Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 7 Ogos 2009

Sajak...DARI SEGUMPAL HATI YANG JAUH dll

DARI SEGUMPAL HATI YANG JAUH

Di sini kita bertemu
makna keakraban
dan kita sebenarnya
membina kerinduan
tatkala meninggalkan
garisan pertemuan.

Inilah segumpal hati yang jauh
di dasarnya ada karang-karang
nostalgia semalam
dan kita sebenarnya
semakin mendekati arisan kenangan.
Bila diri semakin jauh
kita semakin mengerti
harga kasih sayang
tatkala kerinduan
bersimpuh di kamar
perpisahan.

IHSAN NOORZALI
Dewan Sri Tanjung, UPSI

METASTASIS

Sekian teraniayai
kepul binasa, akhirnya
sel-sel lemas legam bangkit
memberontaki kejam tubuh:

"Nikmatkah lagi udara
setelah kami kunyahi
kantung nafasmu?"

"Tegakah masih nafsu
setelah kami kecamuki
relung hatimu?"

"Sesarkah sudah dungu
setelah kami terobosi
bumbung akalmu?"
: amok mereka bukan
dendam, sekadar memanjangi
murka Tuhan paling malignan!

AMRUL HAFEEZ BAKRI
Gurun, Kedah


MENGHADAP KASIH OGOS

Engkau kerap datang, Ogos
Sedari alam rohku masih basah
meminta aku melutut
di hadapan unggun sejarah
untuk kita lontarkan semangat cinta
supaya terus bernyala
katamu "Agar kita tak lupa menghargai bahagia."

Aku menghadap kasihmu, Ogos
saban musim bertukar panas dingin
masih sudi engkau mesrakan senyum
katamu "Inilah kenikmatan selagi kita fahami erti bahagia."

Pagi ini di wajahmu, Ogos
kukucupkan kasih
yang tak sempat kulekapkan
saat engkau merandai luka-luka perjuangan
kerana aku makin mengerti kata-katamu
dan kataku kini "Terima kasih, kerana membahagiakan aku."

SAYIDAH MU'IZZAH KAMARUL SHUKRI
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak


CITRA SEBUAH KOTA

Benak kota adalah pentas muda
berjubin rahsia dibenderangi kilau derita
marga timur memengap santun
merelas budi pada tabir sejarah
yang dibakar obor kehidupan
menjadi abu kebejatan.
Sepanjang lorong takdir,
neon peradaban mulai malap
ditelan gerhana keimanan
zulmat yang mencengkam
anak kerdil terdampar
di ribaan noda
memungut maruah
yang dipongah.
Kota,
hanyalah mainan hasrat
menguntum setangkai duka
dari harum kemodenannya.

Shahkang
Kangar, Perlis


MULUT

Ikan
jikalah mulutmu dapat ditutup
kau tentu akan terus hidup
tak tertipu dek umpan
tak tersangkut di joran.

Ayam
jikalah mulutmu dapat ditutup
tiada siapa yang tahu
kau bertelur di situ
juga sang biawak itu
tak akan dapat mencuri telurmu.

Katak
jikalah mulut dapat ditutup
teriakmu tidak akan terdengar
lalu sang ular tidak akan tahu
akan kehadiranmu.

Rakan
jikalah mulutmu dapat ditutup
khabar angin tidak tersiar
umpat fitnah tidak tersebar
kebencian tidak menular
permusuhan tidak menjalar
keharmonian tidak tercalar.

Namun mulut
jangan pula sesekali ditutup
berkokoklah melaungkan kebenaran
mencegah kemungkaran
berteriaklah menyatakan keadilan
menentang kebatilan.

EHSAN JAMILY
Taman Desa Baru, Melaka


DAPAT

Tampilah padi di semilir angin
bukan beras tetapi hampas
yang padat.

Sesekali menjerat
tak semua dapat.

Ludinata Misnun
UPM Serdang


Di Bawah Gemilang Hari Merdeka.
(mengenang ayahanda: Tuan Haji Mahmood Sarjono)


Bak pergi meninggalkan kami
Tanggal 28 haribulan Ogos 2008, empat petang
Setelah dua jam dia meninggalkan tubuh kosongnya
Kami meratap dengan kesedihan kerana dialah lelaki
Paling akrab dan lama kami kenali
Menadah tangan dan mengiringi pemergiannya dengan doa
Hening malam itu, pilu di dada peneroka tua
Para tetangga, teman sekerja dan sebak saudara mara
Sahabat dan handai taulan, demikianlah
Memuji rencah sejarah hidupnya
Sarat visi dan cita-cita perkasa.

Seusai pengkebumian,
Aku membelek-belek buku harian Bak
Di situ tertulis: 31 haribulan Ogos 2008
"Menghadiri perhimpunan malam kemerdekaan
Di Dataran Felda Ulu Tebrau"
Aku menarik nafas panjang
Kerana dia sudah merancang hari yang gemilang
Detik duabelas malam
Sambutan kemerdekaan bersama rakan-rakannya
Peneroka tua, orang-orang kampung dan para pemuda
Menaikkan jalur gemilang, diiringi lagu kebangsaan
Dan menyaksikan pertunjukkan motor berhias
Riuh rendah gamat cabutan hadiah bertuah
Di sela percikan bunga api dia melaungkan kemerdekaan
Tujuh kali dan berpidato kisah-kisah perjuangannya.

Demikianlah Bak, kepadanya
Perjuangan menegakkan pembangunan adalah benar
Kemerdekaan telah memberi ruang anak bangsa bernafas
Dia percaya dan yakin
Usaha yang keras akan membawa kejayaan
Hasrat Tun Razak memberi tanah
Membuahkan kejayaan yang besar
Bak tak suka mendengar hasutan
Bak tak suka mengulas fitnah
Bak setianya kepada kerajaan
Bak menyahut setiap seruan pembangunan.

Bak pergi 28 haribulan Ogos 2008
Sebelum sempat dia melaungkan seruan kemerdekaan
Dan kini pidato-pidatonya tiada lagi
Tapi malam itu
Sambutan kemerdekaan terus meriah gemilang
Walaupun Bak sudah jauh
Meninggalkan sisa-sisa kehidupan ini.

Bak, pidato-pidatomu
Tetap harum di hati kami
Setiap masa dan ketika.

GUNAWAN MAHMOOD
Felda Ulu Tebrau

Ahad, 2 Ogos 2009

Kenang cerita kanak-kanak




WAJAH empat figura ini tidak dinafikan sudah semakin sebati dalam kehidupan kita yang menghargai suntikan hiburan. Jelas, mereka ada cara tersendiri dalam menyusun perjalanan kerjaya masing-masing.

Kalau tiga watak kanak-kanak ini baru mula merasai tempias kemasyhuran, seorang lagi sudah menginjak ke usia matang seiring dengan pencapaian beliau melakar sejarah unggul seni suara.

Lucu apabila melihatkan reaksi pertemuan mereka berempat. Si mata bundar, Nur Fathiah Diaz, 10, iaitu pelantun suara untuk kedua-dua watak Upin dan Ipin, sebenarnya langsung tidak tahu bahawa penggambaran sempena edisi hari raya ini akan menggandingkan dirinya bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Khabarnya, kehadiran Siti untuk sesi bergambar itu sengaja dirahsiakan oleh pihak Les Copaque yang bertanggungjawab membawa Fathiah ke lokasi. Malah ibunya, Azlinda Mohd. Alias, dan si penyarung kostum kembar Upin dan Ipin juga berpakat dalam memberi kejutan ini kepada Fathiah.

Tergamam jumpa idola

Paling ketara apabila Siti keluar dari bilik persalinan, Fathiah yang pada mulanya banyak bercakap tiba-tiba terdiam dan tergamam. Hinggakan apabila Siti menghampiri untuk membelai rambutnya, Fathiah hanya mampu membeliakkan mata. Tangannya kaku di sisi.

Upin dan Ipin juga bereaksi tanpa melantunkan suara. Kembar comel itu sekadar mengusik dan berkomunikasi melalui bahasa tubuh mereka.

Wajah ceria mereka sudah cukup mencetus keceriaan di Royal Suite itu, iaitu lokasi tajaan Hotel Nikko Kuala Lumpur. Sesi fotografi ini berlangsung dengan penuh rasa keriangan kanak-kanak.

"Saya dari dulu ingin berjumpa Kak Siti. Selalu tak dapat. Dulu pernah sekali lihat Kak Siti di sebuah konsert.

"Tapi saya jauh di belakang orang ramai, sampai tak dapat langsung mendekatinya," ujar anak kecil yang dalam temu bual berasingan cuba menyanyikan lagu Biarlah Rahsia tanpa didengari Siti.

Dia yang membahasakan diri sebagai Tiah mengambil masa yang agak lama untuk berasa selesa dengan Siti. Siapa sangka penyanyi yang dipujanya itu kini duduk, berbual, bercanda dan mendakapnya manja. Pengalaman itu umpama hadiah Aidilfitri yang hadir awal seminggu buat Fathiah.

"Selalu tengok Kak Siti di televisyen. Dulu muka dia lain sikit, sekarang bertambah cantik. Tiah suka dia (penampilan) yang sekarang," bisiknya kepada penulis.

Pelakon suara cilik ini sebenarnya tidak sepenuhnya menyedari betapa bakatnya itu telah mencipta gelombang populariti buatnya. Bagi Fathiah, dia sekadar kanak-kanak biasa.

Walaupun di sekolah dia lebih kerap dipanggil dengan nama Upin berbanding namanya sendiri, dia melihat dirinya perlu komited dalam pelajaran seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.

Bercerita tentang raya, Fathiah tidak sabar untuk bertemu dengan opah di kampungnya di Kampung Kuala Klang, Selangor.

Poket baju kurung Siti

Selain bergembira dengan dua adiknya, Mohd. Fathi dan Nurfarhana, dia juga ternanti-nanti juadah lazat tradisi keluarganya iaitu ketupat dengan daging masak Palembang selain lemang dan sayur lodeh.

"Tiah main juga bunga api. Tapi mesti ibu dan bapa Tiah menemani. Tiah harap kanak-kanak lain sentiasa dijaga ibu bapa masing-masing supaya mereka tidak cedera," pesannya.

Keistimewaan watak Upin dan Ipin juga membuatkan Siti Nurhaliza teruja. Sebelum fotografi bermula, Siti sendiri mahu bergambar dengan mereka berdua dengan kamera sendiri.


EH! Ini Upin ke Ipin? Bukanlah! Inilah Siti yang 'menjelma' menjadi Ipin.


Lalu sekalian yang hadir pun membuat rumusan sendiri - di sebalik keanggunan Siti membawa gelaran dan status sosial yang tinggi, masih ada sisi keanak-anakan dalam dirinya.

"Dulu kalau bab kutip duit raya memang seronok. Siti dibesarkan di berek polis. Bayangkan ada tiga blok dan setiap blok ada empat tingkat. Bermula dari tingkat empat dan kemudian turun ke tingkat bawah satu persatu.

"Apabila sudah sampai di tingkat yang bawah sekali, poket baju kurung Siti yang memang dijahit dengan dua poket khas untuk duit raya sudah memboyot. Duit raya dulu kan duit syiling, jadi bayangkan keadaan poket Siti," kata penyanyi tersohor ini seraya tertawa manis.

"Lepas habis beraya di rumah jiran terdekat, esoknya Siti akan ikut Kak Ida (Saida) untuk beraya di rumah yang jauh-jauh pula. Siti memang akan menempel dengan Kak Ida. Kalau ikutkan seminggulah Siti beraya dan kutip duit raya," ujarnya lagi yang menyimpan koleksi duit raya itu di bank selain membelanjakan sedikit untuk membeli bunga api.

Dalam keseronokannya berkongsi pengalamannya beraya, terselit juga kisah sedih yang dikongsinya. Siti tahun ini kali pertama beraya tanpa tunjang familinya, Tarudin Ismail yang pergi bertemu Ilahi 15 Februari lalu.

"Siti akan mengerjakan umrah bermula 14 haribulan ini hinggalah pada pagi Syawal, Siti akan sampai di Kuala Lumpur. Sampai sahaja Siti akan terus pulang ke Kuala Lipis untuk beraya.

"Cuma sehari kemudian Siti akan pulang ke Kuala Lumpur dan raya ketiga akan ke Kedah untuk sambut Aidilfitri dengan keluarga sebelah suami," ujarnya.

Perkembangan Upin dan Ipin

Dalam kesibukan jadualnya sebagai penghibur nombor satu negara, Siti rupa-rupanya tidak lupa mengikuti perkembangan Upin, Ipin dan Nur Fathiah. Dia mula mengenali adik-beradik kembar itu di ruang iklan.

Upin si abang yang mempunyai rambut sejemput di kepala sering dilihat mengusik adiknya, Ipin.


HADIAH Aidilfitri. Fathiah tidak menyangka impiannya untuk berjumpa Siti akhirnya tercapai.


Ramai yang menaruh hati kepada kecomelan Upin yang lebih matang. Ipin pula lebih banyak teruja dengan ayam gorengnya dan menyahut pendapat dengan kata-katanya: "Betul, betul, betul!"

"Siti akan tengok sampai habis iklan. Kemudian keluar pula episod Ramadan mereka. Ada waktu Siti akan tengok. Bangga melihatkan teknologi animasi kita yang semakin maju."

Walau belum sempat menonton Geng Penggembaraan Bermula lakonan filem debut Upin dan Ipin, Siti megikuti bakat mereka melalui program Di Sebalik Tabir yang ditayangkan di kaca televisyen.

Jejak Upin dan Ipin juga sudah bertapak di negara jiran, Indonesia. Wakil Les Copaque memberitahu, siri Upin & Ipin yang disiarkan melalui TPI mendapat rating 10.5 juta penonton dan disiarkan dua kali sehari.

"Eh, nak cuba pakai jugalah! Nak tahu apa rasanya," kata Siti yang dilihat seronok dan tidak segan menyarungkan kepala maskot Ipin seusai sesi temu bual.

Kosmo!