Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 16 Oktober 2010

Bengkok bawa padah


Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.
tanyadrxy@bharian.com.my


Soalan:


SAYA memiliki zakar yang normal ketika tegang. Saya ingin bertanya bagaimana jika bersama isteri, saya membengkokkan zakar ketika masturbasi untuk menambah keseronokan.
Apa yang ingin saya tahu, apakah amalan membengkokkan zakar ini boleh memudaratkan zakar malah menjadikan ia lembik? Saya risau tidak dapat memberi kepuasan kepada isteri.

Lelaki Normal

Jawapan:

TINDAKAN saudara membengkokkan zakar ketika onani boleh menimbulkan kecederaan serius pada batang zakar. Ketika zakar menegang, darah akan memenuhi ruang di dalam tisu corpora cavernosa, iaitu dua struktur yang berbentuk tiub yang juga struktur utama dalam batang zakar.

Kedua-dua struktur ini dibaluti satu lapisan tisu yang dikenali sebagai tunica albuginea. Fungsi lapisan ini adalah untuk mengekalkan darah di dalam corpora cavernosa dan ia juga untuk membolehkan batang zakar menjadi keras.
Dalam keadaan zakar yang tegang, lapisan tunica albuginea ini akan menjadi tersangat nipis. Apa yang boleh berlaku ialah, jika saudara kerap membengkokkan zakar ketika masturbasi, lapisan tunica albuginea boleh koyak.

Apabila koyak, darah akan mengalir keluar dari ruang corpora cavernosa dan memenuhi kawasan di bawah permukaan kulit. Batang zakar juga tidak akan menjadi tegang lagi akibat kebocoran darah dari ruang corpora cavernosa. Keadaan ini dikenali sebagai patah batang zakar atau fracture penis.

Fracture penis ini sering terjadi semasa mastubasi, tambah lagi apabila seseorang itu gemar membengkokkan zakar pada sudut yang tertentu. Ia juga boleh berlaku ketika persetubuhan terutama apabila tusukan batang zakar ke dalam vagina berlaku pada sudut yang tidak normal atau zakar tiba-tiba terbengkok semasa tusukan.

Sering kali sebelum ia berlaku, seseorang lelaki akan mendengar bunyi ‘crack’ dan diikuti dengan sakit pada batang zakar. Batang zakar akan terus menjadi lembik dan akan menjadi bengkak serta berwarna kebiruan.

Fracture penis ini perlu dirawat secara pembedahan kecemasan. Ketika pembedahan, pakar urologi terpaksa mencari tempat di mana koyakan berlaku dan tempat itu perlu dijahit semula.

Sekiranya tidak dirawat, batang zakar sukar untuk mendapat ketegangan akibat dari kebocoran darah. Pada jangka masa panjang, kawasan terbabit akan ditutupi oleh tisu parut yang akan menyebabkan batang zakar menjadi bengkok semasa tegang. Kecederaan pada saluran urethra juga boleh berlaku bersama sama dengan fracture penis.

Selain dari fracture penis, tabiat saudara membengkokkan batang zakar semasa masturbasi boleh menyebabkan pembentukan tisu parut pada batang zakar. Pembentukan tisu parut ini boleh menyebabkan batang zakar bengkok semasa ereksi dan pada kes yang teruk, penetrasi tidak dapat dilakukan.

Janganlah saudara terpengaruh dengan aksi filem dewasa atau lucah. Sudah semestinya pelbagai aksi digayakan untuk menarik perhatian penonton. Anggapan bahawa membengkokkan zakar semasa masturbasi boleh menambahkan keseronokan adalah ilusi semata mata.

Ini adalah kerana serat saraf yang memberikan sensasi semasa masturbasi atau hubungan jenis terdapat banyak di kepala batang zakar dan bukan pada batang zakar.

Sekiranya saudara berminat untuk mempelajari pelbagai teknik dalam hubungan seks suami isteri, ada banyak buku di pasaran mengenai teknik-teknik sesuai. Janganlah menjadikan filem dewasa atau lucah sebagai sumber rujukan.

Bharian

Sabtu, 9 Oktober 2010

Wanita Pertama Negara Maju Tidak Mahu Terbabit Dengan Program Rosmah

Dilulus untuk paparan oleh teori
Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 9 Okt - Imej isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta dakwaan pembabitan beliau terlibat dalam konspirasi terhadap Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan kebanyakan Wanita Pertama negara maju menjarakkan diri mereka daripada terlibat dalam Sidang Kemuncak First Ladies anjuran beliau.

Malah acara tiga hari bermula Isnin depan hanya dihadiri oleh 20 Wanita Pertama yang kebanyakannya datang dari 'dunia ketiga'.

Wanita Pertama yang hadir termasuk dari Albania, Afghanistan, Chile, Congo, Gambi Ghana, Guinea Bissau, Iran, Jamaica, Mali, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Paraguay, Seychelles, Soerra Leone, Sri Lanka, Sudan dan Zambia

Isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu dikatakan menghina Raja Permaisuri Agung dengan merampas gelaran yang pada sisi Perlembagaan adalah hak Tuanku Nur Zahirah yang selayaknya digelar Wanita Pertama Malaysia.

"Imej beliau di kalangan Wanita Pertama negara Eropah dan Amerika Syarikat sudah tercalar. Mereka tidak mahu dikaitkan dengan beliau yang terpalit dengan bermacam-macam tuduhan yang memalukan negara.

"Yang peliknya bagaimana seorang yang tidak layak memanggil dirinya wanita Pertama atau First Lady dari segi Perlembagaan Persekutuan boleh menganjurkan sidang kemuncak yang mengumpulkan wanita Pertama negara lain walhal beliau sendiri bukan dalam kedudukan itu. Ini amat memalukan imej negara," kata Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi Suara Keadilan.

Zuraida berkata tindakan Rosmah membelakangkan Tuanku Nur Zahirah dengan 'menyamar' sebagai wanita Pertama adalah sesuatu yang mencerminkan kejelekan peribadi beliau.

Malah lebih memalukan dakwaan Rosmah yang mengaku sebagai Wanita Pertama Malaysia dipertikai bukan sahaja oleh pakar Perlembagaan dan juga rakyat negara tetapi pernah dibahaskan semasa sidamng Parlimen.

Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam Bab 1 berkaitan "Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan isterinya" jelas dinyatakan, " Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong".

"Memang kita sudah bawa isu ini di dalam Parlimen dan saya sudah pun membahaskan perkara ini pada sidang yang lepas. Jadi kita akan teliti lagi sekali dan saya akan persoalkan mengapa kerajaan boleh berikan peruntukan dana awam untuk sidang kemuncak ini serta apa peranan dan keperluan penganjuran sidang berkenaan?

"Meskipun telah beberapa kali Rosmah mendapat teguran dan kritikan berhubung sikap beliau yang membelakangi Raja Permaisuri Agong dengan menganggap dirinya sebagai Wanita Pertama negara, namun dia tidak pernah peduli dan ambil kira pandangan dan teguran," tegas Zuraida.

Tambah Zuraida, Rosmah juga masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran terhadap beliau berhubung isu iklan berwarna dua halaman penuh yang memaparkannya di dalam di New York Times pada April lalu.

Iklan tersebut menyebut ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.

Apa yang menyedihkan kata Zuraida, Perdana Menteri juga menidakkan peruntukan Perlembagaan sambil menyokong Rosmah mengguna gelaran itu dengan mengatakan, 'Wanita Pertama tidak semestinya adalah Permaisuri'.

"Saya nak tanya Najib, nombor satu tu apa, kalau hanya setakat inilah pengetahuan beliau, dia kena belajar balik ilmu kira-kira," sindir beliau

"Ini jelas menampakkan Rosmah tidak menghirau dan menghormati Perlembagaan sedangkan di negara kita memang tidak pernah wujud istilah 'Wanita Pertama'.

"Malangnya apabila Najib dan Rosmah menguasai pentadbiran negara, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan. Mereka tidak ada mengetahui sejarah negara dan tidak peduli kepentingan Perlembagaan," ujar Zuraida lagi.

Sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama mengenai agenda memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.