Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 6 November 2014

300 siswa sambut Opah Wahidah masuk UM

“Mahasiswa semua, berjuang, terus berjuang,” begitulah kata-kata semangat Wahidah Salleh, mangsa perobohan rumah di Kampung Chubadak Tambahan oleh penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) minggu lalu.

Warga emas yang mesra dipanggil 'Opah' Wahidah membangkitkan semangat kepada gerakan mahasiswa di Unversiti Malaya (UM) dalam program "Opah masuk UM" malam tadi.

Katanya - yang kini terpaksa menghuni satu pondok sementara di kampung itu - kemudian disambut dengan laungan "Hidup Opah" oleh kira-kira 300 hadirin di medan selera di Kolej Kediaman Tujuh.

Walaupun berlangsung dalam keadaaan hujan lebat, ia tidak menghalang mahasiswa, kakitangan (UM) dan juga orang awam memenuhi medan itu pada jam 9 malam bagi mendengar permasalahan Opah Wahidah.

Menjangkau usia 72 tahun, Opah wahidah kelihatan penat namun perasaan gembira tergambar di wajahnya apabila mengucapkan terima kasih kepada mahasiswa yang membawanya ke kampus perdana itu.

“Opah ucapkan jutaan terima kasih kepada pelajar semua kerana sudi bawa opah ke dalam universiti,” katanya lagi.

Sementara mahasiswa pula turut mengadakan kutipan derma buat Opah Wahidah bagi meringankan beban yang ditanggungnya kini.

Menurut Opah Wahidah lagi, walaupun dia berasa semakin rasa tenang kerana penderitaannya mendapat perhatian pelbagai pihak namun ada kerisauan yang masih terbuku di dalam hatinya.

“Opah rasa semakin tenang, tapi ada dua perkara yang opah sangat risau. (Opah) tinggal di khemah tu opah takut pengganas (samseng) dan juga ular,” katanya.

Rasa terbela

Opah Wahidah yang hadir bersama dua cucunya turut berkata bahawa beliau merasa terbela kerana mahahsiswa UM banyak membantunya ketika dalam kesusahan.

"Opah rasa terbela," katanya.

"Mahasiswa teruskan berjuang untuk kita (yang menerima nasib sepertinya)," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Mahahsiwa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Khairol Najib Hashim berkata acara itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada mahasiswa mengenai realiti yang berlaku terhadap penduduk Kampung Chubadak Tambahan.

“Sebelum ini, kita bawa isu ini di luar universiti dan juga sosial media. Mahasiswa yang datang pada malam ini semua kerana ingin tahu dan mendengar permasalahan yang dihadapi penduduk Kampung Chubadak Tambahan,” katanya.

Menurut Khairol lagi, suara mahasiswa dan juga Gerakan Rakyat Bela Kampung Chubadak Tambahan (BELA) telah didengari dari pihak pemaju selepas beberapa kali rundingan dibuat.

"Mereka bersetuju ke atas semua tuntutan kami," katanya sambil merujuk demonstrasi membantah perobohan rumahnya sebelum ini.

Menurutnya, rundingan dengan pihak pemaju pada hari tersebut disambut baik antaranya bersetuju memberi gantian rumah kos sederhana yang akan dibina di tapak Kampung Chubadak kepada Wahidah dan suaminya.

Katanya lagi, bayaran pampasan setimpal diberikan termasuk kos perpindahan dan bayaran sewa rumah transit di PPR Batu Muda akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga mereka dipindahkan semula ke rumah gantian.

Pemaju juga bersetuju tidak menuntut kos mahkamah dan bayaran ke atas kes yang dimenangi oleh pihak pemaju serta bersetuju untuk menanggung segala kos tersebut, tambahnya.

Tiada ulasan: