Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Ahad, 16 Mei 2010

Zakar tidak terangsang


Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
tanyadrxy@bharian.com.my

Soalan:


SAYA sangat risau sekarang. Ini kerana sejak lebih dua minggu lalu, zakar saya sukar menegang. Malah, boleh dikatakan ia tidak menegang langsung.
Selalunya, pada awal pagi zakar saya menegang tetapi sekarang tidak. Puas saya cuba merangsangkannya seperti berkhayal tetapi masih lembik. Apakah ini sesuatu yang normal dan biasa dihadapi lelaki?

Jawapan:

ADA dua kategori utama penyebab masalah disfungsi erektil (erectile dysfunction). Jika saudara tergolong dalam kategori umur muda dan tidak mempunyai masalah kesihatan lain, punca utama adalah psikogenik. Ini disokong dengan fakta kegagalan mendapat ereksi secara tiba-tiba malah ereksi tidak boleh dirangsang langsung.

Faktor yang menyumbang kepada masalah psikogenik ini boleh terjadi secara disedari atau tidak. Ini termasuk stress, masalah kewangan atau perhubungan. Masalah ereksi yang saudara baru hadapi ini juga boleh menimbulkan tekanan yang mampu memburukkan keadaan.
Kategori kedua adalah organik iaitu masalah ketegangan zakar berpunca isu kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kekurangan hormon testosterone. Masalah ini sering terjadi pada golongan pertengahan umur termasuk mereka yang mengalami masalah kesihatan yang dinyatakan. Bagaimanapun, masalah ereksi pada golongan ini berlaku secara perlahan-lahan dan tidaklah mendadak dalam tempoh tiga minggu seperti yang dialami saudara.

Nasihat saya, cuba kenal pasti faktor yang boleh menimbulkan tekanan. Lakukanlah aktiviti yang boleh mengurangkan stress seperti bersenam. Jika saudara merokok, hentikannya kerana merokok akan menjejaskan fungsi ereksi. Ketika ini, elak cuba memaksa zakar menegang sama ada dengan cara stimulasi manual atau sebagainya.

Jika belum pernah mendapatkan pemeriksaan kesihatan, saya nasihatkan saudara mendapatkan saringan kesihatan untuk penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi kerana ia boleh menyerang golongan muda. Masalah ketegangan zakar psikogenik lazimnya bersifat sementara dan tidak memerlukan ubat. Namun, ada pakar urologi memberikan ubat PDE 5 inhibitor untuk mendapatkan apa yang dikenali sebagai placebo effect iaitu kesan secara tidak langsung. Apabila ketegangan pulih, pengambilan ubat dihentikan.

Saudara juga dinasihat tidak membeli ubat yang tidak diiktiraf di pasaran terbuka atau melakukan urut seperti urut batin yang akan menimbulkan banyak komplikasi. Jika masalah ini berlarutan, saudara perlu berjumpa pakar urologi.