Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Sabtu, 8 Oktober 2011

'Gagal laksana bajet ibarat bunuh diri di segi politik'

S Pathmawathy
3:16PM Okt 8

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia ibarat bunuh diri di segi politik sekiranya kerajaan tidak dapat melaksanakan Bajet 2012 yang dibentangkannya semalam.

"Adakah kita mempunyai wang untuk melaksanakan? Ada. Kalau tak ada wang, saya takkan bentangkan semalam.

"Saya akan melakukan perbuatan bunuh diri dari segi politik kalau saya membentangkan bajet yang kerajaan tidak boleh tunaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan mesra rakyat di Kundang, Kuang di Kuala Selangor hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab kritikan pembangkang bahawa kerajaan tidak mempunyai dana untuk menunaikan janji-janji dalam bajet 2012.

"Bajet kita adalah telus. Jadi, apa yang kami lakukan pun dalam lingkungan kemampuan kita, dan dalam kemampuan itu, kita telah berkata yang kita mampu melakukan," katanya. [Baca berita penuh]

Sementara itu, mengenai dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa belanjawan negara yang dibentangkan semalam tidak realistik, Bernama melaporkan Najib berkata Belanjawan Negara dibuat berdasarkan fakta yang amat diketahui oleh kerajaan dan melibatkan banyak pihak termasuk pegawai-pegawai daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia dan
Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Jadi tidak mungkin mereka ini tidak mengetahui apa yang patut dibentangkan dari segi fakta untuk keputusan Perdana Menteri dan kerajaan, katanya.

"Jadi apa pun yang penting sekali ialah pelaksanaannya dan apabila pelaksanaannya nanti berkesan segalanya akan terjawab dengan sendirinya, kata beliau.

Kalau dikatakan tidak realistik maknanya "kita tidak mungkin memenuhi janji-janji kita seperti terkandung dalam Belanjawan 2012 sebaliknya saya nak tahu apa yang dia akan kata kalau kita dapat melaksanakannya. Itu akan menjawab segalanya," kata perdana menteri.

Mengenai reaksi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa kurang berita gembira untuk pekerja swasta berbanding kerajaan dalam belanjawan kali ini, beliau berkata faedah untuk kakitangan swasta bergantung kepada rundingan mereka dengan majikan masing-masing.

"Kita tak boleh mengarahkan pihak swasta tapi kita harap melalui rundingan terutama sekali bila kita telah wujudkan mekanisme untuk menentukan gaji minimum mereka boleh menimbangkan gaji minimum yang munasabah bagi setiap sektor pekerjaan," katanya.

Najib juga berkata tiada kenaikan cukai rokok pada Belanjawan 2012 kerana kadar penggunaan rokok haram kini terlalu tinggi, iaitu 40 peratus dan jika harga rokok meningkat peratusan mereka yang menghisap rokok haram ini akan meningkat.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan boleh menimbang untuk menaikkan cukai atau harga rokok pada bila-bila masa jika keadaan memerlukan.

Mengenai perkembangan jentera BN Selangor selepas konvensyennya dua minggu lepas, Najib berkata jentera BN semakin bersemangat dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 semakin bertampah rapi tetapi mereka perlu berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada BN.

Sebelum itu semasa berucap di majlis mesra rakyat, beliau mengumumkan bahawa kerajaan akan membina satu jalan pintas menghubungkan Kampung Baru Kundang dengan Bandar Tasik Puteri Rawang sejauh 3.2 km dengan kos RM4.2 juta.

Beliau berkata jalan ini akan memberikan manfaat kepada 10,000 penduduk sekitar apabila masa perjalanan dapat disingkatkan kepada lima minit berbanding dengan 30 minit jika mengikut jalan lama sejauh 20 km.

Najib juga berkata pihaknya akan berbincang dengan syarikat yang mengendalikan Lebuhraya Latar yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Selangor supaya dapat menyediakan satu jalan keluar dari lebuh raya itu ke Kundang.

Beliau dimaklumkan pada masa ini hanya terdapat jalan masuk dari Kundang ke lebuh raya itu dan beliau berharap syarikat yang mengendalikan lebuh raya tersebut akan bersetuju dengan pembinaan jalan keluar ke Kundang dari Lebuhraya Latar.

Tiada ulasan: