Situs Desahan

Situs ini lebih kepada suara terbuka buat pelayar dunia maya. Masakan, Hiburan, Politik Seimbang, Sukan, Olahan dari akhbar & artikel blog yang menarik.

Ketik sini akan bantu Blog ini

Rabu, 6 Ogos 2014

Ada ADUN DAP Selangor mahu Khalid kekal sebagai MB

Ogos 06, 2014
Ada ADUN DAP Selangor mahu Khalid kekal sebagai MB
 
 
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga mendapat sokongan beberapa Adun DAP Selangor 
 
KUALA LUMPUR: Tidak semua pemimpin DAP Selangor bersetuju Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim disingkirkan dari jawatan Menteri Besar Selangor.

Sumber dalaman DAP memberitahu beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Selangor berpendapat Abdul Khalid perlu dikekalkan kerana prestasi baik beliau menerajui negeri itu.

Namun kata sumber itu, pemimpin DAP yang menyokong Abdul Khalid tidak membuat sebarang kenyataan kerana tidak mahu dilihat parti itu mengalami masalah dalaman seperti PAS dan PKR.

"Ada Adun-Adun DAP Selangor yang masih mahu Tan Sri Khalid kekal sebagai Menteri Besar Selangor, tetapi mereka tidak membuat kenyataan seperti pemimpin PAS dan PKR.

"Dalam DAP yang buat kenyataan supaya Tan Sri Khalid ditukarkan bukan ADUN di Selangor tetapi Ahli Parlimen Selangor," kata sumber dalaman DAP itu kepada Astro AWANI.

Sementara itu, seorang penulis blog yang juga ahli DAP, Aspan Alias berpendapat lebih banyak masalah dalam Pakatan Rakyat akan selesai jika Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara.

Menulis di blognya, Aspan berkata, apa yang berlaku di Selangor merupakan bukti Anwar tidak mempunyai keupayaan untuk menyatukan PKR.

"Kalau di nilai dari hukum akalnya, Anwar sudah sepatutnya terfikir untuk hidup dalam persaraan. Ini pun boleh dijadikan alternatif untuk menyelesaikan masalah.

Sudah jelas dan terang Anwar tidak mempunyai daya untuk menyatukan PKR sendiri, bagaimana beliau hendak menyatukan semua parti dalam PR itu. Anwar sedang menghadapi masalah ‘intra’ dan ‘interparty’ yang sangat serius." tulis Aspan di blognya.

Aspan menempelak kenyataan Anwar ketika mengumumkan nama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

"Sekarang elok kita mengingatkan Anwar yang belum pun menjadi Menteri Besar keadaan sudah berkecamuk seperti ini. Mana dia kestabilan yang akan di bawa oleh Azizah," tulis beliau.

Beliau berpendapat, jika Abdul Khalid berjaya diketepikan, PKR seharusnya mengutamakan Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden parti itu.

Katanya, jika Azmin tidak dipertimbangkan, ia merupakan satu langkah yang tidak adil kepada hulubalang PKR yang sebelum ini sentiasa menyokong Anwar.

"Pertamanya bolehkah Anwar menerima seorang yang lain selain dari isterinya yang telah di calonkan oleh PKR itu.

"Walaupun Azmin adalah penyokong kuat beliau dari awal lagi, tetapi ingat Wan Azizah adalah isteri beliau yang telah bersama-sama mengharungi tsunami politik Anwar selama 15 tahun ini.

"Walaupun segala masalah yang berlaku terhadap Anwar itu hasil dari perbuatan sendiri tetapi Wan Azizah tetap dengan suaminya itu, setiap waktu dan keadaan," katanya.

Katanya, keadaan di Selangor tidak akan menjadi seperti hari ini jika PKR tidak melakukan kerja yang merumitkan mereka sendiri.

Aspan berkata keadaan di politik di Selangor sudah sampai tahap caca-marba dan seperti sebuah bukit yang mempunyai terlalu banyak singa dan harimau.

"Usaha mengenepikan Khalid jelas merupakan ‘misadventure’ politik yang susah untuk mendapat penyelesaiannya.

"Sesungguhnya keadaan politik di Selangor sudah sampai ketahap caca-marba. Ibarat parang yang sudah tidak tentu lagi yang mana hulu dan yang mana matanya.

"Politik di Selangor ibarat sungai mudik ke hulu, dan matahari terbit dari barat. Siangnya tidak terang dan malamnya tidak gelap lagi," katanya lagi.

Tiada ulasan: