
Sekumpulan rakyat Malaysia yang menuntut di Australia berikrar akan meneruskan hasrat mengadakan perhimpunan bagi menyokong BERSIH 2.0 di sebalik amaran oleh pihak berkuasa Malaysia supaya tidak berbuat demkian.

Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Maverick itu berkata perhimpunan akan diadakan di tujuh bandaraya di lokasi simbolik seperti bangunan konsulat Malaysia di Sydney dan Perth dan juga bangunan Parlimen di Canberra.
Namun, katanya perhimpunan terbesar dijangkakan di Melbourne.

“Seperti yang kita ketahui, majoriti golongan muda Malaysia takut untuk meluahkan suara mereka atau berdiri untuk politik,” kata Maverick.
Pelajar itu berkata tidak seperti di Malaysia, adalah mudah untuk mendapatkan kebenaran bagi berhimpun dan dalam kes di Adelaide, mereka cuma perlu memaklumkannya kepada majlis perbandaran.

“Saya tak takut walaupun saya seorang pelajar. Saya tahu rakyat Australia mengamalkan demokrasi tulen dan akan menyokong kami dalam penganjuran perhimpunan seumpama ini.
“Dalam beberapa hari lagi, kami akan berhubungan dengan beberapa senator dan ahli parlimen Australia bagi menyokong kami pada perhimpunan ini,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan