Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 24 Mei 2012

Adegan paling tak ranjang

Hishamuddin Rais
Apr 1, 11
3:30pm

Aku tak tahu apa yang harus aku buat. Aku nak menangis tetapi aku rasa bersalah. Kalau aku ketawa aku juga akan merasa bersalah. Aku merasa bersalah kerana aku adalah salah seorang yang telah djemput untuk menonton tayangan perdana pembukaan sedunia, filem Tiga Mat Boroi. Aku merasa bersalah kerana orang lain tidak dijemput.

Walau apa pun aku mesti berkata benar bahawa aku merasa begitu bangga sekali apabila seorang pengarang akhbar The Star menelefon dan menjemput aku untuk datang menonton. Menggeletek anak tekak, tak sabar-sabar nak menonton Tiga Mat Boroi. Cepat-cepat aku seterika baju dan seluar.

Aku juga merasa amat amat gembira kerana dapat sama-sama merayakan kerja seni garapan Le Petit Tambi. Le Petit Tambi ini adalah pengarah filem kanak-kanak pada tahun 80-an dahulu. Dia cukup hebat dalam hal kanak-kanak dan buat anak. Dari apa yang aku difahamkan, filem terbaru ini adalah percubaan awal untuk meninggalkan genre kanak-kanak dan memasuki filem yang dianggap engaging atau filem fikrah.

Bayangkan betapa bangganya aku kerana telah dijemput untuk melihat tayangan eklusif Tiga Mat Boroi ini. Tayangan ini bukan di panggung kokak di Penang Road atau di Mid Valley. Aku dijemput ke panggung yang amat eklusif - Le Carcosa.

Tentang Carcosa ini, aku pernah diberitahu bahawa satu ketika dahulu Queen Elizebeth pernah terkencing berdiri di tandasnya. Ini terjadi sesudah Queen Elizebeth makan sup tomyam yang agak pedas di Jalan Masjid India. Drama ini berlaku ketika Queen Elizebeth datang ke Kuala Lumpur untuk merasmikan Sukan Kommonwealth pada tahun 1998 dahulu.

Berita Queen Elizebeth terkencing berdiri di Carcosa ini memang tidak dilaporkan media kerana takut akan menjadi satu trend ikutan anak-anak muda. Amat ditakuti kalau-kalau anak muda akan pergi beramai-ramai ke Carcosa hanya untuk berdiri terkencing.

Bila aku sampai ke Le Carcosa, aku telah disambut oleh lelaki gelap berpakaian serba hitam, termasuk berkaca mata hitam. Sekali pandang mereka kelihatan seperti pelakon dalam filem Man in Black. Sekali lagi pandang mereka ini semuanya seperti samseng dalam filem Tamil - bangang tapi lawak.

Liputan meluas


Kemudian aku pun dibawa masuk ke dalam panggung. Kelihatan ramai para gedebe tempatan dan wartawan yang telah datang lebih awal berada di situ. Semuanya kelihatan resah dan gelisah , duduk ternanti-nanti bilakah filem ini akan diputar.

Sebelum filem diputar, Le Petit Tambi sebagai pengarah telah mengalu-alukan kedatangan para jemputan, terutama wakil media. Le Petit Tambi berharap filem Tiga Mat Boroi ini akan mendapat liputan yang meluas. Menurut pengarah filem ini, dengan laporan media pasti orang ramai akan teringin ke panggung untuk menonton.

Filem pun diputar. Belum sampai tiga minit, mula kedengaran orang berdengkur. Pada minit ketujuh, dua orang penonton bangun untuk ke tandas. Untuk aku, ini petanda yang kurang sihat kerana filem ini tidak dapat memaku bontot penonton di kerusi.

Aku sendiri kembali untuk memberi konsentrasi dan melihat semua adegan yang sedang bergerak di hadapan mata. Aku terperanjat besar. Menurut Le Petit Tambi, filem ini adalah filem drama politik yang serius. Tetapi bila aku lihat, filem ini adalah filem komedi bodoh bergenre Senario.

Malah aku hairan kenapa tajuk filem ini diberi nama Tiga Mat Boroi. Tajuk sebegini sudah lawak. Tidak mungkin tajuk sebegini akan dilihat sebagai filem yang serius. Filem genre politik yang serius untuk aku adalah filem seperti Maria Mariana atau Sembilu. Filem-filem ini memiliki drama politik yang hebat dan tak ada tolok bandingan dalam dunia perfileman.

Sebelum filem diputar tadi, Le Petit Tambi juga berkata bahawa adegan di ranjang dalam filem ini cukup hebat. Pengarah telah menggunakan lapan buah kamera. Ini untuk memastikan semua sudut dirakam tanpa ada potongan. Penggunaan lapan buah kamera ini cukup hebat, malah lebih hebat dari Stanley Kubrick ketika membuat adegan ranjang dalam Lolita. Stanley Kubrick hanya menggunakan tujuh buah kamera sahaja. Ini betul-betul sikap Malaysia Boleh dari Le Petit Tambi!

Menurut Le Petit Tambi, filem ini mengisahkan seorang negarawan ulung yang telah digoda oleh seorang gadis Siam. Si gadis ini adalah pengintip macam Mata Hari yang dihantar khusus ke Malaysia oleh kerajaan Siam untuk mengagalkan projek Getah Negara. Jika projek Getah Negara ini berjaya, maka Siam akan kehilangan pasaran yang amat besar. Inilah jalan cerita filem ini.

Bila aku mendengar kata-kata Le Petit Tambi tentang adegan ranjang ini, air liur aku meleleh. Aku ternanti-nanti adegan ranjang ini. Malah aku telah bersedia dengan sarung tangan, jika kejantanan aku terganggu. Jika terganggu, aku tahu apa yang wajib aku lakukan.

Long shotTup! Tup! Apabila adegan ranjang bermula, aku terperanjat besar. Aku merasa tertipu. Walaupun lapan kamera digunakan dari pelbagai sudut, semuanya kelihatan gagal. Semua gambar kabur dan bergoyang- goyang. Tidak ada satu pun kamera yang berani menyorot dekat. Semua gambar diambil dari jarak jauh - long shot.

Malah cukup menyedihkan kerana tidak ada satu pun reverse angle untuk memperlihatkan reaksi muka negarawan yang sedang bertogel. Apa yang jelas dilihat hanyalah punggung dan bahagian belakang si negarawan ini sahaja. Macam si negarawan sedang membuat tekan tubi.

Adegan ranjang ini adalah adegan yang paling tidak ranjang, yang pernah aku lihat. Gambar yang agak kabur dan bergoyang-goyang ini bertambah buruk lagi dengan lakonan kaku watak utamanya. Pelakon yang menjadi negarawan ini kelihatan tidak kacak. Kalau tidak kacak tetapi memilik badan yang gagah perkasa, mungkin juga penonton akan berpuas hati. Tetapi ini tidak juga berlaku.

Mengikut istilah 'nyah ', badan pelakon utama ini, "cukup mak tak taste."

Biar aku berkata jujur bahawa pelakon ini kelihatan boroi. Keboroiannya kelihatan jelas apabila dia bangun untuk memakai seluar. Perutnya kelihatan gendut. Malah apabila dia bangun, aku terdengar ramai yang ketawa melihat perutnya yang boroi dan bergoyang-goyang.

Mengambil pelakon berperut boroi adakah kesilapan yang amat besar. Dalam pembikinan filem, amat penting pemegang watak utama dilihat kacak dan bergaya. Kalau pun bukan bermuka Brad Pitt, sekurang kurangnya pilihlah muka kacak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila wira filem ini mula berjalan, aku hampir terbarai ketawa. Tetapi kerana hormat kepada penonton yang lain aku terpaksa mengigit jari untuk menahannya. Sakit perut aku menekan ketawa masuk ke perut.

Pesta filem di Cannes
Bayangkan, siapa pun akan ketawa apabila melihat imej negarawan ini, bukan sahaja boroi, pungungnya tonggek pula. Oh la la... di mana silapnya tuan pengarah ini? Mata aku mencari-cari dalam gelap, di manakah Le Petit Tambi? Pada ketika itu, aku rasa nak memberi satu penampar kepada tuan pengarah.

Kemudian si negarawan bangun untuk memakai baju. Nah, sekali lagi aku teperanjat. Kelihatan jelas tangannya yang memegang baju itu kelihatan berbulu lebat. Memang betul, bukanlah berbulu macam King Kong. Tetapi aku amat yakin pelakon ini cukup sesuai untuk berlakon dalam iklan Gillette. Tangannya yang berbulu itu akan kelihatan licin jika dicukur dengan Gillette.

Bila lampu dibuka, aku terperanjat sekali lagi. Hanya tinggal lima kerat dalam panggung Carcosa ini. Penonton yang lain telah senyap-senyap cabut pulang. Aku diperkenalkan oleh Le Petit Tambi dengan dua orang lagi yang menjadi pembantu pengarah. Bila aku lihat muka pembantu pengarah ini, aku rasa nak menempeleng kepala mereka. Muka mereka kelihatan 'poyo' walau pun mereka kelihatan bangga menjayakan filem ini.

Le Petit Tambi tanpa malu dan segan telah berkata bahawa filem ini akan di bawa ke pesta filem di Cannes. Sedih bila aku mendengar kata-kata Le Petit Tambi ini. Aku merasa sedih kerana kebodohan mereka. Aku rasa filem ini, kalau YouTube adakan syarat piawaian, sudah pasti filem ini tidak akan lepas.

Bila sampai ke rumah, aku termenung dan langsung membuka internet. Aku terperanjat beruk apabila membaca tentang Ummi Ufilada yang telah membuat sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa dia memiliki 18 buah lagi filem yang akan menandingi kehebatan filem Tiga Mat Boroi. Aku hampir pengsan apabila membaca berita ini. Nampaknya si Ummi ini ingin bertempur dengan Le Petit Tambi.

Lalu aku terfikir, apa sudah jadi? Lalu aku bertanya, ke mana arahnya perkembangan filem Melayu hari ini? Apakah peranan Finas telah gagal? Apakah desas-desus yang aku dengar tentang Finas kini betul?

Untuk para pembaca yang teringin menonton filem Tiga Mat Boroi ini, lupakan sahaja. Tetapi kalau nak melihat orang boroi tak susah. Yang agak susah ialah bertemu orang boroi yang tonggek dan tangan bebulu. Orang jenis ini hanya berada di Siam. Tetapi kepada anak muda, kalau hendak pergi terkencing berdiri di paggung Le Carcosa seperti Queen Elizebeth dipersilakan.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini

13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap

2011/07/26

PUTRAJAYA: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.
"Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

"Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini hari ini.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya.

- BERNAMA

Bonus setengah bulan lagi untuk kakitangan awam



Kerajaan hari ini mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 ringgit dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada penjawat awam dan juga pesara kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Belanjawan 2012 berkata bayaran itu akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember ini.

azlan“Berdasarkan sokongan dan komitmen penjawat awam yang tidak terhargakan dalam mencapai matlamat pembangunan negara, sukacita saya mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 ringgit dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara kerajaan,” katanya.

Menurut Najib, beliau yakin ganjaran itu akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dalam mempastikan agenda pembangunan nasional menjadi kenyataan.

Sebelum ini, pada bulan Ogos lalu, kerajaan telah pun membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM 500 ringgit kepada penjawat awam dan bayaran bantuan RM500 ringgit kepada pesara. Tindakan itu bagi meringankan bebanan mereka menghadapi kos sara hidup yang terus meningkat dan sempena meraikan Aidilfitri.

“Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam serta 618 ribu pesara kerajaan. Bayaran bonus dan bantuan dua kali pada tahun ini akan menelan belanja sebanyak empat bilion ringgit,” katanya.

Cadang Panel Islam Bimbing Gay Dan Lesbian

KUALA LUMPUR – Satu kumpulan ilmuan Islam perlu diwujudkan bagi membimbing dan menasihat golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) di negara ini kembali ke pangkal jalan, kata seorang ahli akademik.

Penolong Profesor di Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Meriam Omar Din berkata berdasarkan kajian yang dijalankannya terdapat semakin ramai umat Islam terlibat dalam kegiatan seks songsang.

“Kumpulan khas ini akan dapat mengurangkan bilangan mereka yang terlibat dalam kegiatan ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Dr Meriam berkata daripada pengalamannya mendekati golongan itu, beliau mendapati tidak semua LGBT gembira dengan kehidupan serta jalan yang mereka pilih.

“Mereka yang terjebak dengan gejala ini antaranya kerana mengalami masalah perhubungan intim, tidak yakin dengan diri sendiri serta mengamalkan gaya hidup tidak sihat,” katanya.

Dr Meriam berkata pembentukan kumpulan khas itu merupakan jalan terbaik untuk mendekati golongan berkenaan serta meyakinkan mereka bahawa setiap kesalahan masih ada peluang untuk diperbetulkan.
“Saya dapati masyarakat masih boleh bertoleransi dengan golongan ini di mana kita dapati ada antara mereka memang berbakat dalam bidang seni serta diterima untuk memberi sumbangan,” katanya.

Dr Meriam berkata pendekatan agama merupakan satu-satunya cara yang boleh membimbing golongan itu supaya kembali ke jalan yang benar.

“Dengan pendekatan agama, kita boleh sedarkan mereka yang sebelum ini terlibat dalam perhubungan intim sesama jenis kerana mereka terlalu mengikut nafsu songsang mereka yang akan menyebabkan mereka menderita,” katanya.

Dr Meriam berkata laman sosial bukanlah faktor yang mendorong kepada peningkatan jumlah golongan itu menjalin hubungan sesama jantina.

“Penularan seks songsang ini sudah berakar umbi sebelum kewujudan laman sosial lagi. Sebelum ini mereka yang mengalami krisis identiti akan melarikan diri daripada keluarga dan datang ke Chow Kit kerana mereka tahu di situ ada golongan yang boleh menerima mereka.

“Bagi golongan tersebut masyarakat tidak boleh menerima dan sentiasa menindas mereka. Ini menyebabkan mereka memilih untuk berada di dalam kumpulan yang salah,” katanya.

Dr Meriam berkata golongan LGBT akan mengasingkan diri daripada masyarakat dan hanya berada dalam kelompok sama seperti mereka yang yakin boleh memberi menerima serta menyokong tindakan mereka.

“Bersama kumpulan tersebut mereka akan bersatu menentang masyarakat yang tidak dapat menerima mereka, malah tidak segan silu untuk berpakaian atau melakukan perbuatan yang bertentangan agama, di khalayak ramai,” katanya.

Beliau berkata gejala itu bertambah teruk apabila golongan LGBT mengambil tindakan untuk keluar daripada agama Islam kerana mereka tahu perbuatan mereka adalah salah di sisi agama.

Dr Meriam berkata Islam melarang seks songsang, maka golongan itu patut memikirkan kesan daripada perbuatan mereka yang akan menyumbang kepada penyakit sosial.

 – BERNAMA

Awani potong cabaran debat Najib-Anwar

 Harakahdaily,     24 Mei 2012




KUALA LUMPUR: Astro Awani dalam siaran ulangannya semalam, memotong bahagian moderator Dr Maszlee Malik yang mencabar debat antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan segera.
 
Malam semalam, stesen berbayar itu menyiarkan secara langsung debat PTPTN anjuran Sinar Harian antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang dikendalikan Dr Maszlee Malik sebagai perantara.

Menariknya, dalam debat itu moderator secara terbuka mencabar perdana menteri dan ketua pembangkang berdebat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Tindakan itu sekaligus menghangatkan semula politik tanah air apabila cadangan debat itu sebenarnya pernah dibuat sendiri oleh Anwar sejak tahun lalu, namun tidak dilayan oleh Najib sehingga isu itu tenggelam begitu sahaja.

Namun dengan cadangan terbaru Maszlee dalam forum yang dipancar secara langsung di televisyen swasta itu, membuka semula isu tersebut untuk diperdebat rakyat.

Di Facebook, Twitter, blog sibuk memperkatakan perkara itu dan mahu Najib menerima cadangan untuk berdebat dengan Anwar yang telah lama dinanti-nanti oleh rakyat.

Di Youtube pula, rakaman cabaran debat yang diajukan oleh moderator itu juga turut dimuat naik.

Bagaimanapun Astro didakwa memotong bahagian cabaran debat itu pada siaran ulangannya semalam.

Harakahdaily diberitahu, sebaik sahaja selesai debat itu, beberapa pemimpin Umno yang turut hadir telah menyerang pihak Astro kerana menyiarkan cabaran Dr Maszlee itu secara langsung.

Najib Perlu Contohi Khairy Untuk Berdebat



SHAH ALAM 23 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak seharusnya mengikuti jejak langkah Ketua Pemuda Umno, Khairi Jamaluddin yang berani berdebat dengan Ketua Pambangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika benar-benar ingin membentangkan secara jelas segala dasar atau polisi yang dilaungkannya selama ini.
Malangnya, menurut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad, keengganan Najib untuk berdebat, bolehlah diibaratkan sebagai alasan seorang yang penakut.

“Kalau berani dan sememangnya segala hujah itu berfakta, silalah berdebat sepertimana yang ditunjukkan kedua-dua anak muda malam tadi iaitu saudara Rafizi Ramli dan Yang Berhormat Khairi Jamaluddin yang berdebat mengenai isu penghapusan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara).

“Walaupun YB Khairi dilihat lemah hujahnya, namun keberaniannya itu wajar dipuji dan wajar menjadi ikutan kepada pemimpin Umno/BN yang lain terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak,” ujar Idris yang ditemubual melalui panggilan telefon sebentar tadi.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat masih ragu-ragu akan keberanian Najib untuk menyahut cabaran debat daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ianya ibarat menunggu bulan jatuh ke riba kerana sehingga kini tiada tanda-tanda langsung Najib akan turun berdebat secara depan-depan dengan Anwar.

“Sekadar menggunakan media untuk membalas kenyataan dan mengeluarkan kata-kata kosong tanpa hujah dan fakta itu adalah tidak sesuai dengan Najib sebagai seorang Perdana Menteri,” jelas beliau.

Sementara itu, mengulas isu debat PTPTN antara Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairi Jamaluddin, Idris berkata, ianya suatu permulaan yang baik untuk senario politik tanah air yang semakin ‘sakit’.

“Kalau dilihat budaya politik Umno/BN sekarang adalah kotor, dengan fitnahnya, budaya samsengnya, berbeza dengan Pakatan Rakyat yang sentiasa menyertakan fakta dan pelan lengkap sesuatu dasardibentangkan, malah setiap dakwaan juga pasti disertakan bukti dan hujah.

“Umno/BN pula memang dari dahulu lagi tidak mahukan budaya intelektual seperti ini dijadikan ‘gelanggang’ kerana mereka sedar mereka tidak akan mampu menang,” jelasnya lagi sambil menambah beliau yakin pimpinan PR bersedia pada bila-bila masa untuk berdebat dengan pimpinan Umno/BN.

Debat PTPTN: Dari Mana RM237 Billion Ini Datang?


 
PENULIS tergerak untuk membangkitkan persoalan ini setelah mendapati ia menjadi tajuk perbincangan hangat di media sosial dan Internet sekarang.  Ia berhubung kait dengan sesi Debat PTPTN antara Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Ia menarik perhatian penulis kerana dari banyak perkara yang dibincang antara kedua pemimpin muda tersebut, kenapa soal ini pula yang menjadi benchmark siapa yang menang dan siapa yang kalah dalam debat itu.
Lagipun seperti yang biasa disebutkan, laman ini berpaksi kepada kebenaran, bukan kepada polemik politik yang tidak berkesudahan seperti mana yang dimahukan ramai orang.

Baiklah.

Seperti yang penulis katakan semalam, Rafizi gagal menjelaskan kepada rakyat bagaimana Pakatan Rakyat boleh menjayakan janji untuk memberi pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN.  Sumber memaklumkan penulis, semua maklumat telah diberikan kepada Rafizi tapi di saat -saat akhir Rafizi memilih untuk tidak mendedahkan maklumat tersebut atas alasan yang kurang dipastikan kenapa.

Sebaliknya Rafizi memilih untuk mempertikaikan soal berapa banyak peruntukan pendidikan hasil dari ‘sumbangan RM237 Billion’ oleh Petronas kepada kerajaan Malaysia sepanjang tempoh bapa mertua Khairy, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri (2003 -2009).

Sebelum berbicara panjang, penulis suka nak menyatakan disini bahawa dari kajian penulis, jumlah RM237 billion ini tidak dinyatakan dimana-mana sebagai sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Paling dekat ialah sumber dari blog mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menyebut Petronas telah menyumbang sebanyak RM 270 billion (sebelum cukai atau selepas cukai, penulis tidak pasti) kepada kerajaan sepanjang tempoh pemerintahan Abdullah, dan projek apa yang telah dibiayai dari hasil wang ini?
Sumber boleh rujuk disini.

Kita tahu Rafizi adalah bekas kakitangan Petronas tapi Mahathir adalah Penasihat Petronas.  Kalau diberi antara 2 pilihan maklumat siapa yang perlu lebih dipercayai, sudah tentu penulis memilih Mahathir.

Soal siapa Mahathir dan kekejamannya ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu adalah perkara berbeza. Yang dibangkitkan sekarang ialah maklumat tentang sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh Abdullah sebagai Perdana Menteri.

Lagipun, tindakan Rafizi membuat perbandingan ini adalah hampir sama dengan tindakan Mahathir pada 2010, cuma tidak mengkhusus kepada pendidikan seperti yang dilakukan Rafizi dalam debat tersebut.
Balik pada soal RM 237 billion ini tadi.

Dari mana angka ini datang?  Graf dibawah menunjukkan jumlah sumbangan Petronas kepada kerajaan sepanjang tempoh perkhidmatan Abdullah sebagai Perdana Menteri (2004-2008).  Yang mana kalau pembaca boleh mengira, jumlahnya hanyalah sebanyak RM202.8 billion!!  Katakanlah plus minus 10% pun, masih jauh dari angka yang diberikan Rafizi.

Kenapa penulis membangkitkan hal ini dengan panjang lebar?

Kerana seperti ditulis diatas, isu ini sedang hangat dibincangkan di alam siber bagi menunjukkan bahawa Khairy ‘kalah’ berdebat dengan Rafizi kerana gagal menjawab soalan tersebut sebanyak 2 kali.  Sekarang tahulah kita kenapa Khairy tidak boleh menjawab, angka diberikan itu salah dan tidak boleh dirujuk dimana-mana.

Jadi di mana yang Rafizi menang kalau rujukannya pun sudah salah? 
Itu belum disebutkan lagi dengan apa cara pendapatan Petronas semasa penggal pemerintahan Abdullah, mampu dikaitkan dengan keupayaan Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma setelah mengambil alih Putrajaya nanti.

Penulis tak nampak bagaimana ‘cerita’ 4 tahun lepas mampu membantu Pakatan Rakyat menjayakan janji pendidikan percuma dan penghapusan hutang PTPTN seperti yang menjadi tajuk debat tempoh hari.  Tidak hairan kenapa ramai menganggap tujuan Rafizi membangkitkan persoalan ini ialah untuk menyerang peribadi Khairy.

Tak pasal-pasal, dari seorang yang dianggap majoriti ahli UMNO sebagai ‘persona non grata’ (orang yang tidak diperlukan), Khairy kini diangkat menjadi hero pula.

Oleh yang demikian, penulis harap  Rafizi tampil dengan penjelasan dari mana sumber RM 237 billion ini diperolehi sebelum isu-isu lain yang timbul semasa debat itu mengambil tempat.

Antara yang paling memalukan, sudah tentulah dalam soal “beri pendidikan pra sekolah percuma pun tak mampu di Selangor (manifesto 2008), inikan pulak pendidikan peringkat tinggi percuma“ yang disebutkan ahli Parlimen Rembau tersebut semasa menutup hujahannya.

Penulis berpendapat beginilah, di masa hadapan, jika kurang persediaan, elok dibatalkan sahaja debat itu kerana penulis lihat ia bukan menaikkan lagi imej Pakatan Rakyat, tapi tambah menjatuhkan lagi.

PeLuiT:

Satu fakta yang kita kena sedar kebanyakan tadika di negara kita adalah dalam jagaan BN; tenguk kepada warna LOGO Tadika KEMAS pun telah jelas ianya adalah dalam bidang kuasa BN; PR boleh memulakan pendidikan pra sekolah percuma melalui tadika yang dikelolakan oleh PAS tak silap PeLuiT ianya PASTI; jika benar PR ini sehati sejiwa dalam memenuhi impian pengundi di Selangor.

Sindiran KJ memang satu fakta kukuh yang perlu dijawab oleh PR.

Mahfuz sokong debat Najib dan Anwar, debat KJ-Rafizi bukti masyarakat matang

May 23, 2012
 
KUALA LUMPUR, 23 Mei — PAS menyokong penuh cabaran yang dikemukakan moderator debat Sinar Harian berkenaan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) malam tadi, Dr Maszlee Malik, yang mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat secara terbuka bagi menjelaskan dasar parti masing-masing sebelum pilihan raya umum ke-13.

Jelas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar), beliau melihat cabaran yang dikemukakan Maszlee itu sangat bertepatan memandangkan berdasarkan debat antara Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, masyarakat semakin matang menerima medium baru politik tersebut.
“Saya menyokong penuh cabaran Dr Maszlee malam tadi terhadap debat antara perdana menteri dan ketua pembangkang. Umno sebelum ini kata debat itu bukan budaya masyarakat kita dan ia tindakan yang tidak matang.

“Tapi semalam sudah dibuktikan, masyarakat kita semakin matang menerima medium baru politik sedemikian untuk orang-orang politik melontarkan idea mereka,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Mahfuz, banyak pihak yang menantikan debat tersebut menjadi kenyataan.
“Saya sokong penuh kedua-dua tokoh ini berdebat mengutarakan idea-idea mereka,” katanya lagi.
Maszlee yang juga merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, dakwaan yang menyatakan debat merupakan budaya barat dan tidak sesuai dengan budaya di negara ini, adalah bersifat penghinaan kepada rakyat Malaysia.

“Ia penting bagi negara menuju status negara maju dan selaras dengan kehendak rakyat. Debat adalah penghargaan kepada akal fikiran dan cara rakyat berfikir dalam usaha mewujudkan politik matang dan bertamadun.

“Debat hanya untuk pertahankan idea dan memastikan idea yang dilontarkan itu dicabar. Bukan seperti 'satu suara' seperti dalam ceramah. Ini adalah medium untuk mendidik rakyat di peringkat permulaan dan diharapkan ia akan menjadi politik baru selepas ini,” katanya lagi di penghujung debat antara Rafizi dan Khairy malam tadi.
Malah, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyindir Najib supaya tampil lebih berani berbanding pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) itu dengan menyambut cabaran tersebut.
“Jika ketua pemuda berani, saya tidak nampak ketakutan yang timbul daripada Najib. Beliau harus tampil lebih berani daripada Khairy,” tambahnya.

Analisis Debat PTPTN...

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sememangnya debat antara Saudara KJ dan Rafizi mengenai topik PTPTN sangat hangat dibualkan. Ada yang mendakwa bahawa KJ memenangi perdebatan itu, ada yang mendakwa Rafizi yang menang, dan sebagainya. Di sini, izinkan saya menulis analisis saya mengenai debat tersebut. InsyaALLAH, saya akan mendedahkan fakta-fakta yang tepat dan benar mengenai debat itu. 1. Sikap Rafizi yang cuba mengubah topik yang tidak berkaitan dengan topik perdebatan itu sangat mendukacitakan. Pertanyaan yang tidak berkaitan dengan topik bagi saya tidak usahlah dijawab oleh saudara KJ. Kalau perlu pun, itu mungkin dalam perdebatan yang lain.

2. Saudara Rafizi kelihatan memilih perbandingan yang langsung tidak munasabah untuk menyokong pendapatan beliau mengenai pendidikan percuma. Malah, beliau memberi fakta yang salah kepada umum dan KJ tidak berkesempatan untuk membidas fakta Rafizi.
 
3. Maka, tugas saya di sini untuk membidas saudara Rafizi. (Sebenarnya, saya sangat berkobar-kobar untuk duduk di tempat KJ kelmarin, hehehhe...) Pertama, Rafizi mendakwa bahawa negara Finland yang lebih miskin daripada Malaysia dan hanya bersumberkan satu sahaja sumber ekonomi iaitu Nokia yang itu pun sedang mengalami masalah kerana penguasaan Blackberry mampu memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya, mengapa tidak Malaysia. Benarkah dakwaan itu? Sini, Kapten Malaysia (hensem?) mahu menidakkannya. :)

4. Finland sebenarnya mempunyai banyak sumber ekonomi. Saya sertakan statistik sumber ekonomi Finland untuk tatapan umum: A) Agriculture and forestry 4.5%, B.) Industry 18.3% C.) Construction 7.3% D.) Commerce 16% E.) Finance, Insurance, and Business services 14.5%, F.) Transport and communications 7% G.) Public services 32.4% Sekarang ni, mana datangnya sumber dakwaan Rafizi yang mengatakan bahawa Finland hanya bersumberkan ekonomi daripada Nokia sahaja?

5. Benarkah Finland lebih miskin daripada Malaysia? Saya nak tergelak mendengarkan dakwaan saudara Rafizi itu. Hehehehe... (gelak malu). Menurut data daripada Bank Dunia, Malaysia jauh ketinggalan dalam ranking GDP. Finland menduduki tangga ke-17. Malaysia punya kekayaan menduduki ranking ke-69. Apa kejadahnya nak bandingkan Malaysia dengan Finland yang lebih kaya daripada Malaysia. Bahkan dengan kekayaan negara yang ke-17 terkaya di dunia, Finland hanya perlu menangung 5 Juta rakyat Mereka sedangkan Malaysia yang mempunyai kekayaan yang ke 69 dunia, perlu menanggung 30 Juta rakyat Malaysia. Sumber saya di sini: http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_countries_by_GDP_(nominal)_per_capita

6 . Perbandingan ini sangat tidak relevan. Anda cuba membandingkan epal dengan rambutan (bak kata saudara KJ). Saudara Rafizi ni, awak kena adil tau. Jangan nak spin fakta macam ayahanda Anugerah Tuhan kamu itu. Hehehehe.. tak baik tau. Kita ambil epal kalau nak dibandingkan dengan Epal. Erm... nak ambil contoh apa ya ?

7. Dah dapat! Apa kata kita ambil Brazil yang menduduki di tangga yang lebih kurang sama dengan kita. Brazil ialah salah satu daripada negara yang mendirikan pendidikan percuma. Ya, pendidikan percuma tetapi tahukah saudara Rafizi bahawa cukai di Negara Brazil ialah antara yang tertinggi di dunia? Tak..tak... saya tak buat spesikulasi saya sendiri tau Pak Fizi ya? Tak percaya? Mari-mari, kita mengembara lagi. Biar celik mata semua.

8. http://thebrazilbusiness.com/article/the-16-most-common-brazilian-taxes"Brazil is known for charging a high tax burden from its citizens and companies established. We will provide an overview of the most common taxes in Brazil, dividing them into Federal, State and Municipal taxes." Kenyataan itu dipetik daripada orang Brazil sendiri. Lihat betapa tingginya dan banyak cukai di negara mereka untuk menampung pendidikan percuma. Rafizi kena terima hakikat nothing is free dalam dunia ini. Ada harga yang perlu dibayar sekiranya mahukan pendidikan percuma. Dan harga yang perlu dibayar untuk pendidikan percuma ialah CUKAI YANG TINGGI.

 9. Tak puas hati lagi? Mari-mari menjelajah negara nombor satu dalam sukan bola sepak ini. Lagi artikel yang merungut mengenai hidup di Brazil yang sangat tinggi dengan cukai. Mereka memberi tajuk kepada artikel ini dengan ayat ini: " Everyday taxes in Brazil: IPVA, IPTU and IPTR!" Nak link ke ? Takut saya menipu? Ehh, jangan tuduh tau. Saya ni sesuci Anugerah Tuhan dan Pak Rafizi ye? (sarcasm). Nah, ambil ni: http://thebrazilbusiness.com/article/everyday-taxes-in-brazil-ipva-iptu-and-iptr 

10. Saudara Rafizi mengatakan bahawa pendidikan di Turki itu percuma. Heheheh, kaki kelentong betul lah awak ni. Awak fizi yang comel, tak nampak ke apa yang berlaku di Turki? Kalau pengikut-pengikut kamu, bolehlah kamu tipu ye? Tapi, tidak saya. http://www.businessturkeytoday.com/turkey-students-arrested-for-demanding-free-education-during-protests.html Eh, apa benda tu? Kata Turkey ni menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat, tetapi kenapa sebaliknya? Sampai kena tangkap tu Mahasiswa Turkey. Hehehehe... Abam Rafizi, udah-udahlah tu ya menjadi penipu ?

11. Kalau kita lihat pada permulaan debat, kita dapat melihat statistik dan nombor yang dikeluarkan oleh KJ mengenai perbelanjaan yang sedang ditanggung dan bakal ditanggung oleh kerajaan sekiranya mahukan pendidikan percuma. Kemudian, Rafizi membidas bahawa fakta itu penipuan dan mereka membuat kiraan mereka sendiri lalu menampilkan nombor mereka sendiri. 12. Sekarang, saya mahu bertanya kepada semua, anda percayakah fakta daripada Rafizi ini sedangkan dia sudah menipu kita dengan teori Finland dan Turkinya? Sekali menipu, dua kali menipu, tak mustahil dia akan menipu untuk sekian kalinya memandangkan penipuan itu ialah darah dagingnya.

13. Perkara lain, saya tak perlu saya ulas pajang lebar. Isu hutang dan sebagainya, saya rasa dah dijawab dengan kemas oleh saudara KJ.

14. Oh ya, ada lagi yang saya nak perkatakan. Rafizi suruh sifu kamu tu tunaikan janji bulan bintangnya pada penduduk Selangor. Bukan satu dua ye, berbelas tau. Ini janjinya pada penduduk Selangor pada PRU yang lepas pun tak habis ditunaikan, ada hati bercakap mengenai topik yang lebih besar.

15. Meh, saya senaraikan janji-janji puak anda yang tak tertunaikan sebelum nak menabur janji lain. - membuka tabung permulaan RM 100 bagi setiap anak kelahiran selangor. -memberi bantaun RM 75.00 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nuseri. -memberi bantuan RM 50 kepada seorang bagi pendidikan pra sekolah. -memberi hadiah tawaran RM 1000 kepada setiap anak selangor yang masuk ke universiti. Dan belasan lagi janji-janji2 yang terabai.

Kesimpulannya ialah kebanyakan daripada fakta yang dibentangkan oleh Rafizi sebenarnya lebih kepada puta belit yang dipelajari daripada sifunya Anwar Ibrahim. Dan motif artikel ini ditulis untuk menjawab tuduhan tidak berasas Rafizi. Setakat ini sahaja yang mampu saya nukilkan, InsyaALLAH kalau ada kesempatan, saya akan kembali menyambung artikel ini, mungkin dengan analisis yang lebih padat dengan fakta. Akhir kata daripada saya, TAHNIAH SAUDARA KJ KERANA berani berdepan dengan orang seperti Rafizi Ramli yang suka lari daripada tajuk dan kaki spin ini. Hehehehe.... Assalamualaikum.

Oleh Helmi Effendy

Debat KJ-Rafizi dari kaca mata moderator

DEBAT ini merupakan satu mercu tanda kepada bermulanya politik sihat, politik matang, politik ide dan juga politik bersih yang diimpikan oleh majoriti rakyat Malaysia. Masyarakat sudah meluat dengan politik fitnah, politik identiti dan juga perkauman yang mendominasi dan cuba dipaksakan ke atas mereka.

Rakyat Malaysia amat bertuah kerana terdapat pihak yang sanggup mengusahakan program debat ini agar berjaya. Ia mungkin julung kali diadakan, terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) selari dengan perkembangan politik matang negara-negara maju, dan akan merintis jalan kepada debat-debat lain yang melibatkan ahli politik-ahli politik yang lebih kanan.

Kita berharap permulaan ini akan menatijahkan kemuncaknya iaitu debat di antara calon Perdana Menteri dari kalangan BN dengan calon Perdana Menteri dari kalangan PR.

Kedua-dua ahli politik muda ini memberikan harapan kepada kita bahawa para pemimpin pelapis yang akan menjadi peneraju Malaysia di masa hadapan sudah bersedia untuk membawa perubahan.

Khairy Jamaluddin dalam perkara ini merupakan spesis unik dari partinya. Keberaniannya wajar dijadikan contoh kepada para pemimpin Umno yang sehingga kini masih lagi menikus apabila diajak berdebat di dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Bagi Rafizi pula, beliau memberikan harapan baru bahawa PKR dan PR juga sudah bersedia untuk menyajikan para pemimpin berkualiti bertaraf antarabangsa yang boleh membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Keberanian Kumpulan Media Karangkraf, Astro Awani dan radio Bernama24 untuk menjadi penganjur bersama debat bersejarah ini wajar diberikan pujian.

Diharapkan media-media cetak dan penyiaran lain akan turut mengikuti jejak langkah mereka di dalam mendidik masyarakat, mematangkan politik negara dan juga memberikan maklumat yang saksama kepada rakyat agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat dan adil dalam PRU13 nanti.

Rakyat Malaysia amat merindukan media yang berintegriti, berkualiti, mempunyai kredibel dan menghayati semangat demokratik dan juga politik hujah.

Akhir sekali, kepada rakyat Malaysia, diharapkan dapat mengambil peluang untuk menonton debat yang amat bermakna ini. Segala hujah para pendebat seharusnya membuatkan rakyat berfikir untuk diterjemahkan kepada pilihan mereka dan juga menjadi panduan untuk mereka menjadi warga yang lebih matang.

Semoga langkah yang pertama ini akan mengangkat rakyat Malaysia dari kepompong politik fitnah dan sempit yang dipaksakan ke atas mereka kepada politik yang lebih bertanggungjawab dan mengangkat martabat akal dan kemanusiaan.



* Dr Maszlee Malik, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia akan mengendalikan debat PTPTN 22 Mei 2012