Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 22 Februari 2012

Sime Darby Asyik Rugi


Oleh Rusnizam Mahat

Sime Darby Berhad mengalami kerugian lebih RM1.6 bilion kerana antara lain mengambil alih projek nazak seperti Empangan Bakun di Sarawak, kata pengerusi syarikat gergasi itu, Tun Musa Hitam.


Musa berkata pada tahun 2002, Sime Engineering Sdn Bhd mengambil alih Bakun, ketika projek itu mengadapi pelbagai masalah, khususnya dari segi kos yang menjangkaui anggaran.

Saya pernah bertelagah de-ngan pucuk pimpinan terdahulu mengenai projek Bakun, lebihan kosnya besar, kata Musa dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia.

Proses pengambilalihan projek Bakun ini berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara.

Dalam wawancara itu juga, Musa memberitahu bahawa Sime Darby mendapat kontrak projek Bakun pada harga yang rendah meskipun projek itu berskala besar.

Beliau mempersoalkan kenapa kerajaan tidak langsung memantau projek yang menelan berbilion ringgit itu walaupun ia membabitkan kepentingan nasional.

“Ia dianugerahkan kepada seseorang, kemudian ia ditender semula ketika itu, Sime Engineering memperolehinya. Ia tidak ada kaitan dengan Sime Darby sekarang. Namun bagi saya tentu kerajaan tahu, boleh menyekat ataupun mengawasi Sime Engineering ketika itu. Ini merupakan projek nasional,” tambah beliau.

Pendedahan oleh Musa itu harus mengundang siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ia membabitkan syarikat kepen-tingan nasional yang mengambil alih projek-projek tenat, kata Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul.

Menurut beliau, projek Bakun nazak sekitar tahun 1997 selepas syarikat milik jutawan Ting Phek King, Ekran Berhad, gagal menyiapkannya melalui Bakun Hydroelectric Coporation.

Sime Darby umpama menangung biawak hidup apabila terpaksa mengambil alih projek Bakun yang gagal dilaksanakan. Umum tahu hubungan akrab antara Ting dengan Dr Mahathir dan ini bukan perkara baru,’’ tambah beliau.

“Pada masa itu kos melambung tinggi dan Ting juga dilaporkan menuntut perbelanjaan yang tidak sepatutnya untuk projek Bakun,kata Johari.

Johari meminta SPRM menyiasat kerugian yang ditanggung Sime Darby kerana ia melibatkan kepentingan awam dan dana awam diguna untuk membiayai projek berkenaan yang tertangguh beberapa kali.

“Pertama, SPRM perlu siasat dan kita minta dedahkan laporan di parlimen kerana ini melibatkan duit orang ramai yang menabung dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja(KWSP) dan pegangan dalam Permodalan Nasional Berhad(PNB) yang akan diguna untuk menyelamatkan Sime Darby dan Bakun,” ujarnya.

Mengenai kerugian ditanggung Sime Darby, beliau juga menambah, antara punca kerugian kerana membuat banyak pelaburan bukan di dalam bidang terasnya iaitu perladangan.

Sime Darby tidak fokus pada kepakarannya dalam perladangan yang mempunyai risiko rendah. Nampak keuntungan di bidang lain besar tetapi risiko tinggi. Adakah kita mahu meletakkan duit rakyat dalam sektor yang berisiko tinggi?,” katanya yang menambah bahawa adalah lebih baik syarikat itu membuat pelaburan di dalam negara.

Sime Darby mengalami kerugian hampir RM1.6 bilion dari divisyen Tenaga dan Utiliti akibat lebihan kos dalam projek minyak di Qatar dan empangan Bakun.

Berikutan itu syarikat itu mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir Murshid, untuk bercuti sementara siasatan dijalankan.

Ramai pihak turut mendesak Musa meletakkan jawatan atas kerugian besar yang ditanggung Sime Darby.

Peluit:

Seharusnya Sime Darby dapat membantu ekonomi negara; lantaran ia adalah syarikat gergasi yang mengambil semua ladang kelapa sawit di negara kita. Bumi kita yang kaya dengan rempah ratus; herba, flora & fauna yang cantik habis gondol diteroka oleh pemaju kelapa sawit. Ini adalah hak kita hutan simpan kita; bumi indah kita tapi habis ditanam kelapa sawit.

Keuntungan kelapa sawit ini jika kita gunakan dengan cara tak munasabah mahu memikul syarikat yang nazak ini memang merugikan negara. Siapa pemilik ladang kelapa sawit ini mereka tetap untung kenapa kita pula yang melabur rugi; siapa pelabur paling banyak dalam Sime Darby ini sila dedahkan; apakah pelabur ini rugi; atau wang yang dikatakan rugi berbillion ini ada ceritera di sebaliknya.

Kes saman bekas CEO dijangka dedah pelbagai kesalahan Sime Darby dan Kerajaan

Monday, 14 March 2011

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kes saman RM338 juta Sime Darby Bhd terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dan empat yang lain dijangka akan mendedahkan segala ‘daki’ memandangkan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga akan dipanggil memberi keterangan mengenai operasi konglomerat itu.

Difahamkan defendan juga akan memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua bekas penyandang jawatan tersebut iaitu Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung kes yang difailkan Disember lalu.

Ketiga-tiga mereka juga sedang dan pernah mengetuai Kementerian Kewangan.

Saman berhubung kerugian RM2.1 bilion dialami Sime Darby telah menamakan Zubir dan empat yang lain.

Empat yang lain itu adalah Datuk Mohamad Shukri Baharom (bekas naib presiden eksekutif bahagian tenaga & utiliti kumpulan), Abdul Rahim Ismail (bekas ketua pegawai kewangan bahagian tenaga & utiliti kumpulan), Abdul Kadir Alias (bekas ketua unit perniagaan minyak & gas bahagian tenaga & utiliti) dan

Mohd Zaki Othman iaitu bekas pengurus besar kanan Sime Darby Engineering Sdn Bhd.

Tertuduh-tertuduh dijangka mempertahankan bahawa projek konglomerat itu di Bakun dan Qatar memang diketahui umum, malah disedari pemimpin-pemimpin kerajaan.

Sime Darby memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap mereka kerana didakwa melanggar peraturan pelaksanaan tugas.

Syarikat itu berkata saman itu bertujuan menebus kerugian yang dialami oleh Sime Darby Group dalam projek Qatar Petroleum, projek Maersk Oil Qatar (MOQ) dan projek yang berkaitan dengan pembinaan kapal-kapal bagi kegunaan dalam projek MOQ, dikenali sebagai ‘Marine Project’.

Ia menuntut daripada defendan, antara lain, pengembalian wang yang dibayar secara salah, ganti rugi bagi kerugian yang dialami, kehilangan keuntungan, kerosakan teruk dan kos.

Zaid Ibrahim & Co dikekalkan sebagai peguam cara Sime Darby dan Tommy Thomas sebagai peguam.

Sumber-sumber memberitahu, antara perkara yang akan didedahkan dalam perbicaraan itu kelak ialah pembabitan pemimpin-pemimpin kerajaan, Kabinet dan ahli-ahli politik kanan dalam soal pengendalian syarikat senaraian awam itu.

Ini termasuklah dana politik ketika pilihan raya dan pilihan raya-pilihan raya kecil.

Negara telah menyaksikan 16 pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum Mac 2008.

Lapan daripada dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) manakala baki oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR).

Wujud spekulasi Sime Darby juga bercadang untuk menyaman Zubir dan beberapa yang lain berhubung peningkatan kos dan pengendalian projek air bawah tanah besar-besaran di Perak serta pembelian tanah di Sarawak.

Sarawak dijangka mengadakan pilihan raya negeri bulan depan.

Sumber-sumber berkata seorang anggota kerabat diraja dan adik kepada pemimpin kanan kerajaan terlibat dalam projek air bawah tanah manakala seorang ahli perniagaan yang rapat dengan pemimpin berpengaruh di Sarawak dikaitkan dengan urusan pembelian tanah.

Difahamkan pegawai-pegawai penyiasat masih meneliti bukti sebelum menyerahkan fail kepada Peguam Negara.

Bekas CEO Sime Darby fail notis tuntut sumbangan 22 individu

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid memfailkan notis pihak ketiga bagi menuntut suatu sumbangan daripada 22 individu yang berkepentingan di syarikat itu, dalam kes saman RM338 juta berkaitan projek Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar dan projek marin serta kes saman RM92.2 juta berhubung projek Bakun.

Dalam notis itu, Ahmad Zubir berkata, jika plaintif dalam dua kes saman itu berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadapnya, beliau memohon suatu indemniti dan/atau suatu sumbangan daripada 22 individu itu.

Beliau berkata, ini kerana mereka anggota satu atau lebih lembaga pengarah di Sime Darby yang juga badan pembuat keputusan tertinggi dalam syarikat itu.

“Oleh itu, kamu mempunyai kewajipan untuk menggunakan kemahiran, kewaspadaan dan ketekunan yang sewajarnya dalam melaksanakan tugas kamu sebagai pengarah satu atau lebih daripada plaintif-plaintif di sini,” katanya dalam dua notis berasingan yang difailkan 8 Mac lalu di Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kumar Partnership.

Individu yang dinamakan Ahmad Zubir itu termasuk orang kenamaan bergelar Tan Sri dan Datuk.

Pada 23 Disember lalu, Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Energy Sdn Bhd, Sime Darby Marine Sdn Bhd dan Sime Darby Marine (Hong Kong) Sdn Bhd memfailkan saman menuntut pembayaran balik sekurang-kurangnya RM338 juta, ganti rugi am dan teruk, serta ganti rugi lain.

Tiada ulasan: