Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Ahad, 2 Ogos 2009

Kenang cerita kanak-kanak




WAJAH empat figura ini tidak dinafikan sudah semakin sebati dalam kehidupan kita yang menghargai suntikan hiburan. Jelas, mereka ada cara tersendiri dalam menyusun perjalanan kerjaya masing-masing.

Kalau tiga watak kanak-kanak ini baru mula merasai tempias kemasyhuran, seorang lagi sudah menginjak ke usia matang seiring dengan pencapaian beliau melakar sejarah unggul seni suara.

Lucu apabila melihatkan reaksi pertemuan mereka berempat. Si mata bundar, Nur Fathiah Diaz, 10, iaitu pelantun suara untuk kedua-dua watak Upin dan Ipin, sebenarnya langsung tidak tahu bahawa penggambaran sempena edisi hari raya ini akan menggandingkan dirinya bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Khabarnya, kehadiran Siti untuk sesi bergambar itu sengaja dirahsiakan oleh pihak Les Copaque yang bertanggungjawab membawa Fathiah ke lokasi. Malah ibunya, Azlinda Mohd. Alias, dan si penyarung kostum kembar Upin dan Ipin juga berpakat dalam memberi kejutan ini kepada Fathiah.

Tergamam jumpa idola

Paling ketara apabila Siti keluar dari bilik persalinan, Fathiah yang pada mulanya banyak bercakap tiba-tiba terdiam dan tergamam. Hinggakan apabila Siti menghampiri untuk membelai rambutnya, Fathiah hanya mampu membeliakkan mata. Tangannya kaku di sisi.

Upin dan Ipin juga bereaksi tanpa melantunkan suara. Kembar comel itu sekadar mengusik dan berkomunikasi melalui bahasa tubuh mereka.

Wajah ceria mereka sudah cukup mencetus keceriaan di Royal Suite itu, iaitu lokasi tajaan Hotel Nikko Kuala Lumpur. Sesi fotografi ini berlangsung dengan penuh rasa keriangan kanak-kanak.

"Saya dari dulu ingin berjumpa Kak Siti. Selalu tak dapat. Dulu pernah sekali lihat Kak Siti di sebuah konsert.

"Tapi saya jauh di belakang orang ramai, sampai tak dapat langsung mendekatinya," ujar anak kecil yang dalam temu bual berasingan cuba menyanyikan lagu Biarlah Rahsia tanpa didengari Siti.

Dia yang membahasakan diri sebagai Tiah mengambil masa yang agak lama untuk berasa selesa dengan Siti. Siapa sangka penyanyi yang dipujanya itu kini duduk, berbual, bercanda dan mendakapnya manja. Pengalaman itu umpama hadiah Aidilfitri yang hadir awal seminggu buat Fathiah.

"Selalu tengok Kak Siti di televisyen. Dulu muka dia lain sikit, sekarang bertambah cantik. Tiah suka dia (penampilan) yang sekarang," bisiknya kepada penulis.

Pelakon suara cilik ini sebenarnya tidak sepenuhnya menyedari betapa bakatnya itu telah mencipta gelombang populariti buatnya. Bagi Fathiah, dia sekadar kanak-kanak biasa.

Walaupun di sekolah dia lebih kerap dipanggil dengan nama Upin berbanding namanya sendiri, dia melihat dirinya perlu komited dalam pelajaran seperti kanak-kanak lain seusia dengannya.

Bercerita tentang raya, Fathiah tidak sabar untuk bertemu dengan opah di kampungnya di Kampung Kuala Klang, Selangor.

Poket baju kurung Siti

Selain bergembira dengan dua adiknya, Mohd. Fathi dan Nurfarhana, dia juga ternanti-nanti juadah lazat tradisi keluarganya iaitu ketupat dengan daging masak Palembang selain lemang dan sayur lodeh.

"Tiah main juga bunga api. Tapi mesti ibu dan bapa Tiah menemani. Tiah harap kanak-kanak lain sentiasa dijaga ibu bapa masing-masing supaya mereka tidak cedera," pesannya.

Keistimewaan watak Upin dan Ipin juga membuatkan Siti Nurhaliza teruja. Sebelum fotografi bermula, Siti sendiri mahu bergambar dengan mereka berdua dengan kamera sendiri.


EH! Ini Upin ke Ipin? Bukanlah! Inilah Siti yang 'menjelma' menjadi Ipin.


Lalu sekalian yang hadir pun membuat rumusan sendiri - di sebalik keanggunan Siti membawa gelaran dan status sosial yang tinggi, masih ada sisi keanak-anakan dalam dirinya.

"Dulu kalau bab kutip duit raya memang seronok. Siti dibesarkan di berek polis. Bayangkan ada tiga blok dan setiap blok ada empat tingkat. Bermula dari tingkat empat dan kemudian turun ke tingkat bawah satu persatu.

"Apabila sudah sampai di tingkat yang bawah sekali, poket baju kurung Siti yang memang dijahit dengan dua poket khas untuk duit raya sudah memboyot. Duit raya dulu kan duit syiling, jadi bayangkan keadaan poket Siti," kata penyanyi tersohor ini seraya tertawa manis.

"Lepas habis beraya di rumah jiran terdekat, esoknya Siti akan ikut Kak Ida (Saida) untuk beraya di rumah yang jauh-jauh pula. Siti memang akan menempel dengan Kak Ida. Kalau ikutkan seminggulah Siti beraya dan kutip duit raya," ujarnya lagi yang menyimpan koleksi duit raya itu di bank selain membelanjakan sedikit untuk membeli bunga api.

Dalam keseronokannya berkongsi pengalamannya beraya, terselit juga kisah sedih yang dikongsinya. Siti tahun ini kali pertama beraya tanpa tunjang familinya, Tarudin Ismail yang pergi bertemu Ilahi 15 Februari lalu.

"Siti akan mengerjakan umrah bermula 14 haribulan ini hinggalah pada pagi Syawal, Siti akan sampai di Kuala Lumpur. Sampai sahaja Siti akan terus pulang ke Kuala Lipis untuk beraya.

"Cuma sehari kemudian Siti akan pulang ke Kuala Lumpur dan raya ketiga akan ke Kedah untuk sambut Aidilfitri dengan keluarga sebelah suami," ujarnya.

Perkembangan Upin dan Ipin

Dalam kesibukan jadualnya sebagai penghibur nombor satu negara, Siti rupa-rupanya tidak lupa mengikuti perkembangan Upin, Ipin dan Nur Fathiah. Dia mula mengenali adik-beradik kembar itu di ruang iklan.

Upin si abang yang mempunyai rambut sejemput di kepala sering dilihat mengusik adiknya, Ipin.


HADIAH Aidilfitri. Fathiah tidak menyangka impiannya untuk berjumpa Siti akhirnya tercapai.


Ramai yang menaruh hati kepada kecomelan Upin yang lebih matang. Ipin pula lebih banyak teruja dengan ayam gorengnya dan menyahut pendapat dengan kata-katanya: "Betul, betul, betul!"

"Siti akan tengok sampai habis iklan. Kemudian keluar pula episod Ramadan mereka. Ada waktu Siti akan tengok. Bangga melihatkan teknologi animasi kita yang semakin maju."

Walau belum sempat menonton Geng Penggembaraan Bermula lakonan filem debut Upin dan Ipin, Siti megikuti bakat mereka melalui program Di Sebalik Tabir yang ditayangkan di kaca televisyen.

Jejak Upin dan Ipin juga sudah bertapak di negara jiran, Indonesia. Wakil Les Copaque memberitahu, siri Upin & Ipin yang disiarkan melalui TPI mendapat rating 10.5 juta penonton dan disiarkan dua kali sehari.

"Eh, nak cuba pakai jugalah! Nak tahu apa rasanya," kata Siti yang dilihat seronok dan tidak segan menyarungkan kepala maskot Ipin seusai sesi temu bual.

Kosmo!

Tiada ulasan: