Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 2 Ogos 2012

SPRM serbu tapak bazar Ramadan



KUALA LUMPUR 1 Ogos - Sehari selepas akhbar Utusan Malaysia mendedahkan kegiatan sindiket penjualan tapak bazar Ramadan yang dijual pada harga yang tidak masuk akal, pihak berkuasa bertindak menyerbu lokasi perniagaan yang dikaitkan di Jalan Masjid India dan Lorong Fatimah, di sini hari ini.

Hasilnya, dua individu yang dipercayai orang tengah menguruskan penjualan tapak-tapak bazar tersebut berjaya ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Salah seorang daripada mereka berusia 50 tahun dan berniaga jam tangan di kaki lima Jalan Masjid India, namun mempunyai kemudahan untuk keluar masuk pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.
Kedua-dua orang tengah tersebut ditahan petang ini mengikut Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009 dipercayai menerima suapan wang untuk menguruskan pembelian tapak orang kenamaan (VIP) bazar Ramadan.

Penahanan tersebut dibuat secara berasingan bagi membantu siasatan. Kedua-duanya dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk soal siasat.

Operasi yang diketuai Penguasa SPRM Mohd. Fauzi Maslan bermula pukul 1 hingga 5 petang ini memfokuskan pemeriksaan tapak-tapak bazar yang dipercayai dibeli daripada sindiket berkenaan.

Menurut jurucakap SPRM, sebanyak 15 peniaga dipercayai membeli tapak bazar VIP tanpa melalui proses undian yang dibuat pihak berkuasa tempatan pada harga antara RM6,000 hingga RM50,000.

Katanya, kesemua peniaga tersebut gagal mempamerkan dokumen perniagaan masing-masing sebaliknya menggunakan kad perniagaan yang dimiliki individu lain atau nama persatuan perniagaan.
"Ada di antara peniaga mendakwa mereka membeli tapak VIP bazar berkenaan dengan harga RM50,000 bagi dua petak.
"Sebenarnya ada banyak lagi tapak bazar yang dipercayai terlibat dengan sindiket berkenaan namun mereka tidak beroperasi ketika operasi dijalankan hari ini.

"Sebanyak 102 tapak bazar beroperasi di Jalan Masjid India dan Lorong Fatimah. Sehubungan itu, dipercayai sindiket mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil penjualan tidak munasabah tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi operasi di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan satu sindiket menawarkan petak-petak bazar Ramadan yang mengaut keuntungan sehingga mencecah jutaan ringgit dikesan berlaku di Jalan Masjid India, Lorong Fatimah, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Wakaf Orang Tua Buta di sini.

Sindiket yang dipercayai didalangi 'orang dalam' PBT itu turut melibatkan peniaga, individu tertentu di dalam persatuan-persatuan penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kegiatannya pula dikatakan dikesan telah bermula sebulan sebelum Ramadan dan melibatkan ratusan petak perniagaan, termasuk yang digelar tapak VIP kerana lokasinya yang strategik.

Selain itu, dalam operasi tersebut, seorang peniaga mendakwa membeli tiga tapak bazar dengan harga RM6,000 setiap satu di lokasi yang dipercayai bukan tapak perniagaan yang dibenarkan oleh PBT.

Jurucakap itu memberitahu, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejauh mana pembabitan ahli-ahli persatuan berkenaan dan orang dalam pihak berkuasa tempatan terlibat dalam sindiket penjualan tapak bazar tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan dua individu berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

Utusan

Tiada ulasan: