Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Selasa, 1 Januari 2002

Misteri rumah diatas bukit (Delima Merkah)

Rita dan suaminya baru sahaja pindah ke rumah di kawasan bukit. Pasangan yang baru sahaja berkahwin itu tidak sempat berbulan madu kerana tanggungjawab suaminya tidak membenarkan mereka berbuat demikian. Walaupun pada mulanya Rita kecewa, namun setelah melihat rumah besar yang diberikan oleh syarikat suaminya, Rita berasa gembira. Rumah tersebut terletak di kawasan bukit dan agak terpinggir daripada bandar dan rumah-rumah lain. Bukankah indah dan sunyi dan sesuai untuk mereka berdua pasangan pengantin baru. Rita seorang gadis jelita yang berpendidikan tinggi. Dahulu dia bekerja di sebuah firma guaman. Setelah berkahwin dengan Syam, Rita berhenti kerja kerana ingin meluangkan masa bersama suaminya. Syam pula merupakan seorang jurutera di salah sebuah kilang automobil yang terkenal. Dia sentiasa sibuk dan kadangkala terpaksa bekerja ‘over time’. Namun kehidupan pasangan itu cukup bahagianya sehinggalah peristiwa tersebut terjadi.

Rumah yang mereka diami merupakan rumah dua tingkat. Ketika pindah ke sana, Rita dan Syam hanya sempat membersihkan tingkat bawah sahaja. Memandangkan bilik di tingkat bawah sudah memadai bagi mereka berdua, maka tingkat atas diabaikan. Kadang kala Rita terasa amat sunyi menetap di rumah besar tersebut terutamanya, ketika Syam keluar bekerja.

Suatu hari, akibat terasa amat bosan Rita naik ke tingkat atas lalu mula mengemaskan bilik-bilik di tingkat itu mengikut citarasanya. Ketika mengemas, tiba-tiba Rita rasakan yang bulu romanya meremang kerana terasa gerun dan sejuk semacam. Dia terasa seolah-olah ada seseorang merenungnya. Jantungnya mula berdegup dengan kencang sekali. Namun, sebagai gadis yang berpendidikan tinggi dia meyakinkan diri sendiri dengan mengatakan bahawa tiada apa-apa yang harus ditakutkan.

Setelah mengemas Rita pun turun. Hati Rita tidak senang kerana kali ini pun dia masih terasa yang terdapat sepasang mata yang memandang ke arahnya dengan tajam. Dia cepat-cepat mandi dan memakai baju menanti kepulangan suaminya. T.Vlah yang menjadi temannya sehingga Syam pulang pada jam 1.00 pagi. Rita tidak memberitahu Syam tentang perasaan yang melanda dirinya kerana segan diejek oleh suaminya bahawa Rita penakut dan hidup dalam dunia khayalannya sendiri.

Keesokannya sedang Rita sibuk mengemas, tiba-tiba loceng pintunya berbunyi. Kelihatan pakciknya tercegat di hadapan pintu. Beliau tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan Rita tempoh hari kerana terpaksa ke Rom untuk kajian selanjutnya tentang alam roh. Apabila pakciknya melangkah masuk ke dalam rumahnya, Rita nampak ada perubahan pada wajah pakciknya itu. Setelah minum kopi, pakciknya bertanya kepada Rita sama ada Rita dan Syam menyewakan tingkat atas kepada orang lain? Rita dengan kelirunya menjawab tidak. Wajah pakciknya menjadi lebih kusut. Beliau meminta izin untuk melihat tingkat atas rumah tersebut. Walaupun bingung dengan sikap pakciknya namun Rita membiarkan sahaja.

Selepas 15 minit pakciknya turun sambil menggelengkan kepala. Pakciknya meminta Rita mengambil sedikit pakaian dan barang keperluan lalu mengikutnya ke rumahnya. Rita hanya menurut sahaja perintah pakciknya. Setelah menghantar Rita ke rumahnya, pakciknya segera ke kilang Syam.

Dia menceritakan tentang kemusykilannya dan meminta rakan sekerja Syam yang sudah lama bekerja di situ menceritakan hal yang sebenar kepada mereka berdua tentang rumah tersebut. Syam terperanjat apabila mendengar cerita rakan sekerjanya itu. Menurut rakan tersebut, beberapa tahun lalu seorang jurutera muda yang menetap di rumah tersebut mati bunuh diri kerana patah hati setelah ditipu oleh kekasihnya.

Menurutnya lagi, kekasih jejaka tersebut sangat cantik malah wajahnya mirip Rita. Sejak itu, dikatakan rohnya seringkali mengganggu wanita atau isteri para jurutera yang menetap di rumah tersebut. Akibatnya, jurutera tersebut terpaksa berhenti kerja dan pindah ke tempat lain bersama keluarganya.

Setelah mendengar penerangan rakan Syam, pakcik Rita meminta Syam segera pindah ke rumah lain malam itu juga kerana menurut perhatian beliau, roh jejaka itu sudah jatuh cinta dengan Rita apabila Rita naik ke tingkat atas untuk mengemaskan bilik tersebut. Malah, dia bercadang untuk meragut nyawa Rita keesokan hari yang merupakan malam purnama bagi mengisi kekosongan dan kesunyiannya di alam roh.

Tanpa berlengah, Syam dengan bantuan beberapa rakan telah berpindah ke rumah sewa lain yang berhampiran dengan rumah pakciknya. Rita masih tidak faham dengan tindakan suami serta pakciknya. Syam tidak memberitahu perkara sebenar kepada Rita kerana dia tidak mahu merisaukan isterinya. Kini Rita dan Syam hidup bahagia di rumah baru mereka.

Petikan daripada Majalah Remaja 15 April 2002


Tiada ulasan: