Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 4 Jun 2014

Hindraf: Serbuan JAIS cabul perlembagaan

Persatuan Hindraf Malaysia (PHM) mengutuk serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu majlis perkahwinan mengikut agama Hindu yang disifatkan sebagai satu bentuk pencabulan perlembagaan.

Pengerusinya P Waythamoorthy berkata, operasi melibatkan penahanan pengantin wanita itu juga menunjukkan sikap tidak menghormati sensitiviti orang bukan Islam.

“Serbuan itu menyalahi undang-undang, tidak mengikut perlembagaan dan mengganggu ketenangan suasana dalam masyarakat pada waktu itu.

“Tindakan JAIS jelas menunjukkan tidak menghormati sensitiviti bukan Islam dan tempat-tempat ibadat mereka.

“Perbuatan ini jelas menunjukan mereka sudah melampaui batas bidang kuasa mereka,” katanya seperti dipetik dari kenyataan medianya.

Waytha mempertikaikan peruntukan undang-undang yang digunakan JAIS ketika menyerbu dan menahan pengantin wanita itu.

Katanya, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam) 1988 itu tidak mempunyai kuasa untuk bertindak demikian di tempat beribadat agama Hindu itu.

“Akta ini tidak memberi apa-apa jenis hak pada JAIS untuk menyerang kuil dan menghentikan perkahwinan Hindu daripada berlaku. Akta itu sendiri sudah jelas,” katanya.

Minyak bersubsidi untuk berpendapatan bawah RM5,000?

Adakah kapasiti enjin kenderaan anda kurang daripada dua liter dan pendapatan anda di bawah RM5,000 sebulan? Jika ya, tahniah.

Menurut Sin Chew Daily, ini bermakna anda layak sepenuhnya di bawah skim baru subsidi bahan api kerajaan apabila ia bermula pada bulan September.

Akhbar itu melaporkan dalam edisi petang semalam bahawa ini dijangka menjadi kriteria untuk menentukan siapa yang layak mendapatkan petrol bersubsidi. Ia terpakai untuk kenderaan persendirian dan syarikat.

Mereka yang berpendapatan di antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan dilaporkan boleh juga mendapatkan bahan api bersubsidi itu, tetapi mungkin terhad kepada 300 liter petrol RON95 dan diesel.

Rakyat asing, dan kenderaan pendaftaran negara asing, dan mereka yang berpendapatan di atas RM10,000 mungkin tidak layak langsung, dan mungkin perlu membeli petrol pada harga pasaran, kata laporan itu lagi.

Bagaimanapun, akhbar itu memetik pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang tidak dinamakan, sebagai berkata butiran terperinci mengenainya masih belum dimuktamadkan.

Masih ada masa sebelum pelaksanaan September, sumber itu dilaporkan berkata, dan kementerian masih mengkaji maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan .

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan sistem baru untuk mengagihkan bahan api bersubsidi mulai 1 September untuk memastikan penjualan diesel dan petrol bersubsidi dijual hanya kepada kenderaan perdagangan yang layak.

Beli alat besarkan zakar, dapat kanta pembesar

Seorang lelaki berang apabila alat yang dibelinya melalui  talian untuk membesarkan saiz zakarnya hanya mampu membuatnya nampak lebih besar tanpa sebarang pembesaran fizikal.

Menurut laporan Star Online, setelah membelanjakan RM450, beliau hanya menerima kanta pembesar.

Berang dengan apa yang berlaku, lelaki itu mengadu kepada MCA.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong berkata lelaki dari Seri Kembangan itu, yang hanya dikenali sebagai Ong, adalah mangsa penipuan dalam talian.

"Apabila menerima bungkusan, dia terkejut apabila mendapati kanta pembesar di dalamnya," Chong dipetik sebagai berkata.

Untuk memburukkan lagi keadaan - tidak pasti sama ada ianya satu gurauan atau sebaliknya - ia datang dengan arahan ringkas yang berbunyi: "Jangan gunakan di bawah cahaya matahari".

Chong berkata Ong adalah antara beberapa mangsa yang kerugian sejumlah RM80,000 tahun ini sahaja kerana menjadi mangsa penipuan sedemikian.

Isu DNA babi: Kementerian siasat laporan bocor

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Hilmi Yahya berkata satu siasatan sedang dijalankan untuk mengesan individu yang membocorkan laporan awal berhubung ujian kandungan DNA babi dalam coklat Cadbury.

Katanya, pihak berkenaan tidak seharusnya membocorkan maklumat awal tersebut sebelum siasatan lanjut dijalankan ke atas bahan makanan terbabit.

Tambahnya, orang ramai juga boleh meyakini siasatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui ujian Jabatan Kimia, yang tidak menemui DNA babi dalam bahan tersebut.

"Orang ramai harus percaya pada laporan Jakim," katanya.

Jangan panggil kami YB, kata MP Padang Serai

Amalan merujuk kepada ahli-ahli Parlimen sebagai 'YB' di luar Dewan adalah "memalukan dan tidak masuk akal " kerana mereka adalah pekhidmat awam dan bukan sebaliknya, kata
MP Padang Serai,  N Surendran.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau mengingatkan ahli Parlimen supaya tidak mengangkat diri mereka mengatasi rakyat dan menghentikan amalan itu.

Katanya, dalam tatanegara bebas dan demokratik, wakil rakyat tidak seharusnya meletakkan diri mereka lebih tinggi dari rakyat melalui gelaran kehormat hanya kerana dipilih ke jawatan tersebut.

Menurut Surendran, ia tidak selaras dengan hakikat bahawa wakil rakyat yang dipilih adalah 'penjawat awam ' dan bukan tuan.

Ahli Parlimen bagi penggal pertama, yang juga naib presiden PKR itu berkata amalan tersebut adalah memalukan, tidak perlu dan agak tidak masuk akal.

Ia  juga tidak diamalkan di negara-negara Komanwel yang lain , katanya.

Istilah ' Yang Berhormat (YB), jelas beliau, digunakan oleh ahli Parlimen antara satu sama lain di Dewan semasa perbahasan.

"Orang ramai hanya perlu memanggil ahli Parlimen alamat sebagai 'encik', 'cik' atau 'puan'," kata Surendran.

Malangnya, kata beliau, ramai wakil rakyat mereka mempunyai tabiat memanggil antara satu sama lain 'YB' di luar Parlimen atau Dewan Undangan Negeri .

Ahad, 1 Jun 2014

Dyana Sofya jawab tuduhan menipu...‘Lady D’ Jadi Buruan Di Teluk Intan

Selasa, 27 Mei 2014

Dyana jawab tuduhan menipu sebagai peguam

TELUK INTAN – Calon Pakatan Rakyat dari DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud hari ini mendakwa bahawa beliau merupakan seorang peguam yang sah.
Pada sidang media di Bilik Gerakan DAP di sini hari ini, beliau turut membawa bukti surat akuan daripada Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya, Istana Kehakiman Putrajaya.
“Ini bukti yang mengesahkan saya sebagai peguam.
“Dengan bukti ini saya harap ia dapat menyelesaikan apa jua persoalan yang timbul dalam kedudukan saya sebagai seorang peguam,” jelasnya.
Penjelasan itu sebagi manjawab dakwaan pihak tertentu kononnya beliau menipu mengenai kelayakan beliau dalam profesion tersebut.
Dalam akuan itu, Dyana diperakui sebagi seorang Peguambela dan Peguamcara, bermula pada 19 Januari 2012 dibawah Akta Profesion Undang-Undang 1976.
 
dyana sofya daud
Dyana Sofya menjadi tumpuan orang ramai mengambil peluang bergambar dengan calon DAP Teluk Intan, pada Sabtu. Gambar dan laporan ihsan mStar
TELUK INTAN: Hujung minggu kali ini berbeza sekali, selain menziarahi keluarga, ada di kalangan anak kelahiran bandar Teluk Intan di sini yang pulang dari luar untuk merasai suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK).
Tinjauan mStar Online mendapati banyak kereta dengan nombor pendaftaran luar Perak memenuhi sekitar bandar ini terutama pada hujung minggu.

PRK TELOK INTAN...DEBARAN MENANTIKAN KEPUTUSAN PENUH..

Saturday, 31 May 2014


Siapa pilihan pengundi Teluk Intan hari ini, Dyana Sofya Mohd Daud atau Datuk Mah Siew Keong. Pengundian bagi pilihan raya kecil Teluk Intan bermula di 37 pusat mengundi di kawasan Parlimen ini, selepas dua minggu kempen yang sengit antara calon Gerakan mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon DAP mewakili Pakatan Rakyat.

DAP dijangka mengekalkan kerusi ini melalui calon baharu dalam politik, Dyana Sofya Mohd Daud, yang menentang Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong daripada BN yang juga bekas ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal, demikian ramal MalaysianInsider.

Cuaca di Teluk Intan dilaporkan cerah di sebelah pagi, dan diramalkan hujan sebelah petang, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia

LINTAS LANSUNG oleh mkini, mstar, harakahdaily dll

5.30pm: Menurut SPR, seramai 39,850 atau 66.5 peratus pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan hari ini.

Peratusan itu adalah lebih rendah daripada yang diharapkan oleh DAP. Sejumlah 80.4 peratus keluar mengundi dalam PRU13.

5pm: Tempoh pengundian berakhir.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, parti itu menjangka jumlah keluar mengundi hari ini sekitar 70 peratus.

4.38pm: Menurut SPR, jumlah keluar mengundi di Teluk Intan mencapai tahap 38,158 orang atau 63.67 peratus menjelang jam 4pm.

Jumlah keluar mengundi paling besar untuk kawasan parlimen ini direkodkan pada 2013, dengan 48,649 pengundi (80.4%)

Penyandangan kerusi tersebut, Seah memenangi kerusi tersebut dengan 56.32% undi (dengan majoriti 15%).3.45pm: SK Kg Bahagia - Dengan tempoh mengundi tinggal kira-kira satu jam sahaja lagi, penyokong-penyokong BN masih lagi bersorak-sorak dan mengejek penyokong DAP.

Kedua-dua kumpulan berkenaan hanya dipisahkan kira-kira lima meter sahaja dari mereka.

Mereka mengulangi sorakan "Abang polis baik", "DAP komunis", dan "Lim Kit Siang bodoh" berulang kali.

3.40pm Menurut SPR, seramai 58.36 peratus atau 34,974 pengundi sudah menunaikan tanggungjawab setakat jam 3 petang.45 petang: Proses membuang undi berjalan lancar di semua pusat mengundi Parlimen Teluk Intan

2.57pm: Kg Bahagia – MP Batu Kawan, Kasthuri Patto mendakwa kereta yang dinaiki Dyana menjadi sasaran serangan oleh para penyokong BN yang menggunakan bendera parti untuk mengetuk kenderaan tersebut.

"Kereta calon dipukul dengan bendera BN di Kampung Bahagia. Jeritan 'barua DAP' dan 'pengkhianat' kedengaran,” tulisnya di Twitter.

Parti DAP melalui akaun rasmi Twitter turut melaporkan insiden sama, dengan menyertakan gambar penyokong BN cuba menyentuh satu kenderaan menggunakan bendera BN yang dipasang pada galah panjang.

2.40 pm: Dyana Sofya Mohd Daud hari ini memaklumkan bahawa ahli Parlimen Pasir Salak daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Tajuddin Abdul Rahman memasuki pusat mengundi memakai baju berlogo BN, lapor TMI.





Calon DAP bagi kerusi Parlimen Teluk Intan itu berkata kejadian itu berlaku ketika beliau membuat lawatan ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia hari ini.

"Kita ada gambar dan pengawal keselamatan sekolah di sini boleh sahkan. Ahli Parlimen Pasir Salak memakai baju penuh dengan dacing melawat pusat mengundi.

"Dengan lambang begitu sememangnya tidak boleh melepasi pagar," katanya ketika ditemui media di Kampung Bahagia hari ini.

2.30pm: Menurut SPR, jumlah yang keluar mengundi setakat jam 2 petang adalah 52.21 peratus atau 31,286 pengundi.

2pm: Ketua polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kekecohan yang berlaku di dua kawasan mengundi pada pagi ini terkawal.

Laporan Bernama menyebut, beliau berkata kekecohan berlaku disebabkan keghairahan kedua-dua penyokong parti melakukan provokasi untuk meraih undi di saat-saat akhir.

1.28 petang : Setakat pukul 1 petang, seramai 27,955 pengundi atau 46.65 peratus membuang undi untuk P.76.

Sementara itu, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata sehingga tengah hari ini saluran-saluran mengundi melibatkan pengundi muda mencatatkan jumlah pengundi yang agak rendah.

12.35 tengahari: Calon BN adakan sidang media di pusat media bertempat di Pusat Kesihatan UKM.

12.00 tengahari: Rekod SPR menunjukkan seramai 25,050 pengundi atau 40.13 peratus sudah menunaikan hak masing-masing setakat ini.

11.33 pagi: Sidang media Pengerusi SPR memaklumkan berlaku dua insiden provokasi di SK Dato Laksamana dan SK Kampung Bahagia. SPR juga memaklumkan, setakat pukul 11 pagi, seramai 19,508 atau 32.55 peratus keluar mengundi.

11.15 pagi: Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusoff berkata ketegangan yang berlaku di Kampung Bahagia adalah "tidak serius" kerana ia tidak membabit "fizikal".

Bercakap kepada pemberita, beliau berpendapat ia disebabkan jalan yang kecil menujukk sekolah berkenaan," katanya.

Abdul Aziz juga mengatakan bahawa seramai 13,754 pengundi telah mengundi sehingga jam 10 pagi dan 23 peratus sudah keluar mengundi setakat ini.

Katanya, kadar pengundian ialah 10 peratus setiap satu jam.

11.10 pagi: Kampung Kerentina - Seorang pekerja kempen BN menghalang wartawan Malaysiakini daripada mengambil buku kecil dan risalah percuma dari kaunter parti itu di luar tempat mengundi itu.

"Anda dari Malaysiakini, anda putar (cerita) sepanjang masa dan anda tidak boleh ambil ini," katanya.

Apabila wartawan menyebut yang ianya diedar percuma, lelaki itu menjawab: "Ya ia percuma tetapi kamu tak boleh ambil."

Risalah itu memaparkan gambar Dyana dan Lim Kit Siang, dan menuduh mereka sebagai pengkhianat manakala muka depan buku kecil itu menunjukkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi tidak diketahui kandungannya.

Sementara itu, Menteri besar Perak tiba dan berjabat tangan dengan pekerja kempen.

Pada masa yang sama, penyokong PAS membawa poster Dyana dan menggesa orang ramai mengundinya. Seorang wanita berpakaian seragam Puteri Umno menjawab: "Kak, dia tak sokong hudud".

11.12 pagi: Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, kadar peratusan pengundian pada jam 10 pagi ialah 22.95 peratus.

11.00 pagi: Pengerusi SPR dijangka mengadakan sidang media di pusat media bertempat di Pusat Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Teluk Intan sebentar lagi. 10.35 pagi: Seramai 13,754 orang keluar mengundi iaitu 22.95 peratus setakat pukul 10 pagi.

10.30 pagi: Kampung Bahagia - penyokong BN dan DAP masih bertekak antara satu sama lain serta menggunakan perkataan kesat.

Di pihak DAP agak tenang dengan hanya dua atau tiga orang sahaja yang bertindak balas jeritan Pemuda BN di bawah pancaran panas matahari.

Anggota polis memerhati dan memantau keadaan tersebut.

10.28 pagi: Calon DAP, Dyana Sofya tiba di pusat mengundi SMK Sultan Abdul Aziz bagi meninjau proses membuang undi.

10.15 pagi: SPR memaklumkan, setakat pukul 9 pagi tadi, seramai 7,080 pengundi atau 11.81 peratus keluar mengundi pada PRK P.76.

9.50 pagi: Calon BN, Datuk Mah Siew Keong melawat pusat mengundi di SJKC Phooi Yong dan memberitahu pemberita bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya jika beliau kalah.

Mah juga mengatakan beliau tidak tidur kerana peringkat akhir kempen sangat "meletihkan".

Sementara itu, Dyana ketika melawat ke sini sebelum ini, memberitahu pemberita bahawa beliau "kagum" dengan kehadiran di ceramah kemuncak DAP malam tadi.

9.40 pagi: SJK (C ) Chong Min - Suasana di pusat mengundi kawasan bandar yang menjadi kubu kuat DAP ini tenang, di mana kebanyakan mereka yang mengundi pada sebelah pagi adalah golongan pengundi pertengahan umur dan warga emas.

Pengundi muda tidak ramai kelihatan setakat ini.

Ketua cawangan DAP Bagan, Kaw Nang Hua, 53, memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dan rakan-rakannya secara sukarelawan memandu membawa pengundi di luar kawasan balik mengundi.

"Saya tinggal di perkampungan nelayan Sabak Bernam, saya memandu membawa beberapa pengundi Teluk Intan yang tinggal di sana, balik mengundi," katanya. 9.05 pagi: Calon BN, Datuk Mah Siew Keong tiba di pusat mengundi SMK Sultan Abdul Aziz untuk membuang undi.

9.00 pagi: Pasir Bedamar - SJK(C) Phooi - Pengundi tiba untuk membuang undi. Terdapat enam saluran di pusat mengundi ini.

Dyana kelihatan bersama Lim Kit Siang, dan bergambar dengan mereka yang telah selesai mengundi.

8.50 pagi: SRK Sekolah Perempuan Methodist - Pengundian di sini bermula agak perlahan. Seorang wanita warga emas tiba untuk mengundi dan kakitangan SPR membantu untuk mendapatkan kerusi roda.

8.45 pagi: SMK Sultan Abdul Aziz - Pengundi kelihatan beratur untuk memeriksa saluran mengundi mereka, manakala yang lainnya sudahpun selesai mengundi.

Polis trafik bertugas di setiap persimpangan jalan di sekitar sekolah berkenaan.

Tiada kelihatan penyokong parti politik di kawasan luar, begitu juga keadaannya di sekolah rendah Cina SJKC Chong Min di seberang jalan, kerana pihak berkuasa telah meletakkan notis bahawa tiada kempen dibenarkan.

8.15 pagi: SJKC San Min - Langit cerah berawan pagi ini. Calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud tiba di sekolah tersebut yang menjadi salah satu daripada tempat mengundi di Pasir Bedamar, bersama dengan pemimpin yang lain.

Dyana bukan pengundi di situ, maka anak kelahiran Ipoh itu dijangka mengunjungi tempat-tempat mengundi lain dalam di Pasir Bedamar dan Changkat Jong.

Sementara itu, calon BN kelahiran Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong akan tiba di SMK Sultan Abdul Aziz untuk membuang undi pada pukul 9 pagi.

7.30 pagi: Ini adalah pilihan raya kecil (PRK) keenam selepas PRU13, dan PRK kawasan parlimen kedua selepas Bukit Gelugor minggu lalu.

Mah telah berkempen atas tema isu-isu tempatan seperti perkhidmatan majlis tempatan, manakala Dyana bertumpu kepada isu-isu nasional seperti kos hidup dan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan kerajaan.

Pengundi berdaftar di Teluk Intan terdiri daripada 42 peratus Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.

PRU13 menyaksikan 80.4 peratus keluar pengundi, yang tertinggi pernah dicatatkan di kawasan ini.