Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Isnin, 16 Ogos 2010

8 ujian wajib lelaki

Oleh Fairuz Zaidan

fairuzaidan@bharian.com.my


SOALAN:
Saya lelaki berumur 50 tahun dan setakat ini tidak mempunyai sebarang penyakit. Boleh doktor terangkan jenis pemeriksaan kesihatan yang bersesuaian boleh saya jalani untuk memastikan tahap kesihatan saya sentiasa baik?

JAWAPAN:

Saudara, ada beberapa jenis pemeriksaan kesihatan yang perlu dilakukan oleh setiap lelaki demi untuk mengekalkan tahap kesihatan dan juga untuk mengesan sekiranya ada penyakit di peringkat awal. Pada pandangan saya, sikap ingin tahu berkaitan maklumat kesihatan itu wajar demi memahami tahap kesihatan diri. Seperti yang diketahui, mencegah lebih baik daripada mengubati dan penting bagi mengetahui penjagaan kesihatan sesuai keperluan usia. Berikut beberapa pemeriksaan kesihatan yang boleh saudara jalani :

1) Ujian paras kolesterol

Kolesterol adalah sejenis lemak protein di dalam darah yang boleh menimbulkan masalah penyumbatan saluran darah jika di tahap tinggi. Maklumat tahap kolesterol darah dapat bantu usaha mengetahui tahap kesihatan jantung dan risiko saudara untuk mendapat penyakit jantung. Ada dua jenis kolesterol iaitu HDL atau High-density lipoprotein dan LDL atau low density lipoprotein. HDL adalah kolesterol yang ‘baik’ dan boleh melindungi dari penyakit jantung sementara LDL pula adalah kolesterol ‘buruk.’ Paras LDL yang tinggi boleh mengundang risiko penyakit jantung. Ujian ini boleh dilakukan seawal umur 20 tahun dengan kekerapan ujian setiap dua ke lima tahun sekali bergantung kepada paras normal. Jika paras tidak normal, ujian perlu berulang setiap enam bulan atau mengikut arahan doktor.
2) Tekanan darah

Pemeriksaan ini amat mudah dilakukan dan penting. Maklumat itu penting bagi mengelak penyakit serius seperti ‘angin ahmar’ dan sakit jantung koronari. Kajian menunjukkan satu bagi setiap lima dewasa iaitu lebih kurang 50 juta penduduk dunia mengalami masalah tekanan darah tinggi. Apabila tekanan darah melebihi 140/90 mmhg, ia boleh menimbulkan ketegangan pada jantung dan pada jangka masa panjang keadaan ini boleh membahayakan. Pemeriksaan ini tidak kira peringkat umur, tetapi elok dimulakan pada awal remaja dengan kekerapan setahun sekali jika dalam keadaan normal atau mengikut arahan doktor jika tekanan tidak normal.

3) Pemeriksaan darah untuk kencing manis/diabetes

Pemeriksaan darah ini perlu dilakukan dalam keadaan berpuasa. Pemeriksaan ini dikenali sebagai ‘fasting blood sugar.’ Jika keputusan menunjukkan tahap yang tinggi, doktor akan menasihatkan saudara menjalani ujian ‘glucose tolerance test’ untuk mengesahkan simptom penyakit kencing manis. Pemeriksaan ini membabitkan pengambilan darah selepas saudara diberi minuman bergula. Ia boleh dilakukan pada usia 45 tahun jika saudara tiada faktor risiko kencing manis seperti berat badan berlebihan atau sejarah penyakit dalam keluarga. Sekiranya saudara mempunyai berat badan berlebihan dan sejarah keluarga atau mengalami tanda-tanda kencing manis, saudara perlu menjalani ujian darah ini lebih awal. Kekerapan menjalani ujian adalah setiap tiga tahun bagi mereka yang normal.

4) Ujian densiti tulang

Lelaki juga boleh mengalami masalah pengurangan kekuatan tulang yang dikenali sebagai ‘osteoporosis.’ Kajian menunjukkan selepas usia 50 tahun, enam peratus lelaki mengalami masalah patah tulang pinggul dan lima peratus mengalami masalah patah tulang belakang akibat osteoporosis dan peratusannya meningkat mengikut peningkatan usia. Apabila umur kian meningkat, bahan mineral seperti kalsium akan mula berkurangan dalam badan. Ditambah dengan masalah penurunan paras hormon testosteron yang menyebabkan tulang rapuh. Lelaki 65 tahun sepatutnya sudah pun menjalani ujian ini. Pun begitu, lelaki yang mempunyai risiko mendapat osteoporosis seperti pesakit yang mengambil ubat ‘corticosteroid’ atau pernah mengalami patah tulang harus menjalani ujian ini lebih awal.

5) Pemeriksaan Colonoscopy

Kanser kolorektal iatu kanser membabitkan usus besar dan usus bawah (rectum) sering menyerang lelaki dan ia boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal. Untuk mengesan pada peringkat awal, seseorang itu perlu menjalani ujian kolonoskopi. Ujian ini membabitkan alat berupa tiub yang mempunyai kamera dimasukkan ke dalam dubur dan seterusnya ke dalam usus besar. Melalui pemeriksaan ini, seluruh bahagian usus besar boleh diperiksa dan apa apa ketumbuhan atau tanda kanser usus besar dapat dikesan dan di ambil biopsy sekiranya perlu. Ia boleh dilakukan pada usia 50 tahun jika tiada faktor risiko.

6) Pemeriksaan mata

Ada pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan buta seperti glaukoma boleh dicegah dengan pemeriksaan mata secara berkala. Mengikut Akademi Oftahmologi Amerika Syarikat (AS), ada lebih kurang 43 juta rakyat AS mengalami masalah mata akibat penuaan dan hanya kurang satu pertiga rakyatnya menjalani pemeriksaan mata secara berkala. Ia boleh dilakukan pada usia 18 tahun dengan kekerapan satu hingga tiga tahun sekali mengikut lingkungan usia 18 hingga 61 tahun bergantung kepada saranan doktor. Bagi pesakit diabetes pula, risiko untuk mendapat masalah penglihatan adalah lebih tinggi dan mereka ini perlu menjalani pemeriksaan lebih kerap.

7) Pemeriksaan buah zakar

Kanser buah zakar sering melanda lelaki yang berusia antara 15 hingga 34 tahun. Sekiranya dikesan awal, 90 peratus dari pesakit kanser buah zakar boleh disembuhkan. Pemeriksaan ini boleh dilakukan sendiri dengan memegang buah zakar di antara ibu jari dan jari telunjuk, permukaan buah zakar perlu dirasa untuk mengesan bonjolan, kawasan yang menjadi keras atau pembesaran buah zakar. Jika ada tanda-tanda itu, saudara perlu berjumpa doktor. Pemeriksaan dilakukan selepas baligh dengan kekerapan setiap bulan.

8) Pemeriksaan kanser prostat

Pemeriksaan yang perlu dilakukan. Pertama menerusi pemeriksaan fizikal di mana doktor memasukkan jari telunjuk ke dalam lubang dubur untuk mengetahui sama ada terdapat bonjolan atas benda keras yang menandakan berlakunya kanser prostat. Pemeriksaan darah pula dikenali sebagai ujian ‘Prostate Spesific Antigen’ (PSA). Dapatkan nasihat awal doktor sebelum memilih menjalani ujian PSA. Pemeriksaan ini boleh dilakukan pada usia 50 tahun tetapi harus dilakukan lima tahun lebih awal jika ada saudara terdekat seperti ayah, abang atau bapa saudara yang mengalami kanser ini.

Tamat

Bharian