Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Khamis, 6 November 2014

Bkt Kepong: 4 DVD ceramah Mat Sabu diterima

Pegawai penyiasat kes ceramah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung isu komunis Bukit Kepong pada Ogos 2011, memberitahu Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini bahawa beliau menerima empat keping DVD rakaman ceramah itu.
  
ASP Jafri Md Zain yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara berkata tiga keping DVD yang mengandungi keseluruhan ceramah itu diterima daripada anggota polis, manakala sekeping DVD lagi diserahkan wartawan Utusan Malaysia, Mohd Asron Mustapha.
  
"Ketiga-tiga DVD merupakan rakaman penuh di tempat kejadian dengan empat orang penceramah termasuk Mohamad Sabu yang merupakan penceramah terakhir. DVD yang diterima daripada Encik Asron cuma mengandungi ceramah oleh Mohamad Sabu.

Kesemua DVD ini mengandungi ceramah yang sama.
  
"Kemudiannya, saya meminta seorang pegawai untuk menyediakan transkrip verbatim keseluruhan ceramah itu. Selepas siap, beliau menyerahkan transkrip kepada saya," kata saksi kesembilan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
  
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim berhubung siasatan dan tindakan yang diambil untuk kes itu.

Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, 59, didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.
  
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora, Tasek Gelugor dekat Butterworth pada 21 Ogos 2011.
  
Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mat Sabu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  
Jafri yang berkhidmat selama 19 tahun dengan PDRM, berkata siasatan itu dibuat selepas pengadu, seorang bekas tentera, dari Raub, Pahang membuat laporan polis kerana berasa tidak puas hati terhadap kenyataan Mat Sabu itu yang dibacanya dalam Utusan Malaysia.
  
Ditanya sama ada beliau pergi ke tempat kejadian, Jafri berkata: "Saya ada pergi ke tempat kejadian (Pasti Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Menora) bersama jurugambar dan beberapa anggota. Di sana, saya mengarahkan anggota untuk mengambil gambar. Sebanyak tujuh gambar diambil".
  
Dalam pemeriksaan balas peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang mewakili Mat Sabu berkaitan siasatan yang tidak menyeluruh, Jafri berkata beliau menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang dibuat pengadu.

Ditanya sama ada laporan polis itu mempunyai nilai, Jafri berkata laporan itu mempunyai nilai kerana selepas siasatan terhadap ceramah oleh Mat Sabu itu memang terdapat keterangan yang berkaitan.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah membenarkan perbicaraan kes itu diadakan di Mahkamah Kuala Terengganu kerana saksi kesepuluh iaitu waris kepada Jaafar Hassan berada di Terengganu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan bersambung 14 Disember ini.

- Bernama
 

Tiada ulasan: