Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Jumaat, 10 Oktober 2014

Bajet 2015: Surat terbuka buat menteri kewangan

 

ULASAN Buat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Di ambang Bajet 2015, izinkan saya membuat hanya satu teguran sahaja dan akan susuli dengan yang lain kemudian. Memang ia tidak akan dapat merubah apa-apa seperti yang telah termaktub dalam Rang Undang-Undang Bekalan Perbelanjaan 2015.

Surat terbuka ini bertujuan sekadar mengingatkan YB Menteri Kewangan dalam rangka nasihat serta semak-imbang sekaligus seperti dianjurkan lisan Rasulullah SAW: "Bahawa agama itu nasihat.”

Ini bajet keenam YB sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada April 2009. Ia bajet terakhir menutup tirai Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bermula pada tahun 2011 dan tamat tahun 2015.

YB tidak perlu dingatkan bajet adalah alat fiskal utama sesebuah kerajaan demokrasi yang mengatur susun perbelanjaan dari sumber pendapatan.

Bajet juga membuat anggaran tentang tahap pertumbuhan yang ingin dicapai buat tahun tertentu, sekaligus menangani tahap inflasi dan pengagguran (unemployment).

Itu aspek makroekonominya. Pujian boleh diberikan kepada YB tentang tahap pengangguran yang rendah di negara kita ini.Terkini 2.4%.

'Gagal capai KPI'

Sayugia saya ingatkan sejak 2009, YB tidak berjaya mencapai tahap ‘lulus’ dalam ‘KPI’ yakni ‘6% pertumbuhan ekonomi’ yang YB sendiri sasarkan.

Ya YB gagal, dan hanya capai 4.5% hingga 5% sahaja secara purata. Sebab itu saya memahami YB sangat seronok kerana mencapai 6.2% pada suku pertama dan 6.4% pada suku kedia tahun ini (2014).

Saya juga faham mengapa YB suruh penerangan Umno dibuat seluruh negara tentang ‘kejayaan’ tersebut.

Yakinlah YB, bahawa rakyat tidak akan marah YB jika tidak kesampaian angka yang ingin dicapai.

Seandainya YB berjaya capai melebihi 6% pertumbuhan pun, rakyat juga tidak memahami erti dan mungkin tidak pun dapat merasakan kesan baiknya kepada kehidupan mereka.

Nah ketahuilah YB sesungguhnya angka-angka makroekonomi ini tidak punya erti bagi rakyat teramai kecuali segelintir yang benar-benar celik ekonomi.

Namun YB seandainya saya dedahkan kepada mereka dan ‘menghasut’ mereka bahawa YBlah menteri kewangan yang bukan sahaja ‘gagal’ mencapai markah lulus bahkan sebaliknya adalah menteri kewangan yang culas dan cuai dalam tadbir-urus kewangan awam negara yang diamanahkan rakyat, maka kesannya adalah berat kepada YB!

Berhenti berboros

Saya minta dalam surat terbuka ini, supaya YB berhenti membelanjakan sumber pendapatan negara dan kekayaan negara dengan cara boros, cuai dan terkadangkali tidak telus dan bertanggungjawab!

Mengikut rekodnya, YBlah Menteri Kewangan yang ‘tidak pernah gagal’ memohon “Perbekalan Tambahan” atau mudahnya ‘Bajet Tambahan’ setiap tahun sejak 2009. Saya boleh memahami keperluan YB untuk memohon bajet tambahan tahun 2009 sebab kemelut atau krisis ekonomi.

Negara memerlukan berbelanja secara ‘suntikan fiskal’ atau ‘fiscal stimulus’ untuk mengepam ekonomi dalam keadaan ekonomi meleset sesuai dengan konsep ekonomi ‘counter-cyclical’ berdasarkan teori Keynesian.

Ya betul, tetapi YB ‘kesedapan’ dan ‘ketagih’ memohon paling tidak dua kali setahun sehingga kini, hampir-hampir RM20 bilion setiap tahun.

Hentikan tabi’at ini... Stop the overspending!

Lebih buruk lagi, perbelanjaan sebenarnya telah dibuat dahulu dan permohonan dibuat kemudian sekaligus menjadikan Parlimen satu ‘Rubber Stamp’! Bahkan paling tidak sopan, kerajaan UBN sengaja mengunjurkan ‘pendapatan yang rendah’ (revenue) supaya ‘defisit budget’- nisbah pendapatan- rendah.

Bila pungutan cukai lebih baik dari ramalan, YB dan Kabinet memohon ‘tambahan’ kerana tidak menampakkan ‘defisit fiskal’- nisbah KDNK - yang lebih tinggi sebab ‘pungutan cukai lebih baiknya’ kononnya.

Trik lama ini YB dan PM Umno-BN dahulu telah lama guna. Tetapi YBlah yang paling ‘cemerlang’ dalam penggunaan kaedah ini! Ya, rakyat tidak tahu! Tetapi kami Pakatan Rakyat tahu!

Lepasi had hutang

Akibat dari tabiat ini, kerajaan Persekutuan telah melepasi ‘had hutang’ yang tidak diizinkan oleh dua akta yang digubal oleh parlimen dalam kerajaan BN sendiri.

YB sedia makulm bahawa Akta Pinjaman Tempatan (1959) dan Akta Dana Kerajaan (1983) tidak mengizinkan kerajaan Pusat meminjam lebih dari 55% dari KDNK.

Pada April 2014 buat julung kalinya, kerajaan Persekutuan telah melepasi had statutori ini. Apakah YB tidak sedar atau buat-buat tidak sedar atau memang tidak kisah? Kalau tidak mahu kisah atau patuh kita batalkan sahaja Akta-akta tersebut!

Ya, mungkin tidak ada siapa yang boleh menghukum YB, namun YB sewajarnya tahu sendiri bahawa akibat tabi’at culas inilah yang telah meletakkan ‘Penguatkuasaan GST April tahun 2015’ telah menjadi satu ‘Wajib’! Sebabnya?

Ya, sebabnya wajar jelas kepada rakyat kini. Bahasa ekonomi canggihnya YB, negara kini memerlukan agenda “Konsolidasi Fiskal’. Dengan kata lain, justeru kerana:

(i) Hutang yang telah melepasi 55% KDNK (meskipun bukan hutang luar) dan;

(ii) Defisit Fiskal atau ‘Berbelanja lebih dari Pendapatan’ untuk 16 tahun berturut-turut, maka kerajaan diancam oleh Agensi-agensi Penarafan (Rating Agencies) untuk menurunkan ‘Penarafan Kredit’ (Credit Rating), sekaligus akan menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan yang tidak menarik dan kos pinjaman yang dibuat yang tinggi.

Peringatan dan pencerahan

Kini YB terpaksa melakukan dua perkara ‘Wajib’ untuk menyelamatkan kedudukan kewangan Negara. Rakyat juga mesti kami fahamkan akan hakikat perkara ini.

Atas nama ‘Konsolidasi Fiskal’ juga maka YB telah sanggup untuk “Mendahulukan Rakyat’ untuk berkorban dan dikorban menyelamatkan kedua-dua kedudukan ‘Hutang dan Defist Fiskal’ yang disebutkan tadi.

Rakyat diminta berkorban untuk melaksanakan lagi polisi YB yang diberi nama canggihnya ‘Rasionalisasi Subsidi’ dan keduanya pengenalan dan penguatkuasaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST! ‘Rasionalisasi Subsidi’ bermaksud mudahnya ‘aku tak boleh tanggung kau lagi’.

GST juga membawa padah kepada rakyat. Senarai warta barangan masih tidak YB gazettkan sehingga kini... petrol masuk ke dalam kategori 6% GST?

YB sedia maklum kesan dan akibat dari penarikan pelbagai subsidi, khasnya bahan bakar terutama petrol dan diesel. Sangat berat hempitan dan derita kepada rakyat akibat kesan berantai sebab bahan-bahan ini meningkatkan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan!

Akhir kalam,YB boleh menyeronokkan hati rakyat dengan penambahan bayaran BRIM dan pelbagai lagi. Ketahuilah bukan ‘handout’ atau pemberian-pemberian itu yang rakyat nanti-nantikan!

Tetapi yang dimahukan dan dihajati rayat adalah segala sumber khazanah dan aset negara ini diurus-tadbir dengan penuh keamanahan dan kebertanggungjawaban. Birokrasi pengurusan negara serta sistem penghantarannya mesti bebas rasuah, ketirisan dan kebocoran bermula dari atas sehingga ke bawah.

Barulah benar-benar akan diturunkan Allah keberkatan dan kesejahteraan dan kemakmuran yang hakiki. Semoga memberi sedikit peringatan dan pencerahan kepada YAB.


DR DZULKEFLY AHMAD adalah pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Tiada ulasan: