Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 12 Ogos 2011

Chong Wei terlalu hebat


LEE Chong Wei membalas hantaran pemain Korea Selatan, Park Sung Hwan pada perlawanan pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Wembley Arena, London semalam. - AP


KUALA LUMPUR - Datuk Lee Chong Wei langsung tidak menunjukkan belas kasihan kepada Park Sung Hwan ketika membenam jaguh Korea Selatan itu 21-10, 21-5 hanya dalam masa 29 minit untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia di Arena Wembley.

Sung Hwan, bukan calang-calang pemain, malah turun sebagai pilihan kesembilan, namun semalam Chong Wei membuatkan pemain berusia 26 tahun itu seperti 'budak sekolah' apabila berjaya membalas setiap serangannya dan memaksa Sung Hwan melakukan kesilapan mudah serta kaku di atas gelanggang.

"Saya rasa Park sangat kaku dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan selepas saya berjaya membalas setiap serangannya, ia yang menjadikan kemenangan ini sangat mudah,'' akui Chong Wei.

Malangnya, kemaraan Chong Wei gagal dituruti pasangan muda negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tunduk 19-21, 14-21 kepada Chayut Triyachart-Yao Lei dari Singapura dalam acara beregu campuran.

Begitupun kejayaan Chong Wei meneruskan buruan untuk mencari kejuaraan Dunia pertama dalam enam percubaan tetap menjadi tumpuan utama di London. Malah jangkaan peuntuk melihat juara All England 2010 dan 2011 itu bertemu musuh tradisi, Lin Dan di final masih pada landasan selepas jaguh China itu turut melangkah mudah ke suku akhir.

Lin Dan, juara dunia tiga kali mara selepas mengalahkan seorang lagi pemain Korea, Lee Hyun Il 21-16, 21-13.

Bagi Chong Wei, yang menang straight set dalam semua tiga perlawanannya setakat ini, pemain tumpuan dari Guatemala, Kevin Cordon atau pemain Sepanyol, Pablo Albian bakal menjadi lawan yang menanti pada suku akhir.

Ditanya mengenai kedua-dua pemain, Chong Wei menegaskan, bertemu Cordon mahupun Albian tidak banyak beza. "Kedua-duanya tidak boleh diambil mudah dan harus ditangani sebagai lawan yang serius.

"Mereka tidak rugi apa-apa kalau kalah, mereka cuma mahu turun gelanggang dan memberi permainan terbaik. Kunci permainan saya esok, jangan ambil mudah perlawanan tersebut.

"Tidak diragui kedua-duanya mempunyai bakat yang besar, sama ada Kevin atau Pablo yang berjaya melangkah diri ke suku akhir, ia akan dianggap sebagai sebagai satu kemajuan besar," kata Chong Wei lagi.

Semalam, Chong Wei langsung tidak memberi muka kepada Sung Hwan apabila mendominasi permainan sejak set pertama dengan mendahului 4-1 sebelum melebarkan kedudukan kepada 9-4, 14-6, 18-19 dan akhirnya menang 21-10. Set kedua lebih mudah buat jaguh No. 1 dunia itu yang mendahului hingga 17-4 dan menang 21-5.

Begitupun khabar gembira yang diharapkan daripada beregu campuran tidak kesampaian. Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur mereka masih mentah di pentas antarabangsa apabila gagal melepasi halangan pasangan Singapura, biarpun mempunyai keupayaan untuk memenangi perlawanan.

"Lawan berjaya membaca permainan kami dengan amat baik, walaupun pada awalnya saya menjangkakan kami punya kelebihan di set pertama, namun kami tidak dapat menemui sentuhan penamat pada mata yang sepatutnya.

"Kami telah mensia-siakan satu peluang keemasan, kami sepatutnya memanfaatkan kesempatan ini dan ia sangat mengecewakan,'' akui Peng Soon.

Khamis, 11 Ogos 2011

Mangkuk tandas untuk MB

AHLI-ahli Warisan dan Gempak memakai topeng wajah Menteri Besar Selangor sambil memegang penyapu dan sepanduk sebagai bantahan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 10 Ogos – Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memberi ingatan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak memperdagangkan Islam dan akidah penganut agama itu hanya untuk memenuhi kepentingan diri serta politik yang diwakilinya.

Ingatan itu dibuat oleh Pemuafakatan Warisan Melayu Malaysia (Warisan) dan Gerakan Memantau Perkhidmatan Agensi Kerajaan (Gempak) sebagai membantah tindakan Abdul Khalid memohon maaf kepada pihak Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Petaling Jaya sebelum ini.

Permohonan maaf Abdul Khalid itu dibuat susulan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan ke atas gereja berkenaan atas dakwaan cuba menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam dalam satu majlis pada 3 Ogos lalu.

Setiausaha Warisan, Zulkifli Shariff yang mengetuai demonstrasi bantahan bersama-sama 30 orang ahli NGO itu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyatakan, pihaknya terhina dan tersinggung dengan tindakan menteri besar itu yang bersifat kebudak-budakan dan memalukan bagi seorang pemimpin beragama Islam.

“Sepatutnya menteri besar yang beragama Islam memelihara, mempertahan dan melindungi kesucian Islam apatah lagi jika ada usaha pihak tertentu untuk memurtadkan orang Islam.

“Kita membantah tindakan Abdul Khalid kerana membuat permohonan maaf tanpa menunggu penjelasan sebenar daripada JAIS. Sebagai penganut Islam, kita anggap tindakan beliau ini memalukan dan tidak sewajarnya datang daripada seorang pemimpin beragama Islam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sepanjang demonstrasi selama 20 minit bermula pukul 10 pagi itu, mereka turut memberikan ‘hadiah istimewa’ kepada menteri besar yang berupa mangkuk tandas, penyapu serta mop sebagai simbolik bantahan terhadap tindakan Abdul Khalid dalam isu tersebut.

Pada masa sama, katanya, Warisan dan Gempak turut menyatakan pendirian menyokong tindakan JAIS termasuk Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali dalam isu pemeriksaan ke atas gereja berkenaan.

Malah, majoriti yang menyertai demonstrasi bantahan tersebut turut memakai topeng yang memaparkan wajah Hasan sebagai menyatakan sokongan mereka kepada Exco kerajaan negeri itu.

Segelintir mereka yang menyertai demonstrasi aman itu turut memakai topeng berwajahkan Abdul Khalid dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad masing-masing dengan bertanduk sebagai tanda membantah sikap kedua-dua pemimpin pakatan pembangkang itu dalam isu berkenaan.