jika saya mati hari ini, saya tidak akan aman kerana saya cuma buat apa yang diarah dan ini balasannya yang saya dapat," katanya kepada Malaysiakini dalam satu perbualan telefon dari Australia.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bahawa kenyatana itu adalah pengakuan bersalah.

Sirul, yang disabitkan bersalah bersama seorang lagi komando polis Azilah Hadri, juga tidak berpuas hati dengan perjalanan kesannya.

Dia merasakan DSP Musa Safri, orang atasannya dan bekas pembantu (ADC) Datuk Seri Najib Abdul Razak ketika menjadi timbalan perdana menteri, patut dipanggil menjadi saksi pihak pendakwaan.

'Hujah peguam saya kuat'

Mahkamah Rayuan pada 2013 membebaskan Azilah dan Sirul akibat salah arah serius Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Zaki Yasin, termasuk tidak memanggil Musa.

Bagaimanapun, kata Sirul, Mahkamah Persekutuan, yang mengekalkan rayuan pendakwaan, mengabaikan perkara itu.

"Mahkamah juga mengabaikan bukti DNA daripada kesan darah pada kasut yang diletakkan di dalam kereta saya dan sampel DNA saya sendiri.

"Mahkamah abaikan perkara ini walaupun terdapat penghujahan kuat oleh peguam saya," katanya.

Pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Peguam Cara Negara I Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah bahawa Musa bukan saksi penting dalam perbicaraan itu dan tiada keperluan memanggilnya.

Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican, pula berhujah bahawa tindakan itu telah bertukar perbicaraan silap.

Gerak hati kalah kes

Berhubung DNA, ahli kimia memberi keterangan bahawa terdapat kemungkinan DNA daripada kesan darah itu milik Altantuya, walaupun terdapat keraguan padanya.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Sirul sekali lagi menegaskan bahawa beliau menjadi “kambing hitam” dalam kes itu.

Beliau juga mengaku tertekan dengan dakwaan penganalisis politik Abdul Razak Baginda (kiri) bahawa “polis jahat” bertanggungjawab membunuh Altantuya pada 2006.

Razak Baginda, rakan rapat Najib, didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Sementara itu, menceritakan keadaannya dalam tahanan pihak imigresen Australia di Sydney, Sirul berkata semuanya baik dan dia ditempatkan seorang diri dalam bilik yang mempunyai empat katil.

Ditanya kenapa beliau berlepas ke Australia sebelum keputusan mahkamah, dia berkata berdasarkan gerak hatinya, kes itu tidak akan menyebelahinya.




Buru mereka, gesa peguam Shaariibuu

Polis patut membuka semula siasatan ke atas pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu berikutan pendedahan terkini oleh Sirul Azhar Umar yang disabit membunuh wanita Mongolia itu, kata peguam Ramkarpal Singh.

Ramkarpal, yang juga peguam keluarga Altantuya, berkata adalah menjadi tugas polis untuk membuka semula siasatan ekoran pendedahan Sirul itu.

Siasatan baru perlu memberi fokus kepada siapa yang mengarahkan dua anggota polis itu membunuh Altantuya, katanya, memandangkan pendedahan Sirul bahawa dia diarah dan orang dengan motif untuk membunuh, masih bebas.

"Ini bukanlah pendedahan biasa yang boleh diabaikan. Rakyat ada hak untuk tahu siapa yang mengarahkan pembunuhan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Sirul dan Azilah Hadri telah dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Altantuya tetapi motif pembunuhan itu tidak dinyatakan.

Sabitan Anwar kerana kebijaksanaan Shafee?

 

Ekoran kejayaannya baru-baru ini dalam mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim – dan mensabitkan ketua umum PKR itu – Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mendapat perhatian yang lebih daripada biasa.

Dengan mengendalikan kes berprofil tinggi seperti itu, kehebatan pendakwaan peguam kanan itu telah banyak menjadi subjek perdebatan.

Selepas mengambil alih tugas sebagai pendakwa utama, Shafee berjaya di Mahkamah Rayuan untuk menebalikkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar, dan berhujah kes itu di mahkamah tertinggi, yang mengekalkan sabitan tuduhan liwat terhadap Anwar dan hukuman lima tahun penjara.

Adakah peguam yang menjadi perhatian ini, juga seorang pendakwa yang cemerlang?

Ditanya sama ada terdapat apa-apa yang baru atau tambahan dalam hujah Shafee ini – yang berjaya mensabitkan Anwar – sumber-sumber yang biasa dengan kes itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan memberitahu Malaysiakini bahawa tiada apa yang luar biasa.

Shafee, kata satu sumber, mengemukakan hujah-hujahnya atas kekuatan penghujahan oleh bekas Peguamcara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan dari Pejabat Peguam Negara (AGC), sebelum beliau bersara.

"Ini ekoran semua kerja keras yang telah dilakukan oleh pasukan pendakwaan yang diketuai Yusof dalam mengutarakan bukti di mahkamah dan juga penghujahan yang dibuat.

"Satu-satunya tambahan ialah satu kes perundangan di Australia, di mana sampel DNA yang berusia 13 tahun telah digunakan untuk mensabitkan seorang pembunuh.

"Selain daripada itu, tiada apa yang baru dalam penghujahan," kata sumber itu yang tidak mahu namanya disebut.

Shafee, dalam hujahnya, memberi contoh kes di Australia itu, di mana polis menemui tuala milik mangsa pembunuhan dan apabila pemeriksaan dilakukan, telah menemui kesan air mani, yang dihantar untuk analisis bagi mengetahui pelakunya.

"DNA ditemui pada tuala di mana kesan air mani dijumpai. Bacaannya dianggap hampir sama dan tertuduh disabitkan dengan pembunuhan itu, selepas 13 tahun," Shafee telah dikemukakan.

Shafee, dalam hujahnya menegaskan bahawa dalam hal ini, sampel DNA telah berjaya diambil dari Saiful 56 jam selepas kejadian itu.

"Dalam kes saya, bacaan itu adalah sempurna," kata peguam kanan itu dalam membandingkan sampel DNA yang diambil dari dubur Saiful dan sampel yang diperolehi dari botol air mineral, berus gigi dan tuala yang diambil dari lokap Anwar selepas beliau ditangkap pada 16 Julai 2008.

Anwar didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari dengan keputusan sebulat suara oleh panel lima hakim.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria juga menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan dan hukuman penjara.

'Saya tidak cabut sewaktu Anwar kecam hakim'

 
Barisan hakim kes liwat "tidak cabut" sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam mereka tetapi hanya menangguhkan prosiding rayuan, jelas ketua hakim negara.

Tun Arifin Zakaria menambah, beliau tidak mendengar kecaman Anwar sewaktu berkata mereka "menyembah tuan politik" selepas menghukum  tokoh pembangkang itu bersalah.

"Saya bukan cabut (melarikan diri)," katanya di Putrajaya selepas majlis kenaikan pangkat empat orang hakim hari ini.

Tambahnya, beliau menangguhkan prosiding untuk menenangkan keadaan.

Walaupun tidak mendengar kritikan keras tersebut, Arifin berkata beliau tidak tersinggung dengan kecaman tokoh PKR itu.

Sementara itu laporan Bernama menyebut, Ariffin turut ditanya sekiranya beliau ditanya sama ada beliau ada berasa hati dengan Anwar, Arifin menjawab beliau tidak menyimpan "perasaan" terhadap sesiapa dan beliau menjalankan tugasnya dengan penuh ikhlas.

Tentang sama ada akan diambil prosiding komital terhadap Anwar berikutan kenyataannya mengenai badan kehakiman semasa mitigasi pada 10 Feb, Arifin berkata tidak ada komen, dan menegaskan itu hal lain dan beliau tidak tahu.

Pada 10 Feb, Arifin dan empat hakim lain yang membicarakan rayuan Anwar terhadap sabitan sodominya beredar meninggalkan bilik Mahkamah Persekutuan bila pemimpin pembangkang itu menyelar mereka dari kandang tertuduh, menuduh mereka bersekongkol dengan tuan politik mereka.

Beberapa minit kemudian, hakim-hakim itu masuk semula ke bilik mahkamah dan menyampaikan keputusan mereka terhadap rayuan Anwar mengenai hukumannya, mengekalkan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Awal hari itu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Anwar terhadap sabitannya.

Dalam ucapannya di majlis mengangkat sumpah jawatan hari ini untuk empat hakim yang masing-masing dinaikkan kedudukan di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, Arifin memberi amaran bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman.

Beliau berkata badan kehakiman terbuka kepada kritikan tetapi tidak akan membiarkan tuduhan tidak berasas di media sosial dan forum awam.

"Saya tegaskan bahawa mahkamah memandang serius sebarang tingkah laku yang mencemar kemuliaan dan integriti badan kehakiman dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya," kata beliau.

Arifin berkata kritikan tidak berasas terhadap mahkamah akan melemahkan perjalanan kehakiman dan menghakis keyakinan awam terhadap institusi itu.

Beliau berkata serentak dengan penyebaran teknologi komunikasi, terdapat ramai dalam masyarakat yang tidak segan silu dan tidak rasa bersalah melemparkan sindiran tentang segala perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

“Seolah-olah menganggap tindakan mereka dapat diterima bila mereka membuat kenyataan menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube yang mempunyai pengikut yang semakin bertambah – sekalipun kritikan seumpama itu tidak ada justifikasinya, dan boleh dipersoalkan.

Arifin mengingatkan hakim agar sentiasa menegak dan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dengan membuat keputusan yang adil berasaskan prinsip undang-undang yang sah.

Beliau berkata kebebasan badan kehakiman adalah perkara paling utama dalam pentadbiran negara dan Perdana Menteri dikehendaki menjamin kebebasan institusi itu di bawah Akta Suruhanjaya Kehakiman 2009.

Arifin juga mengingatkan pihak-pihak lain khususnya peguam agar tidak bertindak menentang undang-undang bila menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan mahkamah.

Beliau berkata tanggungjawab integriti kehakiman tidak terletak pada bahu Perdana Menteri dan para hakim semata-mata, tetapi perlu dipertahankan oleh pihak awam.

"Dengan penuh kesedaran, saya mesti nyatakan, perkara mengenai perjalanan kehakiman di negara ini perlu diserahkan sepenuhnya kepada badan kehakiman tanpa gangguan.

"Badan kehakiman mestilah dilihat sebagai institusi yang bertugas memberi keadilan kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan dalam menegakkan prinsip pemisahan kuasa yang demokratik.

"Badan kehakiman mestilah juga dilihat sebagai pemelihara Perlembagaan dan pelindung hak rakyat," kata Arifin.

Terdahulu, hakim Mahkamah Rayuan Datuk Zaharah Ibrahim, 62, mengangkat sumpah sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, sementara hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani A. Rahim, 64, dinaikkan pangkat hakim Mahkamah Rayuan.

Dua Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera, 53; dan Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun, 63, disahkan sebagai hakim-hakim Mahkamah Tinggi.

Pelantikan mereka berkuat kuasa mulai hari ini.